Hutang kerajaan adalah RM687 bilion sekarang… kita akan bankrap ke?

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS.)

KEMASKINI: Sebentar tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa perincian hutang negara kini mencecah RM1.5 trilion. Sebahagian daripadanya ialah hutang 1MDB yang berjumlah RM 18.2 bilion.


Dari masa ke semasa,  mesti ada je berita mengenai menteri, ahli politik, dan ahli ekonomi yang membahaskan isu tentang ekonomi negara. Ada yang kata ekonomi kita ok, ada yang kata tidak. Ada yang kata ringgit jatuh, tapi ada pulak yang kata kita banyak hutang. Melainkan kalau korang memang ambil jurusan ekonomi kat kolej atau tengok bursa saham Kuala Lumpur hari-hari, manalah kita rakyat jelata ni faham apa yang dorang kata kan.

Satu laporan mengatakan hutang luar negara Malaysia adalah sebanyak RM873.85 bilion. Tapi lepas tu Edge Market kata hutang kerajaan adalah RM687.43 bilion menjelang September 2017. So mana satu yang betul ni? Seorang pengarah kementerian kerajaan pulak kata hutang Malaysia sebenarnya dah mencapai 103% masa kat bawah pimpinan Tun. Mahathir lagi.Mana satu yang betul?

Pecah kranium aku. Imej dari Nightmare before Christmas

Kalau korang perasan, ada antara mereka yang sebut ‘hutang kerajaan’ dan ada jugak yang sebut ‘hutang luar negara Malaysia’. Apa beza dua-dua benda ni? Ok kalau korang nak faham pasal perkara ni, korang kena baca sampai habis dan boleh buat penilaian sendiri sama ada kerajaan kita dah buat kerja dengan baik atau sebaliknya. Tapi sebelum tu, korang kena tahu beberapa fakta. Antaranya ialah…

Kenapa kerajaan Malaysia banyak sangat hutang?

Ukur baju dibadan sendiri. Selalu tak korang dengar pepatah ni? Kalau rasa tak mampu, jangan beli. Tapi sayangnya ramai yang tak mengikut peribahasa ni kerana realiti dalam kehidupan sekarang ni, ramai yang hidup bergelumang dengan hutang. Mungkin ada yang pinjam duit dari kawan-kawan, bank dan kerajaan untuk beli rumah, kereta, pendidikan dan macam-macamlah. Apa yang lebih tragis lagi, ada yang sanggup berhutang dengan Ah Long!

Tapi kalau korang ni adalah kerajaan Malaysia, dan dah banyak kumpul cukai, kenapa masih kena pinjam wang lagi? Jom kita semak jadual kat bawah ni:

Screenshot dari Kementerian Kewangan. Klik untuk report yang lengkap.

Seperti yang korang lihat, kerajaan cuma tinggal RM5.43 bilion lepas bayar semua perbelanjaan operasi. Tapi kena ingat, ini tak termasuk dengan kos untuk projek-projek pembangunan, sama ada membina projek-projek besar seperti Menara Wawasan atau projek-projek kecil seperti peningkatan/penambahbaikan jalan. Tapi Kementerian Kewangan kata sebenarnya dorang ada ambil kira benda-benda ni semua dalam laporan yang lain, dan bakinya adalah negatif RM39.89 bilion.

So pointnya kat sini ialah, bukan murah nak memajukan dan membangunkan sesebuah negara. Oleh kerana tak cukup modal, Malaysia pun pinjamlah duit, sama macam negara-negara lain (kecuali 5 buah negara ni… tapi itu cerita lain.)

Hampir 74% hutang kerajaan adalah kepada… rakyat Malaysia sendiri

Hutang aku kau tak bayar lagi. Imej dari Cilisos

Nak bagi pinjam duit kepada seluruh kerajaan ni bukan main tiga empat ratus, confirm la korang kena ada duit yang banyak. Jadi selain daripada kerajaan asing, kerajaan juga boleh pinjam duit daripada institusi kewangan macam bank atau syarikat pelaburan, tak kisahlah samada dorang entiti tempatan ataupun asing, asalkan dorang ada duit yang berkepuk-kepuk sampai tak cukup nak simpan bawah tilam.

Tapi pinjaman oleh kerajaan ni tak sama macam korang pinjam kat bank tu. Kerajaan pinjam dalam bentuk bon, atau dikenali sebagai Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS). Bon ni (bukan nama orang) atau sekuriti (juga bukan security guard), tapi ia merupakan kontrak antara kerajaan dan pemberi pinjaman, yang juga dipanggil IOU. Kerajaan akan memulangkan wang pinjaman tersebut berserta dengan bunga, apabila tiba tarikh yang dijanjikan (juga dikenali sebagai tarikh matang).

Imej dari biography.com

So, kalau kita tahu siapa yang pegang bon ni, kita akan tahu kerajaan berhutang degan siapa. Kementerian Kewangan pun turut menyimpan rekod (sehingga Jun 2017). So korang rasa siapa yang mempunyai sebahagian besar hutang gomen? China? Amerika? Illuminati? Syiah? Jawapan sebenar adalah… industri tempatan!

Dana Malaysia seperti EPF dan KWAP adalah dua pemilik utama bon kerajaan dan menurut Bank Negara Malaysia, kira-kira 26.6% daripada bon kerajaan dipegang oleh pemegang asing atau bukan pemastautin.

Berbalik kepada cerita pasal hutang yang kitorang sebut pada awal artikel ni, ‘hutang kerajaan’ adalah hutang yang terdiri daripada pinjaman terkumpul Kerajaan Persekutuan  (hutang kerajaan semata-mata), manakala ‘hutang negara/hutang Malaysia’ adalah hutang yang ditanggung oleh negara berikutan pinjaman yang diperoleh oleh kerajaan dan swasta daripada punca luar (yang harus dilaporkan kat Bank Negara).

Ok sekarang tiba masanya untuk ke fakta cepumas pulak iaitu….

Kadar kenaikan hutang dua kali ganda dari kadar pendapatan

Gif dari Spongebob Squarepants

Bila dengar hutang kerajaan adalah RM687.43, kita pun tak tahu samada hutang ni banyak ke sikit, atau memang perkara biasa. Sebab tu la MP Serdang, Ong Kian Ming buat graf ni untuk membandingkan hutang kerajaan sejak 9 tahun yang lepas:

Graf menunjukkan jumlah pendapatan dan hutang kerajaan dari 1999 hingga 2017

“Dari 2009 (Najib menjadi Menteri Kewangan pada September 2008) hingga 2017, hutang persekutuan meningkat 89.7% atau kadar pertumbuhan tahunan 11.2% berbanding dengan pertumbuhan 37.5% atau kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 4.7% untuk Hasil Persekutuan dalam tempoh tersebut.”- Dr Ong Kian Meng. Dipetik dari Malaysia Kini.

Ini bermakna kadar kenaikan hutang gomen adalah lebih dari dua kali ganda kadar pendapatan. Mungkin perkara ni terjadi kerana terdapat banyak projek pembangunan yang dijalankan, dan lepas beberapa tahun kemudian barulah dorang akan peroleh ganjaran (wang)? Ini kerana Menteri Kewangan Kedua, iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani ada cakap, “Hari ini kerajaan masih perlu berbelanja untuk merangsang ekonomi, jadi kami memerlukan lebih banyak masa untuk mencapai bajet seimbang itu.”

Mungkin ianya akan nampak lebih adil kalau kita dapat tahu berapa kerajaan dah bayar balik hutang dorang setiap tahun (caj perkhidmatan hutang). Oleh sebab hutang ni beratus-ratus bilion ringgit, tak mungkin kerajaan dapat settle semua dalam sebulan, betul tak?

Jumlah yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk membayar hutang dari 2013 ke 2017. Data dari Kementerian Kewangan.

Nak dibandingkan dengan hutang RM687.43 billion, berapa sangatlah RM28.87 billion yang dibayar pada tahun 2017. Tapi bila korang rujuk balik jumlah duit yang kerajaan ada tahun ni RM5.43 billion, celah mana dorang cari duit untuk bayar hutang? Jawapan dia simple je, pinjam lagi banyak duit (dengan mengeluarkan bon)! Kadang-kadang ke negara asing.

Bagi orang biasa macam kita ni semua, pinjam duit sebab nak bayar hutang bunyinya macam tak tercapai dek akal. Tapi benda ni sebenarnya amalan biasa oleh mana-mana kerajaan kat seluruh dunia. Sebab tu lah kalau kita ni negara-negara maju macam US, Norway dan Singapura, jumlah hutang masih akan meningkat setiap tahun. Apa yang penting pada ekonomi adalah negara kita kena menarik pelabur supaya dorang akan pinjamkan duit.

“Setakat ini, kerajaan tidak pernah gagal membayar tepat pada masanya.” – Kementerian Kewangan. Dipetik dari New Straits Time.

Tapi sampai bila kita nak terus pijam duit untuk bayar duit? Apa akan jadi kalau satu hari nanti, kerajaan dah tak mampu nak bayar hutang?

Kalau negara bankrap pun, kesannya mungkin tak seperti yang korang gambarkan

Kebankrapan bukan pengakhiran bagi sebuah negara. Imej asal dari 10awesome.com

Kebankrapan kerajaan tak sama dengan kebankrapan individu. Sebab bila kerajaan bankrap, takkan la bank nak serbu rumah PM ambil TV, sofa, cincin berlian semua… sebab mungkin dah takde dah bank yang berfungsi waktu tu. Negara-negara yang pernah bankrap atau ‘default’, masih lagi bertahan buat masa yang lama.

Bila benda ni berlaku, badan pengkreditan antarabangsa akan memberitahu seluruh dunia tentang kegagalan negara. Dan lepas tu akan timbullah satu-persatu masalah. Sebagai contoh, pada tahun 2001 apabila Argentina tak mampu nak bayar balik hutang dorang sebanyak USD 132 bilion, terdapat beberapa perkara yang berlaku:

  • Bekalan kuasa di dalam sesebuah syarikat, polis, pejabat pos dan stesen minyak semuanya terhenti beroperasi. Stok makanan kat kedai runcit habis. Kadar pengangguran melonjak kepada hampir 25%.
  • Bank ditutup, pegawai bank semua angkat kaki keluar negara. Lebih $40 bilion telah dikeluarkan dalam satu malam.
  • Mata wang negara runtuh. Rakyat panik dan habiskan semalaman tidur kat depan ATM semata-mata nak keluarkan duit kerana had pengeluaran hanya $250 je seminggu.
  • Berlaku rusuhan yang membawa kepada pengisytiharan darurat.
  • Banyak syarikat swasta tak dapat berfungsi dan turut muflis.
Of course kita tak nak Malaysia sampai jadi macam ni. Imej dari elpaisonline.com

Pada asasnya, bila takde lagi pengaliran wang, maka yang lain pun turut berhenti berfungsi. Cumanya bila negara bankrap, ia bukan satu pengakhiran bagi negara tersebut. Dorang hanya perlu berunding syarat-syarat baru dengan pemegang bon untuk memastikan wang akan masuk lagi. Tapi apa yang lebih penting, dorang kena tahu punca utama yang membuatkan negara bankrap!

Contohnya kat Iceland, bank dorang yang menyebabkan negara jadi bankrap. So kerajaan pun menyiasat penipuan bank-bank tersebut dan menjamin wang rakyat. Kat Greece pulak, dorang perlukan lebih banyak campur tangan untuk berunding mengenai pinjaman sebanyak USD 8.4 bilion dengan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Jerman. Tapi dengan syarat, Greece kena ubah tabiat perbelanjaan dorang.

Tak kiralah hutang kita banyak ke tak, kita tetap memerlukan pakar untuk mengesan penyelewengan

Emas ke Zhulian ni? Imej dari dmia.net

Alasan untuk semua perdebatan dan hujah-hujah mengenai perbelanjaan dan hutang kerajaan mungkin disebabkan oleh idea dan pandangan yang berbeza oleh setiap parti mengenai masa depan negara. Seperti yang kami cuba terangkan dalam artikel ini, nak uruskan kewangan negara ni bukan senang macam main kutu.

Pada asasnya, hanya kerajaan yang bertanggungjawab untuk menentukan cara perbelanjaan dorang. Kita hanya mampu berharap yang kerajaan ni bersih dan telus. Namun, dalam masa yang sama kita pun patut membuat pemeriksaan untuk pastikan semuanya telus. Dalam laporang Dr. Ong Kian Meng, ada perbelanjaan “tersembunyi” yang tak dilaporkan oleh Kementerian Kewangan. Dekat Greece, perbelanjaan tersembunyi dan pemalsuan rekod semua ni lah antara faktor kenapa Greece jadi bankrap! Sikit-sikit lama jadi bukit, jadi benda-benda kecik ni sebenarnya besar kesannya.

Satu cara mudah untuk menilai kredibiliti negara adalah melalui penarafan kredit antarabangsa. Penarafan ni diambil dengan begitu teliti, kerana tak ada yang akan membeli bon dari negara yang muflis. Buat masa ini, penarafan kredit antarabangsa Malaysia masih kelihatan baik. Melainkan kalau korang merupakan seorang pakar ekonomi, so ia adalah perkara yang terbaik untuk korang berhujah dan meneliti keputusan kerajaan.

*Artikel ini ditulis dengan bantuan Alvin Vong dari EquitiesTracker.com dan Dr. Yeah Kim Leng.

About Irma Musliana 73 Articles
Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan :)