Kementerian misteri bawah Azmin mungkin rampas kuasa Guan Eng?

Baru-baru ni, ada suatu berita yang orang ramai tak sedar sudah dikeluarkan oleh akhbar The Straits Times Singapura pasal peranan Datuk Seri Azmin Ali sebagai menteri diKEMENTERIAN HAL EHWAL EKONOMI!

Patut la senyum besar semacam ni… Imej dari The Straits Times.

Eh… tapi buat apa nak ada Kementerian Ha Ehwal Ekonomi kalau kita dah ada Kementerian Kewangan? Tu yang pelik pasal cerita ni. Walaupun Kementerian Hal Ehwal Ekonomi ini baru ditubuhkan, ia didakwa akan meluaskan skop kuasa Azmin oleh Tun M dengan pengalihan syarikat-syarikat terbesar milik kerajaan di Malaysia yang bernilai lebih RM1 TRILION kepada kementerian Azmin itu daripada… Kementerian Kewangan Lim Guan Eng.

Kau biar betul!

Menurut sumber-sumber daripada akhbar The Straits Times Singapura, langkah ini bertujuan mengukuhkan kedudukan Azmin sambil membendung pengaruh Anwar Ibrahim yang bakal menjadi pengganti Tun M.

Bintang yang semakin naik, Azmin – yang dilihat oleh penganalisis sebagai pengganti Dr Mahathir – telah dilantik untuk mengetuai KHEE, sebagai suatu langkah untuk membendung pengaruh Anwar dalam PH.” – Shannon Teoh, menulis untuk The Straits Times Singapura.

Walau bagaimanapun, SOSCILI perasan yang berita ni tak menerima liputan yang meluas walaupun pengalihan kuasa ini mempunyai implikasi BESAR dari segi politik DAN ekonomi. Oleh itu, meh kitorang cuba jelaskan apa maksud semua benda yang tengah berlaku ni kepada korang semua…

Kementerian baru ini didakwa akan memegang lebih SEPARUH daripada ekonomi Malaysia!

Biasanya kena pilih satu je. Ni semua pun dia kasi. Imej dari Pokemon Essentials.

Menurut The Straits Times, Azmin akan memantau syarikat-syarikat besar di Malaysia termasuk Petronas, Khazanah, dan juga Perbadanan Nasional Berhad (PNS). Selain itu, agensi-agensi penting yang menjaga kebajikan masyarakat Melayu-Islam seperti Felda dan Tabung Haji juga dilaporkan akan ditempatkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (KHEE). Perkara ini pula nampaknya sudah disahkan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah baru-baru ini.

Azmin, saya rasa, sungguh sibuk sekarang. Beliau perlu menguruskan aset bernilai hampir RM1 trilion dari Khazanah, Felda dan lain-lain.” – Nurul Izzah, Ahli Parlimen Permatang Pauh, dalam temu bual bersama NST.

Kalau kita lihat nilai pasaran saham Malaysia, permodalan pasaran (nilai keseluruhan saham-saham) Bursa Malaysia dianggarkan berjumlah sekitar RM1.7 trillion. Ini bermakna nilai aset-aset yang akan dipindah kepada KHEE ini bersamaan dengan LEBIH SEPARUH daripada jumlah nilai KESEMUA syarikat awam yang tersenarai di Malaysia.

Sebenarnya, berita ni dah disebar lima hari sebelum artikel Straits Times itu diterbit. Imej dari Twitter @Haziq_Escobar.

Kalau korang tak tahu, agensi-agensi seperti Felda dan Tabung Haji ini dikenali sebagai badan berkanun dibawah naungan Jabatan Perdana Menteri (JPM). Manakala syarikat-syarikat macam Petronas, Khazanah, dan PNS adalah anak syarikat milik penuh kerajaan melalui Kementerian Kewangan (KKM). Bererti, kalau badan-badan ini perlu dipindah kepada KHEE, ia mesti dikeluarkan daripada JPM dan KKM masing-masing.

Mengikut The Star, perkara ini boleh menjadi rumit kerana pemindahan syarikat-syarikat dan badan-badan berkanun ini akan memerlukan pindaan undang-undang oleh Parlimen. Sebab ye la – nak jual kereta second hand korang kat member pun dah leceh bukan main, ni pulak nak pindah syarikat bernilai berbilion-bilion daripada satu pemilik kepada pemilik yang lain. Mana tak pening kepalanya?

Part paling pening tu pulak masa terpaksa dengar jurujual kereta berleteh panjang-panjang. Imej asal dari Utusan.

Jadi, apakah faedah atau tujuannya pemindahan ini berlaku? SOSCILI sudah cuba menghubungi sumber-sumber berdekatan tapi semua tak nak komen (tak ada siapa nak borak dengan kitorang ?). Tambahan pula, laporan Straits Times itu masih belum disahkan atau dinafikan oleh mana-mana sumber rasmi kerajaan.

Oleh itu, sebab-sebab disebalik langkah ini pun masih belum diketahui. Kalau kita teliti berita ini dengan lebih lanjut, kitorang dapat menyedari bahawa langkah ini bermakna…

Peralihan kuasa daripada Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Ekonomi

Apabila pelantikan Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu diumumkan, ada yang tertanya-tanya tentang perbezaan fungsi KKM dengan KHEE yang baru ditubuhkan itu. Malah, ada juga beberapa orang yang mengesyaki bahawa langkah ini semata-mata bertujuan untuk memindahkan kuasa daripada Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan kepada Azmin Ali.

“Seperti yang disangkakan: LGE menteri kewangan tapi kuasa kewangan dialihkan kepada menteri ekonomi”. Tangkapan skrin dari Lowyat.
“Ha ha ha pandai Mahathir. LGE sekarang hanya penjaga buku kat KKM”. Tangkapan skrin dari FMT.
Tangkapan skrin dari Twitter @The_UglyOrgan.

Walau macam mana pun, Lim Guan Eng pernah ditanya pasal penubuhan kementerian baru bawah Azmin itu, dan dia menafikan terdapat apa-apa pertindihan tugas antara KHEE dan KKM.

Saya rasa tidak, Kementerian Kewangan seperti biasa Kementerian Kewangan. Saya rasa di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi adalah dasar seperti yang dibuat sebelum ini di bawah JPM.” – Lim Guan Eng, Menteri Kewangan, seperti dilapor oleh Free Malaysia Today.

Jadi untuk memahami sebab-sebab pemindahan ini mungkin akan berlaku, SOSCILI nak kena terangkan sikit pasal struktur KKM selama ini. Secara ringkasnya, terdapat beberapa pakar penyelidik ekonomi yang sudah merasa risau terhadap KKM yang dikatakan sudah terlalu berkuasa.

Patutlah tim Lim Guan Eng pun macam pasukan perisik. Imej ori dari Says.

Melalui syarikat milik penuhnya, Menteri Kewangan (Perbadanan) [MKD], KKM kini memiliki dan menguasai sebanyak 35 daripada 100 syarikat TERBESAR Malaysia dengan jumlah 42% daripada permodalan pasaran SEMUA syarikat awam di Bursa Malaysia. Ini pun tak kira lagi 68,000 SYARIKAT-SYARIKAT yang dikuasai oleh MKD melalui pegangan-pegangan minoriti!

Dengan kuasa ini dalam tangan KKM, kerajaan Malaysia mampu memberi pengaruh kuat dalam keputusan-keputusan penting melibatkan komersil macam pemberian kontrak, pelantikan utama, strategi korporat, pembiayaan, serta pengambilalihan dan jualan aset. Mengikut satu kajian, benda ini memberi kesan yang negatif kepada sektor swasta:

Kami mendapati bahawa apabila syarikat kerajaan yang dominan dalam industri, terdapat kesan yang negatif terhadap pelaburan oleh firma swasta. Sebaliknya, apabila syarikat kerajaan tidak menguasai industri, impak terhadap pelaburan swasta tidak dilihat.” – Jayant Menon dan Thiam Hee Ng, penyelidik Bank Pembangunan Asia.

Tambahan lagi, oleh kerana jawatan Menteri Kewangan sudah dipegang oleh Perdana Menteri sejak Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997, bolehlah berlakunya kejadian seperti yang diceritakan oleh bekas penceramah bekas pembangkang di bawah ni.

Imej dari YouTube.

Perkara seterusnya nak bincang ialah – selain daripada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh KKM macam Petronas dan Khazanah, badan-badan berkanun bawah JPM macam Felda, Tabung Haji, dan juga Unit Perancang Ekonomi yang pernah diketuai oleh bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Dato’ Abdul Rahman Dahlan dan bekas Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar juga termasuk dalam senarai badan-badan yang akan dialihkan kepada KHEE.

Sebelum ni, saiz JPM pernah dipersoalkan oleh beberapa pihak, terutamanya oleh aktivis Aliran Anil Netto yang bertanya mengapa JPM mempunyai 31% lebih ramai jumlah kakitangan daripada KESELURUHAN Kesatuan Eropah.

Kalau korang tengok bajet JPM pula, ada yang tertanya mengapa peruntukan kepada bajet JPM semakin meningkat tapi, peruntukan untuk kementerian-kementerian lain macam kesihatan dan pendidikan makin dipotong. Menurut ahli Majlis Penasihat, Jomo Kwame Sundaram mendakwa peruntukan Bajet 2018 untuk JPM telah berkembang dua kali ganda berbanding dengan tahun 2008.

Tukang-tukang bersih dengan bil elektrik untuk pejabat JPM pun dah berapa lah agaknya. Imej asal dari Desktop Dress.

Apa yang diperlukan oleh Malaysia sekarang adalah perbelanjaan pembangunan yang lebih sesuai, bukannya lebih banyak kepada perbelanjaan mengurus, terutamanya untuk JPM, yang berkembang lebih daripada sepuluh kali ganda dan pemusatan kuasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.” – Jomo Kwame Sundaram, dalam temu bual bersama The Malaysian Insight.

Maka, ia wajar dikatakan bahawa peranan kedua-duanya KKM dan JPM patut dikecilkan demi tadbir urus dan kecekapan. Tapi apa yang belum jelas adalah, sama ada satu kementerian BARU patut diwujudkan untuk mengambil alih tugas-tugas KKM dan JPM memantau syarikat-syarikat dan badan-badan yang kami sebut tadi.

Untuk menjawab persoalan ni, SOSCILI kena ke luar negara pula untuk tengok bagaimana negara-negara lain mengurus aset-aset pegangan kerajaan mereka. Di sini lah kita dapat tahu…

Beberapa negara lain pun memang ada kementerian/jabatan bertugas memegang syarikat-syarikat milik kerajaan

Jangan jatuh, jangan jatuh, jangan jatuh. Imej dari Juggle Wiki.

Sebelum kita jelaskan cara negara-negara lain menguruskan syarikat-syarikat pegangan kerajaan mereka kitorang nak bagitau sikit pasal TUJUH Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (Government-Linked Investment Companies atau GLIC dalam bahasa omputeh) yang ada di Malaysia. Ini adalah dana-dana pelaburan yang dimiliki oleh kerajaan kita. Antaranya:

  1. Menteri Kewangan (Diperbadankan)MKD
  2. Kumpulan Wang Simpanan PekerjaKWSP
  3. Permodalan Nasional BerhadPNB
  4. Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)KWAP
  5. Lembaga Tabung Angkatan TenteraLTAT
  6. Lembaga Tabung HajiLTH
  7. Khazanah Nasional BerhadKNB

Untuk senangkan hidup korang, gambar di bawah ini adalah senarai pemilik setiap dana pelaburan di atas dan sama ada mereka sudah tahu atau tak pasal pemindahan ke KHEE bawah Azmin nanti.

Nampaknya selain daripada LTAT, GLIC-GLIC milik kerajaan sama ada yang terletak di bawah KKM/JPM secara langsung (MKD, KWSP, KWAP, dan LTH) atau tak langsung (PNB dan KNB). Dan kalau kita tengok negara-negara lain pula, situasi ini agak biasa.

Di Norway, Kementerian Kewangannya bertanggungjawab untuk pengurusan dana pelaburan kerajaan TERBESAR di dunia iaitu Dana Pencen Kerajaan Norway (Government Pension Fund of Norway). Di China pula, dana pelaburan kerajaan KEDUA terbesar di dunia bernama Perbadanan Pelaburan China (China Investment Corporation) adalah syarikat milik penuh kerajaan, dan seperti di Norway, juga terletak di bawah penyeliaan Kementerian Kewangan negara itu.

Walau bagaimanapun, ini menunjukkan bahawa dana-dana pelaburan kerajaan memang biasanya terletak di bawah Kementerian Kewangan negara masing-masing. Jadi, kenapa pula kerajaan Malaysia nak pindahkan dana-dana pelaburan seperti PNB, Tabung Haji, dan Khazanah ke bawah KHEE?

Jangan risau Azmin… kitorang tanya je. Imej dari Mayanasional.

Di negara-negara macam New Zealand dan juga jiran kita di Indonesia, wujudnya kementerian yang bertanggungjawab khas untuk pengurusan syarikat-syarikat milik kerajaan. Contohnya di New Zealand, syarikat-syarikat macam New Zealand Post dan New Zealand Rail adalah di bawah tanggungjawab Menteri Syarikat Milik Kerajaan manakala di Indonesia, syarikat-syarikat macam Telekomunikasi Indonesia dan Garuda dimiliki secara majoriti oleh kerajaan Indonesia melalui Kementerian Badan Usaha Milik Indonesia.

Susunan tanggungjawab ini boleh dibandingkan dengan berita pengalihan aset yang dikhabarkan di mana fungsi KKM dan KHEE akan dipecahkan kepada duapengurusan hal-hal kewangan dan penetapan dasar-dasar ekonomi.

Kalau korang bayangkan negara ini sebagai sebuah syarikat, kedua-dua kementerian ini mungkin boleh disamakan dengan jawatan Ketua Pegawai Kewangan (KPK) dan Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) syarikat itu, di mana peranan KPK adalah lebih kepada pengawalan keadaan kewangan semasa manakala tanggungjawab KPE pula adalah penentuan dan pelaksanaan hala tuju syarikat tersebut.

Bagaimana KPK dan KPE berfungsi bersama satu sama lain. Imej dari CCH Tagetik.

Kalau dilperhatikan balik berita peralihan kuasa daripada KKM dan JPM kepada KHEE bawah Azmin Ali, ia boleh dianggapp bahawa langkah ini adalah untuk membahagikan fungsi kedua-dua kementerian bagi tujuan mengecilkan peranan KKM/JPM dan mencekapkan pengurusan syarikat-syarikat milik kerajaan dengan meletakannya bawah KHEE. Penjelasan ini masuk akal juga apabila kita lihat yang syarikat-syarikat berkepentingan awam macam Petronas dan Felda termasuk dalam senarai badan-badan yang akan dipindahkan nanti.

Menurut kolumnis The Star Biz Tan Thiam Hock, pembahagian tanggungjawab ini patut dilakukan dengan pemindahan dana-dana kebajikan seperti PNB, LTAT, LTH dan KWAP kepada KHEE manakala dana-dana seperti KWSP dan Khazanah patut dibiarkan di bawah KKM. Cadangan yang diberi ini dan jangkaan korang hanyalah spekulasi sahaja masa sekarang, memandangkan butiran peralihan kuasa ini hanya boleh diketahui selepas laporan ini disahkan oleh kerajaan.

Langkah ini mungkin salah satu perubahan dalam pembentukan kerajaan Malaysia Baru

Baru minggu ini, agensi-agensi kerajaan macam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) dan Jabatan Audit Negara sudah diumumkan akan menjadi badan bebas yang ada hubungan terus dengan Parlimen.

Selain itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan juga akan menjadi badan bebas daripada JPM. Langkah yang diambil oleh kerajaan ini merupakan sebahagian daripada rasionalisasi struktur agensi-agensi yang sebelum ini di bawah JPM dan boleh dikatakan seiring dengan berita peralihan kuasa daripada KKM/JPM kepada KHEE.

Tindakan oleh Dr Mahathir itu… dilihat sebagai satu lagi strategi pecah dan perintahnya.” – Shannon Teoh, Ketua Biro Malaysia Straits Times Singapura, seperti yang dipetik oleh The Malaysian Insight.

Walau macam mana pun, tak tahu sama ada langkah ini untuk mencekapkan fungsi kerajaan atau sebagai langkah bagi menguatkan kedudukan Azmin semata-mata bagi menggantikan Dr Mahathir suatu masa nanti. Apa korang rasa pasal benda ini? Ambil lah poll kitorang dekat bawah dan tinggalkan komen untuk SOSCILI tahu pendapat korang!

About Iqbal Fatkhi 10 Articles
Pandai buat meme je. Tulis artikel beshe-beshe je.