Ekonomi

Harga simen akan NAIK SAMPAI 50%. Ini ke salah satu sebab rumah semakin mahal?

(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)

Sebelum artikel ni ditulis, member kitorang kat CIlisos buat satu lawak hambar:

S: Kenapa kerja kat kilang simen ni agak menakutkan?

J: Semakin lama korang kat sana semakin keras tempat tu.

Semua orang bagi muka tak boleh blah kat kawan kitorang yang buat lawak ni.

Disebabkan lawak tu hambar sangat, moh le kita terus ke topik asal hari ni: simen. Melainkan  korang adalah seorang kontraktor, jurutera, atau mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pembinaan, korang mesti tak tahu yang harga simen sekarang ni dah naik mendadak, macam orang jual goreng pisang dua keping singgit, nak pergi haji balik hari ke apa?

Bahkan, perkara ni dah menyebabkan beberapa pihak menyuarakan kebimbangan mereka, contohnya macam pembeli rumah, pemaju hartanah. Malah, terdapat bantahan daripada Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang menyuarakan kebimbangan mereka ni daripada beberapa tweet berkaitan simen ni. Perkara ni juga punyalah serius sampaikan kerajaan dah campur tangan dalam perkara ni. 

Jadi, apa sebenarnya yang berlaku?

Dua daripada firma simen terbesar bergabung, dan mereka nak naikkan harga 

Ni kisah sebenarnya.

Kat Malaysia, kita cuma ada beberapa pengeluar simen utama, dan yang terbesar ialah Lafarge Malaysia, yang mempunyai panguasaan pasaran sebanyak 36% pada tahun 2019. Manakala beberapa tahun lalu, syarikat induk mereka – Lafarge antarabangsa – digabungkan dengan syarikat lain yang dikenali sebagai Holcim, mewujudkan LafargeHolcim.

Syarikat besar ni mungkin rasa yang banyak sangat benda yang diorang nak kena handle, jadi mereka perlahan-lahan menjual beberapa operasi mereka di beberapa tempat sejak kebelakangan ni, termasuklah anak-anak syarikatnya di Asia Tenggara.


Imej dari Sing Lee Siang

Jadi dengan Lafarge Malaysia di pasaran, YTL Cement mengumumkan pada bulan Mei yang mereka akan membeli Lafarge Malaysia. Sekarang YTL Cement bukanlah sebuah syarikat kecil macam sebelum ni, malah merupakan pembekal simen kedua terbesar di negara ni, dengan market share sebanyak 23%. Pembelian ni bermakna yang YTL Cement adalah pengeluar simen terbesar, dengan bahagian pasaran baru sekitar 60% mengikut beberapa laporan.

Ada sesiapa sebut… monopoly? Imej dari saic.edu

Berikutan pengambilalihan ni, dalam beberapa minggu yang lalu, berita melaporkan yang harga simen nampaknya mula naik mendadak. Mungkin penting untuk kita perhatikan walaupun simen bukan barangan kawalan – yang bermaksud setiap syarikat simen boleh letakkan harga mereka sendiri – ini bermakna apabila syarikat utama mengubah harganya, yang lain pun akan ikut serta.

Dan nampaknya, pelbagai laporan berita yang dah melaporkan tentang kenaikan harga antara 40 hingga 50 peratus, yang salah satunya mendakwa sebuah beg 50kg simen mungkin meningkat kepada RM16 daripada harga semasa iaitu RM9-RM12. Sebuah lagi laporan lain mengatakan yang harga simen campuran siap akan naik dari RM20 hingga RM40 setiap meter padu.

Dan korang yang selalu mengadu “harga minyak naik, ni mesti harga barang naik juga”, perkara yang sama juga kemungkinannya boleh berlaku di mana harga rumah juga akan naik.

Ada yang mengatakan harga hartanah kini boleh meningkat sehingga 15%

Tak kesian ke dengan kita yang millenials ni :'( . Rumah pun dah macam tak mampu milik sekarang, apatah lagi dengan peningkatan harga simen nanti. Nampaknya, dah ada pun laporan yang mengatakan harga hartanah didakwa semakin naik, antara 10-15% menurut Persatuan Pembina Johor.

“Beberapa ahli telah menerima notis dari empat pengeluar simen bahawa harga akan meningkat dari RM200 setan kepada RM290 setiap tan…. Secara konservatif, harga hartanah boleh meningkat 10% hingga 15% pada masa akan datang, “- Tee See Kim, Presiden Persatuan Pembina Johor, seperti yang dipetik oleh EdgeProp

Imej tak diedit dari imgflip

Bukan setakat pembeli rumah berpotensi je yang bimbang. Berikutan kenaikan simen, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Persatuan Peniaga Pemasaran & Pembina Bahan Bangunan Persekutuan (PMBBMDA) dan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) bertemu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk membincangkan isu itu, di mana  Kementerian Kewangan kemudian mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Kenapa perlu ada kenaikan? Menurut rekod, tidak pernah ada kenaikan seperti itu. Simen kita lebih murah daripada yang dijual di Thailand dan nampaknya ini akan berubah dengan kenaikan harga baru, “- Lim Guan Eng, seperti yang dipetik dari NST

Bersama-sama dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Domestik juga telah mengambil tindakan terhadap kenaikan harga industri simen. Mereka mengumumkan beberapa hari lalu yang mereka telah mengeluarkan notis kepada syarikat-syarikat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk menuntut alasan di sebalik kenaikan harga tersebut.

Sementara tu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Saifuddin Nasution menambah yang ia adalah perlu untuk mendapatkan penyelesaian kepada isu tu tanpa menjejaskan niat kerajaan membina rumah mampu milik. Dia juga menambah yang kementeriannya tak meluluskan kenaikan harga untuk simen di Malaysia.

Imej tak diedit dari imgflip

Tapi sebelum korang asah parang dan mula berdemo depan syarikat simen, nampaknya Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA) dah bagi respon terhadap isu tu.

Harga simen dah jatuh merudum sejak beberapa tahun yang lepas

Dalam satu kenyataan oleh Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia (C&CA), mereka menyuarakan isu dari pihak mereka, dengan alasan di mana harga simen tak boleh dianggap sebagai punca kenaikan harga rumah. Dakwaan mereka, sejak 2016 hingga 2018, harga simen sebenarnya… jatuh?!

Harga simen selama beberapa tahun kebelakangan ni. Graf dari C&CA

… sementara tu, harga rumah pula didakwa naik sebanyak 13% pada waktu ni.

Manakala harga hartanah pula…. menaik. Graf dari C&CA

Malah sejak beberapa tahun kebelakangan ni, industri simen nampaknya dibelenggu oleh  lebihan bekalan simen serta perang harga antara pemegang utama, menyebabkan mereka berlumba-lumba menetapkan harga untuk simen. Kos pengeluaran simen juga naik walaupun harga jatuh.

Jadi, Lafarge Malaysia kata yang mereka sebenarnya dah kerugian sejak 2017, bersama syarikat lain macam HUME dan Tasek. Tambahan lagi, C&CA kata yang kenaikan harga simen hanyalah satu cara untuk mengembalikan harga yang akan membolehkan industri simen mampu bertahan.

Selain tu, simen hanya membentuk sebahagian kecil daripada kos pembinaan projek perumahan, dengan purata antara 3-5% daripada jumlah kos. Malah bagi pemaju, aspek lain dari kos pengeluaran, kos buruh serta harga nilai tanah semuanya telah menyumbang kepada kenaikan kos hartanah di Malaysia. Sebab tu jugalah kebanyakan pemaju hartanah sebenarnya tak perlu pun untuk menaikkan kos harga rumah, dengan beberapa pemaju-pemaju besar didakwa mempunyai margin keuntungan besar sehingga 46%, menurut satu laporan.

Margin keuntungan beberapa hartanah di Malaysia. Imej dari Edge Prop

Jadi, macam mana? Sekurang-kurangnya setakat ni, para pengeluar simen nampaknya terpaksa mengalah dengan hasrat kerajaan dan telah menurunkan kenaikan harga, menandakan resolusi sementara kepada isu tu lepas Datuk Saifuddin bertemu dengan pembuat simen minggu ini.

“Mereka (pembuat simen) menyatakan beberapa alasan untuk membenarkan kenaikan harga simen disebabkan oleh bahan import yang lebih mahal digunakan untuk membuat simen kerana ringgit yang lemah.

Bagaimanapun, selepas mesyuarat semalam, mereka bersetuju untuk tidak menaikkan harga simen, “- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution, dipetik dari Edge.

Dengan harga hartanah yang bukan mampu milik ni, bukan saja bagi penulis macam kitorang, tapi bos kitorang (walaupun dalam pasaran pembeli Malaysia ketika ni), semua pihak yang terlibat, dengan hartanah kepada pengeluar simen, bahkan pemerintah kepada beberapa yang ada perlulah cuba untuk bekerjasama bersama-sama.

Kalaulah semua pihak berkepentingan dalam perumahan hartanah dapat duduk satu meja dan cuba untuk bincangkan permasalahan ni bersama, mungkin kita boleh cari penyelesaian bersama. Mudah-mudahan dengan cara yang disarankan ni, ada lah peluang untuk kita beli dan duduk di rumah sendiri… :’)

Popular

To Top

Send this to a friend