“Gelang gading gajah untuk penunduk dan antai santau ilmu hitam”

‘Hidupan liar di Malaysia semakin hari, semakin terancam’. Itulah berita yang kita selalu dengar berulang kali. Walaupun begitu, masih banyak kes pemburuan haram yang terjadi kat negara kita ni.

Dalam laporan berita baru-baru ni, seekor gajah ditembak mati semata-mata untuk gadingnya oleh pemburu haram di Lahad Datu, Sabah. Apa yang menyedihkan, gajah yang dikenali sebagai gajah ‘gading cangkul’ ni bukannya gajah biasa. Ia dapat gelaran tu sebab gajah ni ada gading yang menghala ke bawah sama seperti gajah mammoth zaman batu dulu.

Gajah yang ditembak mati kat ladang kelapa sawit, Lahad Datu, Sabah, Imej dari BERNAMA.

Menurut laporan dari National Geographic, populasi gajah di Afrika pada tahun 1800an adalah sebanyak 26 juta. Tapi disebabkan pemburuan dan industri gading yang rancak, akhirnya jumlah itu berkurang kepada hanya 600,000 ekor pada 1989.

Daripada maklumat yang kita dapat ini, sudah nyata yang pemburuan gading gajah ni dah menyebabkan populasi gajah di dunia menurun. Negara kita pun tak terlepas, statistik sehingga tahun 2014 menunjukkan yang kita hanya ada 1,220 ekor gajah di Malaysia. Oleh itu kali ni, SOSCILI akan menceritakan kenapa gajah ni menjadi pilihan untuk diburu. Semuanya bermula…

Gajah dah jadi buruan sejak beribu tahun lalu

Sejak sekian lama gading gajah digunakan untuk membuat barang perhiasan dan bahan ukiran. Dikatakan yang gading gajah ni jadi dipilhan kerana strukturnya yang tahan lama, mudah diukir dan tak mudah patah.

Aktiviti pemerdagangan gading gajah di Afrika pada tahun 1880an. Imej dari Wikipedia.

Kajian juga mendapati yang gading gajah telah digunakan semenjak zaman Mesir Purba dan beribu tahun dahulu apabila banyak dari arca dan ukiran yang dijumpai diperbuat dari gading gajah. Perkara ini dibuktikan apabila ahli arkeologi menjumpai: butang, chopstick, tombak, panah, sikat dan sebagainya yang diperbuat dari gading gajah.

Manakala di China pula, gading digunakan dalam mengukir patung dewa-dewi hinggalah kepada batang paip (untuk rokok/candu). Selain itu, ada juga masyarakat China yang percaya gading gajah ni boleh membawa tuah kepada mereka.

Ukiran gading dari zaman Dinasti Shang. Imej dari Arts – China culture.

Bagi masyarakat Melayu pulak, gading gajah selalunya dijadikan sebagai hulu keris. Gading gajah juga dipercayai mempunyai nilai perubatan tersendiri di beberapa buah negara Asia. Walaupun kajian saintifik menafikan dakwaan itu, tapi permintaan terhadapnya masih tinggi.

Apa yang lebih menarik, sebelum kemunculan plastik pada awal abad ke- 20. Penggunaan gading gajah adalah sangat meluas, ini termasuklah dalam membuat gigi palsu. Selain tu, gading gajah juga digunakan untuk membuat piano keys untuk sekian lama hinggalah ia dihentikan pada 1982.

Hati-hati dengan gigi palsu. Imej dari Giphy.

Harga sekilogram gading gajah boleh cecah lebih RM 4,000!

Inilah punca utama kenapa gading gajah diburu. Jadi tak kisahlah kalau sesiapa yang terlibat dalam perniagaan ni boleh buat duit berjuta-juta. Menurut satu laporan, harga gading gajah meningkat sebanyak 3 kali ganda sehingga tahun 2014 di China iaitu lebih RM 9,000 sekilo. Tapi harga ni mula jatuh sejak November 2015 iaitu kepada lebih RM 4,000 sekilo.

Apa yang menariknya adalah industri gading gajah ni sangat aktif di China berbanding dengan negara-negara lain. Anatara punca utamanya adalah kerana sebelum ini negara China membenarkan pemerdagangan gading gajah.

Industri ukiran gading kat China. Imej dari National Geographic.

Walaupun begitu, akhirnya kerajaan China bertindak mengharamkan pemerdagangan gading gajah secara beransur-ansur menjelang akhir 2017 (maknanya haram terus masa 2018). Sebenarnya dengan nilai harga yang tinggi, gading gajah selalunya menjadi pilihan orang-orang kaya kat China untuk melambangkan kejayaan dan status mereka.

Antara ukiran gading yang dijual. Imej dari Africa Geographic.

Sebab tu jugaklah hampir 70% gading gajah dunia dipasarkan di China. Bagaimanapun, China masih membenarkan penjualan semula gading gajah yang dibeli sebelum ia dikuatkuasakan haram. Selain China, ada juga beberapa negara yang aktif dalam pemerdagangan gading gajah ini. Antaranya termasuklah Filipina, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Imej asal dari Discount African Hunts.

Penjualan gading gajah dan hidupan liar masih terbuka kat Malaysia

Menurut laporan media, penjualan haiwan liar dan dilindungi kat Malaysia ni sememangnya aktif dan terbuka, terutamanya kat Facebook dan WhatsApp. Laporan jugak menyatakan yang ada lebih kurang 56 group atau page Facebook yang jual haiwan-haiwan ni. (Rujuk fail PDF)

“Facebook kini menjadi medan perdagangan hidupan liar segelintir rakyat Malaysia yang mendorong kepada peningkatan perdagangan haram haiwan ikonik dan terancam…

Hasil pemantauan itu mendapati lebih 300 haiwan liar hidup ditawarkan untuk dijual sebagai haiwan peliharaan. Antaranya, beruang madu (Helarctos malayanus), ungka, memerang, malah binturong (Arctictis binturong).” – Dipetik dari Harian Metro.

Ni antara yang kami dapat dalam Facebook. Imej dari Facebook.

Mungkin kita boleh tengok bagaimana siasatan yang dilakukan oleh wartawan The Star dalam sindiket ini dan bagaimana begitu mudahnya haiwan-haiwan ini dijual beli.

“Wartawan The Star yang telah membuat satu perjanjian untuk membeli Helang Bondol atau Brahminy (Haliastur indus) iaitu salah satu spesies yang dilindungi sepenuhnya. Selepas lebih 20 pesanan menerusi WhatsApp, burung yang dipesan itu boleh dimiliki dalam masa dua hari.” – dipetik dari mStar.

Tentang penjualan gading gajah pulak, kami dapati yang ia masih dijual secara terbuka kat Malaysia. Seperti mana yang kami jumpa kat Lelong.com ni:

Paip rokok gading gajah. Imej dari lelong.com
Gelang gading gajah pun ada. Imej dari lelong.com

Dari apa yang kami dapat tahu, gading yang dijual ni dipercayai ada khasiatnya yang tersendiri:

Ada macam-macam khasiat. Imej dari lelong.com
Boleh jadi pendinding, anti santau & macam-macam lagi. Imej dari Lelong

Dengan macam-macam khasiat yang disenaraikan, kami cuba menghubungi penjual gading gajah tersebut dan ini yang jawapan yang kami dapat:

Bukan syirik katanya.

Kesimpulannya, selagi ada permintaan, selagi itu akan ada orang yang akan memburunya serta menjualnya dan masyarakat akan terus membelinya. Itulah kitaran yang dunia perlu tempuhi selagi tiadanya kesedaran dalam masyarakat.

Imej dari Giphy.

Dunia dah haramkan aktiviti ni sejak 26 tahun lalu

Perdagangan gading gajah antarabangsa telah diharamkan pada tahun 1990, apabila populasi gajah dunia menampakkan penurunan yang serius. Di Malaysia pulak, kita sememangnya dah ada undang-undang yang melarang pemburuan haram, menjual dan menyimpan haiwan-haiwan yang dilindungi. (Boleh rujuk senarai haiwan dilindungi kat sini)

Pada korang yang nak bela, simpan atau buru haiwan-haiwan yang dilindungi tu, korang kenalah mohon lesen dengan PERHILITAN (rujuk fail PDF). Tapi untuk jual dan perdagangkan gading gajah tu memang tak boleh la jawabnya.

Imej asal dari likesuccess.com

Kerajaan jugak dah buka Pusat Konservasi Gajah, Kuala Gandah yang jadi tempat khas untuk menempatkan gajah-gajah liar yang ditangkap atau dipindahkan dari habitatnya yang diteroka atau dibangunkan. Tempat ni jugak terbuka pada orang awam. Jadi pada sesiapa yang nak tengok tu boleh lah datang sebab masuk pun percuma. (Klik sini untuk maklumat lanjut)

Tapi apa yang sedihnya, Malaysia dilaporkan dah jadi tempat transit utama pengimport gading gajah dunia sejak ahun 2013. Tapi nampaknya perkara ni tak pernah selesai bila negara kita tetap jadi transit utama, walaupun pada tahun 2016!

Rampasan gading bernilai RM 7.2 juta kat KLIA baru-baru ni. Imej dari Free Malaysia Today.

Apa yang kita boleh buat untuk tamatkan isu ini?

Sebagaimana yang kita tahu, punca utama kenapa aktiviti ini masih berjalan adalah kerana permintaan yang tinggi terhadap sumber tersebut. Selain dari ketamakan dan tiadanya kesedaran di kalangan masyarakat.

Kajian mendapati  69% percaya yang memiliki gading gajah dapat meningkatkan ‘status’ mereka. Manakala 16% dari rakyat Thailand tidak bersetuju dengan sebarang langkah kerajaan mereka untuk mengharam segala aktiviti berkaitan gading gajah.

Soalan: Saya akan sokong tindakan kerajaan mengharamkan penjualan, import dan eksport gading di negara saya. Imej dari National Geographic.

Oleh itu, kesedaran amat diperlukan, khususnya kepada rakyat Malaysia dalam usaha memulihara hidupan liar ini. Mungkin kita boleh join kempen-kempen yang dibuat oleh NGO-NGO macam dari World Wildlife Fund (WWF) dan Malaysian Nature Society (MNS).

Pada korang yang nak berbakti tu pulak, boleh laporkan sebarang aduan kepada:

  1. Hotline PERHILITAN : 1-800-88-5151 (waktu pejabat)
  2. PERHILITAN Careline: 1-300-80-1010 (Isnin – Ahad, 8.00 pagi – 12.00 tengah malam)
  3. Melalui e-Aduan PERHILITAN (klik sini)
  4. MYCAT Wildlife Crime Hotline: 019 356 4194 / [email protected] (24 jam)

Untuk maklumat, PERHILITAN akan bagi ganjaran kepada sesiapa yang bagi maklumat sehingga tertangkapnya dalang-dalang yang memperdagangkan hidupan liar ni. Apatah lagi menurut statistik pada 2014, jumlah hidupan liar di Malaysia termasuk Sabah dan Serawak adalah sangat membimbangkan: Gajah (1,220 ekor), Harimau Belang (450 ekor), Seladang (270) dan Burung Upeh (hanya 10 ekor)! (Rujuk fail PDF)

Dokumentari Burung Upeh pernah tersiar kat TV Al Hijrah. Imej dari Youtube.

Melihat dari statistik ini, nampaknya sudah tiba masanya untuk kita semua bertindak membasmi segala aktiviti haram ini. Tambahan lagi, Majlis Ulama Indonesia (2014) dan Majlis Fatwa Negeri Terengganu (2015), telah memfatwakan pengharaman ‘pemburuan haram binatang liar’.

“Apabila pokok terakhir ditumbangkan, ikan terakhir dimakan dan sungai terakhir dicemarkan, ketika itu anda akan sedar yang anda tak boleh makan duit.” – kata-kata orang Asli Amerika, dipetik dari Goodreads.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.