Alam Sekitar

Pendayung ini akan hilang kerja kerana kepupusan kelip-kelip? Ini kisahnya

Bila teringat balik pasal nostalgia kecik-kecik ni, mesti banyak kenangan manis yang kita tak boleh lupa. Dan budak sekarang pun tak boleh nak tiru semula nostalgia zaman kanak-kanak dulu. Mesti korang masih ingat waktu zaman nakal dulu ada tangkap kelip-kelip (kunang-kunang) dan letak dalam balang kaca sebab suka tengok dia berlampu? Siapa yang pernah buat tu kita geng. ?

Tapi sekarang ni seekor kelip-kelip pun dah jarang kita jumpa, lagi-lagi kat kawasan perumahan dan bandar. Dan berdasarkan laporan, habitat kelip-kelip ni dah makin pupus bukan je kat Malaysia tapi kat seluruh dunia. Kelip-kelip ni memang terkenal dengan cahaya kat badan dia, dan kat Malaysia ada beberapa tempat pemeliharaan kelip-kelip dan secara tak langsung jadi tempat tumpuan pelancong.

Banyak pokok berembang dimusnahkan punca kepupusan kelip-kelip

Hutan paya yang kebanyakannya ditebang. Imej dari Medium

Bila cakap pasal kelip-kelip ni, baru-baru ni ada satu berita yang habitat kelip-kelip dah terjejas kat Kampung Kuantan, Kuala Selangor. Kampung tu adalah salah satu tempat tumpuan habitat kelip-kelip kat Malaysia. Ia disebabkan air sungai kat situ dah tercemar. Dan kes pencemaran sungai tu pada tahap Kelas III iaitu sederhana tercemar yang secara tak langsung menjejaskan kelangsungan hidupan akuatik yang lain.

Sebenarnya, lembangan Sungai Selangor yang panjangnya sejauh 110km merangkumi kawasan-kawasan pelancongan yang popular kat Malaysia. Ia bermula dari bahagian hulu Bukit Fraser melalui daerah Kuala Kubu Baru sampai ke daerah Bestari Jaya. Dan seterusnya mengalir ke hilir Sungai Selangor, melalui Kampung Kuantan yang merupakan sebuah destinasi rizab eko-pelancongan.

Dan dilaporkan, keadaan Sungai Selangor sekarang ni seumpama macam ‘tong sampah’ dengan kawasan pengaliran air yang terpenting tu dipenuhi dengan sisa sampah daripada masyarakat yang tak bertanggungjawab.

Disebabkan pencemaran sungai ni, eko-sistem pokok berembang yang jadi tempat berteduh dan pengumpulan habitat kelip-kelip ni terganggu dan kelip-kelip semakin pupus hari demi hari. Didapati juga kawasan sungai yang dipenuhi dengan sampah dan ada jugak sesetengah pokok berembang ditebang untuk tujuan pembangunan kat kawasan tu secara haram.

Antara pokok berembang yang ditebang. Imej dari Berita Harian

Situasi jadi lagi bertambah teruk bila setiap kali musim hujan, kawasan sungai yang jadi tumpuan kelip-kelip tu berbau busuk. dan berubah warna. Dan disebabkan tak ada tindakan yang dibuat, ia memudaratkan habitat kelip-kelip sebab dah takde tempat untuk berteduh dan membiak. Ini juga kerana proses pembiakan mereka adalah kat kawasan hutan paya.

Sape yang pernah pergi tengok kelip-kelip ni? Imej dari The Star Online

Pokok berembang yang tumbuh kat sekitar muara sungai dan hutan paya tu memang jadi tumpuan kelip-kelip, dan tempat kelip-kelip berkumpul waktu malam untuk menghisap manisan pada buah pokok berembang.

Ingat lagi tak waktu kecik-kecik dulu selalu simpan kelip-kelip macam ni? GIF dari Giphy

Selain daripada kawasan Kampung Kuantan, Kuala Selangor, ada jugak kawasan lain yang jadi tempat pengumpulan kelip-kelip yang terjejas juga kerana pokok berembang dimusnahkan, iaitu kat Kampung Dew, Sungai Sepetang. Orang tempatan ramai menggesa supaya kerajaan negeri mewartakan kawasan tu sebagai hutan simpan kekal sebagai salah satu cara untuk mengekalkan habitat kelip-kelip daripada terus pupus dan diancam.

Sumber pendapatan penduduk tempatan terjejas

Mungkin kelip-kelip ni tengah cuba nak berkomunikasi dengan orang tu. GIF dari Giphy

Selain daripada kehidupan serangga yang semakin terjejas hari demi hari ni, sumber pendapatan masyarakat yang bekerja kat lokasi tu pun turut terjejas. Contohnya pendapatan untuk pendayung pelancong yang nak bawa pergi tengok kelip-kelip tu. Sebab bila kelip-kelip dah tak ada, secara automatiknya bilangan pelancong pun turut berkurang.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

“Kami dapat tingkatkan pendapatan dengan adanya pelancong yang ingin menyusuri Sungai Selangor bagi melihat keindahan kelip-kelip. Jika populasi kelip-kelip terancam, bagaimana kami ingin menarik kehadiran pelancong ke sini?” – Azmi Ramli, pendayung pelancong, sumber dari Sinar Harian.

Pemandu bot akan bawak bot tu secara mendayung dan tak gunakan bot yang berenjin. Imej dari MStar

Selain tu, kebanyakan pokok berembang dan kawasan hutan paya ni dah ditebang dan dilapangkan untuk kepentingan individu tertentu, dan sebab tu lah habitat kelip-kelip dah susah nak dijumpai. Tahun lepas, lebih kurang 32 pokok dah ditebang dan ada diantaranya dah dihanyutkan kat sungai. Punca pokok tu ditebang tak dapat dikenalpasti lagi. Tapi yang pastinya, pokok berembang kat kawasan hutan paya yang menempatkan habitat kelip-kelip ni semakin berkurangan.

Ekoran daripada itu, ada seorang penduduk tempatan buat inisiatif sendiri dengan menanam anak benih pokok berembang kat kawasan muara sungai. Ia untuk pastikan eko-sistem sungai tu dipelihara dan pulihara. Sungguh pun macam tu, proses pembesaran pokok berembang ni cuma 25% je yang jadi daripada 1,000 pokok yang ditanam.

“Saya mulakan usaha menyemai benih pokok berembang sejak empat tahun lalu…selama sembilan bulan mencuba menyemai hingga berjaya menjadi anak pokok dan kemudian tanam di tepi sungai,” – Masbudi Abdul Malek, pemandu pelancong, sumber dari Selangor Kini. 

Inisiatif penanaman anak benih pokok berembang oleh orang kampung. Imej dari World Scouting

Selain tu, dia jugak kutip sampah kat sekitar sungai tu untuk pulihara balik habitat kelip-kelip kat situ yang dah terganggu. Dalam pada itu, dia buat aktiviti kutip sampah ni dengan penduduk kampung yang lain, dan dia bagitahu dia berjaya kutip enam guni sampah dalam tempoh dua jam je. Tu baru dua jam tau.

Tengoklah betapa banyaknya sampah kat situ. Imej dari MStar

Dalam kajian ada menyatakan yang kadar penebangan dan kemusnahan hutan paya kat Malaysia semakin tinggi disebabkan keadaan negara yang maju dan pertumbuhan pembangunan ekonomi yang semakin pesat.

“Secara amnya, di Malaysia antara tahun 1980–1990 dianggarkan 12 peratus hutan bakau hilang, manakala di Johor pula dari 1955–1998 sahaja lebih kurang 46 peratus hutan bakau telah musnah.” – Dr Norizah Kamarudin, Pensyarah Fakulti Perhutanan UKM, sumber Medium.

Cahaya kelip-kelip digunakan dalam bidang perubatan ?

Sebenarnya, kalau ikutkan kajian dan kata orang dulu-dulu, kehadiran kelip-kelip kat sesuatu tempat tu menunjukkan tempat tu tenang dan takde pencemaran sebab jenis serangga ni sangat sensitif dengan pencemaran. Tapi bila sekarang ni kelip-kelip pun makin menyepi kat tempat lindungannya, maksudnya kawasan tu dipenuhi dengan pencemaranlah kan?

Korang nak tengok kelip-kelip Malaysia ke kelip-kelip yang ni? Imej dari myinfotaip

Kelip-kelip ataupun dipanggil sebagai kunang-kunang ni merupakan serangga yang unik sebab badan dia menghasilkan cahaya ataupun lampu yang merupakan signal bagi mereka untuk berkomunikasi antara kelip-kelip jantan dan betina. Kalau manusia mungkin main balas-balas surat gitu. ?

Habitat kelip-kelip ni memang sangat bergantung kat kawasan berpaya dan berair yang bebas daripada pencemaran. Jadi daripada situ mereka senang membiak dan macam yang kami ada bagitahu sebelum ni, sumber makanan mereka jugak adalah dari pokok berembang yang menyalurkan makanan untuk larva kelip-kelip ni.

Secara sainsnya, kelip-kelip merupakan jenis serangga nokturnal yang aktif pada waktu malam. Serangga ni dapat keluarkan cahayanya melalui proses bioluminescence.  Cahaya dalam badan kelip-kelip terhasil bila oksigen bergabung dengan kalsium, adenosine triphosphate (ATP) dan luciferin kimia yang dikeluarkan daripada abdomen kelip-kelip tu, dan terhasillah enzim bioluminescent yang menghasilkan cahaya kat badannya.

Abdomen kelip-kelip yang bercahaya. Imej dari lovehijau.net

Cahayanya tak sama macam cahaya mentol lampu yang menghasilkan banyak haba selain cahaya sendiri, cahaya kelip-kelip adalah “cahaya sejuk” dan cahayanya tak menghasilkan haba yang banyak.

Maksudnya, ia tak panas macam haba cahaya lampu. Dan cahaya tu tak mengandungi unsur ultraviolet dan inframerah macam cahaya yang lain. Dan sinar kecekapan cahayanya sebanyak 96% yang menyebabkan cahayanya boleh dikesan dari jauh.

Selain daripada untuk berinteraksi dan daya tarikan bagi kelip-kelip yang berlainan jantina, cahayanya jugak berfungsi untuk mempertahankan diri. Ia disebabkan abdomen kelip-kelip yang menghasilkan cahaya menerusi tindak balas kimia tu, menghasilkan rasa pahit bagi pemangsanya yang jadikan ia sebagai makanan. Dan kalau ada pemangsa yang memakannya, biasanya diaorang akan tinggalkan bahagian abdomen kelip-kelip tu.

Dan, sebenarnya kelip-kelip ni bercahaya sepanjang hayatnya, iaitu telur, larva dan pupa kelip-kelip jugak menghasilkan cahaya yang dikawal melalui rangsangan saraf. Kelip-kelip mampu bertelur dalam jumlah sebanyak 100-500 biji. Seterusnya, ia menetas dan menjadi larva yang menyerupai bentuk cacing. Dan cahaya yang dihasilkan larva ni adalah sebagai amaran bagi pemangsa supaya tak kacau dia. 

Larva kelip-kelip yang bercahaya. Cantik kan? Imej dari lovehijau.net

Kelip-kelip menghabiskan hayatnya sebagai larva sebab dalam fasa larva, ia memakan masa selama 1-2 tahun. Dan jangka hayat kelip-kelip matang dan untuk mengawan dan membiak hanyalah dalam tempoh dua hingga tiga minggu je. Tak semua spesis kelip-kelip yang ada ni bercahaya. Sebenarnya, kebanyakan kelip-kelip di Amerika Utara tak menggunakan cahaya untuk berkomunikasi dan itulah sebabnya mengapa ramai yang tak tahu adanya kelip-kelip kat sana.

Selain daripada keunikannya yang mampu memberikan daya tarikan yang menarik, ia juga digunakan dalam bidang perubatan. Ia dijadikan bahan ujikaji menerusi enzim luciferinnya yang menghasilkan cahaya. Ia dijadikan cara perubatan untuk mengesan darah beku, sel virus tibi dan mengawal hidrogen peroksida yang memberi kesan pada perkembangan kanser dan diabetes.

Antara spesis kelip-kelip yang ada. Imej dari repositori.unud

Jaga kebersihan, jangan biarkan kelip-kelip terus pupus

Walaupun dah banyak aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan kelip-kelip dibuat, tapi kalau tempat pembiakan habitat dan perlindungannya tak dijaga, ia secara tak langsung akan jejaskan habitat kelip-kelip dan seterusnya jadi punca kepada kepupusannya. Jadi, bukan je komuniti yang berhampiran pusat kelip-kelip ni yang bertanggungjawab untuk jaga kebersihan dan kawal persekitaran tempat tu, orang awam yang melawat tempat tu pun kenalah cakna dengan hal-hal macam ni.

“Pokok berembang perlu sentiasa dipantau bagi memastikan ia kekal sebagai habitat kelip-kelip yang menjadi tarikan pelancong.

“Kita berharap kesedaran tentang soal kebersihan sungai ini ditanam sejak kecil lagi agar kelestarian sungai kekal terpelihara,” – Masbudi Abdul Malek, pemandu pelancong, sumber dari Sinar Harian. 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend