Hamzah Zainuddin dilantik jadi Ketua Pembangkang, ini strategi di sebaliknya

Awal Disember, Hamzah Zainudin telah diumumkan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Ini bermakna, di Parlimen, Hamzah Zainuddin akan bertembung dengan Anwar Ibrahim yang mengetuai pihak kerajaan.

Tapi ini bukanlah kali pertama Hamzah berhadapan dengan Anwar. Sebelum ini, kami ada menulis tentang sejarah Hamzah Zainudin, dan bagaimana dia mendakwa yang isterinya telah dikacau Anwar Ibrahim. Anwar ingin menyaman Hamzah, namun kemudiannya ditarik balik atas persetujuan yang kita tidak ketahui butirannya.

Hamzah sewaktu muda. Gambar daripada The Star.

Hamzah juga dikatakan telah diarahkan untuk mengurangkan kepercayaan rakyat ke atas DAP, memainkan peranan dalam menentukan Ketua Menteri Sabah, serta menjadi menjadi “chief plotter” sewaktu Langkah Sheraton.

Sewaktu menjadi Menteri di Kementerian Dalam Negeri, Hamzah dikatakan cuba campur tangan dalam hal pengurusan PDRM, serta dikritik kerana caranya mengendalikan imigran sewaktu pandemik.

Sebab itulah langkah Perikatan Nasional (PN) untuk melantik Hamzah sebagai Ketua Pembangkang menimbulkan pelbagai tanda tanya. Puad Zarkashi dari UMNO mengatakan pelantikan ini mungkin memberi isyarat berlakunya peralihan kuasa dalam PN.

“Apakah Hamzah ‘poster boy’ PN pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dan seterusnya calon PM. Apakah ini peralihan kuasa?

Hamzah bukan kecil anak. Dia pemusnah yang hebat. Lima tahun terlalu lama untuk Hamzah jadi Ketua Pembangkang. Macam macam dia boleh main. Jangan Muhyiddin musnah di tangan Hamzah sudahlah,”

Puad Zarkashi, dipetik oleh Getaran.

Pendapat Puad ini mungkin berasas, kerana…

Ketua Pembangkang boleh dikira pilihan mereka bagi calon Perdana Menteri

Sedia maklum, sidang parlimen kita menyaksikan pertembungan dua pihak besar iaitu antara kerajaan dan pembangkang. Pihak kerajaan ada barisan kabinet yang terdiri daripada Ahli Parlimen serta senator. Pada masa yang sama, pihak pembangkang juga ada barisan kabinet tidak rasmi mereka sendiri yang juga dipanggil sebagai kabinet bayangan (shadow cabinet).

Contoh shadow cabinet pembangkang pada tahun 2018. Gambar dari Facebook Malay Mail.

Kabinet kerajaan adalah diketuai oleh Perdana Menteri. Jadi tak hairanlah kalau ketua kabinet bayangan juga dilihat sebagai calon yang dipilih oleh barisan pembangkang sebagai Perdana Menteri sekiranya mereka berkuasa membentuk kerajaan.

Sebelum ini, ketua pembangkang biasanya merupakan presiden atau ketua bagi parti tersebut, contohnya Anwar Ibrahim atau Wan Azizah daripada PKR, atau Zahid Hamidi daripada UMNO.

Jadi kali ini, ada pendapat yang mengatakan Hadi Awang sepatutnya menjadi ketua pembangkang, memandangkan dia merupakan presiden parti PAS yang memenangi paling banyak kerusi. Muhyiddin juga dilihat berkelayakan memandangkan Bersatu merupakan parti kedua terbesar dalam perikatan tersebut, tak lupa juga dia pernah menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

Komposisi Dewan Rakyat, imej daripada Wikipedia.

Seperti yang kita tahu, akhirnya Hamzah Zainudin diumumkan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Dalam pengumuman yang sama, Muhyiddin dilantik sebagai Ketua Ahli Parlimen dan Hadi Awang sebagai Timbalan Ketua Ahli Parlimen PN, kita tak tahu apa signifikan kedua-dua jawatan ini, adakah ia sekadar nama kerana kesemua mereka tidak mempunyai rekod kedatangan Parlimen yang cemerlang sepanjang pentadbiran lepas.

(Rekod kedatangan Parlimen yang lepas: Hamzah – 25/89, Muhyiddin – 25/89, Hadi Awang – 28/89. Buat perbandingan, rekod Anwar adalah 83/89. Sumber daripada MyMP.

Jadi sehingga kini, kita masih tertanya-tanya…

Apakah fungsi Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang?

Fungsi pembangkang dalam Parlimen adalah penting buat demokrasi kita. Mereka perlu memainkan peranan dalam semak dan imbang, mempersoalkan polisi Kerajaan, serta memastikan Kerajaan menjalankan tanggungjawab mereka. Ini diakui oleh Hamzah sendiri tidak lama dahulu:

“Kita akan jadi pembangkang yang sentiasa melihat sebarang kemungkinan, perjuangkan segalanya demi rakyat dalam menentukan hala tuju negara lebih baik”

Hamzah Zainudin, dipetik oleh The Sun Daily.

Namun berdasarkan sejarah Hamzah dan Anwar sebelum ini, ada yang membuat spekulasi bahawa Hamzah ditugaskan untuk menjatuhkan imej Anwar di Parlimen.

Contohnya pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, Hamzah telah membangkitkan isu homoseksual yang berkait dengan Anwar. Ini mungkin dilihat sebagai strategi Hamzah untuk menyerang peribadi Anwar, namun pada masa yang sama ia tampak tidak sesuai dibincangkan di Parlimen di mana hal-hal pentadbiran negara perlu diutamakan.

Selepas Anwar membentangkan belanjawan mini pula, Hamzah membalas yang barisan pembangkang menyokong usul tersebut sebulat suara.

Jadi, sama ada Hamzah boleh terus memikul tanggung jawabnya dengan baik demi kesejahteraan rakyat, kita akan tekun memerhati.

Latar belakang Hamzah Zainuddin dan cubaannya untuk menjatuhkan Anwar sebelum ini

(Artikel ini diterjemah dan disunting daripada portal Bahasa Inggeris kami, Cilisos.)

About MK Zainal 36 Articles
Editor di SOSCILI, hari-hari tengok movie.