Hamzah Zainuddin: Orang belakang tabir yang dituduh bagi nasihat salah kepada PM?

Desas desus akan berlakunya darurat dalam negara nampaknya telah reda serta merta apabila YDP Agong memutuskan untuk menolak cadangan yang dikemukan oleh kerajaan itu. Kenyataan dari Penyimpan Mohor Besar Raja-raja menyatakan, Raja-raja Melayu berpendirian mekanisme semak dan imbang di negara ini perlu dihormati, bagi menjamin berlakunya keadilan serta membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.

Muhyiddin mebngadap YDP Agong di Istana Istana Abdul Aziz, Kuantan. Imej dari Malakat Tribune.

Rentetan dari perkembangan terbaru ini, Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi ada mendesak supaya PM, Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan. Dia juga mendakwa pimpinan BERSATU menyalahkan Azmin (Menteri Kanan) dan Hamzah Zainuddin (Menteri Dalam Negeri), yang dikatakan memberikan “ill advise” itu kepada Muhyiddin. Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong pun mendakwa bahawa Hamzah lah yang memberikan nasihat salah itu kepada Muhyiddin.

Tapi, siapa dia Hamzah Zainuddin yang selalu disebut-sebut ni?

Memulakan kerjaya dalam bidang korporat sebelum masuk ke politik

Hamzah juga adalah Setiausaha Agung BERSATU. Imej dari Astro Awani.

Berdasarkan maklumat dari Bursa Malaysia, Hamzah memegang kelulusan Diploma dalam Ukur Bahan dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1979, dan memulakan kerjayanya sebagai Pengurus Besar Maju Bangun Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dari tahun 1980 hingga 1987. Dari pengalamannya tu, Hamzah mempunyai pengetahuan luas dalam pembangunan hartanah.

Menjelang tahun 1989, Hamzah manceburkan diri pula dalam perniagaan persendirian dan juga menyertai beberapa syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia Securities Berhad. Seterusnya, dia menjadi Pengerusi di Evermaster Group Bhd, Hexagon Holdings Bhd dan LFE Corporation Berhad. Dalam masa sama, Hamzah turut menjadi Ahli Lembaga Dewan Bandaraya Ipoh dari 1987 hingga 1993.

Pada tahun 2000, Hamzah dah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) sehingga 2006. Dua tahun lepas tu, Hamzah semakin bergiat aktif dalam politik apabila bertanding di Parlimen Larut atas tiket UMNO dan menang. Dia kemudiannya terus mengekalkan kedudukan di kawasan itu sehingga ke hari ini.

Hamzah masa zaman muda sikit. Imej dari The Star.

Dalam tempoh tu, Hamzah dah memegang beberapa jawatan kabinet, sampailah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri oleh Muhyiddin pada Mac lalu. Apa yang pasti, perjalanan politik Hamzah ni nampak biasa je dan takde apa yang pelik sangat.

Cumanya, ada beberapa peristiwa melibatkannya yang mungkin telah dilupakan atau ramai tak tahu. Ia seperti…

Pernah disaman fitnah RM10 juta oleh Anwar, sebab tuduh Anwar ‘kacau’ isterinya

*Muka Anwar bila dengar tuduhan tu* Imej dari Malaysia Chronicle.

Pada sekitar Ogos 2008, Anwar Ibrahim telah memfailkan saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap Hamzah. Perkara tu jadi selepas terbitnya sebuah artikel bertajuk ‘Anwar Harrassed My Wife’ di akhbar Cina, Kwong Wah Yit Poh . Dalam artikel itu, Anwar didakwa pernah ‘mengacau’ dan ‘ingin ambil kesempatan’ terhadap isteri Hamzah. Anwar dalam reaksinya berkata, kenyataan itu bersifat sangat cuai, tak bertanggungjawab dan berniat jahat untuk merendahkan martabatnya di mata orang ramai.

Bagaimanapun, pada Julai 2013 – Anwar bertindak menarik balik saman tu dan diselesaikan secara baik berdasarkan terma-terma sulit antara kedua belah pihak.

“Kedua-dua pihak memutuskan bahawa meneruskan tindakan undang-undang adalah tidak perlu dan tidak produktif dan perlu diingat mengenai senario politik pada masa ini dan tanggungjawab politik semasa mereka…” – Dipetik dari Sinar Harian.

Dalam pada itu, setelah PRU-14 yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara – Hamzah dah buat satu langkah baru apabila bertindak keluar dari UMNO dan menyertai BERSATU (dakwanya atas jemputan Dr Mahathir). Ketika inilah dikatakan Hamzah memainkan peranan di balik tabir dalam banyak perkara. Antaranya…

Hamzah ditugaskan untuk mengurangkan keyakinan rakyat terhadap DAP

Hamzah juga ditugaskan mengatur pelaksanaan Kongres Maruah Melayu yang menghimpunkan sebegitu banyak parti dan NGO Melayu. Imej dari BH Online.

Pada tahun lalu, memang dah muncul khabar angin mengatakan adanya usaha di balik tabir bagi membentuk kerajaan baru tanpa adanya DAP dan AMANAH. Hal tu dikatakan dipimpin oleh beberapa orang politik iaitu Azmin Ali, Hishammuddin Hussein dan Hamzah Zainuddin. Malah, didakwa yang Hishammuddin memudahkan Hamzah untuk keluar dari UMNO dan menyertai BERSATU. Tapi kemudiannya, Hishammuddin menafikan dakwaan itu.

Bagaimanapun, peranan Hamzah dalam usaha ke arah kerjasama antara BERSATU, UMNO dan PAS memang berlaku dan hal tu disahkan sendiri oleh Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, Wan Saiful Wan Jan. Ini kerana, dalam penulisannya di siri “Trends in Asia” (ISEAS – Yusof Ishak Institute) Wan Saiful ada kata, mesyuarat BERSATU pada Mac dan April 2019 dah memutuskan supaya Hamzah memulakan dialog antara BERSATU, UMNO dan PAS mengenai kemungkinan kerjasama.

Malah, Pengerusi BERSATU masa tu, Dr Mahathir ada minta supaya Kongres Maruah Melayu diadakan, supaya dia boleh menunjukkan kemampuannya menyatukan orang Melayu. Tanggungjawab itu turut diberikan kepada Hamzah.

Pada akhir Mei tahun ini pula, Hamzah ada mendakwa yang dia pernah diarahkan oleh Dr Mahathir untuk mengurangkan keyakinan rakyat terhadap DAP. Arahan itu diberikan semasa Dr Mahathir masih memegang jawatan PM dan dia akur dengan arahan itu.

“Selepas menyertai BERSATU, perbincangan berlaku dari semasa ke semasa, dan Dr Mahathir minta saya bukan hanya perkukuhkan parti, tapi juga mengurangkan keyakinan rakyat terhadap DAP.” – Hamzah, katanya dipetik dari Berita Harian.

Hamzah didakwa mainkan peranan dalam menentukan Ketua Menteri Sabah

Setelah banyak khabar angin, akhirnya Hajiji Noor dilantik sebagai KM Sabah. Imej dari NST.

Pada akhir Julai lalu, bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman dah tampil mengatakan dirinya mempunyai majoriti dan layak dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah menggantikan Shafie Apdal. Perdana Menteri kemudiannya menghantar Hamzah sebagai wakil bertemu dengan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah bagi menyatakan jumlah majoriti tersebut.

Bagaimanapun, seperti mana yang kita tahu – PRN Sabah kemudiannya diadakan yang menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti dan membentuk kerajaan. Tapi, muncul pula konflik lepas tu dalam memilih siapa yang akan dilantik sebagai Ketua Menteri (KM). Sebabnya UMNO nak Bung Mokhtar jadi KM, manakala BERSATU pula nak Hajiji Noor.

Masa inilah didakwa Hamzah memainkan peranan dalam pemilihan Hajiji sebagai KM. Perkara tu tersebar di media sosial, dengan kenyatan seperti ini:

Imej dari FB PRN SABAH.

Namun, dakwaan tu tak dapat disahkan sehingga ke hari ini, dan apa yang pasti – Hajiji dah pun dilantik sebagai KM dan mendapat persetujuan UMNO.

MT UMNO tuduh Hamzah gila kuasa

MT UMNO, Puad Zarkashi antara yang lantang mengkritik Hamzah. Imej dari Berita Harian.

Kalau kita ikut perkembangan semasa, kita boleh nampak ada pihak yang tak berapa suka dengan Hamzah ni, tak kisahlah dari dalam kerajaan ataupun luar kerajaan. Salah satunya daripada anggota MT UMNO sendiri, Puad Zarkashi yang tuduh Hamzah (dan Azmin) ni gila kuasa. Dia juga kata yang dua orang ni cuba gagalkan keputusan Biro Politik UMNO sebelum ni yang memberi kata dua kepada kerajaan Perikatan Nasional – dengan mendakwa UMNO mahukan Anwar menjadi PM.

“Yang gila kuasa ialah mereka yang melompat parti dan kemudian cuba membunuh parti yang melahirkannya. Semoga Azmin dan Hamzah terasa pedasnya bila makan cili.” – Tulisnya di Facebook.

Dalam pada itu, DAP pun nampaknya meletakkan syarat kepada Muhyiddin kalau nak sokongan pembangkang, Azmin dan Hamzah kene dipecat dulu. Liew Chin Tong berkata – Hamzah dah melakukan pelbagai perkara yang mengundang risiko kepada pentadbiran Muhyiddin.

“Cubaan untuk memohon pengisytiharan darurat juga didakwa, merupakan satu lagi tindakan Hamzah, dengan Azmin Ali secara terbuka mempertahankannya.” – Katanya, dipetik dari Astro Awani.

Perkembangan ini sudah pasti membangkitkan pelbagai andaian dan spekulasi. Apa yang pasti, ia juga menimbulkan persoalan adakah Hamzah benar-benar seperti yang didakwa?

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.