Genghis Khan: Pemimpin empayar Mongol yang mahu menakluk dunia

Korang pernah dengar pasal negara Mongolia? Sebenarnya tak popular sangat kisah negara ini dekat Malaysia, selain daripada kisah Altantuya Shaariibuu tak lama dulu.

Kalau korang nak tahu, Mongolia merupakan sebuah negara yang terletak di antara China dan Rusia dan merupakan salah satu daripada beberapa tempat terakhir di bumi ini di mana kehidupan nomad masih menjadi tradisi. Dengan hanya 1.7 orang per km², Mongolia mempunyai kepadatan penduduk paling rendah di kalangan semua negara merdeka di dunia.

Inilah salah satu pemandangan indah yang terdapat di Mongolia kini. Sumber dari huffingtonpost.com.

Namun suatu masa dulu, empayar Mongolia pernah sampai ke Eropah, Asia dan hampir-hampir ke nusantara pada satu ketika dahulu. Empayar tersebut seluas 12 juta batu persegi merupakan empayar terbesar yang pernah dimiliki oleh seorang individu! Dan empayar ini bermula dengan nama Genghis Khan.

Permulaan seorang penakluk yang sadis

Pemimpin Mongol Genghis Khan telah dilahirkan pada tahun 1162. Dia merupakan seorang anak kepada seorang ketua puak yang terdapat di Mongolia pada ketika itu. Yang sedihnya, kehidupan awal Genghis Khan ini tidaklah seindah seperti kanak-kanak yang seusia denganya.

Lakaran gambar Genghis Khan, mengasaskan Empayar Mongol dan menjadi salah satu penakluk paling ditakuti sepanjang zaman. Sumber dari History.com.

Umur 10 tahun, bapanya yang telah diracun mati oleh musuh daripada puaknya sendiri atas sebab perebutan kuasa. Bukan setakat itu je, lepas bunuh bapa Genghis khan, dorang usir ibu dan enam adik-beradiknya yang dianggap sebagai beban.

Untuk terus hidup, dia membesar dengan memburu. Malah sewaktu remaja, dia dikatakan membunuh saudara sendiri kerana berebutkan makanan. (Sebahagian besar daripada apa yang kita tahu tentang zaman kanak-kanak Genghis Khan datang dari “Sejarah Rahsia Mongol”, hasil karya tertua dalam sejarah Mongolia yang ditulis tak lama selepas kematiannya.)

Kisah kebangkitan Genghis Khan pernah difilemkan pada tahun 2007 dengan tajuk Mongol: The Rise to Power of Genghis Khan.

Apa yang hebatnya tentang Empayar Mongol ini adalah apabila dia dan keturunannya telah berjaya mengembangkan empayarnya dengan menawan tempat-tempat yang jauh seperti Poland, Vietnam, Syria dan Korea. Di kemuncaknya, orang Mongol telah menakluki 12 juta batu persegi (terbesar bagi seorang individu dalam sejarah dunia) bersamaan kawasan yang seluas benua Afrika.

Kewujudan Empayar Mongol oleh Genghis Khan

Genghis Khan berjaya membuktikan dirinya sebagai seorang pahlawan yang menggerunkan dan pemimpin yang bekarisma seawal usia 20-an lagi. Selepas mengumpul para penyokongnya, dia mula menjalinkan pakatan dengan ketua-ketua suku kaum penting Mongol.

Pada 1206, Genghis Khan berjaya menyatukan semua puak Mongol yang memang kucar-kacir pada masa itu. Lepas berjaya menyatukan orang Mongol, Genghis Khan mula merangka strategi untuk menawan dunia.


Pada awal kurun ke-13, tentera Genghis Khan telah berjaya menguasai sebahagian besar Asia dan juga Eropah. Sumber dari Lost islamic history.

Ketika ini jugalah dia dengan tegasnya telah membuat satu undang-undang baharu untuk bangsanya dengan melarang penjualan dan penculikan wanita dan mengharamkan perhambaan bagi orang-orang Mongol yang biasanya menjadi tradisi dorang pada zaman tersebut. Hal tersebut telah dianggap penting bagi mengawal tingkah laku masyarakat Mongol dan kesannya telah terbukti apabila dia berjaya mencipta satu bala tentera yang kuat dan digeruni di seluruh pelusuk dunia.

Kempen pertama Genghis Khan di luar Mongolia berlaku terhadap Kerajaan Xi Xia di barat laut China. Selepas beberapa siri serbuan, Mongol melancarkan inisiatif utama pada tahun 1209 yang membawa pasukannya ke depan pintu Yinchuan, ibu kota Xi Xia. Pada 1214 pula, orang Mongol telah mengepung Kerajaan Zhongdu (kini Beijing) dan pemerintah Jin ketika itu telah menyerah kalah lalu menyerahkan sejumlah besar sutera, perak, emas dan kuda.

Mereka juga telah berjanji untuk membantu dia dalam misi perang yang berikutnya yang kini menyasarkan sebuah Kerajaan Islam iaitu Empayar Khawarezm (kini dikenali sebagai Turkmenistan, Uzbekistan, Afghanistan dan Iran).

Mongol asalnya tidak mempunyai pengetahuan tentang peperangan jarak jauh, tetapi kemudiannya menjadi mahir melalui penerimaan teknologi baru melalui peluasan kuasanya. Sumber dari allempires.

Pada tahun 1219, Genghis Khan dan tenteranya telah pergi berperang menentang Empayar Khwarezm dan tanpa disangka dorang telah memperolehi kejayaan dengan menumpaskan sebuah Empayar yang kuat pada ketika itu. Bukan setakat itu sahaja, hasil daripada peristiwa ini juga telah menyebabkan Sultan dari Empayar Khawarezm terbunuh.

Bagi mana-mana angkatan tentera dan tamadun lain pada zaman tersebut, kebiasaanya golongan bangsawan dan ketua-ketua kerajaan akan dilayan dengan baik walaupun dorang telah kalah dalam peperangan.

Namun, bagi tentera Mongol, para pekerja mahir seperti tukang kayu dan barang kemas akan disimpan, manakala bangsawan dan tentera yang menentang akan dibunuh dan yang mengerikan lagi, apabila pekerja tidak mahir telah digunakan sebagai perisai manusia dalam serangan dorang yang seterusnya.

Kematian Genghis Khan dan perluasan empayar yang hampir menawan kepulauan Jawa

Keganasan Genghis Khan dan tenteranya pernah menggerunkan dunia pada satu ketika dahulu. Sumber dari classtools.net.

Apabila Genghis Khan kembali ke Mongolia pada 1225, dia telah berjaya mengawal sebuah wilayah yang besar iaitu dari Laut Jepun ke Laut Caspian. Walau bagaimanapun, dia tak berehat lama dan mengalihkan tumpuanya kembali kepada Kerajaan Jin dan Xi Xia yang melanggar perjanjian dengan tidak menyumbang tentera dalam serangan Mongol terhadap Empayar Khwarezm.

Namun nasib tidak menyebelahi Genghis Khan dan pada awal 1227 kuda yang dinaikinya telah melemparkan dia ke tanah dan menyebabkan kecederaan dalaman sehingga meragut nyawa. Sehingga ke hari ini tiada satu orang pun yang tahu di manakah tempat persemadianya apabila setiap orang yang melihat pengebumianya dipercayai telah dibunuh ataupun membunuh diri.

Kalau korang nak tahu, Genghis Khan dan Empayar Mongol telah memiliki sebuah Empayar yang jauh lagi besar daripada  Alexander The Great, Abbāsīyah, Sepanyol, Portugis malahan Soviet Union. Dia juga telah menemukan Tamadun Timur dan Barat dalam proses tersebut.

Penjajahan Mongol terhadap Jepun, lakaran Samurai menggunakan anak panah dan bom ketika peperangan sekitar tahun 1293. Sumber dari Wikipedia.

Selepas kematianya, legasi dan pengembangan empayar telah diteruskan oleh keturunannya, termasuk Ogodei dan Khubilai yang meluaskan empayar Mongol sehingga ke Eropah Timur, Timur Tengah dan seluruh China.

Orang-orang Mongol juga hampir menawan Jepun dan kepulauan Jawa sebelum empayar ini berpecah pada abad ke-14 akibat perebutan kuasa dan masalah dalaman. Keturunan pemerintah terakhir Genghis Khan akhirnya telah digulingkan pada tahun 1920.

Kemusnahan di bawah Empayar Mongol

Majoriti negara atau empayar yang ditawan Mongol adalah melalui penaklukan dan kekerasan. Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk menimbulkan rasa takut. Walau bagaimanapun, Genghis Khan amat bertoleransi terhadap pegangan agama di setiap jajahan takluknya apabila orang yang ditawan masih bebas untuk mengamalkan agama yang mereka anuti.

Tembok Besar China diperkukuh semula semasa Dinasti Ming, untuk melindungi utara China daripada serangan puak Mongol. Sumber dari idsejarah.net.

Apa yang mengerikan tentang Genghis Khan ni, dia telah melakukan kemusnahan pada skala yang dasyat dan telah menyebabkan perubahan demografi yang besar di Asia. Mengikut catatan ahli sejarah Iran Rashid al-Din (1247-1318), Mongol telah membunuh lebih daripada 700,000 orang di Merv dan lebih daripada satu juta manusia di Nishapur. Jumlah penduduk Parsi juga dipercayai telah menurun sepuluh kali ganda daripada 2,500,000 ke 250,000 kesan daripada perluasan Empayar Mongol.

Bukan itu sahaja, Kira-kira Separuh Penduduk Kievan Rus yang pada masa ini dikenali sebagai sebahagian daripada Ukraine juga telah mati semasa kempen pencerobohan Mongol di Rus (Ukraine). Tak cukup dengan itu, dianggarkan juga 2 juta penduduk Hungary juga telah menjadi mangsa kekejaman Mongol ketika perluasan empayar ini dilakukan.

China yang merupakan jiran kepada Monggolia juga telah mengalami kemusnahan yang lagi dasyat di mana populasi penduduknya pada abad ke-13 dan ke-14  telah mengalami penurunan yang drastik. Sebelum pencerobohan Mongol, Dinasti China dilaporkan mempunyai Kira-kira 120 juta penduduk, tetapi yang sedihnya selepas penaklukan itu berakhir pada tahun 1279 dikhabarkan bahawa hanya tinggal kira-kira 60 juta orang sahaja.

Lukisan pengepungan Mongol di Baghdad pada 1258. Sumber dari Wikipedia.

Kempen Mongol di Utara China, Asia Tengah, Eropah Timur dan Timur Tengah menyebabkan kemusnahan yang besar. Walaupun tiada angka yang tepat, para sejarawan telah mengagarkan kira-kira 40 juta – 70 juta orang telah menjadi korban.

Bandar-bandar seperti Herat, Kiev, Baghdad, Nishapur, Vladimir dan Samarkand telah mengalami kemusnahan yang amat serius dan sebagai contohnya, terdapat kekurangan ketara kesusasteraan Cina dari Dinasti Jin yang memerintah dari (1115-1234). Dalam Pertempuran Baghdad pada tahun 1258 diantara Kerajaan Bani Abbasiyah dan Mongol, perpustakaan, buku-buku, sastera, dan hospital telah dibakar:

Kebanyakan buku-buku ahli pemikir Islam pada ketika itu telah dilemparkan ke dalam sungai yang mengakibatkan air sungai Euphrates bertukar warna menjadi hitam kesan daripada dakwat untuk beberapa hari. Hal ini telah menyebabkan banyak naskah-naskah ilmiah yang beharga dari tamadun Islam hilang begitu sahaja.

Sungai Euphrates yang terletak di Baghdad, Iraq pernah menjadi saksi tentang kemusnahan ilmu sebuah tamadun apabila segala karya cendikiawanya telah dibuang oleh tentera Mongol ketika peperangan. Sumber dari Wiipedia.

6 fakta menarik tentang Genghis Khan yang mungkin korang tak tahu.

1. “Genghis Khan” bukan nama sebenar.

Genghis Khan yang kita kenal pada hari ini sebarnya bukanlah nama betul dia tetapi hanyalah sebagai satu gelaran. Nama asalnya ialah Temujin, yang bermaksud “besi” atau “tukang besi”. Dia tidak mendapat gelaran “Genghis Khan ” sehinggalah pada tahun 1206, apabila telah diisytiharkan sebagai pemimpin Mongol pada mesyuarat puak yang dikenali sebagai “kurultai”. Gelaran “Khan” adalah gelaran tradisional yang bermaksud pemimpin atau pemerintah manakala “Genghis” bermaksud  penguasa tertinggi atau pemerintah universal.

Gambar Ganghis Khan telah disemadikan pada wang kertas 1000 Tugriks, Mongolia. Sumber dari Wikipeida.

2. Pada masa ini tidak ada siapa yang tahu tentang rupa Genghis Khan yang sebenar atau di mana dia dikebumikan.

Sangat sedikit yang diketahui tentang kehidupan peribadi Genghis Khan atau penampilan fizikalnya. Kalau korang nak tahu, semasa era pemerintahanya, dia telah melarang sebarang bentuk patung mahupun lukisan tentang dirinya. Tempat persemadiannya juga telah menjadi satu misteri yang belum terungkai sehinggalah ke hari ini dan tiada siapa yang tahu di mana dia dikebumikan.

3. Sebahagian daripada jeneral paling dipercayai ialah bekas musuh.

Genghis Khan merupakan seseorang yang amat menghargai bakat, dan biasanya pegawai-pegawainya akan dinaikkan pangkat berdasarkan pengalaman dan bukannya kelas, keturunan ataupun kesetiaan. Contohnya semasa pertempuran yang berlaku pada tahun 1201 terhadap suku Taijut. Genghis Khan nyaris maut apabila kudanya ditembak dari bawah menggunakan anak panah.

Kemudianya ketika dia memberikan ucapan selepas kemenagan terhadap tahanan Taijut, dia telah menuntut untuk tahu siapa yang bertanggungjawab dan seorang askar dengan beraninya berdiri dan mengakui telah penembak kuda Genghis Khan.

Ahli-ahli arkeologi tempatan dari Muzium Wilayah Saratov mencari sejarah peninggalan Empayar Mongol di tapak pengalian di Ukek, Mongolia. Sumber dari History.com.

Tanpa was-was, Genghis telah menjadikan dia sebagai komander dalam tentera yang kemudianya digelar “Jebe” yang bermaksud “anak panah”, sebagai satu penghormatan kepada musuhnya. Kalau korang nak tahu, Jebe ini merupakan komander yang penting dalam angkatan tentera Mongol semasa penaklukan dorang di Asia dan Eropah.

4. Dia bertanggungjawab bagi kematian seramai 40 juta – 70 juta orang.

Walaupun ia adalah mustahil untuk mengetahui dengan pasti berapa ramai orang yang terkorban semasa penaklukan Mongol, ramai ahli sejarah telah mengangarkan sekitar 40 juta – 70 juta orang telah terkorban semasa penguasaan Mongol.

Zaman Pertengahan menunjukkan bahawa penduduk China telah menjunam sebanyak berpuluh-puluh juta orang semasa tempoh hayat Khan, dan dia juga mungkin telah membunuh tiga perempat daripada penduduk Iran semasa peperangan dengan Empayar Khwarezmi. Serangan Mongol juga telah mengurangkan populasi penduduk dunia sebanyak 11 peratus.

Keluasan Empayar Mongol hampir menyamai Empayar British yang pernah hujut. Sumber dari reddit.com.

5. Dia mencipta salah satu sistem pos antarabangsa yang pertama.

Bukan semuanya yang korang dengar pasal Mongol ni tak baik sebenarnya. Salah satu sumbangan besar Khan kepada dunia adalah dengan pembentukan perkhidmatan kurier dan pos. Dia telah mewujudkan sebuah sistem pos ekspres yang sangat teratur pada zaman pertengahan.

Dengan adanya sistem yang sistematik ini, dia dengan mudah dapat mengikuti perkembangan tentera dan politik dan mengekalkan hubungan dan rangkaianya yang luas. Sistem ini juga membantu melindungi orang kenamaan asing dan pedagang semasa perjalanan dorang. Sistem yang dia bentuk ini juga telah menjadi asas kepada sistem pos moden yang korang pakai sehingga ke hari ini.

6. Pihak Soviet cuba untuk menghapuskan sejarah Genghis Khan di Mongolia.

Genghis Khan kini dilihat sebagai seorang wira negara dan pengasas kepada negara Mongolia. Tetapi semasa era pemerintahan Soviet pada abad ke-20, nama Genghis Khan telah diharamkan dan rakyat Mongol telah dilarang untuk menyebut namanya. Dengan tujuan untuk menghapuskan semua kesan nasionalisme, Soviet cuba untuk melenyapkan memori Khan dengan mengeluarkan sejarahnya dari buku teks sekolah dan mencegah orang ramai daripada menziarahi tempat kelahirannya di Khentii.

Kerana takutkan pengaruh dan semangat Nasionalisme yang telah disemai oleh Genghis Khan, pihak Soviet Union telah mengharamkan penduduk Mongolia untuk menyebut namanya. Sumber dari Erboh.com.

Genghis Khan akhirnya dimasukan semula ke dalam sejarah Mongolia selepas negara tersebut mencapai kemerdekaan pada awal 1990-an. Kini nama Genghis Khan digunakan sebagai nama lapangan terbang utama Mongolia dan potret beliau turut diabadikan pada mata wang.

Tindakanya dan caranya dalam meluaskan Empayar Mongol melalui Asia dan Eropah telah menyebabkan berjuta-juta kematian, tetapi dia juga telah memodenkan budaya Mongolia, kebebasan dalam beragama pada negara yang ditawan dan membuka hubungan di antara Timur dan Barat.