Ting Pek Khiing: Dari Empangan Bakun ke projek RM30 bilion Langkawi

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)

Pada awal bulan ni, kita ada dengar pasal sorang ahli perniagaan – Tan Sri Ting Pek Khiing yang ada bagitau media bahawa dia akan buat satu projek bernilai RM30 bilion kat Langkawi. Projek yang dipanggil sebagai Projek Bandaraya Baharu Langkawi (Langkawi New City) tu, dijangka akan dibina kat atas 81 hektar tanah yang ditebus guna kat barat Langkawi.

Projek tu akan bina 30,000 unit kondominium mewah, pusat komersil, kemudahan dermaga untuk kapal penumpang dan kapal layar serta kemudahan-kemudahan lain.

“Projek ini dijangka menjadi pembangunan terbesar seumpamanya di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Pembangunan ini akan menjadi seperti di Dubai. Projek ini akan mendapatkan lebih ramai orang untuk melabur dan tinggal di sini untuk tempoh yang lebih lama, bukan hanya satu atau dua hari.” – Ting Pek Khiing, dipetik dari Berita Harian.

Walaupun Ting tak dedahkan mana satu syarikat dalam kumpulannya yang akan terlibat dalam pembinaan tu, dia ada bagitau yang Perdana Menteri Dr Mahathir sendiri yang akan rasmikan projek tu nanti.

Inilah dia Ting Pek Khiing yang terkenal sebagai ‘kawan’ Dr Mahathir. Imej dari The Star.

Tapi apa yang pasti, projek yang bernilai RM30 bilion kat Langkawi ni satu benda yang kita kena tengok betul-betul. Sebabnya, kalau kita nak bandingkan dengan pembinaan KLCC dulu, ia cuma ambil kos bernilai RM6.36 bilion dan Putrajaya pulak bernilai RM11.83 bilion (berdasarkan kenyataan Pak Lah dulu).

Jadinya, kalau ikut kiraaannya, projek Ting ni boleh kata 3 kali ganda dari Putarajaya! Siapa sebenarnya Ting Pek Khiing ni?

Ting pernah buat 2 projek yang akhirnya terbengkalai

Bila kita dengar dia kata – Dr Mahathir yang akan rasmikan projek dia tu, maknanya, dia ni bukanlah sembarangan orang. Tapi kalau ikut sejarah hidupnya, Ting berasal dari keluarga miskin di Bintangor, Sarawak. Dia mula belajar berniaga dengan tolong ayahnya jual buah masa zaman remaja dulu.

Tapi dia tak berhenti sampai situ je, sebab dia lepas tu terlibat pulak dengan perniagaan hartanah dan mula cipta nama dalam bidang tu. Disebabkan dia mula terkenal, namanya pun sampai ke telinga Taib Mahmud yang kemudiannya jadi Ketua Menteri Sarawak.

Ting & Taib Mahmud. Imej dari pressreader.com

Kalau ikut satu versi cerita, Dr Mahathir pernah nampak satu rumah yang Ting buat dekat dengan kawasan rumah Taib. Dr Mahathir lepas tu pun offer Ting untuk buat projek hotel lima bintang kat Langkawi bersempena dengan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 1991 (LIMA 1991).

Versi lain pulak kata, Taib sendiri yang perkenalkan Ting kepada Dr Mahathir. Tapi apa yang pasti, Ting berjaya siapkan Sheraton Langkawi Beach Resort dalam masa kurang dari 100 hari.

Wowww!!!! Imej dari Giphy.

Mungkin disebabkan kejayaannya ni, Ting mula terlibat dalam projek-projek besar kerajaan yang lain. Pada tahun 1994, Ting dapat projek bernilai RM15 bilion (melalui Ekran Bhd) untuk bina Empangan Hidroelektrik Bakun kat Belaga, Sarawak. Selain tu, sebuah lagi syarikatnya – Wembley Industries Holdings Bhd (33% dimiliki oleh Ting), pun dapat projek buat Plaza Rakyat kat KL. 

Tapi nampaknya, dua projek ni tak berjalan seperti mana yang diharapkan, bila projek Empangan Bakun terpalit dengan pelbagai isu (termasuk dakwaan ia dibina kat atas tanah nenek moyang orang pribumi dan tanah perkuburan). Seterusnya, projek empangan dan Plaza Rakyat ni dihentam pulak dengan Krisis Kewangan Asia, menyebabkan kedua-duanya terbengkalai.

Laporan Malaysiakini.

“Beliau juga membina tempat sembahyang (shrine) di kawasan Empangan Bakun selepas struktur empangan itu runtuh lebih dari 20 kali. The Edge mendedahkan suatu masa dulu. Beliau membawa priest dari Taiwan untuk melakukan sembahyang dan menyembelih 6 ekor haiwan.” – Dipetik dari anilnetto.com

Tapi sekarang, Empangan Bakun dah pun berfungsi. Imej dari Malay Mail.

Ekran dan Wembley kemudiannya tak dapat bayar hutang dan pada tahun 2010, Ting diisytiharkan bankrup oleh Mahkamah Tinggi KL. Dah jatuh ditimpa tangga, setahun lepas tu, Sultan Selangor menarik balik anugerah Datuk kepadanya.

“Sultan Selangor membuat keputusan penarikan balik pengurniaan darjah kebesaran ke atas (Dr. Ting) Pek Khiing setelah mempertimbangkan bahawa pengisytiharan bankrap ke atas beliau adalah tidak sesuai bagi seseorang yang memegang darjah kebesaran dan bertentangan di bawah status Darjah Kebesaran Mahkota Selangor 1966.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Ting & isteri bagi sumbangan kepada Pusat Dialisis Buah Pinggang Sarawak. Imej dari sarawak.com.my

Lepas dari kegagalan ni, nampaknya Ting ambil pendekatan berdiam diri, sampailah namanya kedengaran balik dengan projek bernilai RM30 bilion ni. Tapi dengan kemunculannya semua ni…

Ada yang nampak – kembalinya Ting sebagai kembalinya kroni kapitalisme

Untuk sesiapa yang tahu pasal hubungan Dr Mahathir dan Ting, mesti akan curiga dengan projek yang Ting umumkan ni. Lebih-lebih lagi bila Ting umumkan projek dia ni, lepas beberapa minggu Dr Mahathir kembali berkuasa. Bagi sesetengah orang, projek yang diumumkan oleh Ting ni sebagai kembalinya zaman kroni kapitalisme.

Dr Mahathir & Siti Hasmah potong kek dalam majlis perasmian Four Points by Sheraton kat Langkawi. Sambil diperhati oleh Ting. Imej dari Borneo Post.

Menurut Dr. Awang Azman Awang Pawi (pensyarah Universiti Malaya), Ting memang dicap sebagai kroni Dr Mahathir. Kerana itulah, dia bagi amaran kepada kerajaan PH, supaya hati-hati dengan perkembangan ni.

“Kemunculannya semula adalah membimbangkan kerana ada kebimbangan isu kronisme akan berulang kembali. Ini akan menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat Malaysia, yang ingin membina sebuah negara yang lebih telus…

Kerajaan PH masih belum benar-benar stabil, dan mereka perlu berhati-hati dengan rakan niaga yang dapat menghancurkan keyakinan rakyat.” – Dr Awang Azman Awang Pawi, katanya kepada Free Malaysia Today.

Walaupun kat awal tadi kita diceritakan pasal kehidupan awal Ting yang berniaga buah, tapi itu masih sebahagian dari kisah hidupnya. Ini kerana, Ting juga terlibat dalam perniagaan balak melalui syarikatnya – Woodhouse Sdn Bhd.

Syarikat ni juga dikatakan terkait rapat dengan kontroversi Taib Mahmud. Melalui hubungan ni, keuntungan balak Ting mula berkembang. Syarikat balaknya juga jadi yang ke-6 terbesar kat Sarawak, dengan ada lesen pembalakan lebih dari 310,000 hektar.

Kes pembalakan adalah antara yang paling bagi kesan negatif kat Sarawak. Imej dari New Straits Times.

Selain dikatakan sebagai kroni Taib dan Dr Mahathir, Ting juga dikatakan ada buat perniagaan dengan Tun Daim Zainuddin (bekas Menteri Kewangan) yang sekarang jadi ahli Majlis Penasihat Kerajaan. Kedua-duanya dikatakan bekerjasama sebelum ni, untuk pastikan Projek Bakun pergi ke Ekran Bhd.

Sumber lain pulak bagitau, yang pemberian Projek Bakun kepada Ekran tu dibuat tanpa pembidaan kompetitif (competitive bidding) dan pengumumannya dibuat oleh Dr Mahathir ‘sehari selepas dia datang ke majlis kahwin anak Ting’.

Tapi kerajaan Kedah kata – diorang belum dapat apa-apa cadangan projek dari Ting

Empat hari lepas Ting umumkan pasal projek RM30 bilion tu, Menteri Besar Kedah – Mukhriz Mahathir ada kata kerajaan negeri tu masih lagi belum dapat apa-apa cadangan projek dari Ting. Mukhriz juga nafikan ada sebarang perbincangan pasal usaha nak meluluskan projek ni. Tapi dia masih ingat yang projek tu pernah dicadangkan masa dia jadi MB Kedah zaman BN dulu.

“Tan Sri Ting Pek Khiing telah mengemukakan cadangan pembangunan tanah tambak laut bagi membina hartanah yang akan dijual kepada pembeli tempatan dan asing. Namun, cadangan tersebut tidak disusuli dengan bayaran deposit yang menepati syarat Kerajaan Negeri bagi projek mega sebesar yang dinyatakan beliau.” – Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dipetik dari Astro Awani.

Mahathir dan Mukhriz. Imej dari Malay Mail.

Dr Mahathir juga ada kata yang dia tak terlibat dalam meluluskan projek tu. Sebabnya, Langkawi terletak kat Kedah dan itu adalah urusan kerajaan negeri Kedah – sama ada nak luluskan atau tak. Dr Mahathir juga kata – sesiapa yang ada duit, dia boleh melabur kat Langkawi.

“Ting boleh bercita-cita untuk membina sebuah bandar seperti Kuala Lumpur di Langkawi dan boleh mencadangkannya, tapi sama ada ia dapat kelulusan, itu terpulang kepada pihak yang ada berkuasa.” – Tun Dr Mahathir, dipetik dari The Sun Daily.

Sapa ada duit, dia boleh labur. Imej dari Giphy.

Dr Mahathir juga sedia maklum pasal kebankrapan Ting masa zaman Najib Razak (2010) dan nampak tindakan Ting ni sebagai usaha untuk memulihkan perniagaannya. Tapi Dr Mahathir kata yang tu urusan Ting dan sesiapa yang nak buat perniagaan kat Langkawi, mereka dialu-alukan. Tun Daim pulak dalam satu kenyataan ada nasihatkan Ting supaya terus bersara je dan jangan rosakkan imej kerajaan.

“Nasihat saya kepada Tan Sri Ting ialah: ‘Semoga sihat-walafiat dan yang terbaik terus bersara. Tolong bantu kerajaan dengan tidak mencemarkan imejnya . Jika beliau serius, biarkan anak-anaknya melakukan projek itu. Tapi tunjukkan yang wang itu ada.” – Tun Daim Zainuddin, dipetik dari Malaysiakini.

Bisik-bisik Mahathir-Daim. Imej asal dari helenang.wordpress.

Tun Daim juga ada kata yang dia nasihatkan kerajaan supaya buat tender terbuka untuk semua projek di masa akan datang. Menurut Transparency International Malaysia (TIM), pemberian projek kerajaan secara rundingan terus dan menaikkan harganya adalah punca utama rasuah di Malaysia.

TIM juga menganggarkan rasuah ni dah menelan kos negara sekurang-kurangnya 4% KDNK setiap tahun sejak 2013. Dalam masa sama, pemberian projek-projek sebelum ni macam MATRADE expo dan projek East Coast Rail Link (ECRL) juga didakwa dibuat secara tender tertutup.

Masih lagi samar – samar, sama ada projek RM30 bilion ni boleh jadi atau tak

Seperti mana yang Mukhriz kata pasal bayaran deposit untuk Ting teruskan cadangannya, Ting ada kata yang dia dah bagi tiga cadangan projek kepada tiga kerajaan negeri Kedah dari tahun 2008 sampai sekarang, tapi dia tahu pasal deposit tu.

“Saya tidak tahu. Ini adalah projek bernilai berbilion ringgit, jadi apa deposit yang mereka mahukan? Setiap ringgit adalah milik pelabur dan dalam projek sebesar ini, nilai deposit tidak terbanding dengan nilai pembangunan yang kita akan majukan.” – Ting Pek Khiing, dipetik dari Berita Harian.

Ting dan anak-anaknya. Imej dari Borneo Post.

Bagaimanapun, Ting juga kata yang dia akan hantar cadangan baru kepada kerajaan negeri Kedah, dan dia akan patuh dengan segala syarat yang ada.

Tapi dalam keghairahan Ting dengan projek besarnya ni, ada beberapa pihak yang lahirkan kerisauan dengan warisan alam semula jadi Langkawi mula menentang projek berbilion ringgit ni.

Sebabnya, diorang dakwa terdapatnya kurang kajian penyelidikan terhadap impak projek ini kepada masyarakat dan ekologi Langkawi. Selain ia tak dapat kelulusan dari Penilaian Impak Alam Sekitar (IEA).

Anthony Wong Kim Hooi, Presiden Persatuan Perniagaan Langkawi pula menasihatkan pihak berkuasa Langkawi untuk menimbangkan pendirian diorang tentang pelancongan.

“Adakah kita akan meniru Phuket atau Bali yang mana dalam beberapa dekad akan datang, persekitaran yang rapuh itu mula rosak dan pelancong mula menjauhkan diri? Atau, ada keperluan untuk pelancongan yang mampan untuk diutamakan?” – Anthony Wong Kim Hooi, katanya kepada The Sun Daily.

Alam semula jadi Langkawi perlu dipelihara. Imej dari langkawi-info.com

Selain dari isu kroni dan alam sekitar, kemunculan Ting ni juga diselubungi dengan ketidakyakinan. Apatah lagi bila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dah keluarkan waran tangkap terhadap Ting dan isterinya.

“Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan Ting Pek Khiing kerana tidak hadir di mahkamah untuk pendengaran siasatan awamnya. Mahkamah mengarahkan polis menangkap Ting, yang diisytiharkan muflis pada 2010, dan membawanya ke mahkamah pada 29 Jun.” – Dipetik dari Malaysian Insight.

Lepas raya nanti kita akan dengar perkembangan kes ni. Imej dari Malaysian Insight.

Dengan perkembangan terbaru ni, maka cita-cita Ting untuk melihat projek besarnya di Langkawi mungkin agak sukar direalisasikan. Tapi, tak ada yang mustahil kat dunia ni. Siapa boleh sangka kalau tiba-tiba Ting bangkit dan membuat kejutan?

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.