Lima orang hebat ni dapat gelaran ‘Profesor Ulung’

Guru atau pendidik adalah antara orang yang dituntut untuk kita hormati. Kalau kat sekolah, kita selalu panggil diorang ni sebagai cikgu. Tapi bila sampai universiti/kolej, gelaran cikgu dah tak digunakan lagi, sebabnya kat sini gelaran khusus lain pula yang digunakan, macam – Encik/Puan, Doktor dan Profesor.

Sebagaimana yang kita tahu, profesor adalah jawatan tertinggi dalam dunia akademik yang melambangkan tahap intelek seseorang individu tu. Tapi gelaran ni taklah datang bergolek, sebabnya ada macam-macam kriteria kena dipenuhi dulu sebelum seseorang tu boleh bergelar profesor. Apa yang lagi menarik, gelaran profesor ni juga ada macam-macam jenis.

Hanya ada seorang Prof Diraja dan lima orang Prof Ulung kat Malaysia sekarang ni

Bila kita masuk universiti atau kolej, kita akan lanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana (Degree of Master) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD). Bila dah dapat PhD, seseorang tu akan dapat gelaran Dr. Tapi jangan terkeliru, sebab gelaran ni lain dengan gelaran Dr yang korang jumpa kat hospital dan klinik tu.

Ini bezanya. Imej dari Classroom.

Orang yang ada PhD juga selalu kerja kat Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebagai pensyarah. Untuk dapat gelaran profesor, sumbangan mereka ni akan dinilai dalam bidang akademik. Contohnya macam berapa banyak jurnal terkemuka diterbitkan, berapa banyak buku, jumlah sebutan (citation) dan berapa ramai pelajar Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah yang diselianya. 

Jadi bila mereka rasa layak, mereka akan buat permohonan dan permohonan tu nanti akan dinilai oleh penilai dalam dan penilai luar. Permohanan ni je dah ambil masa setahun sebelum keputusan dibuat.

Prof serba tahu. Sesiapa yang pernah baca majalah Gila-Gila mesti tau. Imej dari flickr.com

Sebenarnya, ada banyak jenis gelaran profesor dan tak semestinya gelaran ni dibagi kepada pensyarah universiti. Jom kita semak sama-sama…

  1. Prof Diraja – Gelaran profesor paling tinggi kat Malaysia dari Yang di-Pertuan Agong. Sekarang ni cuma ada seorang yang dapat gelaran Prof Diraja, orang tu adalah Prof Diraja Ungku Aziz.
  2. Prof Ulung – Diberikan kepada sarjana yang boleh dicontohi dan boleh dianggap milik negara kerana sumbangan mereka. Setakat ni, cuma ada lima orang je yang dapat gelaran ni.
  3. Prof Emeritus – Gelaran ni diberikan kepada profesor yang dah bersara, tapi masih terus menyumbang dalam dunia akademik dan keilmuan. Contohnya macam – Prof Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (Sejarah) dan Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi (Pengajian Islam).
  4. Prof Kehormat – Diberikan kepada tokoh yang tak kerja kat universiti, tapi diberikan gelaran ni sebab kelayakan mereka. Contohnya macam Prof Hj Abdul Karim Amrullah (HAMKA).
  5. Prof Universiti – Diberikan kepada pensyarah universiti yang layak. Macam yang diceritakan kat atas tadi.
  6. Prof Adjung – Orang yang dilantik oleh universiti berdasarkan pengalaman dan sumbangan mereka dalam bidang ilmu. Contohnya macam Chef Wan yang dilantik jadi Prof Adjung kat Universiti Utara Malaysia (UUM).
Prof Diraja Ungku Aziz. Imej dari nakbebel.com

Kalau korang nak tahu, baru-baru ni ada seorang sarjana dah dianugerahkan gelaran Prof Ulung atas sumbangannya dalam dunia akademik. Orang tu adalah Prof Dr. Rajah Rasiah, pakar ekonomi dari Universiti Malaya (UM). Hal ni sekaligus menjadikannya sebagai orang ke-5 yang memegang gelaran itu.

Prof Dr Rajah masa terima anugerah Prof Ulung. Imej dari BH Online.

Jadinya, SOSCILI kali ni nak cerita sikit pasal lima orang penerima anugerah ‘Profesor Ulung’ ni. Sebabnya, gelaran ni hanya diberikan kepada seorang profesor yang dah bagi sumbangan hebat dan berimpak tinggi. Mungkin kita boleh mula dengan penerima terawal iaitu…

1. Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin – Pernah jadi Prof Pelawat kat lebih dari 10 universiti luar negara

Kepada sesiapa yang selalu ikut berita semasa dan perjalanan dunia akademik, nama Shamsul Amri tak payah diperkenalkan lagi. Dengan gaya rambut dan cermin mata bulatnya, Shamsul adalah antara ahli akademik yang banyak bagi pandangannya dalam isu-isu negara sejak dulu lagi.

Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri. Imej dari Sarawak Voice.

Dilahirkan di Negeri Sembilan, beliau mulakan pengajian tingginya dalam bidang Antropologi dan Sosiologi kat Universiti Malaya (UM) sebelum melanjutkan pelajarannya ke Australia. Pada tahun 1973, Shamsul jadi penyelidik kat Dewan Bahasa Pustaka (DBP). Tak lama lepas tu, Shamsul mula berkhidmat kat Universiti Malaya (1974 – 1976) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sampai sekarang. 

Selain kat universiti tempatan, Shamsul juga pernah jadi Profesor Pelawat kat banyak institusi luar negara macam: CNRS (Perancis), Bielefeld University (Jerman), Tsukuba University, Osaka University & Kyoto University (Jepun), Leiden University (Belanda), Lund University (Sweden), Universitas Padjadjaran (Indonesia), National University of Singapore, University of Hawaii, Harvard University (USA), University of Melbourne dan Monash University (Australia). Warggh… bukan main banyak universiti!

Imej dari Giphy.

Pada tahun 2007, Shamsul dah mengasaskan satu institut yang dikenali sebagai Institut Kajian Etnik (KITA). 

“Terlibat dalam penulisan, penyelidikan dan berkuliah selama 25 tahun mengenai politik, budaya dan pembangunan ekonomi dengan fokus empirikal terhadap Malaysia dan Asia Tenggara. Tulisannya menjadi rujukan dalam banyak kursus di IPTA Malaysia dan beberapa universiti luar negeri.” – Dipetik dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Imej dari FB Majlis Profesor Negara.

Disebabkan sumbangan dan ketinggian intelektualnya ini, Shamsul akhirnya dianugerahkan gelaran Prof Ulung pada tahun 2010. Selain beliau, ada lagi empat orang ahli akademik yang menerima anugerah sama. Salah seorangnya adalah…

2. Prof Ulung Tan Sri Dr Kamal Hassan – Pemikir Islam ulung Malaysia

Tokoh kedua yang terima anugerah ni adalah Prof Dr Kamal Hassan yang pernah jadi Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kamal mulakan pengajiannya dalam bidang Pengajian Islam kat Universiti Malaya pada tahun 1965, sebelum dapat Masters dan PhD dari Columbia University, New York.

Pada tahun 1979, Kamal dilantik jadi Ketua Jabatan Usuluddin dan Falsafah kat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dapat gelaran profesornya kat situ. Lepas tu, Kamal dilantik pula sebagai Shaikh al-Kulliyyah kat UIAM. Beliau juga pernah berkhidmat kat Georgetown University, Washington, Amerika Syarikat.

Prof Ulung Tan Sri Dr Kamal Hassan. Imej dari islaminindonesia.com

Disebabkan kesarjanaannya, Kamal dapat banyak jemputan dari dalam dan luar negara. Beliau juga menyumbang banyak penulisan dalam bidang falsafah, agama, sosial dan pendidikan. Antara karya popularnya adalah:

  1. The Encyclopedia of Malaysia: Religions and Beliefs
  2. Islamic Identity Crisis in the Muslim Community in Contemporary Malaysia
  3. Islamic Studies in Contemporary Southeast Asia: General Observations
  4. Al-Islam fi ’alam Al-Malaya.
Kamal dan Pak Lah dalam satu program. Imej dari The Sun Daily.

“Kegembiraan yang hakiki ialah mendapat keredaan Allah. Biarpun manusia tidak suka, tidak merestui, tidak menghargainya, tetapi kalau sesuatu itu mendapat keredaan Allah, itulah makna kegembiraan bagi saya.” – Prof Ulung Tan Sri Dr Kamal Hassan, dipetik dari Utusan Malaysia.

3. Prof Ulung Datuk Dr Looi Lai Meng – Hasilkan lebih 300 terbitan akademik

Nama seterusnya ni adalah insan yang sangat terkenal dalam bidang patologi kat Malaysia. Tak tahu apa tu Patologi? Patologi ni sebenarnya salah satu dari ilmu perubatan pasal kajian penyakit. 

Pada tahun 1986, Prof Looi dah dilantik sebagai Prof Patologi kat Universiti Malaya. Masa tu umurnya baru je 36 tahun, hal ni dah jadikan Prof Looi antara professor termuda masa tu.

Prof Ulung Datuk Dr Looi Lai Meng. Imej dari waspalm.org

Prof Looi juga adalah ‘diagnostic renal pathologist’ paling lama berkhidmat kat Malaysia dan dah bagi banyak sumbangan kajian dalam bidang patologi. Sehingga tahun 2016, beliau dah hasilkan 380 terbitan akademik. 

“Sebagai Timbalan Dekan di Universiti Malaya, beliau telah mengantarabangsakan program latihan pakar perubatan, satu langkah yang kemudiannya diterima pakai oleh universiti lain. Untuk menaik taraf standard dan kualiti amalan patologi di Malaysia, beliau menaik taraf latihan kepakaran (Master of Pathology) dari biasa kepada peringkat perundingan, berdasarkan Royal College of Pathologists, UK.” – Dipetik dari Merdeka Award.

Imej dari Merdeka Award.

Selain itu, beliau juga adalah penasihat teknikal untuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengasas Malaysia’s College of Pathologists dan Felo Kanan kat Akademi Sains Malaysia. Sesuai dengan sumbangannya, Prof Looi dah terima banyak anugerah dari dalam dan luar negara, termasuklah sebagai Profesor Ulung pada tahun 2010.

Shamsul Amri, Looi Lai Meng & Kamal Hassan masa dapat anugerah Prof Ulung. Imej dari faezahismail.com

“Bapa saya seorang yang sangat sibuk, tapi sangat penyabar. Beliau baik dan suka membantu dan ramai orang menghormatinya. Keinginannya untuk membantu orang dalam kesusahan pada waktu siang atau malam, telah mendorong saya untuk menjadi seorang doktor perubatan.” – Prof Ulung Datuk Dr Looi Lai Meng, dipetik dari Merdeka Award.

4. Prof Ulung Datuk Dr. Harith Ahmad – Digelar sebagai Albert Einstein Malaysia

Nama seterusnya ni pulak adalah pakar fizik terkenal kelahiran Malaysia. Orang tu tak lain tak bukan adalah Prof Harith Ahmad dari Jabatan Fizik, Universiti Malaya. Harith mula-mula dapat Ijazah Sarjana Muda dalam fizik dari UM pada tahun 1979. Sebelum mendapat Masters dan PhD dari Wales University.

Pada usia 26 tahun, Harith mula berkhidmat kat Jabatan Fizik, Fakulti Sains UM. Beliau juga adalah orang Malaysia pertama yang dapat latihan dalam bidang sains fotonik iaitu sains penghasilan dan manipulasi cahaya.

Harith dan seorang pelajarnya. Imej dari Merdeka Award.

Disebabkan gaya rambutnya yang kerinting dan kembang, kerja pulak dalam bidang sains, ramai pelajar dan kawannya panggil Harith sebagai Albert Einstein. Tapi sebenarnya, Harith tak jadikan Einstein sebagai idola. Sebaliknya, beliau jadikan Max Planck (ahli fizik Jerman) dan Louis de Broglie (ahli fizik Perancis) sebagai orang yang paling beliau minat.

“…pada usia yang sangat muda, beliau (Planck) telah memperolehi Hadiah Nobel Fizik iaitu beliau menemui fenomena yang sangat penting ketika itu. Manakala de Broglie pula membuktikan bahawa gelombang dan zarah boleh dihubungkan dengan satu persamaan. Mereka berdua yang membina asas fizik kuantum. Populariti Einstein terlalu berlebihan.” – Dipetik dari Malay Mail Online.

Sama tak? Imej dari Merdeka Award & abc.net

Apa yang lebih mengagumkan, beliau dah ada 10 paten bersama dengan Telekom Malaysia. Di bawah pimpinan Harith, Pusat Penyelidikan Fotonik UM sekarang ni dah jadi makmal penyelidikan bertaraf antarabangsa dan buat banyak kerjasama dengan universiti luar. Selain terima anugerah Prof Ulung, beliau juga dah terima pelbagai lagi anugerah, macam Merdeka Award, Anugerah Sains & Teknologi Asia dan sebagainya.

“Anda patut enjoy dengan apa yang anda lakukan, dan jika anda fikir anda tak boleh enjoy dengannya, maknanya di situ tak ada passion, lebih baik cari benda lain untuk dibuat.” – Prof Ulung Datuk Dr Harith Ahmad. Dipetik dari Merdeka Award.

Klik imej untuk baca.

5. Prof Ulung Dr. Rajah Rasiah – Ketuai banyak projek besar antarabangsa

Untuk bidang ekonomi pula, Prof Dr Rajah dah dipilih sebagai Prof Ulung kelima. Beliau adalah Profesor Pembangunan Antarabangsa, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM). 

Imej dari focusmalaysia.my

Walaupun namanya agak kurang popular untuk orang awam, tapi dalam bidang ekonomi – nama Prof Rajah dah terkenal bukan je kat Malaysia, tapi juga kat Indonesia, Thailand, Vietnam dan Laos. Semuanya sebab adanya hasil penyelidikan ekonomi yang beliau buat dalam polisi-polisi kerajaan tersebut. 

“Beliau juga berjaya melahirkan lebih 30 graduan doktor falsafah (PhD) yang antaranya kini bergelar profesor di universiti tempatan dan menjadi peneraju syarikat swasta.” – Dipetik dari BH Online.

Apa yang lebih mengagumkan, Prof Rajah juga dah ketuai banyak projek besar yang dibiayai oleh pelbagai organisasi dunia macam – UNESCO, Bank Dunia, International Labour Organization dan macam-macam lagi. Seperti juga Prof Looi, Rajah juga dah hasilkan lebih dari 300 terbitan akademik, selain dari sampaikan banyak syarahan kat universiti-universiti terkemuka dunia.

Prof Rajah dalam satu forum. Imej dari epochtimes.com

Rajah juga dah terima banyak anugerah dari dalam dan luar negara, termasuklah dari Cambridge dan Harvard. Ternyata dengan sumbangannya yang banyak dalam bidang ekonomi, Prof Rajah dipilih sebagai penerima anugerah Prof Ulung ke-5.

Suara dan pandangan ahli akademik kena didengar

Untuk pengetahun korang, setiap dari Prof Ulung ni dah dapat geran penyelidikan bernilai RM300,000 untuk diorang manfaatkan dalam kajian masing-masing. Diorang juga dapat gaji dan elaun antara RM23,800 – RM31,800 sebulan. Boleh dikatakan yang gaji diorang ni lebih banyak dari gaji Perdana Menteri – RM22, 826.65 sebulan.

Tapi itu sesuailah dengan pengorbanan masa dan tenaga diorang dalam memartabatkan dunia akademik dan kesarjanaan negara. Setakat tahun 2016, dilaporkan terdapat 1,867 orang professor yang berkhidmat kat universiti-universiti tempatan. Lebih separuh daripada profesor-profesor ni pulak dah berumur 55 tahun ke atas.

Prof. Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid, Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) sekarang. Imej dari BH Online.

Apa yang pasti, sesuai dengan kedudukan diorang sebagai pemikir negara, rakyat sangat mengharapkan supaya golongan profesor ni dapat memberikan sumbangan yang besar dalam membentuk arah tuju negara ni. Tapi malangnya, banyak juga pandangan-pandangan diorang ni yang kerajaan tak pandang. Macam pandangan yang dibawakan oleh Prof Dr Ibrahim Komoo, Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (UKM) dulu.

Malangnya, segala pandangan yang dikemukakan Ibrahim dipandang sepi oleh pihak berkuasa, sebab itu masih berlaku kejadian runtuh termasuk yang meragut 16 nyawa di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Al-Hidayah At-Taqwa, Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.” – Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid, Pengerusi Majlis Profesor Negara. Utusan Malaysia (11/07/2011).

Prof Emeritus Dr Ibrahim Komoo. Imej dari globalgeopark.org

Selain itu, sejarah dah mencatatkan yang kita berjaya melahirkan golongan intelektual yang hebat dan terus diingati sampai ke hari ini. Nama seperti Prof Diraja Ungku Aziz, Prof Syed Hussein al-Attas dan Prof Syed Naquib al-Attas, terus disebut dan dikaji sumbangan dan pemikiran mereka.

Ramai yang kata muka allahyarham Hussein al-Attas sama dengan Fidel Castro. Imej dari beritaharian.sg

Kita mengharapkan lebih ramai lagi golongan intelektual berani kehadapan dan memberi pandangan. Bukankah begitu?

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.