Agama

Syeikh Ahmad Khatib: Ulama Nusantara pertama jadi imam & khatib di Masjidil Haram

Berdasarkan kajian, dikatakan Islam mula bertapak di Nusantara sejak abad ke-10 lagi dan mula berkembang sebagai agama yang dianuti sebahagian besar masyarakatnya, khususnya orang Melayu. Dalam masa sama, masyarakat Nusantara juga terkenal sebagai yang kuat berpegang dengan Mazhab Syafie, berakidahkan Asya’irah dan Maturidiyah. Rantau ini turut melahirkan begitu ramai ilmuan yang menyumbang kepada perkembangan ilmu.

Dan bila bercakap soal ulama, sejarah telah mencatatkan seorang ilmuan Nusantara yang cukup tinggi ilmunya. Ketinggian ilmu beliau itu seterusnya membuatkannya menjadi orang Nusantara pertama yang diangkat sebagai imam, khatib dan mufti di Masjidil Haram. Insan itu tak lain dan tak bukan adalah…

Syeikh Ahmad Khatib al-Minangkabawi: Guru para ulama yang menetap di Kota Suci Mekah

Dilahirkan pada 25 Jun 1860 dengan nama Ahmad Bin Abdul Latif Bin Abdullah al-Khatib di Kota Tuo,
Agam, Sumatera Barat – Syeikh Ahmad berasal daripada keluarga ulama bangsawan. Pada usia 9 tahun, beliau telah pergi ke Kota Suci Mekah menunaikan haji bersama ayahnya, tapi kemudian terus tinggal di sana kerana mahu menuntut ilmu agama. Di Mekah, Syeikh Ahmad telah berguru dengan begitu ramai ulama sehingga membuatkannya begitu pakar dalam bidang fiqh (khususnya fiqh Mazhab Syafie), ilmu falak dan ilmu matematik.

Hal ni membuatkannya dilantik sebagai imam, khatib dan Mufti Syafiiyyah di Mekah. Menurut maklumat, ketika itu – amalan solat berasingan mengikut mazhab masih berlaku dan sebab itulah Syeikh Ahmad menjadi imam dan khatib untuk Mazhab Syafie. Bagaimanapun, amalan ni kemudiannya diubah dengan disatukan solat jemaah tanpa mengira mazhab oleh keluarga al-Saud selepas memerintah Arab Saudi.

Apa yang pasti, ada sebab kenapa Syeikh Ahmad digelar sebagai guru para ulama. Sebabnya, boleh dikatakan begitu ramai ulama di Nusantara ni pernah berguru dengannya. Antaranya seperti:

“…Syaikh Musthafa Purba Baru (pendiri pondok Mustafawiyah, Purba Baru), Syaikh Sulaiman Ar Rasuli (pendiri Tarbiyah Islamiyah Candung), Syaikh Abdul Karim Amrullah (ayah Buya Hamka), Muhammad Darwis atau Syaikh Ahmad Dahlan (pendiri Muhammadiyah), Syaikh Hasyim Asy’ari (pendiri Nahdlatul Ulama), Syaikh Abdul Halim Majalengka, Syaikh Abdurrahman shiddiq (mufti kerajaan Indragiri) dan lain-lain.” – Dipetik dari Akurat Sentra Media.

Haji Rasul dan KH Ahmad Dahlan, dua orang tokoh pembaharuan Nusantara. imej dari Muhammadiyah Studies.

Memandangkan beliau juga adalah Mufti Shafiiyyah, beliau menjadi antara rujukan utama dunia Islam ketika itu, dan segala permasalahan hukum di Nusantara ini selalunya akan dirujuk kepada Syeikh Ahmad. Salah satu persoalan yang muncul ketika itu adalah tentang adat perpatih. Perkara ini mendapat perhatian Syeikh Ahmad dan beliau menjadi orang yang…

Tak bersetuju dengan sistem pewarisan harta dalam adat perpatih

Masyarakat Minangkabau terkenal dengan reka bentuk rumah yang unik. Imej dari GeoTimes.

Adat Minangkabau atau juga dikenali sebagai adat perpatih sememangnya telah berakar lama dalam masyarakat Minangkabau. Hal itu juga telah membuatkan adat itu sebati dalam tatacara kehidupan masyarakat. Bagaimanapun, terdapat perdebatan mengenai adat pewarisan harta pusaka yang diberikan yang melebihkan waris perempuan (juga bertindak sebagai pemegang amanah) berbanding waris lelaki.

Manakala, waris lelaki pula berperanan sebagai pembantu dan pengusaha saja dalam memelihara serta membangunkan harta pusaka berkenaan. Mereka juga hanya mendapatkan upah dari pekerjaan yang dilakukan itu. Hal ini agak berbeza dengan cara perwarisan Islam yang meletakkan keutamaan kepada kaum lelaki.


Syeikh Ahmad tampil membantah adat ini dan lebih keras lagi beliau menggelarkannya berasal daripada syaitan dan sesiapa yang masih mengikutinya dianggap sesat. Beliau juga menulis dua buah buku bagi membantah amalan itu:

  1. Seruan yang Didengar Dalam Menolak Menjadikan Saudara dan Anak-anak Saudara Perempuan Sebagai Ahli Waris Bersama Ahli Waris Asal (usul) dan Anak-anak (furu’) – Ditulis dalam bahasa Arab dan dicetak di Mesir pada tahun 1309H.
  2. Cara-Cara yang Disyariatkan – Ditulis dalam bahasa Melayu dan dicetak di Mesir pada tahun 1311H.

Suasana di Mekah pada sekitar tahun 1930 – 1940. Imej dari My Historical Pakistan.

Bagaimanapun, masih ada ulama yang mempunyai pandangan berbeza dengan beliau, termasuklah anak muridnya sendiri seperti Abdul Karim Amrullah (Haji Rasul). Bagi Haji Rasul – perkara itu boleh diamalkan sekiranya harta itu dianggap sebagai harta wakaf dan bukannya harta pewarisan.

Selain itu, seperti mana yang dikatakan di awal tadi, perkara-perkara yang menimbulkan kekeliruan di Nusantara kebanyakannya dirujuk kepada Syeikh Ahmad, dan antara hal yang pernah beliau berikan pandangan ialah…

Polemik Solat Jumaat di Palembang dan tarekat Naqsabandiyah

Ulama-ulama Nusantara yang kebanyakannya adalah anak murid Syeikh Khatib. Imej dari Islam Kepulauan.

Pada tahun 1890-an, seorang tokoh Palembang, Masagus Abdul Hamid dah membina sebuah masjid dan masjid itu kemudiannya digunakan untuk Solat Jumaat, selain sebuah lagi masjid lama – Masjid Agung Kesultanan. Tapi, perkara ni kemudiannya menimbulkan perselisihan pandangan di kalangan ulama-ulama Palembang tentang – adakah boleh Solat Jumaat dilaksanakan di masjid baru itu?

Ini kerana, masjid tu didakwa terletak dalam kawasan sama dan ia termasuk dalam bab ta‘addud Jumaat (dua solat Jumaat dalam satu desa/kota). Penghulu kemudiannya mengutuskan surat kepada Mufti Batavia (sekarang Jakarta), Sayyid Usman untuk minta pandangannya. Sayyid Usman lepas itu berpandangan tak boleh Solat Jumaat di masjid baru tu kerana menyalahi hukum.

Tak puas hati dengan jawapan yang diberikan, Masagus mengirimkan surat kepada Syeikh Ahmad di Mekah untuk mendapatkan pandangan ulama besar itu. Syeikh Ahmad lepas tu menjawab hukumnya boleh saja Solat Jumaat dilaksanakan di masjid baru tu. Antara hujah Syeikh Ahmad adalah:

  1. Jarak antara kedua masjid jauh dan ia akan memudahkan orang ramai pergi ke masjid yang lebih dekat
  2. Masjid lama penuh dan dengan adanya masjid baru ia dapat menampung jemaah lain
  3. Melarang penduduk dari buat Solat Jumaat di masjid baru akan menyusahkan mereka
  4. Bila mereka susah nak ke masjid lama, mereka mungkin akan tinggalkan Solat Jumaat sedangkan perbuatan itu berdosa
  5. Solat Jumaat sah jika cukup 40 orang jemaah dan pertikaian tak patut berlaku kerana ia hanya mewujudkan permusuhan umat

Hal ni kemudiannya membawa kepada perdebatan antara Syeikh Ahmad dan Sayyid Usman yang saling berbalas hujah. Dikatakan Sayyid Usman mendakwa Masagus memberikan maklumat salah kepada Syeikh Ahmad sehingga membuatkan ulama itu mengeluarkan hukum boleh Solat Jumaat di masjid baru. Malah, Sayyid Usman dikatakan mendakwa Syeikh Ahmad membuat dua kesalahan iaitu menimbulkan kekeliruan agama dan berprasangka tidak baik kepada keturunan Nabi Muhammad SAW (dirinya).

Sayyid Usman, Mufti Batavia (1822 – 1913). Imej dari Wikipedia.

Satu lagi isu yang turut disentuh oleh Syeikh Ahmad adalah tarekat Naqsabandiyah yang ketika itu berkembang pesat di Minangkabau. Perkara tu dah membuatkan murid beliau, Syeikh Abdullah Ahmad mengutuskan surat kepadanya untuk minta pandangannya tentang tarekat berkenaan. Beliau kemudian menjawab: kebenaran sesebuah tarekat tu bergantung sama ada ia menepati syariat.

“Kesimpulan yang ingin ditekankan Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau adalah bahwa tarekat yang benar yaitu tarekat Nabi, sahabat, dan ulama-ulama terdahulu yang mengedepankan syariat dalam tarekat.” – Ahmad Fauzi Ilyas, Pengarah Pusat Studi Naskah Ulama Nusantara. Dipetik dari Tirto.id.

Dalam masa sama, Syeikh Ahmad juga selepas itu mula mengkritik amalan-amalan tarekat Naqsabandiyah yang ada dilihatnya sebagai bidaah dan syirik. Perdebatan itu berlangsung agak lama, iaitu sehingga berpuluh tahun selepas Syeikh Ahmad meninggal dunia. Dilaporkan yang syeikh-syeikh Naqsabandiyah terus melakukan sanggahan terhadap pandangannya sehingga tahun 1980-an.

Maklumat tambahan: Di Malaysia pada 2015, Muzakarah Fatwa Kebangsaan menegaskan Tarekat Naqsabandiyah Al-Aliyyah Sheikh Nazim Al-Haqqani di bawah Syeikh Nazim al-Haqqani bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam.

Tidak kembali ke Minangkabau kerana kecewa dengan adatnya

Syeikh Ahmad Khatib terus dikenali sebagai guru para guru dan ulama sehingga ke hari ini. Imej dari Tirto.id

Boleh dikatakan sebahagian besar hidup Syeikh Ahmad dihabiskan di Kota Suci Mekah, walaupun beliau pernah diajak kembali ke tanah Minangkabau. Dikhabarkan, beliau agak berat hati untuk pulang ke Minangkabau dan mahu tetap terus tinggal di Mekah. Buya Hamka memberitahu – Syeikh Ahmad cinta kepada Minangkabau, tapi beliau tak suka dengan adatnya.

Beliau akhirnya meninggal dunia di Mekah pada 1916 dan dikhabarkan Syeikh Ahmad sempat menulis sebuah autobiografi dirinya setebal lebih 50 muka surat.

“Murid-muridku memintaku untuk menulis sejarah hidupku dan menjelaskan karya tulisku, maka aku tuliskan kitab ini untuk menjelaskan hal itu agar mereka mengenal keadaanku…” – Syeikh Ahmad, tulisnya di buku itu.

Malah, beliau juga ada meluahkan rasa terkilan kepada anaknya yang tak memberikan tumpuan kepada ilmu:

“Dulu aku sangat gembira dengan kehadiranmu di majelisku, tapi kini aku sedih dan kecewa karena di majelisku tidak ada lagi wajahmu.” – Tulisnya, dipetik dari Tirto.id

Popular

To Top

Send this to a friend