Dr Mahathir kembali bertanding dalam politik, kawasan mana akan dia pilih?

Sejak Pakatan Harapan umumkan yang Dr Mahathir akan dilantik jadi Perdana Menteri sementara kalau diorang menang nanti, banyaklah khabar angin yang muncul. Antaranya pasal kat kerusi mana yang Dr Mahathir akan bertanding nanti. Ye lah, kalau tak menang kerusi Parlimen, macam mana nak dapat jawatan Perdana Menteri.

Tapi sampai sekarang, Dr Mahathir masih lagi beteka-teki kat mana beliau akan bertanding. Tiga kerusi yang jadi pilihannya adalah Kubang Pasu (Kedah), Langkawi (Kedah) atau Putrajaya (Wilayah Persekutuan).

Suka betul Dr Mahathir. Imej dari The Malaysian Insight.

Tapi baru-baru ni, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali ada kata yang dia sedia bagi Dr Mahathir bertanding kat Parlimen Gombak. Sebelum ni (PRU-13), Azmin menang kat kerusi tu dengan majoriti 4,734. Selain menang kat situ, Azmin pun menang kat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa. Hebat juga Azmin ni, Parlimen pun dia menang, DUN pun dia menang.

Tapi Dr Mahathir kata yang beliau belum terfikir nak bertanding kat Gombak lagi. Jadinya, SOSCILI kali ni nak senaraikan tiga kerusi Parlimen yang Dr Mahathir mungkin akan bertanding dan fakta-fakta menarik yang boleh kita boleh dapat dari ketiga-tiga kerusi tu.

1. Parlimen Kubang Pasu – Dr Mahathir dulu hampir dicabar Haron Din

Seperti mana yang kita tahu, Dr Mahathir dah terlibat dalam politik sejak zaman sebelum merdeka lagi. Mungkin kat Malaysia atau dunia hari ni, Dr Mahathir adalah antara ahli politik paling tua yang masih aktif. Kali terakhir yang kita dengar adalah pasal Robert Mugabe yang akhirnya digulingkan dari jawatan Presiden Zimbabwe masa berusia 93 tahun.

Berbalik dengan sejarah Dr Mahathir, beliau mula-mula bertanding dalam pilihan raya adalah pada tahun 1964. Nasib Dr Mahathir baik bila dia menang kat kerusi Kota Setar Selatan dengan mengalahkankan calon PAS dengan majoriti 4210 undi.

“Sepanjang lima tahun itu, Dr Mahathir telah merakamkan namanya dalam ingatan masyarakat Melayu sebagai wakil yang paling berani dan paling lantang menyuarakan dengan terus terang kegelisahan dan kecemasan mereka sebagai golongan yang termundur.” – Dipetik dari buku: Surat dari Dr Mahathir, p16.

Anwar buat perbentangan kat Parlimen. Dr Mahathir perhatikan dari tepi. Imej dari Astro Awani.

Tapi nampaknya Dr Mahathir gagal pertahankan kerusi Kota Setar Selatan masa PRU-1969 sebab kalah dengan calon PAS, Tuan Guru Yusuf Rawa yang juga lepas tu jadi Mursyidul Am PAS. Antara sebab utama kenapa Dr Mahathir boleh kalah adalah sebelum tu beliau ada kata yang beliau tak perlukan undi kaum Cina untuk menang. Kesannnya, pengundi Cina masa tu tak undi Dr Mahathir dan undi Yusuf Rawa.

Pada tahun yang sama juga berlakunya krisis kaum – Peristiwa 13 Mei 1969. Walaupun kalah pilihan raya, Dr Mahathir tetap lantang bersuara dan antara yang beliau kritik adalah kepimpinan Tunku Abdul Rahaman. Kesannya, beliau disingkirkan dari UMNO. Tapi bila UMNO dipimpin oleh Tun Razak, Dr Mahathir diterima balik masuk UMNO dan bertanding sekali lagi. Kali ni bukan kat Kota Setar, tapi kat Kubang Pasu.

Dari kiri Tun Ling Leong Sik, Tun Dr Mahathir & Tun Ghafar Baba. Imej dari rajalaut11.blogspot

Jadinya masa PRU-1974, Dr Mahathir pun bertanding kat kerusi dan menang tanpa bertanding. Dr Mahathir juga dilantik jadi Ketua UMNO Kubang Pasu dan pegang jawatannya sampai tahun 2003. Maka jadilah Dr Mahathir sebagai Ahli Parlimen Kubang Pasu selama tujuh penggal berturut-turut dari PRU-1974 sampai ke PRU-1999.

Tapi masa PRU-1999, ada peristiwa menarik yang jadi. Sebabnya, masa tu ada khabar angin kata PAS akan letakkan Dr Haron Din (allahyarham) untuk lawan Dr Mahathir kat Kubang Pasu. Tapi khabar angin tu tak jadi kenyataan bila PAS letakkan Subky Latif, bekas wartawan Utusan dan antara pengasas Harakah sebagai calon. Akhirya, Dr Mahathir tetap menang kat kerusi tu.

Dr Mahathir berpelukan dengan Dr Haron Din (allahyarham) kat Masjid Negara. Imej dari celahgelegar.blogspot
Jadinya, boleh ke Dr Mahathir menang sekali lagi kat Kubang Pasu?

Ikut tinjauan Malaysia Insight, sepanjang Dr Mahathir jadi wakil kawasan tu, banyak pembangunan dan perubahan yang dilakukan oleh Dr Mahathir. Antaranya adalah jadikan Sintok (kawasan dalam Kubang Pasu) sebagai salah satu hub pendidikan. Buat masa sekarang, Ahli Parlimen Kubang Pasu adalah Datuk Johari Baharum yang juga bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum (tengah). Imej dari Malay Mail Online.

Jadinya, kalau Dr Mahathir bertanding kat Kubang Pasu, berkemungkinan besar beliau akan dicabar oleh bekas setiausahanya sendiri. Siapa yang ada kelebihan?

“Kajian menunjukkan, populariti PH di Kedah bertambah dengan adanya Dr Mahathir. Saya fikir Dr Mahathir ada peluang baik jika beliau memilih untuk bertanding di Kubang Pasu, walaupun nanti ada pertandingan tiga penjuru.” –  Prof Dr Awang Azman Awang Pawi, Penganalisis Politik. Dipetik dari Malaysia Insight.

2. Parlimen Langkawi – Dr Mahathir ubah pulau sumpahan Mahsuri ini kepada pulau tumpuan jutaaan pelancong

Seterusnya, kita nak bincang pulak pasal kerusi Parlimen Langkawi. Seperti mana yang kita tahu, pulau ni terkenal dengan cerita lagendanya – kisah Mahsuri yang dibunuh kerana fitnah. Disebabkan fitnah dan ketidakadilan yang dia dapat, Mahsuri pun sumpah Langkawi jadi pulau padang jarak terkukur.

Sama ada kisah tu betul-betul jadi atau tak, sampai sekarang tak ada ahli sejarah yang dapat bagi jawapan. Tapi ada juga mereka yang percaya dengan kisah ni, macam pengkaji sejarah Mahsuri, Saidin Mat Isa.

“Suatu ketika duhulu, suku daripada kawasan darat Langkawi memang seperti gurun atau padang jarak padang tekukur. Kawasan itu tak banyak pokok dan tiada rumput tumbuh, sebaliknya dipenuhi pasir putih.

Hanya selepas 1960-an baru pasir putih semakin hilang dan rumput mula tumbuh. Mungkin sebab sumpahan sudah tamat.” – Katanya kepada BH Online.

Ilustrasi pembunuhan Mahsuri. Imej dari langkawi-info.com

Tapi apa yang pasti, sumpahan Mahsuri tu ditamatkan di zaman pemerintahan Dr Mahathir. Sebenarnya, Dr Mahathir adalah doktor pertama yang dihantar ke Langkawi pada tahun 1955. Masa itulah Dr Mahathir kenal dengan Langkawi dan lihat betapa tandus dan kosongnya pulau ni.

Sebab itulah, Dr Mahathir dah amanahkan Tun Daim Zainuddin (Menteri Kewangan ) untuk majukan Langkawi sebagai pusat pelancongan yang kita kenal pada hari ini.

“Apabila Dr Mahathir memberikan tanggungjawab memajukan Langkawi kepada Daim, ditukarnya pulau sumpahan Mahsuri itu kepada pulau ‘rastuan’ berjuta pelancong dari dalam dan luar negara…” – Dipetik dari buku: Surat daripada Dr. Mahathir, p213.

Klik sini untuk baca artikel kitorang pasal Tun Daim Zainuddin.

Langkawi juga lepas tu dikenali sebagai pulau bebas cukai dan menjadi pusat ekonomi masyarakat setempat yang sebelum tu hanya jadikan aktiviti nelayan sebagai punca ekonomi. Sekarang pulau ni dah dipenuhi dengan hotel-hotel mewah bertaraf lima bintang, beberapa buah pasar raya dan kedai-kedai bebas cukai.

“Hampir setiap bulan beliau (Dr Mahathir) melawat Langkawi untuk melihat sendiri perkembangan projek-projek pembangunan seperti projek kereta kabel di Gunung Mat Chincang, projek pemulihan Pantai Kok dan projek pengindahan Kuala Sungai Melaka.” – Utusan Malaysia (05/04/2002).

Mana satu Dr Mahathir ni? Imej dari mStar.

Pada hari ini, ahli parlimen Langkawi adalah Datuk Ir Nawawi Ahmad. Tapi Nawawi ni banyak juga kontroversi yang dia pernah buat. Antaranya adalah pasal dia kaitkan baginda YDP Agong dengan kes “Malaysian Official 1” (MO1). Tapi Nawawi akhirnya tarik balik kenyataannya tu dan mohon ampun kepada YDP Agong.

Sebelum tu, Nawawi pun ada buat lagi satu kontroversi pasal isu duit rakyat. Hal ni jadi bila ada orang dakwa gajinya tu sebagai duit rakyat. Tapi Nawawi jawab dakwaan tu dengan kata – gajinya tu bukan daripada rakyat tapi dibayar oleh kerajaan dan duit kerajaan bukanlah duit rakyat. (Bukan main jawapannya)

“Sekali duit terlepas ke pihak lain ia bukan lagi duit kita… Kalau duit kerajaan duit rakyat maka marilah kita ramai ramai pi serang semua jabatan kerajaan ambil balik duit kita.” – Kata Nawawi Ahmad. Dipetik dari Astro Awani.

MP Langkawi. Imej dari TV14.

Walaupun banyak pihak yang bantah kenyataan dia ni, Nawawi tetap pertahankannya. Perkara ni juga dikritik oleh Datuk Ibrahim Ali (Presiden PERKASA).

“Dia (Nawawi) itu sekolah di mana? Tanya pada dia kerajaan dapat duit daripada mana? Tentulah daripada cukai yang dibayar oleh rakyat, bererti segala-galanya adalah duit rakyat.” – Ibrahim Ali, katanya kepada Astro Awani.

Hurmmmm. Imej dari Malaysiakini.

Disebabkan kontroversi yang MP Langkawi buat ni, mungkin ke Dr Mahathir akan ada peluang cerah untuk menang kat Langkawi? 

Menurut penganalisis politik USM, Prof Dr Sivamurugan Pandian, Dr Mahathir ada peluang cerah untuk menang kat Langkawi. Sebabnya hubungan Dr Mahathir dengan pulau tu sangat rapat.

“Ia akan jadi cabaran besar kepada UMNO untuk berhadapan dengan Dr Mahathir di sana. Anda tak boleh pandang rendah kepada Dr Mahathir.” – Prof Dr Sivamurugan Pandian, katanya kepada The Star.

Nak lawan Mahathir? Imej dari imgflip.com

3. Putrajaya – Lahir dari usaha dan idea Dr Mahathir

Pada asalnya, Putrajaya dulunya cuma ada ladang getah dan ladang kelapa sawit je. Tapi, siapa sangka, Dr Mahathir boleh ubah kawasan ni jadi pusat pentadbiran negara menggantikan Kuala Lumpur. Punca utama kenapa Putrajaya dibentuk adalah sebab nak elakkan kesesakan lalu lintas kat Kuala Lumpur.

Dr Mahathir juga kata penjajah British yang bertanggungjawab jadikan Kuala Lumpur sebagai ibu kota dan ia bukannya atas pilihan rakyat atau raja-raja Melayu.

”Putrajaya adalah pusat pentadbiran khusus untuk Malaysia yang merdeka. Tiada kaitan dengan penjajah dan zaman lama yang mana orang lain yang meneroka. Putrajaya adalah hak kita. Kita buat Putrajaya adalah untuk kebanggaan kita sendiri. Itu hasrat kita.” – Dr Mahathir, dipetik dari Utusan Malaysia (21/07/1999).

Dr Mahathir rasmikan pembukaan Putrajaya. Mat Taib pun ada kat situ. Imej dari yeopmaz.com

Idea nak buat Putrajaya ni muncul pada tahun 1993 dan mula dibina pada 1995. Akhirnya pada akhir tahun 1999, ia dah sedia untuk diduduki. Ahli parlimen untuk Putrajaya sekarang adalah Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) yang rasanya semua orang dah pun kenal. Ku Nan lah yang tubuhkan UMNO bahagian Putrajaya yang masa tu cuma ada lebih kurang 800 orang pengundi je.

Pada tahun 2004, Putrajaya dah dijadikan kawasan parlimen dengan pengundi berdaftar seramai 5,986 orang. Masa tu jugalah Ku Nan menang lawan calon PKR dan jadi ahli parlimen Putrajaya. Ku Nan lepas tu tetap kekalkan kedudukannya dalam PRU-2008 dan PRU-2013.

Sayang betul Ku Nan dengan PM kita. Imej dari astrogoread.

Tapi masa PRU-2013, pertandingan kat Putrajaya agak lebih menarik sebab Ku Nan ditentang oleh Datuk Husam Musa sebagai calon PAS masa tu. Masa ni, boleh kata ramai yang masih anggap Husam tak mampu nak kalahkan Ku Nan. Dr Mahathir juga masa tu persoalkan siapa Husam nak rampas Putrajaya.

Tapi untuk masa sekarang, berkemungkinan Dr Mahathir pulak yang nak tawan Putrajaya yang  dibinanya dulu. Malah sebelum ni, Husam sendiri pernah cadangkan Dr Mahathir bertanding kat Putrajaya. Tapi bagi penganalisis politik Prof Dr Awang Azman Awang Pawi, kerusi Putrajaya sebenarnya agak susah untuk Dr Mahathir.

“Undi penjawat awam selalunya dipengaruhi oleh kerajaan sedia ada dan pada masa ini tiada bayangan bahawa ia (penampilan Dr Mahathir) akan beri kesan pada PRU14.

Pengundi ini kelihatan seperti akan kekal bersama BN memandangkan mereka takut dengan (tawaran) pembangkang, lebih-lebih lagi dengan pengumuman untuk kurangkan kos kerajaan.” – Katanya kepada Malaysia Insight.

Korang dah semak pusat mengundi? Imej dari jejariruncing.blogspot

Langkawi atau Kubang Pasu dilihat sebagai kerusi paling sesuai untuk Dr Mahathir bertanding

Macam yang kita dah baca tadi, penganalisis-penganalisis politik dah pun bagi pandangan-pandangan diorang. Ada yang kata Langkawi baik dan ada juga yang kata Kubang Pasu lagi baik. Macam pendapat dari Prof Dr Khoo Kay Peng yang kata Kubang Pasu adalah kerusi terbaik untuk Dr Mahathir bertanding. 

Tapi bagi Geostrategis Azmi Hassan, kerusi Langkawi pula yang paling sesuai untuk Dr Mahathir turun bertanding. Sebabnya, banyak pembangunan kat Langkawi adalah hasil usaha Dr Mahathir. Tentang Putrajaya pula, Azmi pun berpendapat yang ianya masih tak berapa sesuai untuk Dr Mahathir.

“Pengundi Putrajaya terdiri dari penjawat awam dan jika diteliti seharusnya tiada masalah kepada Tun M untuk bertanding di sini. Tetapi dengan wujudnya persepsi Tun cuba guling kerajaan yang dipimpin UMNO melalui PH yang DAP dianggap paling berpengaruh, maka faktor ini dianggap negatif oleh pengundi Putrajaya. Sebab itu dihujahkan putrajaya tidak sesuai untuk Tun.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.

Adakah kita akan nampak gandingan Mahathir-Anwar sekali lagi? Imej dari Utusan Malaysia.

Apa yang pasti, pada PRU akan datang, kita akan nampak senario politik yang cukup menarik. Dr Mahathir nampaknya kembali bersilat di gelanggang politik. Sama ada HARAPAN boleh menang atau tak, dan kat mana Dr Mahathir akan bertanding, kita tunggu dan lihat bersama-sama.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.