Lelaki Jepun ni memotong kulit orang yang bertatu dan mempamerkannya

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 29 Disember 2017

UPDATE 5/12/2019: Selama 3 hari bermula 29 November 2019 dah diadakan Ekspo Tatu 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Namun, tersebar gambar separuh bogel para peserta yang mendapat kritikan ramai. Pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kemudiannya mengarahkan siasatan akan dibuat ke atas pihak penganjur.

Bila bercakap pasal tatu ni, sebenarnya ada sejarah yang lebih mendalam yang ramai tak tahu. Lukisan tatu orang dahulu ada makna lain berbanding zaman sekarang yang sekadar mengikut trend. Jadi…sambung baca artikel ni.


Malaysia dan Jepun dah lama jadi member. Sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka, sejarah telah membuktikan yang kerajaan kita ada hubungan dengan kerajaan Ryukyu. Di Muzium Okinawa, tersimpan 19 pucuk surat dari kerajaan Ryukyu dan 11 daripada kerajaan Melaka.

Sayang menyayang, cinta dikenang. Perasaan menjadi rindu~~ Imej dari Japan.kantei.go.jp.

Dr Mahathir sendiri pernah melancarkan dan mempopularkan Dasar Pandang ke Timur untuk mencontohi negara-negara Asia kita berbanding negara Eropah seperti British; dan antara negara contoh yang utama adalah Jepun di mana kegigihan mereka bekerja telah diperkenalkan ke dalam organisasi di Malaysia.

Tapi dah tentulah mana-mana negara dan budaya pun ada sisi gelapnya sendiri. Dan dalam artikel ni, SOSCILI nak cerita pasal budaya Irezumi atau memakai tatu yang merupakan tradisi yang dah lama wujud.

Budaya tatu dalam masyarakat Jepun mulanya digunakan untuk pekerja seks

Irezumi adalah seni lukisan dengan memasukkan dakwat atau kandungan lain ke dalam kulit. Dakwat tu dimasukkan dengan menggunakan peralatan tajam yang bersifat kekal dalam kulit. Seni ni telah dikesan bermula sejak era Jomon atau Zaman Neolitik Jepun. Waktu populasi makin berkembang pada era pemerintahan Edo, kerajaan mula menggunakan tatu untuk membezakan penjenayah-penjenayah yang ada.

Jenis tatu berbeza untuk penjenayah yang berbeza. Imej dari Soranews24.

Pada waktu tu, pekerja seks (Yuujyo) juga mempunyai tatu untuk menunjukkan rasa romantik diorang kepada pelanggan. Tatu yang tertulis pada badan diorang juga ada maksud tersendiri.

“Tatu-tatu ini dipanggil irezumiko (入墨子), ia bermula dengan nama pelanggan dan berakhir dengan perkataan inochi (命), yang bermaksud kehidupan. Secara keseluruhannya, tatu yang tertulis itu bermaksud “Aku mengabdikan kehidupanku kepada (nama pelanggan)”.”- Petikan dari Tsunagu Japan.

Waktu pemerintahan Meiji, seni memakai tatu ni telah diharamkan hingga Perang Dunia Kedua. Waktu Perang Dunia Kedua berakhir, Jepun kalah yang menyebabkan Amerika menguasai negara diorang. Seni memakai tatu kemudiannya dibenarkan semula. Pada tahun 1950-an, pemakaian tatu makin popular apabila kumpulan sindiket jenayah Jepun atau Yakuza makin berkembang. Tatu yang dilukis pada badan ahli Yakuza ni adalah bukti kesetiaan dan pengabdian diorang kepada organisasi tu.

Orang Yakuza bila bertatu, dah macam pakai baju. Imej dari Slodive.

Sebelum jadi popular, Yakuza sebenarnya dah bermula lama dulu waktu Tokugawa Shogunate memerintah (1603-1868). Kajian sejarah bagitahu yang kumpulan ni terbentuk dari dua geng yang berbeza.  Dua geng tu adalah:

  1. TEKIYA: Kumpulan penjaja yang pergi dari kampung ke kampung untuk jual barang. Barang bukan sekadar barang. Diorang jual barang tak berkualiti tapi promote barang tu macam berkualiti (bahasa mudah kencing pelanggan).
  2. BAKUTO: Geng ni buat aktiviti perjudian tapi ada macam-macam jenis penipuan terhadap petani, pekerja buruh dan lain-lain. Diorang juga ada buat tempat persinggahan tepi jalan untuk siapa-siapa yang travel. Tapi selain berehat, diorang boleh join main judi. Bakuto ni juga mengembangkan perniagaan dengan buat pinjaman kepada orang dengan bunga yang tinggi. Sampaikan akhirnya diorang boleh tubuh pasukan tentera (poor people’s army) dan terlibat dengan aktiviti politik. Ahli Bakuto jugak pakai tatu satu badan sebagai tanda yang diorang adalah geng tu.

Geng Bakuto dan Tekiya sebenarnya buat aktiviti di kawasan yang sama. Tapi, diorang tak gaduh sebab masing-masing buat hal sendiri. Dari perkembangan dua kumpulan ni lah akhirnya terbentuk geng Yakuza. Nama Yakuza dikatakan berasal dari nama nombor dalam permainan judi (hanafuda) macam ni: ya (lapan), ku (sembilan) dan za (tiga). Tiga nombor ni kalau dicampurkan jadi dua puluh yang merupakan nombor yang tak berguna dalam game tu.

Tak tahulah mesyuarat atau mengumpat boss. imej dari Vintag.es.

Yakuza ni ada banyak jenis geng dan semuanya akan duduk bawah 20 geng utama. Geng utama paling besar dan ramai adalah Yamaguchi-gumi di Kobe yang ada sejak 1915 lagi. Geng utama besar yang lain termasuklah Simoyoshi-kai di Osaka dan Inagawa-kai di Tokyo dan Yokohama. Geng-geng ni terlibat dengan jenayah antarabangsa macam penyuludupan dadah dan senjata serta pemerdagangan manusia. Dah lama sikit, diorang dah kurang aktiviti ganas ni dan buat pulak jenayah kolar putih melibatkan rasuah.

Diorang ada saham dalam syarikat-syarikat besar kat Jepun yang terlibat dengan sektor bank, pasaran hartanah dan perniagaan antarabangsa. Apa yang mengejutkan, di sebalik aktiviti jenayah, diorang juga ada kumpulan bantuan kemanusiaan tersendiri. Waktu bencana gempa bumi di Kobe tahun 1995, Yakuza adalah pasukan pertama yang menghantar bantuan kepada mangsa. Diorang juga terlibat menghantar bantuan dan bekalan kepada mangsa Tsunami Jepun 2011.

Kenichi Shinoda, ketua Yakuza geng Yamaguchi-gumi yang dibebaskan dari penjara tahun 2011. Imej dari CNN.

Walaupun nampak aktif, jumlah ahli Yakuza sebenarnya dah banyak berkurang. Sejak tahun 1995, kerajaan Jepun makin tegas dengan geng penjenayah macam Yakuza ni. Kerajaan dah memperkenalkan akta yang menghalang akviti haram oleh ahli kumpulan jenayah. Kesannya juga, seni memakai tatu jugak dapat nama yang buruk dan mula dapat bantahan banyak pihak.

Dr. Fukushi: Orang yang ditugaskan mengumpul kulit badan bertatu

Orang yang ada tatu di Jepun berdepan dengan diskriminasi yang teruk. Contohny, syarikat-syarikat takkan ambil pekerja yang bertatu. Undang-undang juga diperkenalkan yang mana doktor sahaja yang boleh melukis tatu pada badan seseorang. Untuk pembuat tatu pulak, diorang boleh teruskan buat tatu pada pelanggan tapi kena ada lesen perubatan.

Aku doktor dan aku ada tatu. So, siapa yang pakaikan tatu aku? Imej dari doctoraveronica.blogspot.

Tentangan terhadap budaya tatu di Jepun memang hebat. Sampaikan Datuk Bandar Osaka mengharamkan pekerja kerajaan kat situ memakai tatu. Antara punca tatu ni dipandang buruk sebab ia banyak dikaitkan dengan Yakuza walaupun yang pakai tatu ni tak semestinya dalam geng tu.

“Persamaan matematik ‘tatu=Yakuza’ adalah sesuatu yang telah mempengaruhi masyarakat Jepun”- Petikan dari Tsunagu Japan.

Anggapan ni menyebabkan budaya tatu makin dilupakan ditambah pulak dengan diskriminasi dari banyak pihak. Untuk mengelakkan budaya ni lenyap, Dr. Fukushi, ahli Patologi Universiti Tokyo sudah mengumpul kulit-kulit badan bertatu ni di muzium. Dr. Fukushi ni memang peminat seni tatu sejak tahun 1926 lagi. Dialah yang bertanggungjawab mencari penderma yang sanggup bagi kulit diorang selepas mati. Setakat ni, dah ada 120 koleksi kulit manusia bertatu di Muzium Perubatan Patologi Universiti Tokyo. 

Kulit-kulit yang siap disiat. Imej dari Tattoodo.

Korang dengar macam ngeri, kan? Tapi, Dr. Fukushi ni akan tawarkan bayaran kepada penderma tu kalau sanggup wariskan kulit diorang kepada muzium. Kiranya duit tu dapatlah pada anak cucu. Lepas penderma ni dah mati, kulit-kulit ni akan diawet selepas dipisahkan dari badan penderma sebelum dipamerkan di bekas berkaca.

Dr. Fukushi menggunakan dua cara pengawetan iaitu:

  1. Pengeringan: Tubuh manusia tu dikeringkan dan dikupas kulitnya. Saraf dan urat kemudiannya dikikis. Kulit tu akan ditarik dan ditampal untuk dikeringkan. Beberapa bahan kimia digunakan untuk memelihara kulit tu.
  2. Pembasahan: Selepas kulit dikupas, ianya tak dikeringkan Tapi, ia direndam ke dalam cecair sama ada glycerin atau alkohol formalin untuk dipelihara.
Kulit yang dah diawet dan dipamerkan. Imej dari Tattoodo.

Walaupun rasa gatal tekak dan mual-mual dengar benda ni, tapi muzium Universiti Tokyo bukanlah satu-satunya yang mempamerkan kulit bertatu. Dan orang Jepun juga bukanlah satu-satunya yang sanggup dermakan kulit diorang sebab…

Lelong kulit badan dengan harga lebih 70 ribu di Ebay

Mrozowski dari Poland dah pun meletakkan harga kulit badan bertatu miliknya dalam website Ebay. Dia melelong kulitnya dengan harga 75,000 pound. Tujuannya untuk jadikan kehidupan anaknya lebih selesa lepas dia mati.

 “Orang cakap yang saya ini gila, tapi, kita semua akan mati dan sebahagian orang mendermakan organ mereka, sebahagian orang tak berbuat apa-apa dengan badannya. Saya tak rugi apa-apa.”- Mrozowski, petikan dari Express.

Di Australia, Geoff Ostling yang juga digelar Beruang Bertatu, dah bersedia untuk dermakan kulit badannya kepada muzium. Kes ni samalah macam kat Jepun. Tapi, tak semua orang yang ada tatu ni nak jual pada muzium. Ada yang lagi berminat untuk jual kepada pengumpul barang-barang seni sebab nilai kesenian yang tinggi ada pada tatu diorang tu.

Inilah rupa Beruang Bertatu. Imej dari Wikimedia.

Itulah yang  berlaku kepada Tim Steiner yang dah bersetuju untuk menyerahkan kulit badannya kepada pengumpul barang seni dari Jerman. Tatu pada badannya telah dilukis oleh Wim Delvoye yang merupakan pelukis yang sangat terkenal dan penuh kontroversi. Wim Delvoye ni pulak, pernah jual kulit badan bertatu yang dikumpulkan dengan harga 200 000 Euro. Di negara barat memang jual-menjual ni biasa sampai ada pameran 300 kulit badan manusia bertatu di di London’s Welcome Collection.

Aktiviti pameran kulit badan diawet dan jual menjual taklah menjadikan tatu ni elok untuk dipakai. Sebab negara barat juga ada banyak keluar kajian yang membuktikan…

Kajian kata tatu boleh halang peluh untuk keluar

Sebab tatu ni kekal pada badan manusia adalah kerana dakwat tu disuntik masuk kat bahagian paling bawah lapisan kulit. Molekul dakwat tadi tu akan dibekukan oleh sistem imun badan. Menurut satu kajian, partikel dakwat tu boleh masuk ke dalam darah dan sistem peredaran limfa (sistem peredaran cecair dalam badan). Buktinya, kajian tu jumpa bahan-bahan logam dalam badan orang bertatu macam mercury, cadmium dan tembaga. Sebahagian dari bahan-bahan ni merupakan bahan toksik kepada badan manusia.

Badan besi jenis Iron.

“Satu kajian tahun ini (2017) menemui bahawa tatu boleh mengganggu cara kulit anda untuk berpeluh.”- Petikan dari Time.

Antara bahagian badan yang banyak keluarkan peluh adalah bahagian belakang badan. Orang yang tak ada tatu akan keluarkan semua peluh. Tapi, orang yang bertatu hanya mampu keluarkan 50% peluh daripada yang sepatutnya. Tatu yang ada juga akan mengganggu seseorang tu untuk sejukkan badan dengan mengeluarkan peluh.

Disebabkan tak ada undang-undang dan kawalan terhadap dakwat tatu, isi kandungan dakwat tu sendiri ada macam-macam masalah tercemar. Menurut kajian di Denmark, 10% botol dakwat tatu yang belum pun lagi dibuka dan digunakan dah pun tercemar. Jadinya, dakwat tatu yang ada di pasaran ni ada kandungan macam-macam bakteria.

Saya tak tahu peluh saya keluar kat mana. Imej dari Ezinemark.com.

Penggunaan tatu di Malaysia hanya untuk budaya dan kepercayaan tertentu

Di Malaysia, tatu bukanlah untuk dipakai saja-saja. Contohnya, penggunaan tatu tak dibenarkan kepada pegawai polis yang beragama Islam. Tapi, pegawai polis bukan Islam termasuk orang Asli dibenarkan bertatu berdasarkan keperluan agama, budaya dan kepercayaan. Ianya mesti dipakai selepas mendapat kelulusan pentadbiran polis.

Antara masyarakat di Malaysia yang memang budayanya bertatu adalah kaum Iban. Tatu bagi orang Iban zaman dulu adalah simbol keberanian, kepahlawanan dan sebahagian upacara ritual untuk meraikan kejayaan memenggal kepala musuh mereka. Seni tatu orang Iban juga pernah menerima Anugerah Penghormatan Budaya pada tahun 2001 di Switzerland.

Orang Iban dan tatu tak boleh dipisahkan. Imej dari fineartamerica.

Malangnya, tatu dalam golongan muda pada hari ini banyak dipengaruhi hiburan dan budaya Barat. Menurut Dr Hanapi (Pakar Sains Sosial UKM), tatu yang dilukis pada mereka ada unsur-unsur moden tanpa ada maksud dan tujuan yang jelas dari segi fungsi sosial.

Cadangan supaya kedai membuat tatu tak ambil pelanggan orang Islam sebagai satu usaha

Di Malaysia, penggunaan tatu masih lagi dibenarkan dan dihormati untuk meraikan budaya dan kepercayaan masing-masing. Untuk orang Islam, isu ni sudah ada rujukannya.

Jabatan Mufti Negeri Pahang dan Negeri Sembilan dah putuskan, hukum bertatu pada pandangan Islam adalah haram sama ada pembuat tatu atau pun orang yang ditatu. Hujahnya adalah berdasarkan hadith sahih Bukhari bahawa Allah melaknat perempuan yang membuat tatu dan minta dibuat tatu. Tapi, bagi diorang yang dah pun bertatu dan ingin kembali, mesti berusaha hilangkannya dengan cara yang selamat. Kalau tak boleh dihilangkan, bolehlah buat ibadat solat dan lain-lain.

Abang Long Fadzil, gengster Singapura yang dah insaf. Imej dari Eramuslim.

Jabatan Mufti N. Sembilan juga ada bagi pandangannya tersendiri. Pihak berwajib kalau nak luluskan permit kedai membuat tatu, mesti bagi syarat supaya pekerjanya adalah orang beragama lain serta pelanggan beragama Islam jangan dibenarkan untuk dapat khidmat diorang. Jadinya, kerjasama semua orang diperlukan untuk menghormati kepercayaan semua agama termasuk agama Islam mengenai tatu ini.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT