Di Afghanistan, budak lelaki berpakaian wanita menari untuk lelaki berusia

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 5 Mei 2017*

____________________________________________________________

Kalau bercerita tentang negara Afghanistan, mesti akan terkait sekali dengan Taliban yang pernah memerintah negara tu dari tahun 1996-2001. Selain daripada tu, Afghanistan juga memang terkenal antara negara paling ‘alim’ di dunia kerana dikatakan mengamalkan undang-undang syariah dengan sangat ketat.

Tapi tahukah korang yang walaupun dari luar Afghanistan ni seperti betul-betul mengikut ajaran agama Islam, negara ni sebenarnya menyimpan satu sisi hitam yang kerajaan diorang pun tak boleh nak selesaikan sampai sekarang.

Kat sana, wujud satu tradisi menjijikkan berusia ratusan tahun di Afghanistan yang dinamakan ‘bacha bazi’.

Apa itu ‘bacha bazi?’

‘Bacha bazi’ ni secara literal bermaksud ‘permainan budak lelaki’. Bacha bazi merupakan satu tradisi lama Afghanistan yang mengambil lelaki-lelaki muda yang berpakaian seperti perempuan. Kemudian, diorang akan disuruh untuk menari di hadapan lelaki-lelaki lebih tua di pesta, majlis kahwin dan keramaian peribadi. Lelaki-lelaki muda ni ada tuan masing-masing. Diorang ni dimiliki oleh lelaki bujang atau yang dah berkahwin untuk disimpan seperti gundik.

‘Bacha bereesh’ pula adalah gelaran untuk budak-budak lelaki yang tak ada janggut. Dekat Afghanistan, budak-budak macam ni memang menjadi kegemaran lelaki-lelaki kaya dan berkuasa untuk dijadikan simpanan diorang.

Seorang bacha bereesh dipakaikan dengan pakaian wanita. Gambar daripada inthiscarload.wordpress

Bacha bereesh yang jadi penari ni selalunya berumur dalam lingkungan lapan hingga 18 tahun. Diorang akan dipakaikan pakaian perempuan, siap mekap dan loceng pada kaki lagi. Kemudian diorang akan diarak untuk menari dikelilingi oleh lelaki-lelaki berusia. Secara amnya, memang jadi perkara biasa kat Afghanistan untuk lelaki menari di pesta-pesta keramaian sebab ada pemisahan yang ketat antara lelaki dan perempuan. Tuan-tuan diorang siap buat pertandingan menari lagi antara bacha bereesh diorang.

Budak lelaki disiapkan oleh tuannya dengan pakaian wanita. Gambar daripada sbs.com.au

Malah yang lebih tragik lagi, ada bacha bereesh yang semuda sepuluh tahun selalunya akan bergilir-gilir jadi mangsa pemuas nafsu seks tuan-tuan diorang selepas selesai diorang menari. Menjadi perkara biasa juga bila bacha bereesh ni akan dapat tuan baru sebab tuan-tuan diorang akan menjalankan aktiviti jual beli bacha bereesh ni sesama diorang. Status seseorang tuan tu diukur bacha bereesh siapa yang paling cantik dan paling pandai menari. Memandangkan tradisi bacha bazi ni diterima secara meluas di Afghanistan, ia tak dianggap sebagai satu perlakuan homoseksual walaupun dilarang keras oleh Islam.

Bayangkan budak-budak sekecil ni boleh kena rogol dengan lelaki tua. Gambar daripada louderwithcrowder.com

Macam mana bacha bazi ni boleh wujud?

Dikatakan kewujudan penari-penari lelaki ni berasal dari Rusia pada abad ke-19. Ada juga kajian yang menyatakan bacha bazi ni berasal dari Turkestan di Asia Tengah.

Kajian lain pula beritahu yang amalan menyimpan bacha bereesh ni ada kena-mengena dengan Seyyid Mir Mohammed Alim Khan, seorang Amir dari Bukhara yang juga merupakan keturunan terakhir Genghis Khan. Mir-Alim ni ada rumah pelacuran wanita dan lelaki. Sewaktu beliau diserang dari Bolsheviiks, beliau telah lari ke Afghanistan untuk perlindungan pada 1920.

Tradisi bacha bazi ni boleh juga dibuat perbandingan dengan sejarah köçek, iaitu satu tradisi Turki yang memakaikan budak lelaki dengan pakaian wanita untuk menari dan menghiburkan orang semasa zamn Empayar Uthmaniyyah dulu. Tapi, amalan köçek di Turki ni diharamkan pada 1857 semasa pemerintahan Sultan Mahmud. Jadi, ramai penari lelaki ni lari ke Mesir.

Bacha bazi ni dah jadi amalan biasa dalam kalangan penduduk Pashtun luar bandar di sekitar selatan dan utara Afghanistan Pashtun dan juga etnik Tajik di utara Afghanistan. Panglima-panglima mujahidin perang Afghanistan yang melawan pencerobohan Soviet juga terlibat dengan bacha bazi ni.

Beberapa orang lelaki dengan bacha bareesh di Turkestan sekitar tahun 1865-1872. Gambar daripada wdl.org

Macam mana pemilihan bacha bazi ni dilakukan?

Selalunya budak-budak lelaki akan dipilih berdasarkan rupa diorang yang cantik dan datang dari keluarga miskin. Kadang-kadang ada keluarga yang setuju untuk jadikan ahli keluarga diorang dimiliki oleh tuan-tuan bacha bereesh ni. Kemudian, budak-budak lelaki ni akan diambil dan diajar menari dan menyanyi ikut muzik. Tarian dan nyanyian diorang depan lelaki-lelaki berusia ni akan dirakam untuk dijual sebagai DVD.

Apabila umur diorang mencecah 18-19 tahun, selalunya diorang dah jadi lelaki dewasa. Masa inilah tuan-tuan diorang akan kurang minat pada diorang sebab dah rasa tak bernafsu. Jadi, diorang akan dilepaskan oleh tuan masing-masing. Bila diorang dah bebas, bacha bereesh ni bolehlah kahwin dan dapatkan status diorang sebagai seorang ‘lelaki’. Tapi, stigma sebagai penari bacha bazi memang kuat kat sana. Diorang akan dipandang serong.

Salah seorang bacha bereesh bernama Mustafa beritahu, dulu masa dia kecik, datuk dia selalu pesan supaya berhati-hati dengan lelaki-lelaki kat luar sebab Mustafa ni handsome. Satu hari tu, ada sorang mekanik buat perkara tak elok kat dia. Lepas tu dia kena buang dengan keluarga dia. Jadi, dia terpaksa ikut tinggal dengan mekanik tu. Sekarang ni Mustafa tinggal dengan orang lain pula yang ajar dia menari. Bila ditanya apa perasaan dia bila lelaki-lelaki berusia pakaikan dia dengan pakaian wanita, Mustafa beritahu dia okey je.

Bahaya kalau bermuka jambu di Afghanistan. Gambar daripada reclaimourrepublic.wordpress.com

Salah seorang bacha lain yang bernama Omid (bukan nama sebenar) baru 15 tahun. Ayah dia dah meninggal terpijak periuk api. Jadi, sebagai anak lelaki sulung, dia bertanggungjawab untuk jaga mak dia yang terpaksa minta sedekah dan dua orang lagi adik lelaki dia.

Dia ambil keputusan menari kat majlis-majlis kahwin sejak umur dia sepuluh tahun selepas ayah dia meninggal. Dia terpaksa buat kerja ni sebab diorang sekeluarga kelaparan. Omid akan dapat kira-kira RM 8.80 atau sepinggan nasi pilau lepas selesai menari. Yang sedihnya, kadang-kadang tu dia kena rogol beramai-ramai.

Bila ditanya kenapa dia tak nak lapor kat polis, dia kata polis pun tak dapat buat apa-apa sebab lelaki-lelaki yang rogol dia tu berkuasa dan kaya. Ibu Omid tahu yang Omid jadi penari kat majlis keramaian tapi dia lebih risau apa nak makan untuk keesokan harinya. Dia sendiri tak boleh buat apa-apa.

Di negara-negara lain, perlakuan macam ni dah dianggap sebagai pedofilia. Tapi di Afghanistan, pemangsa ni dijaga oleh polis sebab polis sendiri takut nak buat diorang ni marah. Tuan-tuan yang memiliki bacha bereesh ni terdiri daripada golongan berpengaruh dan kaya. Kadang-kadang diorang ada sampai sepuluh orang bacha bereesh sebagai simpanan. Bila bacha bereesh diorang cantik itu simbol kekuasaan, dan bila kuantiti bacha bereesh yang diorang ada juga menunjukkan simbol kekayaan. Sebab diorang kena keluarkan banyak duit untuk bagi bacha bereesh diorang pakaian, makan dan bayar upah.

Salah seorang bacha bereesh dengan tuan dia. Gambar daripada aconspiracyofhope.blogspot.my

“Perempuan untuk besarkan anak. Lelaki muda untuk berseronok.”

Semasa Afghanistan bawah Taliban dulu, wanita dan anak perempuan memang didiskriminasi dengan teruk. Taliban ni kuatkuasakan undang-undang syariah Islam versi diorang. Jadi, perempuan dilarang belajar, kerja, keluar rumah dan banyak perkara lain lagilah dilarang. Selepas Taliban disingkirkan pun sebenarnya, diskriminasi terhadap wanita masih lagi ada walaupun diorang dah boleh kerja dan sambung belajar. Wanita dianggap sebagai kelas kedua di Afghanistan. Keganasan terhadap wanita masih lagi berlaku.

Tuan-tuan bacha bereesh ni menganggap hubungan seksual diorang dengan budak-budak lelaki sebagai satu perlakuan yang tak melanggar moral pun. Bagi diorang, buat hubungan seksual dengan lelaki lebih beretika daripada lepaskan nafsu diorang kat perempuan. Sebab tu la bacha bereesh ni dipakaikan dengan pakaian wanita. Lagi pula, budak-budak lelaki lagi senang nak dapat berbanding dengan perempuan yang tak boleh keluar rumah sesuka hati. Bagi diorang, tak salah pun buat hubungan seksual dengan budak-budak lelaki sebab diorang ni masih lagi belum akil baligh. Jadi tak sama kalau nak bandingkan diorang ni sebagai homoseksual.

Pemilik bacha bereesh juga sering mengungkap kata-kata; “Perempuan berfungsi untuk menjaga anak dan lelaki muda digunakan untuk berseronok.” Jadi itu sebabnya, budak-budak lelaki jadi pilihan diorang untuk melepaskan nafsu.

Perempuan hanya diletakkan sebagai kelas kedua je. Gambar daripada refusetobesilent.wordpress.com

Perempuan juga dianggap kotor

Memandangkan di Afghanistan lelaki tak boleh berbual dengan wanita sesuka hati dan tak boleh pun tengok diorang sampailah dah kahwin nanti, jadi ada antara diorang yang guna alternatif lain. Lelaki-lelaki dewasa ni akan cari budak-budak lelaki. Lelaki boleh dilihat dan diorang tahu mana satu lelaki yang cantik. Berbanding dengan perempuan yang tak dapat dilihat, jadi susah diorang nak jatuh cinta kalau tak nampak muka.

Hingga diorang dah kahwin pun, lelaki-lelaki ni masih simpan bacha bereesh. Alasan diorang, diorang tak rasa suasana cinta tu di rumah. Lebih-lebih lagi, agamawan fundamentalis menerangkan keadaan perempuan yang kotor sewaktu datang haid. Ada juga lelaki yang rasa jijik bila diberitahu macam mana perempuan boleh mengandung. Diorang tak ada perasaan pada perempuan yang dicipta kotor sebegitu.

Itu pun menjadi sebab kenapa wanita di sana disorok dan adakalanya direjam dengan batu sampai mati kalau dikatakan berkelakuan tidak elok.

Taliban pernah haramkan bacha bazi

Taliban memang benci dengan tradisi bacha bazi. Diorang pernah haramkan bacha bazi ni semasa memerintah Afghanistan dulu. Menurut satu kenyataan daripada Kandahar Comes out of the Closet, salah satu sebab Taliban boleh berkuasa di Afghanistan pada awal 1990-an dulu adalah disebabkan penentangan diorang terhadap pedofilia. Walaupun bacha bazi jadi perkara tabu semasa pemerintahan Taliban, tapi tradisi ni masih dijalankan secara rahsia.

Bila komander-komander mujahidin kembali berkuasa pada 2001 selepas Taliban disingkirkan, diorang bawa semula tradisi bacha bazi ni. Hari ni, ramai panglima-panglima perang ni berkhidmat sebagai orang-orang penting seperti gabenor, menteri, ketua polis dan panglima perang.

Selepas 2001, tradisi bacha bazi semakin berkembang dan diamalkan di kebanyakan tempat di Afghanistan. Disebabkan takde undang-undang dekat kawasan Pashtunistan dan utara Afghanistan, jadi jenayah pedofilia memang berleluasa. Kanak-kanak lelaki dirogol, diculik dan diperdagangkan untuk meningkatkan lagi pengaruh dan kuasa seseorang.

Kanak-kanak yang tak berdosa diperlakukan seperti haiwan. Gambar daripada theinternationalreporter.org

Tentera Amerika tak boleh masuk campur hal bacha bazi ni

Tentera-tentera Amerika Syarikat yang bertugas di Afghanistan selepas 2001 beritahu yang diorang terkejut tengok lelaki sesama lelaki berpegangan tangan kat sana. Lans Korporal Geoffrey Buckley Jr. pernah beritahu ayah dia  yang dia pernah kena paksa untuk dengar jeritan kanak-kanak lelaki yang dirogol pada waktu malam. Tapi pegawai-pegawai tentera Amerika suruh dia alih pandang tempat lain sebab itu adalah budaya di Afghanistan.

Amalan bacha bazi ni diketahui orang luar bila Sgt. 1st Class Charles Martland buka cerita yang dia kena pecat daripada ketenteraan selepas membuat pengakuan bahawa ada polis Afghanistan yang dilatih oleh Amerika Syarikat merogol berkali-kali seorang budak lelaki 12 tahun. Pembongkaran ni sekali gus mengesahkan yang pihak berkuasa Amerika Syarikat di Afghanistan memang buat tak tahu dengan situasi pihak berkuasa Afghanistan yang merogol kanak-kanak lelaki.

Tentera Amerika diarahkan untuk buat tak peduli dengan bacha bazi. Gambar daripada inquisitr.com

Dan Quin yang merupakan bekas kapten Special Forces beritahu yang tentera Amerika Syarikat datang ke Afghanistan untuk selamatkan rakyat Afghanistan daripada Taliban yang tak peduli hak-hak kemanusiaan. Tapi, rupa-rupanya diorang bagi kuasa pada golongan yang lagi teruk daripada Taliban. Itu yang orang-orang kampung Afghanistan beritahu pada Dan Quin.

Kapten Quin pernah memukul seorang komander Afghanistan (sekutu Amerika) kerana merantai seorang budak lelaki di katil dan jadikan budak tu sebagai hamba seks. Selepas tu, Kapten Quin diarahkan untuk keluar dari Afghanistan. Dia kemudian terus tinggalkan dunia ketenteraan.

Kapten Dan Quin. Gambar daripada nytimes.com

Apa kesan yang dialami oleh bacha bereesh ni?

Dianggarkan kira-kira 50 peratus lelaki daripada puak Pashtun memiliki bacha bereesh ni. Disebabkan tradisi ni dah jadi biasa, populasi lelaki di Afghanistan memang mengalami kesan psikologi yang mendalam sebab pernah alami penderaan seksual masa kanak-kanak. Golongan berpengaruh Pashtun yang pernah terlibat dengan bacha bazi membesar menjadi pendera kanak-kanak juga. Kitaran ni akan sentiasa berulang-ulang.

Dari segi trauma fizikal pula, kebanyakan kes menyebabkan kecederaan fizikal akibat dirogol. Antaranya, pendarahan usus, rektum prolaps, bonjolan pada usus, tulang pelvis yang teranjak, kecederaan tekak, patah gigi, patah jari dan ada yang sampai menyebabkan kematian.

Disebabkan penderaan daripada tuan-tuan diorang ni, ada bacha bereesh ambil dadah dan alkohol sebagai satu mekanisme menghadapi penderaan tersebut. Mangsa bacha bazi ni juga akan menghadapi stigma sosial juga. Diorang ni dianggap memalukan semasa jadi bacha bereesh dan selepas diorang dibebaskan oleh tuan masing-masing. Diorang akan disisihkan oleh masyarakat. Nak dapat kerja dan kahwin pun susah.

Tiada siapa yang mengaku yang diorang pernah jadi bacha bereesh. Jika diorang nak kahwin, tak ada siapa boleh tahu kehidupan silam diorang dulu sebab tak ada siapa nak kahwinkan anak perempuan diorang dengan bekas bacha bereesh.

Merenung nasib yang tak pasti. Gambar daripada dailymail.co.uk

Ada seorang remaja lelaki bernama Faraidoon yang masa tu umur 13 tahun. Faraidoon ambil heroin supaya dia boleh hadapi kehidupan dia ni, tapi pada masa yang sama dia tetap dibawa untuk menari di pesta-pesta. Akhirnya dia lari daripada tuan dia dan dia berpindah-randah supaya tak dapat dikesan. Faraidoon jadi peminta sedekah di jalan-jalan di Kabul.

Ada beberapa orang budak lelaki beritahu yang diorang teringin nak larikan diri tapi takut dengan ugutan bunuh. Lagipun diorang tak tahu nak lari ke mana sebab tak diterima oleh masyarakat dan keluarga.

Macam ni agaknya keadaan Faraidoon. Gambar daripada dailymail.co.uk

Tapi ada juga bacha bereesh yang berfikiran berbeza. Contohnya, Ahmad (17 tahun) beritahu yang dia sayangkan tuannya. Dia suka menari dan berkelakuan seperti wanita. Dia suka bermain dengan tuan dia. Ahmad beritahu yang bila dah sampai masa dia pun nak ada bacha bereesh dia sendiri.

Kata Dr. Soraya Sobhrang yang mengetuai penyiasatan tentang amalan bacha bazi ni, keadaan Ahmad tu merupakan trauma psikologi kerana dia menganggap dia dia boleh teruskan bacha bazi ni. Keadaan ini akan berterusan dari generasi ke generasi.

Bukan hanya penari bacha bazi saja yang jadi mangsa

Selain daripada bacha bereesh yang jadi mangsa bacha bazi, mangsa sosial termasuk juga wanita-wanita. Wanita di Afghanistan hanya layak untuk kerja-kerja rumah dan menjaga anak. Diorang tak layak dapat kasih sayang daripada suami. Secara tak langsung hak-hak wanita di sana terabai.

Salah seorang lelaki Pashtun yang menyimpan bacha bereesh beritahu yang dia hanya bertemu dengan isteri dia pada hari Jumaat je. Hari-hari lain dia dengan bacha bereesh dia. Isteri dia tak tahan dan terus tinggalkan dia. Tapi si suami gembira dengan keputusan tu sebab dia dah biasa tidur dan berhibur dengan bacha bereesh dia. Ada juga bapa yang simpan dua orang bacha bereesh satu rumah dengan keluarganya. Bacha bereesh tu dilayan lebih elok daripada anak-anak dia sendiri.

Berhibur dengan bacha bereesh lagi seronok katanya. Gambar daripada dailymail.co.uk

Undang-undang korup tak dapat bendung amalan bacha bazi

Bacha bazi memang salah di sisi undang-undang Afghanistan tapi terlalu sedikit siasatan dan penguatkuasaan dilakukan untuk menghukum pesalah. Lagipun, yang terlibat dengan amalan bacha bazi ni terdiri daripada pegawai-pegawai polis, tentera dan pegawai-pegawai kerajaan.

Salah seorang wartawan bernama Najibullah Quraishi terkejut apabila diberitahu oleh pegawai-pegawai penguatkuasa bahawa takde pun bacha bazi berlaku di utara Afghanistan. Padahal, setiap malam Quraishi jumpa ramai pegawai penguatkuasa tersebut join pesta-pesta bacha bazi.

Memang ketaralah yang korupsi menyebabkan undang-undang tak dapat dilaksanakan dengan telus. Pegawai-pegawai yang diharapkan dapat membanteras jenayah ini, menjadi salah seorang yang terlibat dengan jenayah tu sendiri. Malah ada kes di mana pegawai polis mengugut bunuh seorang budak lelaki yang enggan melakukan hubungan seksual dengannya, tapi dia hanya ditahan beberapa bulan saja dan dijamin.

Pesta bacha bazi sambil polis pun join sekaki kat belakang. Gambar daripada dailymail.co.uk

Apa usaha PBB mengenai bacha bazi ni?

Pada 2009, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pernah cuba untuk tingkatkan kesedaran tentang isu bacha bazi ni. Tapi tak dapat respons yang baik daripada Afghanistan memandangkan Afghanistan ni negara yang konservatif. Homoseksualiti ni satu perkara tabu, hubungan heteroseksual pula dikawal dengan ketat, manakala bacha bazi ni memang dah ada dalam budaya diorang lama dulu.

Kemudian pada 30 Januari 2011, satu perjanjian baharu antara Afghanistan dan PBB dilakukan dengan harapan tiada lagi pengambilan anak-anak lelaki untuk direkrut menjadi hamba seks kepada pegawai-pegawai penguatkuasa dan orang berpengaruh. Wakil daripada PBB memberitahu yang diorang akan mengawasi dan membantu kerajaan Afghanistan untuk mengatasi jenayah hamba seks macam bacha bazi ni. Tapi berjaya ke usaha diorang tu?

Perjanjian dibuat antara PBB dan kerajaan Afghanistan. Gambar daripada un.org

Taliban umpan polis Afghanistan dengan bacha bereesh

Nampaknya hal bacha bazi ni masih tak selesai lagi di Afghanistan. Malah, Taliban yang kini jadi pemberontak di sana gunakan kelemahan pegawai-pegawai polis untuk kepentingan diorang.

Selama dua tahun kebelakangan ni, Taliban mengeksploitasi budak-budak lelaki di Afghanistan untuk dapatkan akses daripada beberapa orang pihak berkuasa kerajaan. Dengan mengumpan pihak berkuasa menggunakan budak-budak lelaki, Taliban dapat menyusup dan bunuh pihak-pihak berkuasa menggunakan dadah, racun dan tembak.

Serangan ni dipanggil Trojan Horse. Sekurang-kurangnya antara Januari hingga April 2016, dah enam serangan diorang lancarkan. Hasilnya, Taliban dapat bunuh beratus-ratus orang polis. Taliban tahu yang budak-budak lelaki yang cantik memang kelemahan polis-polis Afghanistan.

Antara serangan yang dibuat ialah hamba seks (bacha bereesh) komander sendiri membunuh tujuh orang polis termasuk komander ketika sedang tidur. 370 orang polis yang bertugas pusat pemeriksaan polis di Uruzgan sememangnya mempunyai bacha bereesh.

Walaupun surat daripada peguam diterima oleh ketua agensi di Uruzgan untuk menyiasat pegawai-pegawai polis yang simpan bacha bereesh, tapi diorang masih tak buat siasatan.  Diorang tahu komander-komander polis tak akan lepaskan diorang jika jenayah bacha bereesh ni disiasat. Diorang mungkin akan dibunuh.

Salah seorang budak lelaki yang dipaksa jadi hamba seks di Afghanistan. Gambar daripada thenational.ae

Sangat sukar nak hapuskan tradisi lama

Sebenarnya tradisi bacha bazi ni susah nak dihapuskan daripada kehidupan rakyat Afghanistan kerana dah jadi macam darah daging diorang. Lebih-lebih lagi, negara diorang berfikiran konservatif. Bukan itu saja, masalah korupsi yang teruk dan kemiskinan juga menjadi penyumbang terbesar kepada suburnya bacha bazi ni. Pendek kata, selagi tak ada usaha bersungguh-sungguh dilakukan untuk cegah tradisi yang dah jadi jenayah ni, maknanya kitaran tu akan terus berlaku sampai bila-bila.

Korang boleh tonton dokumentari khas tentang bacha bazi ni di sini. Kalau korang rajin membaca, sebuah novel berjudul The Kite Runner daripada penulis terkenal Khaled Hosseini juga bercerita tentang bacha bazi di Afghanistan.

Novel ni dah diangkat menjadi filem juga. Gambar daripada khaledhosseini.com

Walaupun pengharaman bacha bazi adalah satu sisi baik Taliban, tapi jangan lupa pula dengan kekejaman lain yang berlaku ke atas penduduk Afghanistan lain yang tak berdosa. Ada yang diugut bunuh, dicederakan, dan apatah lagi dibunuh begitu saja oleh Taliban. Di sini jelaslah, eksploitasi mahupun keganasan bukanlah jawapannya.