Sejarah & Politik

Kenapa Malaysia hantar keluarga Muslim Turki ni balik? Ini punca mereka dianggap bahaya

UPDATE 3/9/2019: Beberapa hari yang lepas, sebuah keluarga dari Turki yang tinggal di Malaysia atas perlindungan PBB dah dihantar pulang ke negara mereka atas permintaan Turki. Keluarga Arif Komis dilaporkan mempunyai kaitan dengan gerakan Gulen yang menjadi musuh kerajaan Turki ketika ni.

Komis dan keluarganya. Imej dari Turkish Minute

Di Malaysia, Komis merupakan eksekutif di Sekolah Antarabangsa Hibiskus yang mempunyai jaringan dengan gerakan Gulen. Persoalannya, bagaimana gerakan ni menjadi isu sangat besar kepada Turki?

Untuk tahu lebih lanjut, boleh baca artikel lama kami ni…


Mesti terkejutkan kalau ada sekumpulan orang turun buat demonstrasi berhari-hari. Kalau kat Malaysia, demonstrasi yang buat lebih sehari ialah Bersih 4.0 yang diadakan selama dua hari pada 29 & 30 Ogos 2015. Orang siap tidur dekat tepi jalan sekitar KL untuk sambung berdemonstrasi esoknya. Mandi ke tak agaknya.

Tapi itu tak boleh lawan Turki. Kat negara tu beberapa tahun lepas, diorang berdemonstrasi sejauh 400 km hingga 450 km selama 25 hari. Jauhnya macam KLCC ke Alor Setar kot! Demonstrasi ni dimulakan oleh Presiden Parti Pembangkang, Parti Republik Rayat (CHP)  iaitu Kemal Kilicdaroglu. Dia dikatakan telah berjalan sejauh 19-20 km setiap hari, bermula dari Ankara sampailah ke Istanbul.

Lek lu, sap kok lu. Esok sambung. Imej dari Today Online.

Mak aih! Dah macam marathon. Demonstrasi ni dilaporkan telah berjaya mengumpulkan ratusan ribu peserta sehingga ke lokasi terakhir demonstrasi iaitu persisiran pantai Maltepe. Sebelum memulakan perjalanan, CHP juga telah menjemput pelbagai persatuan masyarakat, kumpulan professional dan parti-parti politik lain yang mencecah jumlah 11 000 organisasi untuk turut serta berkumpul.

Apa yang dorang marah sangat sampai sanggup berjalan sejauh ni? Kenapa tak naik flight je?

Menerima arahan Gulen untuk dedahkan rahsia risikan kerajaan Turki

Himpunan yang bermula 15 Jun 2017 telah dinamakan sebagai ‘Justice March’. Walaupun diketuai oleh parti CHP, namun tiada sebarang logo parti dibawa. Kalau dalam gambar pun diorang bawak banyak logo Adalet yang bermaksud Justice. Demonstrasi jalanan ni tercetus setelah salah seorang pemimpin tertinggi parti CHP yang juga ahli parlimen dikenakan hukuman.

Demonstrasi bermula setelah Enis Berberoğlu seorang ahli Parlimen CHP dijatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun atas tuduhan mengintip dan mendedahkan rahsia negara. – Petikan dari Daily Sabah (media Turki)

Tabah betul Uncle Kemal. Imej dari Al Jazeera.

25 tahun nak duduk dalam penjara? Apa pertuduhan yang Enis kena ni?

Enis yang merupakan ahli parlimen dilaporkan telah membocorkan dokumen rahsia negara kepada sebuah media iaitu Cumhuriyet. Dokumen berbentuk gambar dan video tu adalah berkaitan trak milik National Intelligence Organization (MIT) yang merupakan organisasi risikan kerajaan Turki.

Pada tahun 2014, trak-trak MIT yang menghantar bantuan kemanusiaaan ke Utara Syria  dikatakan telah dipintas dan ditawan oleh sekumpulan tentera.. Pada tahun 2015, Dundar dan Gul (Ketua Pengarang akhbar Cumhurriyet) telah mendedahkan gambar dan video trak tersebut dengan mengatakan yang Erdogan membekalkan senjata kepada pengganas di Syria.

Sumber gambar dan dokumen dilaporkan telah diberikan oleh Enis. Dundar dan Gul pun turut mendapat hukuman. Tindakan ini dilaporkan atas arahan Fethullah Gulen, seorang ilmuwan Islam Turki yang dilabel kumpulannya oleh kerajaan Turki sebagai Fethullah Gulen Terrorist Group (FETO).

Gambar yang dibocorkan tu. Imej dari Hurriyet Daily News

Menurut laporan dari Yenisafak (media Turki), saksi kejadian yang merupakan orang FETO mengatakan mereka dapat kebenaran dari Gulen untuk menahan trak tu dan buat rakaman video. Operasi ni dikatakan tujuannya untuk mewujudkan huru-hara dengan mendedahkan perkara-perakara sulit milik kerajaan.

Namun begitu, tujuan Justice March ni bukan sahaja untuk menekan kerajaan supaya melepaskan Enis, tapi untuk melepaskan ahli parlimen lain yang turut dikenakan hukuman seperti ahli parlimen dari Parti Demokratik Rakyat (HDP) yang turut dikaitkan dengan kumpulan pengganas.

“Kami mahu negara Republik Turki yang lebih adil, hak asasi, kebebasan media, kesamarataan lelaki dan perempuan serta pemisahan kuasa. Itulah falsafah himpunan ini” – Kemal Kilicdaroglu, Presiden CHP, petikan dari Cumhuriyet (media Turki)

Kemal mengakui yang demonstrasi ini dapat sokongan dari orang awam dengan cara melambai tangan serta bunyi hon kereta yang menyokong. Namun begitu, tetap berlaku provokasi seperti ada orang membaling batu sampai ada yang tercedera.

Cara baling batu penuh gaya. Gif dari Giphy.

Menurut Daily Sabah (media Turki), demonstrasi ini dikatakan tak dapat perhatian anak muda dan makin hari makin merosot. Tapi lain pulak dilaporkan oleh Cumhurriyet yang mengatakan demonstrasi ni berjaya menggabungkan 1.5 juta peserta.

Presiden Turki, Erdogan cakap himpunan tu seolah-olah menganggu proses pengadilan sebab bagi pressure kepada badan kehakiman. Turut dipertikaikan adalah kematian yang melibatkan para peserta demonstrasi kerana cuaca panas. Namun Kemal membalas dengan mengatakan,

“Kami berhimpun untuk keadilan, bukan sebaliknya,” – Petikan dari Daily Sabah (media Turki)

Selain dari ahli-ahli parlimen, sebenarnya puluhan ribu juga telah ditangkap kerana dikaitkan dengan kumpulan yang dianggap pengganas seperti FETO oleh kerajaan.

Turki antara negara yang paling banyak menahan wartawan

Dilaporkan setakat ni dah 50 510 orang ditahan hingga 13 Julai 2017. Ramai sungguh! Antaranya termasuklah:

“169 Jeneral, 7 098 kolonel dan askar berpangkat rendah, 8 815 anggota polis, 24 gabenor, 73 timbalan gabenor, 116 gabenor daerah, 2 413 ahli jabatan kehakiman dan 31 784 suspek yang lain” – Petikan Hurriyet Daily News (media Turki)

Penahanan besar-besaran ni juga menyebabkan negara Turki dianggap sebagai ‘the biggest jailer of journalist’ sebab banyak betul kes tangkap wartawan (wartawan biasa, ketua pengarang, penerbit) ni. Menurut Committee to Protect Journalists, sehingga hujung tahun 2016 je dorang dah  menahan seramai 81 wartawan. Malah, Turki adalah antara yang tertinggi menangkap jurnalis selain negara China, Mesir dan Eritrea.

Kalau tak ada jurnalis siapa nak tulis berita? Imej dari Al-Jazeera.

Namun begitu, kerajaan Turki mengatakan diorang ditangkap bukan kerana wartawan tapi sebab mereka terlibat dengan kumpulan pengganas seperti yang diterangkan,

“Mereka yang mendedahkan diri sebagai wartawan sama ada menyokong keganasan atau kumpulan pengganas” – Petikan dari Daily Sabah

Dikatakan juga ada wartawan yang bekerja secara rahsia dengan agensi risikan dari luar negara sehingga menyebabkan mereka ditahan. Kiranya, wartawan yang ditangkap ni didakwa sebab ada link dengan kumpulan yang dianggap pengganas macam FETO atau agensi dari luar negara.

Bukan setakat tu je, ada juga syarikat media kena serbu. Ini termasuklah syarikat media terbesar di Turki iaitu Zaman Today. Ibu pejabat diorang telah diserbu dan ramai yang ditangkap sebab dikaitkan dengan FETO. Zaman Today kemudiannya diambil alih oleh kerajaan.

Depan HQ pun kena tembak dengan Water Canon. Imej dari Youtube.

Kalau korang nak tahu, diorang yang ditangkap ni dikatakan ada link atau menyokong FETO. FETO ni pula dikatakan dalang kepada perisitiwa rampasan kuasa yang gagal pada 15 Julai 2016. Korang mungkin masih ingat peristiwa ini kerana baru je berlaku tahun lepas, di mana…

Rampasan kuasa berdarah yang membunuh ratusan rakyat Turki

Pada malam Jumaat 15 Julai, beberapa kereta kebal telah melakukan sekatan di atas jambatan Bosphorus, Istanbul. Beberapa buah jet tentera terbang dari Ankara ke Istanbul sambil melepaskan bom di bangunan parlimen. Orang Turki mula dengar bunyi tembakan dan bom. Apa yang mengejutkan, Ketua Staf Tentera, Hulusi Akar turut diculik oleh orangnya sendiri.

Dalam keadaan huru-hara tu,  Erdogan telah mengeluarkan arahan kepada rakyat menggunakan Facetime melalui CNN Turk untuk turun menghentikan rampasan kuasa ni. Dalam ucapannya mengatakan:

Saya menyeru kamu semua turun ke jalanan menentang tindakan tentera yang menentang Turki ini.  Pertahankan negara, pertahankan tanah air. – Petikan dari New York Times

Rakyat mula turun beramai-ramai untuk halang rampasan ni. Azan juga berkumandang berulang kali malam tu di masjid-masjid untuk memberi semangat kepada rakyat. Hasil gabungan rakyat awam, polis dan tentera yang masih bersama kerajaan, rampasan ni berjaya dihentikan. Namun ia tetap mengorbankan ratusan nyawa rakyat.

Macam-macam. Imej dari New York Times.

Sekurang-kurangnya 208 orang termasuk pasukan keselamatan dan orang awam terkorban di Istanbul dan Ankara, dan hampir 1 500 orang tercedera.” – Petikan dari Yenisafak (media Turki)

Pada 20 Julai 2016, darurat diisytiharkan oleh kerajaan untuk membersihkan institusi negara. Setelah rampasan kuasa berjaya dihentikan, kerajaan memulakan siasatan yang mana mendapati rancangan itu datang Fethullah Gulen dan pengikutnya. Pada 8 Ogos, gabungan parti Erdogan iaitu AKP bersama pembangkang seperti CHP (yang buat demo tu) dan NHP telah menyertai himpunan mengutuk rampasan kuasa tu.

Kalau korang perasan, nama Fethullah Gulen ni naik daripada tadi. Siapa sebenarnya Gulen yang dikatakan ingin menggulingkan kerajaan ni?

Gulen juga pernah pegang tangan Pope. Gif Ddari Giphy

Fethullah Gulen ni adalah pengasas gerakan Hizmet yang sangat berpengaruh di Turki dan luar negara. Hizmet ni juga ada banyak sekolah dan universiti di Turki. Apa yang menarik Hizmet tak masuk ke arena politik tapi hanya melakukan kerja-kerja kebajikan rakyat. Namun, pelajar keluaran Hizmet kebanyakan menjadi ahli politik, tentera dan lain-lain posisi di institusi negara.

Waktu Erdogan dicalonkan menjadi Presiden, Gulen telah menyokong Erdogan dan AKP kerana rapatnya mereka atas sebab mempunyai matlamat yang dikatakan sama untuk menyebarkan Islam di Turki. Para pengikut Hizmet yang tinggal di luar negara sanggup pulang untuk mengundi AKP ketika itu

Walaupun Hizmet sangat berpengaruh di Turki, tapi Gulen tinggal di Pennsylvania, Amerika Syarikat. Dia tinggal dalam buangan sejak tahun 1999 kerana didakwa terlibat dengan cubaan menggulingkan kerajaan pada masa tu. Sekarang dia didakwa sekali lagi. Pada Oktober 2016, mahkamah Istanbul telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Gulen selepas dituduh cuba menggulingkan kerajaan Republik Turki.

Perselisihan antara Erdogan dan Gulen agak sukar ditentukan bagaimana ianya bermula seperti yang diterangkan oleh Barry Stocker. Professor Madya dari Istanbul Technical University yang berjaya SOSCILI hubungi.

“Agak sukar untuk kita nyatakan apa sebenarnya yang menyebabkan Erdoğan and Gülen berpecah, kerana adanya proses tersembunyi yang mana kedua-dua pihak tidak mendedahkan maklumat yang penuh.” – Barry Stocker ketika dihubungi SOSCILI.

Rumah Gulen kat US. Imej dari BBC.

Pada pendapatnya, ia mungkin bermula apabila kerajaan bertindak ganas terhadap peserta demonstrasi di Gezi Park pada tahun 2013, di mana kerajaan Turki telah menangkap dan menembak peserta demonstrasi dengan semburan air dan gas pemedih mata. Tindakan itu tidak mendapat sokongan dari Gulen dan pengikutnya.

Laporan lain mengatakan ianya bermula apabila kerajaan Turki menghantar kapal bantuan Mavi Marmara ke Palestin yang mana menimbulkan konflik antara Turki dan Israel. Ianya dikritik oleh Gulen dan pengikutnya. Begitu juga, agensi-agensi berita yang dikuasai pengikut Gulen yang mengeluarkan kes-kes salah guna kuasa melibatkan ahli parti AKP. Paling kontroversi adalah isu rasuah melibatkan anak menantu Erdogan yang dikatakan menjual minyak kepada pengganas.

“Mengenai rasuah, rasuah yang melibatkan AKP adalah kebanyakannya ketika penyerahan kontrak pembinaan dan sifat pilih kasih dalam ekonomi.” – Barry Stocker ketika dihubungi SOSCILI.

Anak dan menantu Erdogan. Imej dari Sol International.

Kes-kes rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan AKP sebenarnya telah memberi kesan kepada AKP dan Erdogan dalam pilihan raya sebelum ni pada tahun 2015.

Erdogan dan partinya pertama kali tak dapat majoriti undi kerana kes rasuah

Pada piliharaya umum 2015, buat pertama kali selepas tahun 1999, pilihan raya berakhir dengan tiada parti mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan secara bersendirian (hung parliament). AKP telah kehilangan 9% kerusi yang mereka dapat pada empat tahun lepas. Mereka hanya mendapat 40.98% mana mereka kekurangan 18 kerusi untuk dapat majoriti. Peratusan mereka banyak hilang kepada parti yang pro bangsa Kurdis iaitu Parti Demokratik Rakyat (HDP).

Keputusan tu menyebabkan kewujudan kerajaan sementara dan diberi tempoh selama 45 hari untuk mana-mana parti bentuk kerajaan gabungan. Namun begitu, tiada sebarang kejayaan ditunjukkan dalam membentuk kerajaan gabungan yang menyebabkan pilihan raya diadakan sekali lagi (snap election) dilakukan.

Sepanjang hung parlimen ni berpanjangan, berlaku beberapa peristiwa-peristiwa berdarah seperti pengeboman di perhimpunan pro-Kurdis yang dikatakan dirancang oleh AKP. Waktu tu undi dari rakyat Kurdis terhadap pihak kerajaan telah bekurang, jadi AKP dikatakan merancang pengeboman ini untuk menyalahkan pihak pembangkang.

Antara mangsa bom di himpunan pro-Kurdis suatu ketika dulu. Imej dari Jordan Times.

Semua menjangkakan yang akan berlaku hung parlimen sekali lagi, tapi kemenangan telah berpihak kepada AKP dengan 49.50%. Jadi ia membuktikan masih ramai yang memilih Erdogan dan AKP.

Sebab-sebab kenapa masih ramai rakyat yang menoyokong Erdogan dan parti AKP

Walaupun himpunan ‘Justice March’ tu nampak gempak, tapi rakyat masih ragu-ragu dengan parti CHP yang menganjurkan demosntrasi tu sebab diorang dilaporkan ada pakatan dengan FETO sejak kebelakangan ini. Kami berjaya menghubungi seorang Professor Madya dari Istanbul Technical University (ITU) iaitu Barry Stocker untuk bertanya sebab apa Erdogan dan AKP masih menjadi pilihan.

“AKP dan Erdogan telah mendapat kejayaan dalam pilihan raya atas dua sebab. Pertamanya, ekonomi dan perkhidmatan awam.” – Barry Stocker ketika dihubungi SOSCILI

AKP mula memerintah pada tahun 2002 di mana ekonomi dan perkhidatan awam Turki memang sedang berkembang pesat. Ekonomi yang pesat ni berkemungkinan adalah hasil daripada polisi-polisi sebelum pemerintahan diorang lagi yang memang dah baik. Ketika itu AKP terus memanfatkan kebaikan itu hingga pengundi dapat banyak faedah.

Projek keretapi bawah laut Turki yang menghubungkan Barat dan Timur negara tu. Imej dari Hurriyet Daily News.

“Sebab lain adalah kerana fahaman kelompok.” – Barry Stocker ketika dihubungi SOSCILI.

Fahaman kelompok maksudnya AKP berjaya menunjukkan pembangkang adalah kelompok anti-nasional, anti-Muslim dan merupakan alat yang dipengaruhi oleh orang luar. Perkara ini telah menimbulkan rasa takut orang awam di Turki ditambah pula perpecahan yang berlaku dalam kalangan parti pembangkang.

Pembangkang anti itu, anti ini, anti semua. Gif dari Giphy.

Adakah ini akan mempengaruhi hubungan antara Turki dan Malaysia?

Isu-isu di Turki sentiasa mendapat liputan netizen Malaysia kerana Turki dan Malaysia dikatakan sangat rapat sejak dulu lagi. Sejak dari zaman Turki Uthamniyyah dengan Kesultanan Melayu Melaka yang ada hubungan perdagangan pada kurun ke-15. Pada zaman moden ni pun kita dan Turki sangatlah baik. Tak lama dulu Perdana Menteri Turki, Necmettin Erbakan (1996-1997) telah memasukkan Malaysia sebagai salah satu gabungan dalam rancangan ekonomi negara-negara Islam (Developing-8) beserta 7 negara Islam lain.

Ketika rampasan kuasa Turki berakhir, PM ketika itu,  Najib Razak turut mengecam tindakan tersebut.

“Rampasan kuasa dalam segala bentuk tidak akan sesekali diterima” –  Najib Razak, petikan dari The Star.

Kita sangat menghormati demokrasi. Begitu juga, demonstrasi ‘Justice March’ yang rakyat Turki buat juga adalah sebahagian dari hak demokrasi dalam sesebuah negara. Oleh sebab tu, kita perlulah mengambil maklumat dari banyak pihak jika ianya berkaitan politik luar negara. Begitu juga pergeseran yang berlaku antara Erdogan, Gulen dan parti politik lain di sana. Seperti yang diterangkan Prof. Madya. Barry Stocker yang memperingatkan kami sikap orang-orang berpengaruh yang ada di Turki.

” Ianya sangat sukar untuk menyatakan apa yang menyebabkan mereka (Erdogan dan Gulen) berpecah, melainkan mereka berdua mahukan kekuasaan penuh yang kadangkala mencetuskan konflik dalam beberapa keadaan” – Barry Stocker ketika dihubungi SOSCILI.

Yang penting isteri Erdogan dengan Rosmah memang BFF. Imej dari Astro Awani.

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend