Sejarah & Politik

Dawn Raid 1981 – Bila penjajah dimalukan di kandang sendiri

UPDATE 17/5/2018: Filem ‘Dawn Raid’ arahan Bront Palarae sudah pun mengeluarkan trailer mereka dan bakal ditayangkan pada hari kebangsaan tahun 2019.. Filem ni adalah adaptasi kisah sebenar mengenai anak Melayu yang melancarkan Dawn Raid atau Serangan Subuh. Apa kejadahnya benda tu? Sambung baca artikel ini.


Pada 7 September 1981, Kuala Lumpur telah melancarkan sebuah serangan mengejut ke atas London. Peristiwa yang dipanggil sebagai Dawn Raid atau Serangan Subuh ini bukanlah merupakan sebuah serangan ketenteraan mahupun serangan untuk kejut bangun Subuh.

Dawn Raid dalah serangan pasaran saham bagi mengambil alih syarikat Guthrie kepunyaan British. Tak sampai 4 jam pun lepas Dawn Raid start, kita dah dapat Guthrie! Bunyi macam senang, tapi sebenarnya planning dah mula sejak setahun sebelumya lagi, melibatkan tokoh-tokoh terkemuka termasuklah Mahathir Mohammad (Perdana Menteri), Ismail Ali (gabenor Bank Negara), dan Khalid Ibrahim.

Kami submit poster filem tapi kena rejek.

Hah, punyalah saspen dan penuh aksi, lagi dramatik daripada movie (sebenarnya kisah ni memang tengah dalam perancangan untuk dijadikan movie pun).

Tapi cerita pasal Dawn Raid ni bukan berkisar pasal syarikat Guthrie je sebenarnya, tapi jauh lebih besar daripada itu. Ia ada kaitan dengan hubungan Malaysia dengan bekas penjajah kita, British. Walaupun waktu tu dah lebih 20 tahun kita merdeka, kesan penjajahan British masih terasa, sebabnya…

Korang ingat British bagi merdeka free free je ke

Sebelum merdeka, British mengamalkan dasar ‘pecah dan perintah’ yang menempatkan kebanyakan orang Melayu di kampung, Cina di bandar, dan India di estet. Sebab bila rakyat berpecah, senang la dorang nak memerintah dan mengaut keuntungan.

British guna polisi ‘divide and rule’ yang sama kat India. Sumber dar jStor.

Sebab tu la waktu kita menuntut kemerdekaan, British mintak supaya warganegara diberikan kepada penduduk Cina dan India, antara sebabnya adalah untuk menjaga kepentingan syarikat-syarikat British di Malaysia. Malah British rasa petani Melayu perlu dikecualikan daripada perkembangan ekonomi.

Bila dah merdeka pulak – tak macam negara-negara lain yang nak clash terus dengan penjajah masing-masing, kita pulak masih lagi beramah mesra dengan British. Sampaikan manifesto Parti Perikatan tahun 1969 (nama lama BN) terang-terang kata yang dorang “tidak bersetuju dengan pemikiran yang (mengatakan)… modal asing bersifat eksploitasi”, merujuk kepada pegangan British dalam ekonomi negara.

Teman Tapi Mesra™. Imej dari Daily Mail.

“As late as 1970, it is estimated that over 60% of Malaysian corporate assets were still owned by foreigners, and of that non-Malaysian stake two-thirds remained British-controlled,” – dipetik daripada Unfinished Business of Malaysia’s Decolonisation.

Dan antara syarikat korporat yang dipegang oleh British ni termasuklah Guthrie. Tapi cop! Sebelum cerita pasal Guthrie, kami kena cerita pasal pemimpin yang membenarkan peristiwa ni terjadi time tu, tak lain tak bukan…


Mahathir memang tak berkenan sungguh dengan British

Mahathir ni memang lain daripada semua Perdana Menteri yang sebelumnya, dan ini bukan je daripada segi uniform Dr M yang kena butang dari bawah ke atas tu.

Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak, dan Hussein Onn semuanya berasal daripada keturunan berada, dan semua study kat UK. Tapi Mahathir pulak sambung study kat Singapore je di Universiti Malaya. Dia juga terkenal sebagai PM pertama yang “tak merokok, tak minum arak, dan tak main golf.” Patut la sihat dan kuat lagi sampai sekarang.

Cuba teka PM mana suka main golf?

Jadi Mahathir memang tak berlapik bila nak attack British. Dia mendakwa yang British memperalatkan pendatang dari China untuk mengawal ekonomi tapi pada masa yang sama, British biarkan orang Melayu terus miskin.

Waktu pemerintahan Mahathir kat Malaysia dan Margaret Thatcher kat Britain, lagi banyak peristiwa yang buat dorang tak sebulu termasuklah bila Britain naikkan yuran pengajian yang membebankan 13 ribu pelajar Malaysia, dan bila kapal terbang Concorde milik British selamba badak lalu ruang udara KL tanpa minta izin.

Malah selepas peristiwa Guthrie ni, Mahathir mengumumkan Buy British Last Policy yang menyusahkan import daripada British. Tak cukup dengan tu, Mahathir ambil balik Carcosa Hill yang dulunya telah dihadiahkan kepada British oleh Tunku Abdul Rahman.

Gif dari dwigif.com

Tapi sebenarnya dalam kes Dawn Raid ni, Mahathir tak terlibat secara langsung, sebaliknya dia mintak tolong orang lain yang pakar. Tapi satu soalan yang kita nak tanya dulu… kenapa Guthrie?

Guthrie kena target kerana kedegilan British sendiri

Guthrie merupakan syarikat perladangan British yang tertua dan terbesar di Malaysia waktu tu. Polisi Tunku Abdul Rahman yang nak menggalakkan pelaburang asing menyebabkan syarikat-syarikat macam Guthrie ni terus berpengaruh selepas merdeka. Malah sikap Tunku yang fanboy British ni jugaklah selalu kena hentam dengan Dr M, sampaikan Dr M kena buang daripada UMNO.

Masalahnya pada masa yang sama, walaupun dah merdeka, syarikat-syarikat ni masih dipegang oleh British, dan kekayaannya juga masih pergi kepada British.

Meme dari imgflip.com

Dalam kes Guthrie, walaupun kita ada agensi tempatan iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang memegang saham minoriti sebanyak 25% peratus, dorang tak dibenarkan duduk dalam lembaga pengarah. Ibarat kena lantik jadi AJK pengakap tapi tak dapat join camping.

Jadi semua benda ni mendorong Kuala Lumpur untuk mengambil-alih Guthrie. Macam mana caranya? Dengan meningkatkan jumlah saham yang PNB pegang. Tapi macam mana nak dapatkan lebih banyak saham kalau British tak bagi?

PNB. Gambar dari Malay Mail Online.

Untuk melaksanakan tugas ini, Dr M mintak tolong seorang yang tahu selok belok pelaburan British iaitu Tun Ismail Mohamed Ali – bekas Gabenor Bank Negara, pengerusi PNB, dan juga abang ipar Dr M sendiri. Malah Ismail Ali kamceng dengan keluarga Rothschild yang juga memainkan peranan dalam Dawn Raid ni.

Ismail Ali dan Khalid Ibrahim memulakan serangan

Plan dimulakan…

Sebagai pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Ismail Ali banyak terlibat dalam usaha memperbaiki ekonomi Melayu, contohnya melalui amanah saham dan memberi lesen syarikat kepada Bumiputera.

Tapi dia juga sedar yang ramai Melayu pergi jual saham masing-masing kepada pelabur Cina dan India, malah kompeni yang dapat lesen seperti kompeni bas dan teksi biasanya bankrup ataupun dijual kepada bisnesman Cina (benda ni dipanggil sebagai sistem Ali Baba, di mana orang Melayu jadi sleeping partner je).

Gambar dari Imgflip.

Tapi itu tak melemahkan semangat Ismail Ali. Sama macam Dr M, Ismail Ali pun bersifat anti-British, dan dia pun rasa kalau jurang ekonomi antara Melayu dan bukan Melayu dibiarkan, boleh huru-hara negara dibuatnya.

Kat sinilah Ismail Ali dapatkan bantuan player ketiga iaitu Khalid Ibrahim yang waktu tu merupakan pengurus pelaburan kat PNB. Jadi setahun sebelum Dawn Raid, Khalid dan rakan-rakan pun mula mengkaji undang-undang pelaburan di British. Rothschild juga menasihatkan Khalid untuk membuka akaun baru di Switzerland bagi tujuan pembelian saham, barulah pihak British tak sedar yang akaun tu Malaysia yang punya.

Kiranya, Tan Sri Khalid Ibrahim ni macam kapten bola, Tun Ismail sebagai manager, dan Dr Mahathir selaku presiden kelab tu sendiri.

Pelaksanaan serangan Guthrie pada awal pagi Bursa Saham dibuka

Pengambil-alihan ini perlu dibuat secara cepat dan sulit supaya pihak British tak sempat mengambil langkah untuk mematikan serangan ini.

Jadi pada pagi 7 September, PNB memulakan serangan dengan membeli saham. Pada masa yang sama, PNB telah mengerahkan syarikat-syarikat yang lain dari Malaysia seperti Genting Berhad, Bank Simpanan Nasional, dan Malaysia-Kuwaiti Bank untuk turut sama memulakan pembelian.

BELI BELI BELI!

Kat England pula ada dua team. Yang pertama adalah Rotshchild, di mana dia telah meyakinkan syarikat M&G Investment untuk menjual saham mereka. Yang kedua adalah syarikat broker saham dari England iaitu Rowe & Pitman, tugas mereka adalah untuk memastikan semua pembelian/penjualan berjalan dengan lancar.

Akhirnya waktu tengahari pada hari yang sama, PNB and the gang telah menghentikan semua pembelian.

“Cabaran terbesar ketika melakukan serangan adalah memilih broker saham dengan yang betul. Kami memilih Rowe & Pitman. Ketika kami ke pasaran saham, syarikat mereka perlu ada sekurang-kurangnya 30 ke 40 pekerja dan memanggil kesemua pemegang saham Guthrie (yang berpotensi untuk menjual) untuk mendapatkan penerimaan mereka.” – Tan Sri Khalid Ibrahim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Guthrie Berhad, dipetik melalui temuramah dengan The Edge.

Ini adalah kerana dalam tempoh kurang 4 jam, PNB berjaya mencapai pegangan 51% saham dalam Guthrie (dicampur dengan pegangan 25% yang dibeli dari Sime Darby sebelum ni) dan merupakan pemegang majoriti dalam Guthrie. Yeay Malaysia!

Keratan akhbar meraikan kejayaan membawa balik Guthrie. Imej dari apahell.blogspot.my.

Apa yang memalukan bagi pihak British adalah, Pengerusi Guthrie cuma dapat tahu tentang serangan ni dari radio. Malah beberapa media British seperti The Economist dan Financial Times telah mengakui ia sebagai serangan licik dari Malaysia.

Malaysia 1 – British 0!

Dawn Raid sebagai kemenangan kecil kita terhadap bekas penjajah

Kat CILISOS dulu kami ada tulis macam mana British gunakan prinsip ‘divide and rule’ supaya rakyat yang dijajah susah nak bersatu menentang British, supaya mereka boleh mengaut keuntungan. Antara side effect prinsip ni, sampai sekarang pun kita ada lagi sentimen-sentimen perkauman yang tak berapa sedap didengar.

Cuba teka siapa lagi kena divide and rule? Imej dari Malaysia Dateline.

Dari segi ekonomi pulak, menurut The Unfinished Business’ of Malaysia’s Decolonization, selain daripada keganasan komunis, kurangnya pergelutan dalam menentang penjajah semenjak Parti Perikatan mengambil alih dan berkongsi kuasa dengan penjajah British dari tahun 1955-1957. Jadi peristiwa Dawn Raid 1981 ini dikenang sebagai kemenangan besar terhadap eksploitasi ekonomi Britain ke atas kita.

Tapi macam mana pulak dengan apa yang berlaku sekarang? Korang mesti dah dengar baru-baru ni akan projek Forest City bernilai RM48 bilion yang digelar sebagai ‘wilayah asing’ oleh Dr Mahathir sendiri. Tak lupa jugak bila China ‘bail out’ 1MDB dengan jumlah RM17 bilion! Pelaburan asing memang la bagus, tapi kalau kita terlalu bergantung kepada negara luar, adakah kita akan ‘dijajah’ sekali lagi?

(Artikel ini ditulis dengan bantuan Adly dan Niq.)

Popular

To Top

Send this to a friend