4 SENARIO yang mungkin berlaku kalau Anwar jadi PM ke-8 selepas Mahathir

*Artikel ini disiarkan pada 18 Februari 2020

Perkataan ‘peralihan kuasa’ selalu diulang dalam banyak laporan berita. Ini semua berlaku kerana perjanjian dalam Pakatan Harapan mengenai transisi jawatan PM dari Tun Mahathir kepada Anwar Ibrahim. Sekali pun tiada tarikh rasmi peralihan kuasa, namun masa yang disebut untuk berlaku transisi ini adalah selepas Sidang APEC 2020 yang tamat pada November 2020.

Ia mungkin berlaku lebih kurang 9 bulan dari sekarang. Dalam proses itu nampaknya, macam-macam laporan kita dengar mengenai kerajaan ‘pintu belakang’ dan cantas mencantas sesama ahli politik kerajaan.

Tapi, bagaimana kalau peralihan kuasa ini berlaku dengan aman dan damai? Dan Anwar Ibrahim ditabalkan sebagai Perdana Menteri ke-8. SOSCILI kali ni akan kongsi 4 senario yang MUNGKIN berlaku jika ia terjadi.

Senario 1: Azmin dan Zuraida hilang kuasa, kerajaan terbentuk dari 123 kerusi parlimen

*Warna merah ditulis ketika belum berlaku kejadian penuh dramatik pada 23 dan 24 Februari 2020

Pastinya PAS akan terus menjadi pembangkang kerana terang-terangan menolak Anwar sebagai PM melalui undi percaya terhadap Tun Mahathir. Manakala UMNO dan BN juga akan berada di pihak pembangkang kerana adanya cubaan melakukan kerajaan pintu belakang dengan gabungan Pakatan Nasional yang mengenepikan Anwar.

Dan PKR pula, berkemungkinan akan tersingkirnya blok Azmin dari kerusi kerajaan (15 orang) kerana tindakan-tindakan yang seolah-olah mahu bermusuh dengan Anwar. Jika peralihan berlaku dengan aman dan damai, maka Anwar akan menerima majoriti sokongan parlimen dari PKR selain blok Azmin, PPBM, DAP, Amanah dan Warisan.

Waktu kami kira ni, kami ingat PPBM tak keluar PH. Hahahaha

Sokongan PPBM ni mungkin berlaku sekiranya cadangan agar Muhyiddin Yassin dilantik menjadi TPM bergandingan dengan Anwar Ibrahim. Manakala sokongan DAP, Amanah dan Warisan sangat mudah ditentukan kerana mereka mahu menjaga kepentingan Pakatan Harapan.

Dengan kemungkinan 123 kerusi ini tadi, ia sudah cukup dan menepati perlembagaan untuk membentuk kerajaan sekurang-kurangnya dengan 112 kerusi parlimen. Selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Anwar Ibrahim akan mengangkat sumpah sebagai PM ke-8.

Pertukaran PM ni juga akan sedikit sebanyak memberi kesan dalam pelantikan kabinet menteri. Kita tak dapat lagi nak menentukan siapa yang akan digugurkan dan siapa akan dilantik jika gandingan Anwar-Muhyiddin mengetuai kerajaan. Namun, berkemungkinan yang akan hilang jawatan adalah dari PKR-blok Azmin. Ini termasuklah Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi), Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia) dan juga Baru Bian (Menteri Kerja Raya).

Kecewa dah tu. Imej dari Metro

Siapa yang bakal dijadikan menteri? Sekali pun dah umumkan diri bersara dari politik, namun kemungkinan adalah tingii untuk Rafizi Ramli dibawa masuk ke dalam kabinet. Caranya dengan melantik Rafizi menjadi senator dan dilantik menjadi menteri dalam kabinet.  Sebenarnya ini dari awal lagi dikatakan dicadangkan oleh Wan Azizah dalam suatu mesyuarat antara presiden PH selepas menang PRU.

Bukan itu sahaja, pelantikan-pelantikan dalam agensi kerajaan juga bakal terkesan. Paling jelas mungkin adalah jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya. Sebelum ni dia sering mengkritik kepimpinan Anwar dan Wan Azizah dalam PKR. Kemudian umum keluar parti kerana dilantik KP SPRM. Tindakan-tindakannya di dalam SPRM juga pernah dikritik oleh Anwar Ibrahim.

Siapa pengerusi SPRM di bawah PM ke-8? Kita tak tahu…

Senario 2: Taikun-taikun yang rapat dengan Mahathir kurang selesa dengan keadaan ini

Tun Mahathir dan Syed Mohtar Al-Bukhary Al-Bukhary tengah sembang kopi. Imej dari Malay Mail

Pakar ekonomi, Prof. Jomo Kwame sebelum ini pernah mengkritik kerajaan kerana menjalankan kroni kapitalisme sewaktu Tun M menjadi PM ke-4. Ada beberapa taikun yang biasa dilaporkan serta rapat dengan Mahathir seperti Robert Kuok, Syed Mokhtar Al-Bukhary, Vincent Tan dan lain-lain.

Taikun-taikun yang rapat dengan Mahathir ini seperti Vincent Tan dan pemilik Naza telah mendapat perhatian kerajaan ketika ini. Ini terbukti dengan pemilihan syarikat Berjaya-Naza untuk memenangi kontrak sebagai pembekal perkhidmatan kenderaan kerajaan. Begitu juga, Syed Mohtar Al-Bukhary di mana sebuah firma yang terkait dengannya membeli permit akhbar Utusan yang hampir ditutup. Selain itu, ada beberapa taikun lain yang pernah rapat dengan Mahathir muncul. Contohnya seperti Ting Pek Khiing yang mengatakan akan menyiapkan sebuah projek di Langkawi pada tahun 2018 yang lalu.

Selepas Anwar Ibrahim menjadi PM, dia mungkin akan mengambil pendekatan berbeza. Sudah pasti taikun dan golongan elit kurang selesa dengannya. Ini kerana dia banyak kali menyelar golongan elit yang membolot khazanah negara serta mengkayakan keluarga sendiri. Dia juga pernah menyebut mengenai cabaran kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk berdepan dengan taikun tamak yang mahu meneruskan pengaruh mereka.

Jika Tun Mahathir sering mengkritik golongan miskin kerana kurang produktif dan iri hati kepada orang kaya. Anwar pula selalu mengkritik golongan kaya dan elit sebagai punca orang lain menjadi miskin. Pendirian Anwar yang macam ni pasti memberi kesan kepada taikun-taikun yang rapat dengan Mahathir.

Anwar dan Presiden Bank Dunia ketika itu, James Wolfensohn. Imej dari aidc editor

Selain itu, Anwar Ibrahim juga mempunyai pandangan yang berbeza terhadap peratusan orang miskin di negara ini. Kerajaan sekarang meletakkan peratusan orang miskin di negara ini pada tahap 0.4%. Anwar tidak percaya dengan peratusan itu dan lebih cenderung dengan kiraan oleh Pelapor Khas PBB dan pakar ekonomi tempatan lain – Prof. Jomo, Prof. Rajah Rasiah dan Prof. Fatimah Kari yang mendakwa peratus kemiskinan pada sekitar 20%.

Jadi, korang nampakkan dia suka rujuk pakar ekonomi seperti Prof Jomo yang dulu mengkritik Mahathir pasal kroni. Jadi, korang yakin ke taikun-taikun ni akan rapat dengan Anwar selepas Mahathir menyerahkan kuasa?

Senario 3: Ada jawatan MB yang akan bertukar tangan

Kedudukan MB Selangor, Amirudin mungkin terancam. Imej dari Malay Mail.

Kalau korang masih ingat lagi masa PH menang PRU-14 dulu, antara isu jawatan Menteri Besar (MB) yang diperdebatkan adalah jawatan MB Selangor. Sebabnya, bila Amirudin Shari dilantik sebagai MB Selangor, ada suara yang membantah pelantikan tu.

Antaranya daripada ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad yang mendakwa pelantikan Amirudin tak mendapat restu dari PH. Idris juga mendakwa yang dia seorang saja yang dapat persetujuan dari semua parti PH untuk jadi MB Selangor.

Dalam pada itu, Amiruddin juga dikaitkan sebagai salah seorang orang penting dalam kem Azmin Ali. Malah, dia juga terlibat dalam kalangan 20 orang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR yang mendesaknya Presiden PKR, Anwar Ibrahim memohon maaf susulan pemecatan Zakaria Abdul Hamid sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Dr Idris yang juga antara orang paling lantang menyuarakan isu peralihan jawatan PM. Imej dari BH Online.

Pertembungan antara kem Azmin dan Anwar juga nampak jelas bila Azmin, Zuraida dan Amiruddin tak datang ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) beberapa kali. Amiruddin dalam reaksinya pada Julai 2019 kata – dia tak datang sebab terperangkap dalam trafik.

Selain tu, ada satu NGO yang dikenali sebagai Otai Reformasi 1998 yang lantang menyuarakan isu peralihan kuasa dari Dr Mahathir ke Anwar. Dalam laporan Sinar Harian, NGO ni bertekad mempertahankan pelantikan Anwar sebagai PM ke-8 dan akan tentang habis-habisan sesiapa sahaja yang cuba menggagalkan peralihan kuasa tersebut.

Apa yang menariknya, pengerusi NGO ni adalah Dr Idris Ahmad yang namanya pernah naik dalam isu MB Selangor dulu. Jadinya, ada kemungkinan besar yang jawatan MB Selangor akan bertukar tangan kalau Anwar jadi PM nanti.

Sorang lagi MB yang namanya masuk dalam khabar angin. Imej dari Faizal Azumu (FB).

Satu lagi jawatan MB yang mungkin akan bertukar tangan juga adalah MB Perak yang kini disandang oleh Faizal Azumu. Sebabnya, sebelum ni memang dah ada desas-desus yang kata jawatan tu akan diserahkan kepada ADUN Tebing Tinggi dari DAP, Dr Aziz Bari. Hal ni diperkuatkan lagi bila tersebarnya video mirip Aziz yang memperkatakan perkara sama.

Dalam video tu, lelaki berkenaan juga ada kata yang – Anwar suruh dia tunggu dulu dan dia boleh mulakan langkah (untuk jadi MB Perak) kalau Anwar jadi PM nanti.

“Anwar kata tunggu saya (Anwar) jadi Perdana Menteri (untuk saya jadi MB Perak) tapi tak boleh sebab itu terlalu lama…” – Kata lelaki mirip Aziz Bari, (lihat video penuh di sini).

Jadinya, kemungkinan isu jawatan MB Perak akan berbangkit sekali lagi bila Anwar jadi PM nanti.

Senario 4: Akan ada polisi kerajaan yang ditangguh atau tak dilaksanakan

“Produk PPSMI”. Imej dari Sinar Harian.

Jika nak dibandingkan dengan Dr Mahathir, Anwar lebih rapat dalam hal berkenaan seni, sastera dan bahasa. Dan sebab itu jugalah ketika dia memimpin Pakatan Rakyat (PR), mereka jadi antara yang mendesak supaya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan.

Perkara ni berjaya jugalah, bila kerajaan lepas tu memansuhkan PPSMI dan digantikan dengan Program Dwibahasa (DLP). Tapi hal berkenaan dengan PPSMI ni berbangkit kembali bila Dr Mahathir jadi Menteri Pendidikan, bila dia kata yang PPSMI mungkin akan dilaksanakan kembali dalam sistem pendidikan negara.

Anwar dalam reaksinya baru-baru ni tak nyatakan sebarang pendirian sama ada dia bersetuju atau tak, tapi sebaliknya kata – perkara tu perlu dibincangkan di kabinet. Jadinya, kemungkinan besar yang PPSMI tak akan dilaksanakan semula oleh Anwar bila dia jadi PM nanti.

Bantahan PPSMI oleh pejuang bahasa. Imej dari kerabubersuara.blogspot

Seterusnya pula tentang isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau lebih sedap kita panggil sebagai PTPTN. Sejak PH ambil alih pentadbiran pada 2018, ada macam-macam isu dikaitkan dengan badan ni, termasuklah isu potongan gaji peminjam.

Masa pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ada umumkan kerajaan akan melaksanakan potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus kepada peminjam yang berpendapatan lebih RM1,000 sebulan.

Anwar masa tu ingatkan PTPTN supaya jangan tekan para peminjam yang kebanyakannya masih lagi belum bekerja. Cadangan ni kemudiannya dapat bantahan dan tak jadi dilaksanakan.

“Saya akan kemukakan keresahan beberapa peminjam PTPTN untuk pertimbangan Menteri Pendidikan dan Pengerusi PTPTN. Saya akan beri nota segera pada mereka.” – Anwar, katanya dipetik dari BH Online.

Janji 8 tahun dulu. Imej dari mykmu.net

Jadinya, ada kemungkinan yang dasar-dasar PTPTN sekarang ni akan dikaji dan dirombak semula kalau Anwar jadi PM. Hal yang sama juga mungkin akan berlaku kepada undang-undang tertentu seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sebabnya, Anwar pernah kata yang Akta ni terlalu keras dan ia perlu dipinda. Malah, tindakan pihak polis menggunakan Akta ke atas suspek kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) juga disifatkannya sebagai terlalu keras. Bagaimanapun, tu tak bermakna yang dia menentang seratus peratus akta ni, tapi cuma mahukan akta tu dipinda kerana kuasa yang diberikan kepada polis berlebihan.

Tapi dalam keadaan tertentu, potensi Parlimen dibubarkan pun tinggi

Bila kau nak bergaduh, tapi depan media. Imej dari FMT.

Seperti mana yang dibincangkan tadi, jawatan PM ni bukan ditentukan dengan kedudukan gabungan parti, tapi sebaliknya jumlah sokongan yang ada dalam Dewan Rakyat. Untuk kekalkan jawatan PM, seseorang tu mestilah kena pastikan dia dapat sokongan sekurang-kurangnya 112 orang Ahli Parlimen. Jumlah ni tak kisahlah dari parti-parti dalam PH atau pembangkang.

Jadinya, menurut Pakar Undang-undang dan Perlembagan UTM, Dr Muhammad Fathi Yusof – kalau Dr Mahathir gagal dapatkan sokongan majoriti Ahli Parlimen, maka kedudukannya ibarat telur di hujung tanduk. Tapi tu tak bermakna yang dia kena letakkan jawatannya terus, sebab dia masih lagi PM yang sah.

Dengan ini saya bersumpah… Imej dari mStar.

Ini kerana, kedudukannya akan selamat selagi mana Anwar belum dapat membuktikan dia dapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Jadinya di sini, Dr Mahathir ada dua pilihan menurut Perlembagaan. Pertamanya, meletakkan jawatan atau keduanya, buat permohonan kepada YDP Agong untuk membubarkan Parlimen.

“Jika YDPA berkenan untuk membubarkan dewan, maka satu pilihan raya umum perlu diadakan untuk memberikan peluang kepada rakyat memberikan mandat bagi penubuhan kerajaan yang baharu.” – Dr Muhammad Fathi Yusof, dipetik dari Suara Merdeka.

Tapi apa yang kami senaraikan ni semuanya masih lagi teori dan sangkaan semata-mata. Apa-apa pun kita tunggulah bila Persidangan APEC berlangsung dan tamat pada November tahun ni. Harapnya, suasana masa tu taklah tegang sangat dan setakat ni Dr Mahathir sendiri dah berjanji nak bagi jawatan PM tu kepada Anwar.