Colonia Dignidad: Perkampungan yang ‘tersembunyi’ dari dunia selama 40 tahun

Cuba bayangkan bila korang bangun pagi, tak sempat menggeliat dah kena kerja kat ladang dari pagi sampai malam, berhenti pun untuk lunch je. Sebelum tidur, takde sebarang aktiviti lepak dan mengeteh adalah dibenarkan.

Lagi teruk lagi, korang kena kerja 7 hari TANPA GAJI. Kalau nak lari jangan harap la, maunya kena tembak. Jadi korang terus je la buat kerja hari-hari. Tak sedar, tiba-tiba 40 tahun baru korang hidup dan tiba-tiba korang dibebaskan.

Cerita ini bukan rekaan semata-mata, dan memang ada kaitan dengan hidup dan mati, malah permerintahan selama tahun 1961 hingga 1997 ini difilemkan dalam The Colony dan Colonia Dignidad.

Imej dari filmstarts

Colonia Dignidad pada mulanya adalah perkampungan orang Jerman di Chile

Colonia Dignidad semasa tahun 1960-an. Imej dari telegraph.uk

Masa mula-mula ditubuhkan, nama tempat tersebut adalah Sociedad Benefactora y Educacional Dignidad, yang bermaksud ‘Kebanggaan dan Pendidikan Masyarakat Bermaruah’.

Koloni ni ditubuhkan oleh sekumpulan Jerman di Chile pada tahun 1950-an, iaitu lepas Perang Dunia Kedua. Perkampungan tu juga terletak di tengah-tengah hutan pada yang sangat terpencil. Diorang meneruskan hidup dengan bekerja di ladang dan juga kilang binaan mereka sendiri.

Berkeluasan 70 batu persegi, Colonia Dignidad ni lagi besar daripada Vatican City mahupun Pulau Perhentian. Tapi, kecil sikit la daripada Kepulauan Maldives. Boleh bayangkan besar mana perkampungan koloni tu?

Luas tak luasnya kawasan tu, dalam koloni tu sendiri ada tanah tinggi dan tanah rendah, bukit-bukau, dan berlatar belakangkan gunung yang dilitupi salji. Bunyinya macam cantik kan? Tapi khabar tak seindah realiti, bila korang tahu cara kehidupan kat sana…

Daripada perkampungan Jerman kepada kubu penyeksaan tahanan pemberontak Chile

Pintu gerbang Colonia Dignidad. Imej dari messynessychic.com

Colonia Dignidad kemudiannya diambil alih pada tahun 1961 oleh Paul Schaefer iaitu pendakwah dari Jerman yang baru je sampai ke Chile. Dia merupakan bekas pegawai perubatan tentera Nazi yang melarikan diri dari Jerman Barat ke Chile lepas Perang Dunia Kedua. Sebenarnya, tujuan dia lari ke Chile juga adalah kerana dia lari daripada pertuduhan pencabulan di Jerman.

Lepas Schaefer ambil alih, koloni yang dulunya komuniti pertanian perlahan-lahan berubah jadi penempatan yang dikawal dengan ‘agama’ dengan bekerja tanpa gaji sebab hidup diorang ni untuk ‘menyerahkan diri kepada tuhan’.

Masa tahun rampasan kuasa Chile pada tahun 1973 pula, Augusto Pinochet berjaya menggulingkan Salvador Allende, presiden Chile sebelumnya. Ramai penyokong Allende tak puas hati dan memberontak. Jadi, Pinochet kena ambik jalan untuk ‘diamkan’ para pemberontak ni sebelum dia pulak digulingkan nanti.

Rampasan kuasa Chile yang berlaku pada 11 September 1973

Bila dia tahu kewujudan sebuah koloni Jerman dalam hutan, diktator Pinochet ni tak fikir panjang, dia terus bekerjasama dengan Paul Schaefer. Diktator Pinochet dan Koloni Nazi Jerman yang diketuai Schaefer ni senyap-senyap bekerjasama untuk hantar penentang rejim Pinochet ke koloni tu untuk dipenjarakan, diseksa dan ada juga yang dibunuh.

Antara hukuman yang ada paling menakutkan ialah renjatan eletrik. Doktor akan ikat diorang, dan pasangkan ‘mahkota’ kat kepala, dengan wayar bersambung dekat mesin voltan, dan menaikkan voltan dari semasa ke semasa. Bayangkan kesakitan mangsa, seram sungguh!

Korang mungkin ingat scene ni dalam Green Mile. Imej dari thebestpictureproject.com

Tempat ini ada lebih kurang 300 orang, kebanyakannya adalah pendatang Jerman dan Chile. Lelaki, perempuan, dan kanak-kanak semuanya dipisahkan. Bukan tu je, diorang juga tak dibenarkan meninggalkan koloni tu sebab takde apa kat dunia luar yang dorang tak boleh dapat. Ingat tak filem The Village?

Bersyukurlah apa yang ada.

Disebabkan tu juga, penduduk koloni ni tak ikut perkembangan semasa langsung dan masih lagi berpakaian macam Bavarian zaman kuno. Tapi Schaefer sendiri boleh pulak berpakaian moden pada zaman tu sebagai lambang status dia sebagai orang yang berkuasa dalam Colonia Dignidad.

Stail Bavarian dari suku kaum Bavaria, sebuah daerah di Jerman. Imej dari redbubble

Dalam beratus-ratus orang yang tinggal dalam koloni tu, kenapa takde penentangan terhadap pimpinan diktator Schaefer? Dorang ni tak nak keluar ke pergi KLCC?

Macam mana seorang pedofil berjaya kawal sebuah koloni seramai 300 penduduk

Schaefer ni memang seorang yang sangat licik. Dengan menggunakan modus operandi macam mana-mana ajaran sesat yang lain, dia berjaya memanipulasi orang lain dengan ‘berdakwah’ pasal kemurkaan tuhan

Done dakwah. Imej dari MGAG.

Bukan tu je. Diorang takde apa-apa yang berbentuk hiburan macam radio, tv atau surat khabar. Jam pun takde. Mereka cuma ada Peraturan Schaefer, iaitu:

  • Mengaku semua kesalahan kepada Schaefer

Semua orang tak boleh ada rahsia apa-apa pun. Sesiapa yang buat salah kena mengaku kesalahan diorang kepada Schaefer, walaupun sekadar ada terlintas niat untuk buat jahat sekalipun. Ini cara dia untuk kawal orang dengan tahu macam mana cara seseorang tu berfikir.

  • Mengharamkan segala jenis perbualan sesama sendiri.

Dia awal-awal lagi dah brainwash pengikut dia,

“Kalau dua orang bergabung, tu adalah sebab setan. Kalau tiga orang bergabung, tu pulak disebabkan Jesus”- falsampah Schaefer

Bila orang takde komunikasi dengan orang sekeliling, jadi takde interaksi dan pemikiran penduduk pun takkan berkembang. Jadi, pengikut dia takkan terfikir pun untuk memberontak.

  • Pengasingan mengikut kategori umur

Kalau korang nak tahu, kat dalam Colonia tu takde keluarga. Macam mana dia buat? Setiap orang dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan ada asrama masing-masing. Malah nak tahu diorang ni daripada kumpulan mana, boleh tengok lencana (macam sekolah pulak).

Kanak-kanak lelaki yang lahir dalam Colonia akan tinggal dengan jururawat kat hospital sebagai The Babies”. Masa umur 6 tahun pulak masuk kumpulan “The Wedges” sampai berumur 14 tahun. Masa umur 15 tahun, diorang masuk kategori “The Army of Salvation”. Masuk 30 tahun je, diorang jadi “The Elder Servants”, dan pada umur 50 tahun pulak “The Comalos”.

Bukan lelaki je, perempuan pun dibahagikan macam tu juga, tapi dengan nama berlainan macam “The Dragons,” “The Field Mice,” “The Women’s Group,” dan “The Grannies.”

  • Nama orang-orang yang buat dosa ditulis di papan hitam

Bunyinya macam budak sekolah, tapi ni la apa yang berlaku pada waktu makan setiap hari. Setiap orang boleh tulis nama sesiapa yang buat salah pada hari tu dekat papan hitam di dewan makan. Schaefer akan panggil nama ‘pesalah’ tadi satu persatu dan mengaku salah yang diorang buat hari tu. Masa ni, kalau diorang tak salah pun diorang tak boleh nafikan sebab hukuman lagi teruk. Jadi, diorang akan fikir je apa-apa kesalahan dan terima je hukuman.

Tapi kita semua pun pendosa
  • Tiada perkahwinan dalam Colonia Dignidad

Mengikut ajaran Schaefer juga, perempuan adalah hasutan dunia dan boleh menyebabkan lelaki menyimpang daripada tuhan. Dia juga menanamkan idea pada penduduk koloni yang hubungan seks adalah senjata syaitan. Sebab tu juga lelaki dan perempuan tak tinggal sekali. Perempuan juga kena pakai baju buruk supaya tak nampak menarik langsung pada lelaki.

  • Diorang juga takde harta

Bukan tu je, diorang cuma ada beberapa barangan peribadi macam baju tidur, sepasang baju kerja, dan baju dalam untuk seminggu je. Kasut diorang kena masukkan dalam almari yang dikunci. Punyalah dikawal ketat. Tapi dengan cara ni, diorang susah la nak larikan diri.

Sebenarnya, banyak lagi benda lain yang Schaefer buat ni, atas ‘arahan tuhan’ yang diturunkan kepada para pengikut dia.  Bukan tu je, pukulan, renjatan eletrik dan dadah digunakan Schaefer untuk mendisiplinkan penduduk.

Jawatankuasa Colonia Dignidad ditubuhkan oleh kerajaan Chile dan Jerman

Paul Schaefer dengan kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa pemuas nafsunya. Imej dari ibtimes

Bukannya senang nak lepaskan diri daripada Colonia Dignidad. Tapi salah seorang mangsa iaitu Wolfgang Mueller, tak berputus asa cari jalan untuk lepaskan diri daripada cengkaman Schaefer yang mula merogolnya sejak berumur 12 tahun.

Masa kali pertama dan kedua, dia sempat ditangkap oleh pengawal koloni lepas lari ke sebuah keluarga Chile di bandar berdekatan. Kali ketiga pulak masa tahun 1966, dia lari jauh ke bandar sampailah dapat perlindungan polis dan ditempatkan di kedutaan Jerman.

Ingat dah selamat, tapi pedofil Schaefer ni arahkan 15 orang pengikut dia untuk tangkap Wolfgang sebab takut rahsia tentang koloni dia pecah. Nasib baik juga polis dapat kawal keadaan dan tak lama lepas tu Wolfgang berjaya tinggalkan Chile dan balik ke Jerman.

Untuk memperjuangkan hak penduduk yang ditindas dalam Colonia Dignidad, dia tak berdiam diri. Dia banyak kali buat laporan pasal Schaefer, tapi nampaknya pegawai kerajaan Jerman tak ambil tindakan langsung. Sampailah tahun 1997, baru la dunia buka mata dan tahu kekejaman yang berlaku dalam koloni di tengah hutan tu.

Walaupun dah hampir 60 tahun kejadian tu berlaku, Wolfgang masih jadi aktivis dan tubuhkan NGO untuk perangi penderaan kanak-kanak oleh mana-mana fahaman agama sesat.

Mueller Wolfgang yang berjaya melarikan diri lepas 3 kali percubaan, dan masa tu dia berumur 20 tahun. Identiti dia sekarang diubah untuk keselamatan diri. Imej dari ohmynews.com

Walaupun Colonia dibubarkan tahun 1997, lapan tahun lepas tu baru la kerajaan Chile dedahkan pasal fail arkib rahsia di Colonia Dignidad. Hasil pemeriksaan mendapati menunjukkan seramai 39,000 mangsa terlibat dalam kes tu, tapi kajian setakat tahun 2016 pula angka meningkat kepada 45,000 mangsa.

Selain penderaan dan kekejaman yang berlaku, koloni tersebut juga rupa-rupanya adalah tempat menyimpan senjata terbesar di negara tersebut. Masa tempat tu diselongkar, polis jumpa pelbagai senjata tentera di tiga lokasi berbeza dalam koloni tu. Ada sebanyak 92 mesingan, 104 senapang semi-automatik, 18 bom kluster, 1,893 bom tangan, 67 mortar, 176 kilogram TNT. Malah, ada peluru berpandu, bom tangan yang dihasilkan dalam koloni tu dan pelbagai lagi senjata merbahaya milik kerajaan Chile zaman Perang Dunia Kedua.

Senjata api terbanyak yang pernah dijumpai di Chile adalah di Colonia Dignidad. Imej dari YouTube

Tak lama lepas tu, Jerman pun akhirnya dedahkan laporan pasal Colonia Dignidad. Menteri Luar Jerman pada masa tu, Frank-Walter Steinmeier (sekarang Presiden Jerman) melahirkan rasa kesal dengan kegagalan diplomat Jerman yang tahu tentang kes tu, tapi tak ambik tindakan dengan perhambaan bangsa sendiri dalam koloni tu. Malah, jadi rakan subahat pula tu! Patutla masa Mueller buat laporan tu kerajaan Jerman tak ambik serius. Kerajaan Jerman dan Chile kemudiannya menubuhkan Jawatankuasa Colonia Dignidad untuk menyelesaikan isu ni.

Tapi, para penjenayah ni ‘lari’ dari hukuman dunia

Setiap kekejaman mesti berakhir dengan hukuman yang sepatutnya. Tapi macam mana pula kalau tak dapat pengadilan yang sepatutnya?

Diktator Chile, Augusto Pinochet ditahan pada Oktober 1998 di London masa tengah menjalani rawatan pembedahan sakit belakang. Diktator tersebut dibawa balik ke Chile untuk dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menculik dan melakukan pembunuhan.

Diktator Pinochet di rumahnya sebelum dibicarakan. Imej dari smh.com

Bagaimanapun pada tahun 2001, hakim memutuskan supaya Pinochet dibebaskan sebab bekas pemimpin kuku besi tu tak sihat untuk datang perbicaraan dan pendakwaan. Jadi, semua mangsa dan keluarga yang terlibat tak puas hati. Dia kemudiannya diletakkan di bawah tahanan rumah dan masa menunggu perbicaraan, dia akhirnya meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2006 sebelum prosiding undang-undang penuh dijalankan.

Masa kejatuhan empayar Pinochet ni, Paul Schafer menyamar, dan sekali lagi melarikan diri dari keadilan macam dia pernah buat dulu. Lepas lapan tahun menyamar dan melarikan diri, dia ditangkap di Buenos Aires pada tahun 2005. Dia dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun atas dakwaan penderaan seksual sebanyak lebih daripada 20 orang kanak-kanak. Tapi, dia tak sempat habiskan hukuman penjara dia yang berbaki 16 tahun sebab akhirnya dia sakit jantung dan mati dalam penjara di Santiago de Chile pada tahun 2010.

Pedofil Paul Schaefer, ketua Colonia masa ditangkap pada tahun 2005. Imej dari ibtimes.co

Kekejaman yang berlaku memberi kesan mendalam pada semua mangsa yang terlibat

Walaupun ramai penduduk yang dah meninggalkan kawasan tu, tapi nampaknya sekarang ni masih ada lebih kurang 150 orang yang terus menetap di koloni tu. Selain daripada trauma disebabkan pelbagai jenis penderaan, ada juga yang masih tinggal di sana disebabkan diorang tak boleh hadapi dunia luar. Malah tak kurang juga mengaku yang brainwash koloni tu membawa kepada pengabdian diri terhadap Paul Schaefer yang pernah dianggap tuhan.

“Kebanyakan daripada mereka mengalami trauma yang teruk, dan mereka mungkin susah untuk menyesuaikan diri dengan dunia luar.”- Gallenberger, pengarah filem Colonia Dignidad dalam kajiannya

Oleh itu, kita dapat melihat yang kebebasan berfikir sangat penting dalam menghadapi sebarang ideologi ataupun fahaman berkepentingan contohnya macam ISIS. Ini kerana tanpa adanya kebebasan berfikir, kita mudah dipengaruhi dari segi pemikiran mahupun kepentingan orang lain. Itu juga la yang berlaku dalam ajaran-ajaran sesat dan kumpulan-kumpulan ekstrimis yang ada pada hari ni.

Jadi, kitorang berharap yang masih ada nilai kemanusiaan dalam diri kita semua. Sebab apalah ertinya jadi manusia tanpa kemanusiaan? Dan apalah erti kepercayaan tanpa kebebasan?