Kenapa remaja dan kanak-kanak Malaysia boleh tertarik masuk ISIS?

Malaysia dianggarkan mempunyai 50,000 penyokong ISIS jadi tak hairanlah kenapa makin banyak berita kita dengar pasal rakyat kita dikaitkan dengan kumpulan militan ini. Malah bulan lepas Siti Noor Aishah Atam telah dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun kerana memiliki buku yang berunsurkan keganasan. Ada juga laporan akhbar mengatakan Aisyah ni dah berikrar taat setia kepada ketua ISIS, Abu Bakr al-Baghdadi

ISIS adalah group yang paling cepat berkembang kalau nak dibanding dengan group pengganas yang lain macam Al-Qaeda dan Abu-Sayyaf. Kenapa? Ini kerana ISIS lebih terbuka dan pakar dalam bidang teknologi. Dorang bijak buat video, filem propaganda jihad dan banyak menyelusup masuk dalam sosial media untuk crowdsource, sebab tu lah ISIS berjaya cari ramai ahli dalam masa yang singkat.

Tinggi jugak kedudukan Malaysia dalam negara-negara yang menyokong ISIS! Imej dari The Independent

Cerita kumpulan ISIS merekrut ahli dekat Malaysia bukanlah benda baru. The Guardian melaporkan yang PDRM telah berjaya menangkap lebih 160 orang yang disyaki ada hubungan dengan ISIS sepanjang dua tahun lepas. Semua yang ditangkap dalam lingkungan 22 ke 49 tahun termasuklah 4 wanita, seorang pegawai polis, seorang technician kapal terbang, seorang imam dan seorang pelajar.

Dorang dah start secara aktif sejak 2014 lagi. Apa yang menakutkan, dorang sebenarnya rekrut rakyat kita terus dari rumah ataupun IPT tanpa kita sedar. Dan cara-cara dorang bekerja adalah melalui…

1. Facebook untuk berkongsi perasaan dengan bakal-bakal rekrut

Imej dari anonymousartofrevolution.com

Rekruter ISIS  gunakan salah satu teknik yang disebut dalam manual dorang (ingat barang eletrik je ada manual) yang di panggil “A Course in the Art of Recruiting”. Manual tu ajar rekruter supaya lebih sensitif dan berkongsi perasaan yang sama dengan target supaya lebih rapat dan boleh tanamkan doktrin perjuangan Islam tanpa guna sekalipun perkataan “jihad” secara direct.

Pada Oktober 2014, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan sorang pelajar berusia 14 tahun telah menjadi sasaran dan kena brainwash untuk berjuang bersama ISIS di Syria melalui Facebook.

Lebih mengejutkan, pendedahan ini cuma sehari selepas berita Syamimi Faiqah, bekas pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berusia 20 tahun pergi ke Syria untuk menyertai ISIS selepas dipujuk melalui cara yang sama.

2. Guna YouTube untuk target orang yang rasa diri dorang tersisih

GIF dari GIPHY

Strategi utama dorang adalah pengasingan. Menurut salah sorang bekas rekruiter ISIS, Mubin Shaikh, rekruter akan target individu yang merasakan diri mereka tersisih. Jika individu yang berpotensi tidak tersisih, dorang akan sisihkan mereka dari kenalan dan komuniti.

Macam mana dorang nak sisihkan target? Rekruter akan habiskan banyak masa bersama target secara online, supaya target tak ada masa untuk bergaul dengan orang sekeliling. Sebab itu target rasa lebih rapat dengan “akhi” dan “ukhti” ini berbanding rakan dan ahli keluarga mereka sendiri.

Pada 24 Disember 2014, polis tangkap dua lagi pelajar universiti yang nak pergi ke Syria untuk join ISIS termasuk seorang wanita 27 tahun yang berkahwin dengan militan ISIS melalui Skype (takde kenduri). Suspek kedua adalah pelajar IPT  berumur 22 tahun yang ditahan di KLIA. Kedua-dua suspek jadi ISIS sympathizer lepas tengok video propaganda dekat YouTube

ISIS tak berhenti setakat tu je. Dorang berjaya memuat naik satu video di YouTube pada Mac 2015. Video “Education in the Caliphate” berdurasi dua minit itu memaparkan 20 orang budak lelaki yang menghadiri kelas agama dan latihan senjata di Iraq atau Syria. Ia adalah video pertama berbahasa melayu dipercayai untuk sasarkan keahlian di Malaysia dan sekitar Asia Tenggara.

3. Kem rekrut dan penerapan “Kunci ke Jannah” melalui usrah

Selain media sosial, ISIS juga gunakan usrah, iaitu kumpulan kecil yang kurang dari sepuluh orang. Dengan menggunakan tiket dakwah, usrah berjaya membentuk kelompok rapat yang membawa misi perjuangan Islam yang kemudian bertukar menjadi kem rekrut untuk ISIS.

Kes pertama, seorang bekas komando berusia 29 tahun adalah antara 135 militan yang di tahan di Arab Saudi pada Disember 2014. Dia adalah askar terlatih dalam pertempuran dan bahan letupan sebelum bersara. Menurut The Daily Star, bekas komando ni join kumpulan usrah sebelum tertarik dengan ideologi jihad yang diketengahkan.

Imej dari mStar

Dalam kes kedua pula, Muhamad Razin Sharhan Mustafa Kamal, berusia 24 tahun ketika ditahan di Beirut, Lebanon 2012. Dia mengaku pernah menghadiri usrah yang diketuai bekas tahanan ISA, Yazid Sufaat, yang pernah mendapat latihan di Afghanistan dan pernah menyertai jihad sebelum ini. Kamal pernah bagitahu group usrah tu pernah bincang topik “Kunci ke Jannah” dan “Sistem Demokrasi” selama sejam.

4. Ada jugak yang guna Tinder dan media sosial yang lain

Selain daripada Facebook sebagai salah satu platform paling popular untuk merekrut ‘pejuang-pejuang’ baru, para perekrut juga aktif dan mengikut perkembangan semasa dengan wujudnya platform sosial media yang lain seperti Whatsapp, Twitter, Telegram, Skype, dan terbaru sekali ialah Tinder!

Imej dari imgflip.com

Berdasarkan laporan daripada The New Straits Times, salah seorang perekrut popular yang paling dikehendaki di Malaysia, Wanndy sendiri mengaku yang dia adalah saksi bagi sumpah baiah yang dilakukan antara Aisyah Atam dan dan ketua pengganas ISIS, Abu Bakr al-Baghdadi melalui Telegram.

Beberapa tahun sebelum tu lagi iaitu pada tahun 2015, straitstimes.com juga pernah melaporkan yang seorang pelajar wanita dari Universiti Lim Kok Wing ditangkap di KLIA sehari sebelum perayaan Hari Natal pada tahun tersebut. Dia juga dikatakan sudah berkahwin dengan pejuang Maghribi ISIS dua minggu lalu, melalui Skype.

“Kami percaya bahawa dia mula tertarik dengan IS selepas menonton video propaganda terhadap YouTube pada November. Dia kemudian mendapat tahu pejuang Afrika Utara dan akhirnya berkahwin dengan dia. Beliau berjaya memujuk beliau untuk menyertai beliau dalam Syria.” –  Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara,

Terbaru sekali pada tahun lepas, perekrut ISIS juga dah menyasarkan aplikasi pencarian jodoh, Tinder dan juga Match.com. Laporan daripada The Sun menyatakan yang perekrut semakin terdesak apabila menggunakan Tinder, bertujuan untuk merekrut perempuan sebagai bekalan hamba seks. Walaupun ia tak terjadi lagi kat Malaysia, tapi para pengguna applikasi ni kena berhati-hati jugak supaya tak mudah dipergunakan dengan alasan berdakwah atau jihad.

Imej dari Bernama.com

Pada Oktober 2014, PDRM berjaya kenal pasti dan menutup 12 laman web digunakan rekruter ISIS yang bertanggungjawab merekrut sejumlah rakyat Malaysia menyertai ISIS. Polis dan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) kini bekerjasama memantau sebarang laman web yang berunsurkan keganasan dan fahaman ekstremis. Hasil kerjasama ini turut berjaya mengenal pasti beberapa platform baru yang dorang gunakan (Telegram, WhatsApp & Yahoo Messenger).

“Mereka ada beribu-ribu cybertroopers… selalu membalas apa yang kita uar-uarkan. Kumpulan ini ada televisyen dalam talian yang beroperasi 24 jam. Mereka juga ada laman web dan Twitter yang telah disekat.

Sejak pertengahan tahun 2015 sehingga sekarang, sejumlah 360,000  akaun telah disekat”- SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman.

Remaja dan kanak-kanak adalah target yang sangat mudah untuk dipengaruhi

Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (Iyres) baru-baru ini mendedahkan, 85% golongan remaja yang disabit melakukan kesalahan berkait keganasan mendapat pendedahan ideologi militan melalui media sosial.

“Pengaruh militan ISIS di Malaysia adalah pada tahap membimbangkan dimana media sosial merupakan antara medium utama untuk perluaskan ideologi mereka khususnya kepada kanak-kanak.” – Tan Sri Musa Hassan, Bekas Ketua Polis Negara.

Kumpulan pengganas ni memang nak tarik kanak-kanak sehingga pernah nak bina kem latihan untuk kanak-kanak di Malaysia! Namun pihak polis berjaya mematahkan cubaan tersebut.

Imej dari Malaysiandigest

Satu profil psikologi berjaya dikenalpasti berdasarkan 9 ciri karakter berulang. Rekrut ISIS ni kebanyakannya berasa kosong dan kurang percaya kebolehan diri. Hubungan keluarga juga renggang dan dorang tak rapat dengan orang sekeliling.

“Mereka tidak ramai kawan di dunia sebenar, sebaliknya lebih aktif berkomunikasi dalam media sosial” – Dr. Zainah Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif Iyers.

Kajian yang sama juga menerangkan yang rekrut cenderung ke arah Narcissism – nak jadi ‘hero’ dan mahukan pujian/perhatian dikalangan pengikut lain, kerap buat kesimpulan yang salah atau bias, dan lebih cepat menunjukkan tindak balas agresif – dari segi emosi, fizikal dan percakapan. Dorang melihat agama dari perspektif diri sendiri dan berani ambil risiko tanpa fikir kesan jangka masa panjang. Selain tu, dorang juga tertarik dengan perkataan ‘jihad’, ‘misi kemanusiaan’ dan ‘ukhwah sesama Muslim’ serta mahukan perubahan diri bagi menebus dosa yang telah dilakukan.

Kita dah cukup bersedia ke?

Malaysia memandang serius isu ini sehingga kerajaan telah membentangkan Kertas Putih – ‘Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Militan Islamic State’ kat Dewan Rakyat sehingga terlaksananya Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) pada 1 September 2015.

Selain POTA, Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 [Akta 770] (SMATA) turut diperkenal. SMATA adalah undang-undang baru yang membenarkan Ketua Pengarah Imigresen menggantung atau membatalkan dokumen perjalanan yang dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang terlibat dalam organisasi pengganas di sesuatu negara asing.

Selain tu, JAKIM pun turut memainkan peranannya dengan menubuhkan Majlis Penerangan dan Latihan Modul Konsep Jihad untuk memberi kefahaman mengenai konsep jihad dalam Islam dan penjelasan mengenai isu keselamatan yang melibat beberapa agensi kerajaan lain, termasuklah mengadakan program kerjasama di bawah Strategi Lautan Biru.

Imej dari memesuper.com

Ok lah kat sini kita boleh nampak usaha-usaha kerajaan nak jauhkan rakyat dari anasir ISIS. Tapi ibu bapa pun kenalah pantau jugak anak-anak supaya tak terpengaruh dengan fahaman radikal dan militan.

“Keluarga memainkan peranan utama dalam membendung remaja daripada menyertai kumpulan ISIS dengan memantau perubahan tingkahlaku anak-anak serta memantau aktiviti internet anak-anak.” – Ahmad El-Muhammady, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dipetik dari Malaysian Digest.

Kita semua boleh lakukan sesuatu, dengan menggunakan media sosial lebih berhati-hati dan tak melayan mesej berbaur keganasan ni. Lagipun, keganasan bukanlah jihad, dan jihad yang paling besar sebenarnya adalah jihad melawan hawa nafsu diri sendiri.