Waktu haid haram talak, waktu hamil diharuskan. Ini hukum yang korang kena tahu

Seperti mana yang kita tahu, sekarang ni kecoh pasal tindakan seorang ustaz selebriti (program rancangan Pencetus Ummah) – Abu  yang menceraikan isterinya masa tengah sarat mengandung.

Dikatakan, PU Abu menceraikan isterinya tu sebab nak kahwin dengan seorang wanita berstatus janda anak satu. Bekas isteri PU Abu, Ain Afini yang rasa kecewa dengan tindakan tu mendakwa ia jadi disebabkan kedatangan pihak ketiga.

Maka, banyaklah netizen yang tak puas hati dengan tindakan Abu ni, sampaikan ada gerakan yang nak boikot Abu dari ceramah dan sebagainya. Malah, ada juga yang nak boikot produk perniagaan isteri baru Abu.

Abu dan bekas isterinya. Imej dari Harian Metro.

Nampaknya, isu penceraian seorang penceramah agama pun boleh jadi panas kat Malaysia ni. Tapi, SOSCILI bukanlah nak cerita pasal isu perceraian diorang ni secara detail. Korang pun boleh cari sendiri kan?

Apa yang SOSCILI nak bincang adalah pasal isu cerai dalam Islam dan peraturan-peraturannya. Sebab, rasanya masih ramai yang keliru pasal isu talak mentalak ni. Lebih-lebih lagi pasal isu mentalakkan isteri ketika hamil.

Hukum ceraikan isteri masa hamil – ada kata harus dan ada pula kata haram

Berdasarkan penerangan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli al-Bakri, majoriti ulama mengharuskan (membolehkan) talak isteri ketika dia tengah hamil. Hal ni disabitkan dengan satu hadis riwayat Muslim:

Dari Ibnu Umar RA bahwa dia pernah menceraikan isterinya dalam keadaan haid. Kemudian Umar bin Khatthab RA menceritakan kejadian tersebut kepada Nabi.

Lantas baginda pun berkata kepada Umar bin Khatthab RA, ‘Perintahkanlah kepada dia (Ibnu Umar RA) supaya dia kembali kepada isterinya, kemudian talaklah dia dalam keadaan dia suci atau hamil’. – Sahih Muslim.

Berdasarkan hadis ni, ada dua hukum tentang talak yang dinyatakan:

  1. Haram talak isteri masa haid.
  2. Harus talak isteri masa hamil.
Aauwww. Imej dari tenor.com

Imam Nawawi kata, hadis ni menjadi dalil keharusan talak masa isteri hamil dan ia juga adalah pandangan dari Mazhab Syafie. Malah, pandangan ini juga dipegang oleh ulama-ulama lain macam – Ibnu Sirin, Ahmad Ishaq, Abu Tsur, Abu Ubaid dan lain-lain.

Bagaimanapun, ada juga sebahagian ulama dari mazhab Maliki yang mengharamkannya, tapi talak tetap jatuh. Dan ada juga yang memakruhkannya, iaitu seperti Hassan al-Basri.

Tapi kalau kita tengok laporan media, kita macam diberitahu yang Abu ni ceraikan isterinya dengan gunakan aplikasi WhatsApp. Kita juga selalu dengar dengan kes-kes yang macam ni. Jadi, muncullah persoalan…

Boleh ke ceraikan isteri guna SMS/WhatsApp/Telegram, dan sebagainya?

Selaras dengan peredaran zaman, sekarang ni ada pulak yang jatuhkan talak melalui SMS/WhatsApp dan sebagainya. Maka, hal ni kembali kepada perbincangan ulama dan pihak agama untuk menentukannya sama ada ia sah atau tak.

Imej dari mStar.

Berdasarkan pandangan dari Jabatan Mufti Negeri Selangor, hukum penceraian melalui SMS adalah sah dan jatuh talaknya kalau ia memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Pengirim SMS itu adalah suami
  2. Penerima SMS adalah isteri
  3. SMS itu telah pun dibaca oleh penerima
  4. Suami berniat untuk menceraikan isteri

Tapi, talak melalui SMS yang tak memenuhi syarat-syarat kat atas dianggap sebagai tak sah dan ia perlu ditentukan kat Mahkamah Syariah.

“Penceraian melalui SMS adalah sama kaedahnya dengan penceraian melalui kata-kata yang tidak jelas (sindiran) termasuk penulisan seperti surat, faksmili, telefon dan e-mail. Kesemuanya termasuk dalam talak kinayah.” – Dipetik dari Fatwa Negeri Selangor.

Klik sini atau imej kalau nak baca.

Oleh itu, lebih baik pihak yang terlibat dalam isu talak SMS ni pergi ke Mahkamah Syariah untuk dapatkan pengesahan. Sebabnya, mahkamah ada kuasa untuk mengesahkan dan mendaftarkan perceraian yang berlaku di luar mahkamah.

Bila dah berlakunya perceraian, maka ada satu lagi perkara yang jadi perbincangan adalah tempoh iddah. Menurut hukum syarak, iddah adalah suatu tempoh masa menunggu oleh seseorang wanita, sama ada kerana bercerai hidup atau bercerai mati (suami meninggal dunia) atau bahasa mudahnya tempoh masa seseorang wanita tak boleh bertunang atau berkahwin.

Tempoh iddah untuk wanita mengandung hingga kelahiran anaknya

Imej dari Pesona Pengantin.

Ada beberapa jenis tempoh iddah dan ia adalah:

1. Tiga kali suci dari haid

Tempoh ni untuk wanita yang diceraikan oleh suami dan pernah disetubuhi oleh suaminya, tapi tak mengandung. Ia juga terpakai kepada wanita yang belum putus haid.

Kalau wanita tu diceraikan masa dalam keadaan suci (tak haid), iddahnya selesai dengan haid yang ketiga. Tapi kalau dia diceraikan masa dalam keadaan haid, maka iddahnya selesai bila masuknya haid yang keempat.

2. Tiga bulan

Ini pula untuk wanita yang diceraikan masa dia dah putus haid (menopaus).

“Jika isteri diceraikan dalam keadaan berhaid dan tidak hamil, kemudian sebelum tamat tiga kali suci, isteri telah mengalami putus haid (menopause), maka wajib isteri menjalani iddah semula selama tiga bulan sebagai tambahan kepada tempoh iddah yang telah dilaluinya.” – Dipetik dari e-syariah.

Mahkamah Syariah menjalankan perbicaraan di Petaling Jaya, suatu ketika dulu. Imej dari Jabatan Penerangan Malaysia.

3. Empat bulan 10 hari

Ini untuk perempuan yang kematian suami dan perempuan tu tak mengandung. Ia berdasarkan ayat 234, Surah al-Baqarah:

“Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari.”

4. Hingga bersalin

Ia untuk wanita yang diceraikan oleh suami secara hidup atau mati dan masa diceraikan itu, wanita tu tengah mengandung.

Maknanya, iddah isteri tamat sebaik je dia melahirkan anak. Tempoh ni boleh jadi lebih pendek, kalau isteri yang diceraikan tu melahirkan anak (atau keguguran) sejurus selepas diceraikan. Dalam keadaan ni, iddah isteri tamat serta merta.

5. Tak ada iddah

Ia untuk wanita yang diceraikan, tapi belum pernah bersetubuh dengan suaminya. Ini bermakna tak ada tempoh iddah untuknya.

Bila dah bincang isu ni, kita nak tahu pula pasal hak-hak wanita yang diceraikan, betul tak? Dan ni membawa kita ke…

Walaupun dah bercerai, tanggungjawab bekas suami kepada anak-anak masih lagi berjalan

Perceraian kadang-kadang boleh bawa masalah kepada anak-anak. Imej dari prfmnews.com

Dalam hukum Islam, suami bertanggungjawab memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan je masa diorang hidup, tapi juga selepas bercerai dengan isteri. Berikut adalah hak-hak yang boleh dituntut di Mahkamah Syariah:

1. Nafkah iddah

Nafkah yang wajib dibayar kepada bekas isteri di dalam tempoh iddah iaitu seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

2. Muta’ah

Satu bayaran yang wajib daripada suami kepada isteri yang dah diceraikan tanpa sebab munasabah mengikut hukum syarak.

Kadarnya boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak. Kalau ada pertikaian pasal kadar ni, mahkamah akan tentukannya.

3. Harta sepencarian

Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami-isteri masa dalam perkahwinan. Ia termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan. Tuntutan harta sepencarian kena dikemukakan kat Mahkamah Syariah.

Imej dari MyLawyer.

4.Tunggakan Nafkah

Nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isteri dalam tempoh perkahwinan dan ia menjadi hutang ke atas suami dan wajib dibayar. Tunggakan ini boleh dituntut kat Mahkamah Syariah.

5. Hak jagaan anak

Ini terpakai kepada penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri. Kalau ikut Seksyen 81, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan)ibu adalah orang yang paling berhak dari segala orang untuk menjaga anak kecilnya. Tak kiralah dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan atau lepas bercerai.

Tapi dalam masa sama, si bapa wajib menanggung nafkah anak-anaknya sehinggalah diorang masuk ke universiti. Walaupun ada enakmen yang memperuntukkan nafkah terhadap anak-anak akan terhenti bila anak mencapai umur 18 tahun.

Nafkah-nafkah. Imej dari Giphy.

Tapi dalam masa sama, si anak masih boleh buat permohonan kat mahkamah untuk melanjutkan tempoh perintah nafkah – sehingga dia sambung pelajaran yang lebih tinggi atau buat apa-apa latihan lanjut.

“Merujuk kepada kadar nafkah yang telah diperintahkan oleh mahkamah, dapat dinyatakan di sini bahawa sesuatu kadar nafkah yang telah diperintahkan oleh mahkamah tidaklah kekal dan boleh diubah.

Perubahan kadar nafkah tersebut adalah berdasarkan kepada kemampuan bapa, keperluan anak-anak tersebut dan taraf ekonomi semasa.” – Dipetik dari Sister in Islam.

Walau begitu, ada juga kontroversi pasal hak menjatuhkan talak ni. Sebabnya, hak tu hanya diberikan kepada orang lelaki, dan ada pihak yang berpendapat ia sebagai tak adil kepada wanita.

Wanita-wanita ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri di Pakistan. Imej dari thehimalayantimes.com

Wanita sebenarnya ada hak minta cerai

Sebenarnya, Islam bukanlah agama yang kejam dan ia memberikan keadilan kepada setiap umatnya. Walaupun ada hadis yang mengatakan talak sebagai perkara halal yang dibenci Allah, tapi tu tak bermakna ia tak boleh dilakukan.

Ini kerana, kalau talak tu membawa kebaikan, macam mengelakkan kezaliman rumah tangga, maka ia juga adalah satu kebaikan.

Oleh itu, seseorang isteri tu boleh memohon fasakh (bubar perkahwinan) atau khuluk (tebus talak) kalau dia merasakan suaminya tak lagi sesuai dengannya, suaminya membawa mudarat kepadanya, atau dia sendiri tak lagi mampu menunaikan tanggungjawab sebagai isteri.

Fasakh adalah cara membubarkan perkahwinan berdasarkan sebab-sebab tertentu. Sebab-sebab tu pulak boleh jadi macam:

  1. Tempat suami berada tidak diketahui selama lebih daripada satu tahun.
  2. Suami tak bagi nafkah selama tiga bulan.
  3. Suami dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih.
  4. Suami tak tunaikan nafkah batin tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun.
  5. Suami menganiaya atau menyakiti isteri.
  6. Suami gila.
  7. Suami menghidapi penyakit kelamin berjangkit.
Si isteri boleh minta fasakh, untuk elak jadi benda macam ni. Imej dari Polis Diraja Malaysia (FB).

Jadinya, seseorang isteri tu boleh buat permohonan fasakh ni di Mahkamah Syariah dan mahkamah kemudiannya akan buat keputusan.

Cara kedua pula adalah khuluk (tebus talak). Ia dilakukan dengan cara pihak wanita membayar sejumlah wang kepada suami. Jika jumlah yang perlu dibayar isteri dipersetujui dengan suami, mahkamah akan memerintahkan suami melafazkan talak ke atas isterinya.

Ia boleh direnungkan dengan satu hadis apabila isteri Thabit bin Qais datang kepada Rasulullah SAW dan berkata:

“Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya saya tak mengaibkan akhlak dan agama (suami saya Qais), tetapi saya tidak menyukainya dan tidak mahu hidup bersamanya menyebabkan saya melakukan maksiat (atau kerana kebencian yang bersangatan akan mendorongnya menzahirkan kekufuran supaya terfasakh perkahwinan).

Maka Rasulullah bersabda; mahukah kamu kembalikan kepadanya kebun (yang dijadikan maharmu). Kemudian baginda bersabda (kepada suaminya); terimalah kembali kebun itu, dan cerailah dia satu talak,” – Hadis riwayat Bukhari.

Majlis perkahwinan pasangan muslim di China. Imej dari Syifa Adriana (Youtube).

Malaysia catatkan penurunan perkahwinan dan perceraian sejak 2 tahun lalu

Menurut statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah perkahwinan di Malaysia mencatatkan penurunan 4.9% daripada 200,274 (2016) kepada 190,532 (2017). Lebih khusus lagi, bilangan perkahwinan orang Islam yang direkodkan pada 2017 (134,008), penurunan 6.1% berbanding 142,712 (2016).

Bersangkutan dalam laporan itu, bilangan penceraian secara menyeluruh juga dicatatkan menurun. Bagi penceraian orang Islam, penurunan dicatatkan sebanyai 3.0% iaitu daripada 41,030 kes (2016) kepada 39,709 kes pada 2017.

Imej dari Jabatan Perangkaan Malaysia.

Bagaimanapun, jumlah ni masih membimbangkan, lebih-lebih lagi bila Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyatakan – lebih 1/3 perkahwinan yang berakhir dengan penceraian berlaku dalam tempoh 5 tahun pertama perkahwinan.

“Antara punca-punca utama penceraian pada perkahwinan pertama oleh lelaki adalah tiada persefahaman sejumlah 56.2%, isteri curang (11.8%) dan campur tangan mentua atau ipar (10%).

Manakala bagi wanita pula, 38% peratus menyatakan punca utama perceraian adalah kerana tiada persefahaman, diikuti dengan suami curang (20.5%) dan suami tidak bertanggungjawab (15.2%).” – Hannah Yeoh, dipetik dari FMT.

Itu belum masuk lagi dengan sebab-sebab remeh perceraian, macam – isteri basuh baju malam-malam, isteri suka makan dalam kereta, pasangan tidur berdengkur dan sebagainya.

Yang ni dah jadi cubaan membunuh. Imej dari Giphy.

Macam mana pula dengan pandangan korang? Betul ke perkahwinan tu benar-benar menyelesaikan masalah dan ada ke lagi yang kita semua perlu belajar?

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.