Agama

TV luar ni pernah cuba calarkan imej JAIS melalui klip palsu

(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS)

Rasanya,kita semua ada dengar berita pasal penahan peguam kontroversi Siti Kassim beberapa minggu lepas. Siti Kassim ditahan sebab dituduh menghalang tugas penjawat awam. Selain tu, Siti juga didakwa menculik seorang wanita berusia 24 tahun, Anis Izzaty. Anis dilaporkan dah meninggalkan rumah, sebab nak lepaskan diri dari ibunya yang dikatakan ‘terlampau mengawalnya’.

Walaupun macam tu, Siti Kassim kemudiannya dibebaskan lepas Mahkamah Majistret menolak permohonan reman terhadapnya. Apa yang jadi serius adalah, bila Anis sebelum ni mendakwa yang dia dah disoal oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), sambil kata dia dah diculik oleh badan agama tu.

Siti Kassim masa kena tahan. Imej dari The Star.

Dia juga mendakwa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk dinilai kesihatan mentalnya, lepas maknya kata mental Anis tak berapa stabil dan akidahnya dipersoalkan. Tapi sebenarnya, ini bukan kes baru, sebab sebelum ni ada juga orang yang dapat pengalaman yang agak sama, macam apa yang jadi kat Shaqirah ni.

“Kawan saya dilaporkan sebagai sesat dan ateis. Jadi, dia telah disoal oleh JAIS dan tak lama lepas tu dihantar ke pusat pemulihan. Siti Kassim juga terlibat dalam kes tu. Tapi ia tak sebesar ini (merujuk kes Anis).” – Terry, kawan Shaqirah, katanya kepada CILISOS.

Berbeza dengan kes Anis, Shaqirah dah ditempatkan kat salah sebuah Pusat Pemulihan Islam. Dia tinggal kat pusat tu lebih dari 6 bulan, sebelum larikan diri (kalau ikut cerita Terry).

Tweet dari Terry.

Dari apa yang kita dapat tahu ni, rasanya masih ramai yang tak tahu Malaysia ni ada pusat pemulihan agama dan…

Salah satunya terletak kat Ulu Yam

Untuk nak tahu dengan lebih mendalam pasal pusat pemulihan ni, CILISOS dah berjaya menghubungi Penguasa Pusat Pemurnian Akidah (Baitul Iman) – Ustaz Izhar, untuk tahu dengan lebih banyak pasal pusat pemurnian akidah kat Ulu Yam ni. Menurut Ustaz Izhar, pusat ni mula diasaskan pada tahun 2000, dan ianya menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada mana-mana orang atau kumpulan yang perlukan pemulihan akidah.

Melalui satu kajian akademik, pusat pemulihan ni boleh menempatkan sehingga 100 orang pelatih dalam satu-satu masa. Pentadbiran dan pengurusan pusat ni dikatakan mengikut peraturan Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, yang mana salah satu perintah tetapnya datang dari Pengarah JAIS.

Pegawai-pegawai dari Institut Pemantapan Dan Perkaderan Akidah Malaysia (IPHAM) JAKIM melawat Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman. Imej dari ipham.islam.gov

Untuk maklumat, bukan ada satu je pusat pemulihan akidah kat Malaysia ni, tapi sebenarnya ada tiga iaitu dua kat Semenanjung (Selangor & Negeri Sembilan) dan satu lagi kat Sabah. Walaupun macam tu, fasiliti kat Negeri Sembilan dikatakan lebih kecil dari yang ada kat Selangor.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Tapi Morning Star News ada melaporkan yang pusat kat Negeri Sembilan ni dah pun ditutup sebab kekurangan pelatih, dan pelatih yang masih ada dipindahkan ke kem di Kamunting yang dulu jadi tempat tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selain tu, menurut Ustaz Izhar, Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman ni juga dibiayai oleh Pusat Zakat Selangor.

Pusat Pemurnian Akidah Ulu Yam. Imej dari Morning Star News.

Siapa je yang boleh masuk ke pusat pemulihan ni?

Terdapat dua jenis orang yang akan jadi penghuni pusat pemulihan ni, pertamanya; adalah pesalah syariah dan yang keduanya secara sukarela.

“Ia boleh jadi dari kes mahkamah apabila pesalah ditahan oleh pegawai JAIS dan dibicarakan. Atau ia secara sukarela apabila keluarga atau individu tersebut meminta bantuan dengan Bahagian Pemulihan Al-Riqab. Perbincangan akan diadakan untuk melihat kesesuaian kes sebelum memutuskan sama ada mereka ini perlu masuk ke pusat atau pergi ke kaunseling luar.” – Ustaz Izhar, katanya kepada CILISOS.

Sebelum kita cerita lebih lanjut, sebenarnya Mahkamah Syariah ada kuasa untuk letakkan seseorang pesalah syariah ke pusat pemulihan. Sebagai contoh apa yang dinyatakan dalam Seksyen 54(1) Enekman Jenayah Syariah Selangor (1995).

“Jika mana-mana Mahkamah telah mensabitkan mana-mana orang atas suatu kesalahan di bawah Bahagian II atau di bawah Seksyen 9, 10 atau 11, Mahkamah itu boleh, sebagai ganti hukuman yang dinyatakan bagi kesalahan itu, memerintahkan supaya orang itu menjalani kaunseling atau pemulihan di suatu pusat pemulihan diluluskan selama tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu.” – Seksyen 54(1).

Mahkamah Syariah berbeza dari mahkamah biasa yang kita tengok. Imej dari YADIM.

Jadinya, dalam hal ni persoalan pun timbul tentang hukuman mana yang mahkamah akan tetapkan dulu, hukuman denda/penjara, atau hantar ke pusat pemulihan?

“Perbicaraan untuk pesalah akan dibuat di Mahkamah Syariah Selangor. Biasanya, hakim akan mempertimbangkan (sama ada tahanan patut dihantar ke pusat pemulihan). Perintah mahkamah ke pusat akan dibuat selepas pesalah membuat rayuan kepada hakim untuk tidak dipenjarakan atau bila mereka tak mampu bayar denda. Sesiapa yang masuk ke pusat, tidak akan disenarai hitam.” Ustaz Izhar, katanya kepada CILISOS.

Untuk maklumat, kesalah di bawah Bahagian II adalah macam: pemujaan salah, mendakwa sebagai bukan Islam untuk elak diambil tindakan, takfir (mengkafirkan orang Islam lain), doktrin palsu dan dakwaan palsu. Dakwaan palsu ni lebih kurang macam ajaran sesat Ayah Pin dan cerita rasul Melayu yang kita pernah dengar dulu.

Selain tu, ada lagi kategori kesalahan lain yang boleh dipertimbangkan untuk masuk pusat pemulihan, macam:

  1. Mempersenda ayat al-Quran dan hadis.
  2. Menghina Islam atau membuatkan agama Islam dipandang hina.
  3. Memusnah atau mencemarkan tempat ibadat.

Kerajaan langit Ayah Pin dulu. Ayah pin dah meninggal dunia pada April 2016. Imej dari mStar.

Tapi untuk Bahagian VI pulak, hanya pesalah perempuan yang dibenarkan masuk pusat pemulihan. Kesalahan yang disenaraikan adalah macam: khalwat, sumbang mahram, zina, hubungan sejenis dan sebagainya. Maknanya, pihak lelaki kenalah jalani hukuman mahkamah sama ada denda atau penjara atau sebat.

Walaupun macam tu, ada juga kita dengar kes melibatkan murtad yang dimasukkan ke dalam pusat pemulihan. Bagaimanapun, perkara ni dinafikan oleh Ustaz Izhar.

“Di Selangor, murtad tidak ditahan di pusat. Mereka akan mengikuti sesi perundingan di unit penasihat akidah di Jabatan Mufti Selangor. Tapi anda juga perlu melihat enakmen negeri lain jika kes murtad berlaku di luar Selangor.” – Ustaz Izhar, katanya kepada CILISOS.

Macam-macam kes kat Malaysia ni. Imej dari fenditazkirah.blogspot

Selain tu, katanya lagi – ada juga individu yang secara sukarela nak masuk ke pusat ni.

“Mereka yang masuk secara sukarela adalah orang dewasa berusia 18 tahun ke atas yang biasanya mempunyai masalah sosial. Mereka boleh hadir ke Jabatan Pemulihan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Al Riqab di Klang untuk berbincang lebih lanjut dan melihat kesesuaian kes itu. “- Ustaz Izhar, katanya kepada CILISOS.

Selain tu, menurut Ustaz Izhar ada juga remaja berumur antara 13 sampai 18 tahun yang masuk ke pusat ni. Mereka biasanya dropout dan dihantar oleh keluarga.

Walaupun, undang-undang dah menetapkann yang tahanan kat pusat ni tak boleh lebih dari 6 bulan, tapi masih ada lagi cakap-cakap yang tak berapa sedap didengar.

Ada yang kata, diorang ditahan selama… 3 tahun?

Sebelum kitorang cerita benda yang agak kontroversi ni, mesti ada di antara kita yang tertanya-tanya pasal aktiviti apa yang pelatih-pelatih ni buat sepanjang kat pusat pemulihan ni. Sebenarnya, selain dari baca al-Quran, ceramah dan sembahyang, pusat pemulihan ni juga sediakan khidmat masyarakat dan sukan.

“Seperti di sekolah asrama, disediakan dorm, rutin solat berjemaah, kelas bimbingan fardu ain, kelas akademik, bengkel permotoran, lanskap dan sukan. Lawatan keluarga. Sesi kaunseling. Lawatan sambil belajar keluar dan lain-lain.” – Ustaz Izhar, katanya kepada CILISOS.

Suasana kelas di Baitul Iman. Imej dari Morning Star News.

Tambahnya lagi, remaja yang ada kat pusat ni juga disediakan kelas akademik selain dari pengajian agama. Kalau macam tu, tempat ni taklah teruk dan kenapa ada pihak yang kata sebaliknya?

Salah satunya adalah laporan dari Christian Broadcasting Network (CBN TV) yang kata ada pelatih kat sana dilayan dengan cara yang tak sepatutnya. Dalam satu kes, ada seorang perempuan muda (yang dakwa ia bekas pelatih) dah ditahan dari tempat kerjanya, disoal siasat dan ditempatkan kat tempat ni tanpa sebarang proses mahkamah. Ceritanya pasal benda ni dah disiarkan oleh Morning News Star.

Satu lagi bekas muslim, yang dakwa dia takut dibawa masuk balik ke dalam pusat tu semula kata – pegawai kat sana cuba untuk Islamkan dia balik.

“Mereka secara jelas marah dan mahu membunuh saya, tetapi mereka tidak membahayakan saya secara fizikal. Mereka paksa saya membaca doa dan al-Quran… perkara-perkara yang dilakukan oleh orang Islam. Mereka cuba memaksa kami untuk percaya apa yang kami tidak percaya.” – Bekas muslim, katanya kepada CBN TV.

Ada juga siaran TV dari CBN yang paparkan seorang wartawan orang putih, masuk hutan dengan ikut Orang Asli untuk sampai ke pusat pemulihan ni. Seolah-olah tempat ni tersorok dan rahsia.

Disebabkan apa yang TV tu lapor macam meragukan, kitorang cuba tanya Ustaz Izhar dan jawabnya semua perkara tu tak betul dan berita palsu.

“Pada tahun 2012, orang Amerika membuat klip palsu di premis pertama (Bukit Ulu Yam) yang mana telah ditinggalkan, dengan naratif yang salah. Walaupun ada pintu masuk yang betul (ke pusat), mereka ikut Orang Asli melalui hutan. Pusat ni beroperasi di premis kedua di Kuala Kubu Bharu bila mereka merakamkan klip itu.” Ustaz Izhar.

Menurut Ustaz Izhar, pusat pemulihan ni pada asalnya beroperasi kat Bukit Ulu Yam sebelum berpindah ke Kuala Kubu Bharu pada tahun 2010. Pusat ni sekarang beroperasi berdekatan dengan jalan Sungai Tua-Ulu Yam. Jadinya, laporan TV tu nampaknya tak boleh diterima dan kita kena berhati-hati.

Bangunan baru dekat dengan jalan Sungai Tua-Ulu Yam. Imej dari AY Group.

Tapi, ada satu lagi laman web – SMYRNA Ministries International yang kata pelatih kat sini boleh ditahan sekurang-kurangnya 100 hari dan sampailah ke 3 tahun, walaupun peruntukan yang ada cakap lain. Bagaimanapun, Ustaz Izhar menafikan kenyataan dan dengan tegas kata tempoh maksimum tahanan hanya 6 bulan.

Apa yang lebih pelik, kita juga dengar berita apa pelatih yang lari dari tempat ni. Tapi bila kita tanya Ustaz Izhar, sebenarnya ada je cara dan prosedur untuk nak tinggalkan pusat ni. Antaranya adalah pelatih kena ikut perintah mahkamah.

“Jika ia satu bulan, maka mereka kena tinggal (di pusat) untuk satu bulan. Tapi orang dewasa yang masuk ke pusat ini boleh merayu untuk tinggalkan tempat ni lebih awal dan ia akan dipertimbangkan.” – Ustaz Izhar, katanya kepada CILISOS.

Keluar mulut jerung, masuk mulut naga. Imej dari Giphy.

Penerangan dan maklumat jelas masih lagi diperlukan, supaya orang tak salah faham

Walau apapun naratifnya, kita masih lagi boleh nampak bahawa adanya kekurangan dalam memahami tugas sebenar pusat ini. Sebagaimana yang ditulis dalam satu kajian, apabila ada juga lelaki yang turut dimasukkan ke dalam pusat ni, sedangkan kalau ikut kesalahan yang diorang buat, hanya wanita yang dibenarkan masuk.

Selain tu, ada juga tindakan keluarga yang menghantar anak-anak mereka ke pusat ni dengan harapan mereka boleh berubah, sama seperti tindakan ibu-bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat tahfiz.

“Kami akan menghubungi ahli keluarga dan minta mereka untuk datang setiap bulan menolong proses pemulihan anak-anak mereka.” – Kata Ustaz Izhar kepada CILISOS.

Tunku Abdul Rahman adalah salah seorang pengasas sekolah tahfiz di Malaysia. Klik sini kalau nak baca.

Bagaimanapun, nampaknya hal ni bertentangan dengan Akta Kanak-Kanak 2001 yang kata ibu bapa kena terlebih dulu hantar permohonan ke Mahkamah Kanak-Kanak untuk penjagaan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Tetapi perkara ini masih lagi dipersoalkan kerana tidak ada peruntukan undang-undang yang jelas menghalang ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat pemulihan.

Jadinya, kita berharap yang pihak berkuasa agama bagi perhatian lebih sedikit tentang isu-isu sebegini. Mungkin pendedahan yang lebih tersusun dan sempurna perlu diberikan kepada pihak awam. Laporan media luar yang tidak tepat, dan sejak berlakunya kebakaran tahfiz pada akhir tahun lepas, institusi agama sedikit sebanyak dipandang serong. Pandangan umum khususnya masyarakat bukan Islam terhadap institusi Islam perlu diperbetulkan.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend