Pendidikan & Kesihatan

Ini rahsia rakyat Korea Selatan kawal COVID-19 tanpa perintah duduk rumah

Kebanyakan negara sentiasa dalam dilema. Nak buat perintah berkurung (lockdown), takut ekonomi negara tak jalan. Nanti rakyat tiada duit sebab tak bekerja. Kalau bagi rakyat bekerja pula, nanti penyebaran COVID-19 akan berada di luar kawalan.

Begitu jugalah keadaan untuk negara kita. Pada 4 Mei yang lalu, kerajaan Malaysia dah pun benarkan agar sektor ekonomi mula beroperasi. Namun, segala SOP dah pun kerajaan tetapkan untuk ditepati. Dalam masa sama, negara kita masih terus berdepan dengan kes positif COVID-19 dengan purata jumlah sama ada dua atau tiga digit. Belum lagi mencapai satu digit.

Dalam hal ni, mungkin kita patut belajar dari negara Korea Selatan yang dengan selamba je kawal COVID-19 tanpa pernah melakukan sebarang kerahan duduk rumah. Apa yang menarik, pada hujung bulan April, negara itu berjaya catatkan sifar kes positif di peringkat tempatan. Ini apa yang negara tu buat…

1) Saringan terhadap rakyat secara besar-besaran melalui pandu lalu dan jalan lalu

Sistem saringan pandu lalu ala ala McD. Imej dari ABC News

Pada mulanya, bilangan rakyat Korea Selatan yang disahkan positif COVID-19 meningkat agak perlahan dengan hanya 30 kes dilaporkan dari 19 Januari hingga 18 Februari. Namun, 10 hari kemudian ia meningkat dengan amat mendadak sekali apabila menjadi 2,300 kes. Setakat ini, negara itu mempunyai lebih 10,000 kes positif dengan 186 kematian.

Dengan pengalaman berhadapan wabak SARS dan MERS, Korea Selatan dengan pantasnya melakukan saringan terhadap rakyat secara besar-besaran. Nak buat saringan ni bukanlah semudah letak stetoskop kat dada seseorang. Ia memerlukan kit saringan (test kit) untuk digunakan kepada orang awam.

Namun, Korea Selatan dilaporkan mampu menghasilkan kit saringan bagi 135,000 orang sehari. Memang banyak. Pada awal April sahaja, dah berjaya menyaring lebih daripada 270,000 orang. Saringan besar-besaran ni juga adalah termasuk dengan beberapa bandar di Korea membuka klinik saringan pandu lalu (drive-thru screening clinic) serta klinik saringan walk-through.

Walk thru sailang drive thru

Ia mudah dan hanya mengambil masa beberapa minit. pemandu hanya perlu membuka tingkap dan akan disaring untuk mengetahui sama ada mempunyai demam atau kesukaran bernafas. Proses ni akan dilakukan oleh staf kesihatan yang bersut PPE lengkap.

2) Pesakit tak semua diletakkan di hospital, tapi ada fasiliti khas serta dipantau dari jauh

Dorm untuk mereka yang ada simptom ringan. Imej dari WSJ

Mengikut data, 80% pesakit COVID-19 hanya mempunyai simptom ringan, manakala 10% lagi mempunyai simptom yang teruk. Jadi, hal ni perlu diuruskan sebaiknya mengikut kapasiti dan fasiliti kesihatan yang ada.

Maka, kerajaan Korea dah menetapkan bahawa mereka yang mempunyai simptom yang ringan tak perlu duduk di hospital, tetapi ditempatkan di Life Treatment Centre. Apa yang menarik, pusat ini akan berada jauh dari hospital, namun pesakit tetap akan dipantau oleh staf kesihatan.

Contohnya, pegawai kesihatan di Seoul akan memantau pesakit di Life Treatment Centre yang berada sejauh 100 batu dari mereka. Caranya, staf kesihatan itu akan memeriksa mereka dua kali sehari hanya melalui panggilan video (video call).

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Video call untuk pantau pesakit. Imej dari PR Newswire

“Data perubatan seperti elektrokardiogram (EKG), tekanan darah, ketepuan oksigen, degupan jantung, dan kadar pernafasan akan dikesan melalui vital sign monitor dan dihantar pada waktu yang sama ke pusat pemantauan.” – Petikan dari Healthcare IT News

Setakat ini dah ada 16 Life Treatment Centre di seluruh Korea Selatan yang beroperasi.

3) Kerajaan perkenalkan aplikasi yang wajib dimuat turun oleh pelancong yang baru tiba

Antara apps yang dibangunkan di Korea. Imej dari CNN

Seperti yang kita tahu, Korea Selatan memiliki kemajuan teknologi yang luar biasa. Negara tu sebelum ni dah pun memperkenalkan teknologi yang dikenali sebagai ‘smart city’. Pangkalan data ‘smart city’ digunakan untuk memantau perjalanan trafik dan pencemaran di sepanjang bandar-bandar.

Dari pangkalan data ini, pihak autoriti kesihatan akan menggunakan video CCTV, data transaksi kad kredit, informasi pelancongan dan data lokasi untuk memantau pesakit. Bersama gabungan AI, dalam masa 10 minit, pengesanan kontak dapat dilakukan dengan mudah.

Selain tu, Korea juga tak halang untuk orang luar datang melancong. Namun, ada syarat ketat dibuat. Bagi mereka yang baru tiba di lapangan terbang, kerajaan Korea Selatan mewajibkan mereka semua untuk memuat turun satu aplikasi yang dibangunkan kerajaan. Aplikasi ini akan menjejaki lokasi mereka serta diberi ruang buat laporan jika mengalami simptom. Selepas selesai kuarantin dua minggu, aplikasi tu tadi akan hantar mesej yang membenarkan mereka ‘delete’ aplikasi tersebut dari phone.

Gelang penjejak pesakit. Imej dari Blooberg

Selepas beberapa laporan bahawa ada orang yang melanggar kuarantin dengan meninggalkan phone di rumah, tapi berjalan keluar. Kerajaan mula memperkenalkan gelang yang boleh menjejaki lokasi bagi mereka yang langgar kuarantin. Namun, selepas dipertikaikan oleh kumpulan hak asasi manusia, kerajaan hanya memakaikan gelang kepada pesakit yang bersetuju sahaja. Tapi, melanggar kuarantin tetap akan dikenakan tindakan undang-undang.

4) Rakyat dibenarkan membuat aktiviti perhimpunan tapi mesti ikut syarat berikut

Korea Selatan siap buat pilihan raya masa COVID-19. Imej dari CNN

Pada 15 April, 29 juta rakyat Korea turun ke pusat mengundi bagi memlih presiden di sana. Ia tetap diteruskan walaupun negara berdepan COVID-19. Namun, penjarakan sosial yang ketat menjadikan ia berjalan dengan lancar. Penjarakan sosial diwajibkan bermula 20 April hingga 5 Mei dengan maksud tiada himpunan beramai-ramai dibenarkan.

Kerajaan di sana juga dalam perancangan jangka masa panjang untuk memperkenalkan polisi penjarakan sosial di rumah, pejabat dan tempat awam. Contohnya, menyediakan tempat bekerja yang tidak terlalu padat dan sebagainya.

Bermula 6 Mei, Korea Selatan akan melonggarkan peraturan penjarakan sosial dengan membenarkan tempat-tempat awam dibuka serta menjalankan aktiviti perhimpunan. Namun, rakyat perlu mengikuti nasihat kerajaan seperti di bawah:

  • Duduk di rumah selama tiga atau empat hari jika merasa kurang sihat
  • Pastikan jarak satu lengan dengan orang lain di kawasan awam
  • Cuci tangan dengan kerap

Ambik kau COVID-19!!!

Empat kunci kejayaan Korea Selatan yang kita boleh ambil pengajaran

Dari apa yang kami sembang kat atas ni, sebenarnya ada empat kunci kejayaan Korea Selatan mengawal penyebaran wabak tanpa perlu perintah berkurung. Empat kunci kejayaan ni disebut sendiri oleh Dr Jong-Dae Park (Duta Korea Selatan di Afrika Selatan).

  1. Kepantasan bertindak dan perkongsian maklumat
  2. Kesungguhan mengenai telitinya kerja-kerja yang dipertanggungjawabkan dan bagaimana sumber yang tersedia luas digunakan sebaiknya
  3. Ketelusan adalah keterbukaan dan kredibiliti kerajaan, dan proaktifnya dalam memberi maklumat kepada orang ramai
  4. Kerjasama yang mana rakyat patuh dan sukarela

Kalau kita ada empat kunci ni, tak mustahil kita boleh gerakkan ekonomi dan kawal COVID-19 secara serampang dua mata di Malaysia.

 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend