Politik Antarabangsa

Boris Johnson: Dibenci UK kerana sikapnya, dibanggakan Turki kerana asal-usulnya

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

Sekali imbas, Perdana Menteri baru Britain, iaitu Boris Johnson ni nampak macam Donald Trump, kan? Cuma lebih messy ala-ala grunge gitu (yeke?). Gaya dah nak sama, malah hubungan mereka sebenarnya agak baik, sampaikan Trump bukan saja mengucapkan tahniah, malah siap puji yang Boris akan jadi Perdana Menteri yang bagus.

Jadi, rambut siapa lagi lawa? Imej dari The Hill

Tapi di Britain, boleh tahan ramai juga yang tak suka Boris ni disebabkan caranya sampai dia dianggap badut. Tak termasuk lagi kontroversi kawan baiknya, Darius Guppy, yang buat penipuan sampai nak cederakan wartawan yang korek rahsia tu, hina masyarakat kulit hitam, hina orang pakai burqa, dan pelbagai lagi. Malah, vokalis Radiohead, Thom Yorke selamba badak je menunjukkan kebencian dia kat Perdana Menteri baru tu di Twitter.

Tapi, adat la kan, ahli politik ni dibenci penentangnya. Walaupun banyak lagi sebenarnya kontroversi yang boleh disenaraikan, tapi nampaknya apa yang menarik adalah Boris Johnson dipandang tinggi di sebuah perkampungan Turki, iaitu Kalfat, tanah kelahiran moyangnya, Ali Kemal.

Ali Kemal: Daripada orang buangan kepada menteri Turki

Dilahirkan di Istanbul, Turki pada 1867, Ali Kemal Bey merupakan seorang wartawan hebat pada zamannya, editor akhbar, dan pemuisi sebelum melompat masuk ke dalam politik. Banyak menghabiskan masanya di Eropah, dia bertemu dengan isterinya, Winifred Brun, seorang wanita Anglo-Swiss. Mereka berkahwin di London pada tahun 1903.

Ali Kemal dan isteri, circa 1900. Imej dari inews.co.uk

Penulisannya sebagai seorang liberal yang kuat tak begitu disenangi. Dia juga pernah menentang pemerintahan Sultan Abdulhamid II. Dia juga pembangkang kuat kepada Jawatankuasa Kesatuan dan Kemajuan/Committee of Union and Progress (CUP), sebuah kumpulan revolusioner yang terkemuka di Turki pada masa tu.

Jadi bila ada rampasan balas kuasa (countercoup)  pada 31 Mac 1909, Ali Kemal melarikan diri ke Eropah dan menghabiskan masa selama tiga tahun dalam buangan. Dia merupakan salah seorang ahli Turki Muda/Young Turks pada zaman tersebut.

Sebahagian kumpulan countercoup di Taksim Millitary Barracks. Imej dari wikiwand

Beberapa tahun kemudian, isterinya meninggal semasa melahirkan anak mereka, Osman Wilfred Kemal. Anak-anak Ali kemudiannya dibesarkan oleh ibu mertua Ali, iaitu Margaret Johnson di England. Manakala Ali terpaksa kembali ke Turki sebelum Perang Dunia Pertama bermula.

Selepas berakhirnya pemerintahan Sultan tersebut pada bulan Julai 1908, dia juga menjadi salah seorang tokoh yang paling menonjol dalam kehidupan kewartawanan dan politik Uthmaniyyah.

Revolusi Uthmaniyah 1908. Imej dari milwaukeearmenian

Dan nampaknya, disebabkan beberapa peristiwa dunia juga membuatkan Ali kembali aktif dalam dunia politik. Selepas nasionalis Turki dikalahkan dalam Perang Dunia Pertama, Ali Kemal telah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dalam sebuah kerajaan baru.


Disebabkan Turki pada masa tu sedang berjuang untuk kemerdekaannya, Ali Kemal datang dengan tujuan untuk mengadakan hubungan antarabangsa dengan Eropah. Pelantikannya sebagai Menteri Dalam Negeri dalam kabinet semasa pemerintahan Mehmed VI pada 1919, tapi tertakluk sepenuhnya kepada England.

Amacam, ada gaya menteri tak? Imej circa 1920

Pengintip kepada raja, pengkritik kepada gerakan Turki Muda dan Kemalis

Walaupun Ali Kemal merupakan Menteri Dalam Negeri, tapi dia bukanlah seorang menteri yang popular. Mungkin disebabkan faktor ni dan juga kesetiaannya kepada raja dan juga penyokong kuat Empayar Uthmaniyah, Ali Kemal dalam diam dilantik sebagai pengintip untuk Sultan Mehmed VI.

Dalam 3 bulan sebagai menteri pada tahun 1919, dia dengan beraninya mengeluarkan sebuah pekeliling kerajaan, yang memerintahkan rakyat Turki untuk mengabaikan seorang nasionalis popular yang bakal menjadi pahlawan reformasi, iaitu Mustafa Kemal, atau Kemal Attaturk yang juga rupanya bakal menjadi Presiden Turki beberapa tahun yang akan datang.

Mustafa Kemal Atatürk, nasionalis Turki dan pemimpin tentera yang mengasaskan Republik Turki pada tahun 1923.

Selain tu, dia banyak mengkritik gerakan Turki Muda, iaitu sebuah gerakan politik nasionalis pada awal abad ke-20 yang ditubuhkan semasa Empayar Uthmaniyah pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid II. Ali Kemal mengutuk keras polisi mereka yang nakkan pembaharuan dengan memulakan revolusi, di mana dia menjadi pembangkang kuat terhadap gerakan ni.

Walaupun menyokong Empayar Uthmaniyah, dia mempersoalkan pembunuhan dan pengusiran orang Armenia

Walaupun dia merupakan penyokong kuat Uthmaniyah, tapi ada sesuatu yang bercanggah dengan sokongannnya yang nampak seakan berbelah bagi, terutamanya pasal sokongannya terhadap Armenia. Menjelang tahun 1918 di mana golongan Turki Muda semakin kehilangan kuasa mereka, dia menjadi semakin aktif terutama sekali bila dia menyentuh isu berkaitan Armenia.

Dia dituduh sebagai seorang pengkhianat disebabkan simpati yang ditunjukkan kepada mangsa pembunuhan besar-besaran Armenia (Armenia Genocide) pada 1915 yang menyebabkan berjuta-juta kematian dan pengusiran orang Armenia oleh Turki semasa Empayar Uthmaniyyah. Ini menimbulkan rasa kurang senang pada rakyat Turki yang mempersoalkan kedudukannya dalam pentadbiran kerajaan.

Pengusiran Armenia semasa Empayar Uthmaniyyah abad ke-19. Imej dari newsela.com

Pada masa yang sama juga, gerakan Kemalist semakin kuat. Kemalist yang juga dikenali sebagai gerakan Atatürkism merupakan ideologi penubuhan Republik Turki yang diperkenalkan Mustafa Kemal Atatürk, ditakrifkan oleh pembaharuan politik, sosial, kebudayaan dan agama yang direka untuk memisahkan negara Turki baru dengan Uthmaniyyah.

Bagaimanapun sepanjang 3 bulan Kemal menjadi Menteri Luar dalam kerajaan tu, gerakan Kemalist kemudiannya nampak semakin mendapat banyak sokongan daripada golongan Turki Muda, sampaikan gerakan tu dimulakan kembali oleh mereka. Ali Kemal bagaimanapun bangkit, dan mula menulis artikel-artikel fikirannya yang menentang, dan mencabar taktik para nasionalis.

Young Turk atau Turki Muda, pergerakan reformasi politik pada awal abad ke-20 yang terdiri daripada orang buangan semasa zaman Uthmaniyah, pelajar, penjawat awam, dan pegawai tentera yang na menggantikan monarki Empayar Uthmaniyyah kepada kerajaan perlembagaan.

Pergerakan Kemalist mula disokong oleh Turki Muda, dan membolehkan Republik Turki ditubuhkan, menjadikan gerakan Kemalist semakin kuat. Mereka kemudiannya menetapkan Tribunal Kemerdekaan, dan seterusnya menyasarkan mereka yang menggugat dan menentang Turki Muda.

Segala penulisan kontroversial Ali meletakkan dirinya dalam bahaya. Di sinilah Ali Kemal yang sebelum ni kuat membangkang, menjadi salah satu target besar mereka.

Pembunuhan Ali Kemal semasa zaman Republik Turki

Tapi nampaknya rejim bertukar tak lama lepas tu, di mana para nasionalis mula memperolehi kuasa mereka. Dan dengan itu, nampaknya nasib tak menyebelahi Ali Kemal. Pada 1922 di penghujung Empayar Uthmaniyah, Ali Kemal ditahan ejen-ejen Kamal Attaturk semasa dia berada di kedai gunting rambut di Istanbul, di bawa lari menggunakan bot. Mereka adalah golongan nasionalis yang mahu mewujudkan negara baru.

Ali Kemal dijadualkan untuk menghadapi perbicaraan di Ankara, atas tuduhan pengkhianatan. Bagaimanapun kumpulan tersebut dipintas oleh Panglima Tentera Pertama, Jeneral Nureddin Pasha di Izmit dua hari kemudian. 

Nureddin Pasha di sebelah Kamal Attaturk. Imej dari wikipedia

Ali Kemal dituduh sebagai penyokong Armenia disebabkan simpatinya terhadap bangsa Armenia. Malah, dia juga di tuduh menyokong sebuah protektorat Inggeris, dan dikatakan menjatuhkan sentimen nasionalis Turki. Disebabkan itu, Nureddin menyalahgunakan kuasanya dengan menghukum Ali Kemal disitu juga, dan tak dibawa ke Ankara untuk perbicaraan. Tujuan Nureddin dalam masa yang sama adalah untuk menaikkan namanya kepada rejim baru.

Dia menyerahkan Ali Kemal kepada orang ramai yang berkumpul, yang kemudian bertindak membunuh Ali Kemal dengan kejam menggunakan kayu, batu dan senjata tajam sebelum badan Kemal telah digantung dari tiang berhampiran stesen kereta api supaya ia boleh dilihat oleh Ismet Inonusalah seorang tokoh revolusi Turki.

Ismet Inonu, Jeneral dan negarawan Turki, yang berkhidmat sebagai Presiden kedua Turki. Imej dari Timetürk

Ismet Inonu bagaimanapun tak gembira dengan kejadian tersebut dan berpendapat yang Ali sepatutnya menghadapi perbicaraan, bukan hukuman kejam di tangan orang awam.

Pembunuhan kontroversial yang tabu untuk diceritakan, sehinggalah beberapa dekad kemudian

Seperti pembunuhan Adnan Menderes, pembunuhan Ali Kemal merupakan satu tragedi agak tabu di negara tersebut, malah tak dibincangkan secara terbuka sampailah beberapa dekad.

Klik untuk baca tentang Adnan Menderes.

Bukan senang untuk jumpa ahli akademik yang mampu menceritakan kisah Ali Kemal ni secara terbuka kerana peranannya masih dianggap sangat kontroversial di Turki moden. Bagaimanapun, ahli akademik mengatakan yang Ali Kemal terjerat dalam kejatuhan Empayar Uthmaniyah disebabkan pakatan asing yang salah, dan kegagalan dari segi ketenteraan.

Bagaimanapun hanya pada tahun 2004, Persatuan Kewartawanan Turki menyenaraikan Ali Kemal dalam kalangan wartawan republik yang ‘mati syahid’, bersama wartawan lain yang terkorban walaupun berbeza pendirian politik.

Anak-anak Ali Kemal dengan isteri Inggerisnya bernasib baik sebab membesar di UK bersama nenek mereka. Nama Osman Wilfred Kemal kemudiannya ditukarkan kepada Wilfred Johnson untuk mengelakkannya daripada dibuli. Wilfred kemudiannya berkahwin dengan Irene William yang juga kelahiran UK. Pasangan tu mempunyai seorang anak lelaki, Stanley Johnson, bapa kepada Boris Johnson, juga seorang ahli politik British yang merupakan ahli Konservatif Parlimen Eropah dari tahun 1979 hingga 1984.

Darah penulisan Ali Kemal yang jatuh pada cucu dan cicitnya. Imej dari dailymail.uk

Manakala anak-anak Ali Kemal daripada isteri kedua, Sabiha Hanim, iaitu Zaki Kuneralp yang kemudiannya dilantik sebagai pegawai kanan dalam perkhidmatan diplomatik Turki. Diikuti anak dan cucunya, Selim Kuneralp yang pernah menjadi Duta di Seoul, dan juga Duta Turki ke Kesatuan Eropah.

Selim Kuneralp, Duta Turki ke Kesatuan Eropah, yang juga sepupu Boris Johnson dari Turki. Imej dari turkishnews.com

Sama ada Boris Johnson mampu melakukan perubahan dan tak salah langkah macam moyangnya? Kita tunggu dan lihat.

(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)

Popular

To Top

Send this to a friend