Politik Antarabangsa

Kalau Kamal Ataturk sangat sekular, macam mana dia boleh dapat sanjungan rakyat?

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 16 Februari 2017. 

Turki merupakan sebuah negara yang terletak antara Timur dan Barat. Sebelum ni mereka merupakan sebuah kuasa besar dunia yang lebih dikenali sebagai Empayar Uthmaniyyah. Tapi sejak kejatuhannya pada tahun 1920-an, wilayah-wilayah Arab di bawah Empayar Uthmaniyyah telah dibahagikan antara Pihak Besekutu, sebab tu saiznya mengecil.

Selepas revolusi Turki yang terjadi pada abad ke-20, kerajaan telah mengharamkan pemakaian tudung di pejabat awam dan juga pusat pengajian tinggi sampailah pada tahun 2013. Jadi macam mana Turki boleh berubah daripada sebuah negara Islam kepada negara sekular?

Korang tau macam mana? Gambar dari memeful.com

Untuk memahami fenomena ni secara lebih mendalam, kita kenal dulu presiden Turki yang pertama, Mustafa Kemal Ataturk. Siapa Ataturk ni?

Bila Empayar Uthmaniyyah jatuh, Ataturk selamatkan Turki daripada penjajah Eropah

Ataturk dilahirkan pada tahun 1881 di Thessaloniki yang terletak kat Greece (time tu empayar Uthmaniyah masih besar dan berkuasa lagi). Dia merupakan anak kepada seorang penjawat awam dalam sebuah keluarga kelas pertengahan.

Dia ni dari sejak umur 12 tahun lagi masuk ke sekolah tentera, lepas tu belajar kat akademi tentera, dan akhirnya masuk angkatan tentera. Tahun 1911, Ataturk dapat pengalaman perang yang pertama kat Libya sewaktu menentang Itali.

Segak dalam seragamnya, Brigadier-Jeneral Ataturk pernah dilamar oleh Puteri Gunung Ledang. Gambar dari Pinterest.com

Pada tahun 1915, reputasi Ataturk melonjak sewaktu kempen Gallipoli, di mana dia telah berjaya menyekat sejumlah besar askar Britain dan Perancis daripada merampas Istanbul. Disebabkan sumbangan tu, Ataturk telah dinaikkan pangkat menjadi Brigadier-Jeneral.

Sewaktu Perang Dunia Pertama (1914-1918), empayar Uthmaniyyah mula menunjukkan unsur-unsur uzur. Banyak infrastruktur yang musnah dan aktiviti jenayah makin berleluasa. Tak cukup dengan itu, wilayah-wilayah di bawah jajahan empayar Uthmaniyyah mula memberontak dan menuntut kemerdekaan mereka sendiri.

Jadi bila Ataturk balik ke Istanbul, dia dapati bandar tersebut penuh dengan tentera Pihak Bersekutu. Marah dengan tindakan tu, Ataturk telah mengetuai satu pemberontakan dan melawan Pihak Bersekutu.

Gambar dari Turkishny.com

Ataturk dapat sokongan orang Turki bukan je sebab dia hebat berperang, tapi juga sebab dia hebat menggunakan semangat perkauman. Berbeza dengan Empayar Uthmaniyyah yang ada rakyat berbilang kaum, Ataturk terang-terang kata dia hanya ingin memperjuangkan nasib bangsa Turki je. Jadi bangsa Arab, Afrika, Parsi apa semua tu pandai-pandai la jaga diri masing-masing.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Jadi waktu inilah Ataturk jadi hero bagi bangsa Turki. Nak lagi bila semangat perkauman semakin tegang, baru kalah dalam Perang Dunia Pertama, Sultan pulak hilang entah ke mana. Hanya Ataturk  sorang je yang berani bersuara menentang penjajah.

Lawan tetap lawan! Gambar dari Pinterest.com

Selain semangat nasionalisma Turki, Ataturk juga menggunakan agama Islam mengikut pengertiannya sendiri dalam manifesto untuk mendapatkan sokongan daripada orang awam:

“Walaupun sebelum kedatangan agama orang Arab (Islam), Turki merupakan sebuah negara yang hebat. Tapi selepas kedatangan agama orang Arab ini, ia tidakpun menyatukan orang Arab, Parsi, dan Mesir di bawah satu negara. Sebaliknya, ia melonggarkan semangat kenegaraan Turki.

___

Benda ni memang biasa, sebab tujuan agama yang diasaskan oleh  Muhammad, ke atas semua negara, adalah untuk mengheret mereka ke dalam politik Arab.” Ataturk.

Dari sinilah Mustafa Kemal dapat nama ‘Ataturk’, yang bererti “Bapa orang Turki”.

Selepas memerintah, Ataturk menghalau sultan dan memansuhkan sistem khalifah

Waktu mula-mula memerintah, kerajaan Ataturk ni nampak macam kerajaan Islam. Perlembagaan menyatakan yang Islam adalah negara rasmi dan apa-apa undang-undang baru tak boleh bercanggah dengan syariah.

Habis satu negara dia tipu. Gambar dari Giphy.com

Masalahnya kat Turki dah ada dua kerajaan iaitu Kesultanan Uthmaniyyah dan kerajaan Ataturk. Jadi untuk setelkan masalah ni Ataturk telah tuntut kesahihan kerajaan dia dan menghalau sultan. British dan Perancis yang menawan Turki waktu tu tak boleh nak back up sultan sebab baru lepas perang dan askar mereka semua dah balik, manakala tentera yang setia dengan sultan berada terlalu jauh untuk tolong.

Akhirnya pada tahun 1922 lepas bergaduh dengan pengikut setia sultan, kerajaan Ataturk berjaya menawan Turki.. Sultan Uthmaniyyah yang terakhir dan keluarganya pula di hantar ke Malta oleh tentera British menggunakan HMS Malaya.

HMS Malaya dimiliki oleh tentera British yang dibiayai oleh sultan-sultan Tanah Melayu. Gambar dari northeastmedals.co.uk

Tahun berikutnya Ataturk telah mengalihkan pusat kerajaan dari Instanbul ke Ankara dan kemudian lahirnya sebuah republik yang baru, iaitu kerajaan Turki dengan Ataturk sebagai Presiden yang pertama. Masa ni dia perlahan-perlahan tunjuk belang, Ataturk and the gang mula mempersoalkan agama dan kaitannya dengan sesebuah kerajaan.

Pada masa yang sama Ataturk juga telah memperkenalkan Kemalism. Ia merupakan sejenis pentadbiran yang diasaskan oleh Ataturk sendiri dimana ia menggabungkan enam prinsip pentadbiran yang lain seperti Populism, Refomisma, Republik, Kenegerian, Nasionalisma, dan Laisisma. Ataturk takde lah ambil semua tu tapi curi sikit-sikit dan jadikan ajaran dia sendiri.

Menyerang agama dan budaya atas nama kemajuan

Ataturk telah mula membuat undang-undang baru yang di mana agama dibuang daripada kehidupan seharian orang Turki. Bermula daripada peringkat sekolah, Ataturk telah mengarahkan penutupan madrasah dan universiti agama.

Gambar dari turktoresi.com

Dia kata sekolah agama akan menjauhkan orang Turki daripada dunia luar. Dia kemudiannya telah menentang golongan Sufi di mana semua tempat perjumpaan orang-orang Sufi telah ditukarkan menjadi muzium dan telah menghukum mati pemimpin Sufi time tu. Bagi rakyat Turki, mereka sangkakan penentangan Sufi ni macam lawan golongan ajaran sesat.

Pada tahun 1926, Ataturk menggantikan undang-undang syariah kepada undang-undang sivil Swiss. Ia kemudiannya diteruskan dengan pengharaman serban dan fez (kopiah merah), dan golongan wanita pulak tak dibenarkan untuk pakai tudung kat tempat awam.

Sailormoon sedih sebab tudung Aidijumanya tak boleh di pakai kat luar rumah. Gambar dari Giphy.com

Untuk menaikkan lagi semangat nasionalisma, Ataturk tukar azan dari bahasa Arab kepada bahasa Turki dan menukar kalendar Islam kepada Gregorian (kalendar yang kita guna sekarang ni). Tapi apa yang betul-betul membunuh budaya orang Turki adalah penulisan dalam bahasa Arab bertukar menjadi tulisan rumi (Latin).

Sejak dari tu, Turki telah betul-betul berubah dari kerajaan Islam kepada sebuah republik yang memandang ke arah Barat. Agama sekarang ni telah menjadi sesuatu kepercayaan individu dan tak terhad kepada Islam je, malah orang yang beragama Yahudi dan Kristian pun tak boleh nak praktikkan agama mereka secara terang-terangan. Maka terlahirlah sebuah negara sekular:

“Ada banyak budaya, tapi hanya satu tamadun sahaja iaitu tamadun Eropah” – Ataturk

Dan dari situlah bermulanya proses pemodenan Turki.

Ataturk banyak bawa kemajuan daripada segi ekonomi dan pembangunan

Untuk mana-mana negara untuk maju, kenalah ada plan ekonomi yang kukuh. Jadi benda ni lah yang jadi priority di mana Ataturk menubuhkan satu majlis khas untuk memikirkan strategi ekonomi negara. Majlis ni kemudiannya menjalankan pelan kemajuan industri untuk 5 tahun di mana ia telah mendapat sambutan hangat dan keuntungan yang banyak.

Ankara dibawah kepimpinan Ataturk. Gambar dari ankara.pol.tr

Selain dari tu, Ataturk telah memberi hak wanita yang lebih meluas. Undang-undang baru yang diambil dari Swiss tu telah membenarkan wanita untuk mengundi dan pada masa yang sama mendapat pengajian dan peluang pekerjaan yang sama macam lelaki. Bercakap pasal pengajian, sekolah telah diiwajiibkan dan tidak dicaj dengan yuran. Hasilnya, kadar celik huruf telah meningkat dari 9% kepada 33% dalam masa 10 tahun.

Kejayaan Ataturk tak terhenti kat dalam negara je, malah Turki telah dijemput untuk join League of Nations (persatuan negara sebelum PBB). Dalam masa yang sama Ataturk bersama negara jiran telah mengasaskan Balkan Entente (persatuan Balkan) yang merupakan satu organisasi yang membincangkan tentang kedamaian sekitar kawasan Balkan.

Ni lah negara-negara yang join Balkan Entente. Gambar dari wikipedia.com

So dari segi luar mungkin kita boleh nampak yang Turki ni dah maju dan mempunyai masa depan yang cerah. Tapi adakah ia satu pengorbanan yang berbaloi bila agama dan budaya kena buang macam tu je?

Malah daripada segi ekonomi, tak semua hidup selesa kat Turki, malah golongan minoriti sering ditindas dan dinafikan kerakyatan.

Orang Kurdis ditindas di bawah semangat perkauman yang dibawa Ataturk

Walaupun bangsa utama Turki dapat rasa kemajuan yang dibawa oleh Ataturk, golongan Kurdis telah mendapat layanan yang sangat berbeza. Orang Kurdis yang menetap kawasan tu masa Sebelum Masihi lagi boleh dikatakan sebagai antara orang original kat semenanjung Turki.

Gambar dari sarkawtasabir.blogspot.my

Tapi disebabkan mereka tak ramai, orang Kurdis ni telah dianggap sebagai warga second class. Masa Ataturk nak capai kemerdekaan untuk Turki, dia punyalah janji macam-macam kat orang Kurdis tapi bila dah merdeka, Ataturk guna taktik yang sama dia buat kat Islam. Mula-mula dia mengharamkan penggunaan bahasa Kurdis di tempat awam dan langsung tak dibenarkan diajar kat sekolah.

Kemudian telah memaksa semua orang Kurdis berpindah ke Barat negara tu dan tinggal di kawasan pendalaman. Disebabkan mereka tak diiktiraf sebagai warganegarga yang sah, mereka sering dibuli oleh pihak berkuasa. Kalau orang Kurdis ni nak hidup selesa macam rakyat Turki yang lain mereka kena tinggalkan segala ajaran dan budaya nenek moyang mereka dan ikut aliran budaya Turki yang baru.

Hmmm nak pilih yang mana satu, hidup senang ke susah? Gambar dari Giphy.com

Bagi yang tak dengar cakap mereka akan dibunuh atau diseksa oleh tentera Ataturk. Malah sewaktu kemerdekaan Turki, seramai 40,000 hingga 250,000 orang Kurdis telah dibunuh dengan kejam manakala lebih kurang 210 kampung Kurdis telah dibakar. Alasan yang Ataturk bagi adalah semua orang Kurdis yang mati telah dilabel sebagai “pengganas”.

Sebenarnya kaum Kurdis ni bukanlah minoriti sangat pun. Mereka merangkumi lebih kurang 25% dari jumlah penduduk besar Turki. Sebagai perspektif golongan kedua terbesar kat Malaysia, Cina, merangkumi 22.6%.

Pada tahun 2011, Presiden Turki sekarang, Erdogan, telah mewakili pihak kerajaan untuk meminta maaf kepada orang Kurdis terhadap pembunuhan yang terjadi dari 1936-1939.

Semangat perkauman dan agama dimanipulasikan demi agenda sendiri

Sebelum Empayar Uthmaniyyah jatuh lagi, rakyatnya dah lama bergaduh sesama kaum. Jadi semangat perkauman inilah yang Ataturk gunakan untuk mendapatkan sokongan bangsa Turki.

Bila dah berkuasa pulak, Ataturk banyak gunakan agama Islam sebagai alasan supaya rakyat tak memberontak sangat. Contohnya bila dia turunkan kuasa khalifah, Ataturk kata dia sebenarnya mencontohi Kerajaan Abbasiyah. Tapi sikit demi sikit dia jadikan Turki negara sekular yang dipimpin oleh satu parti, malah menindas orang Kurdish dan mana-mana pihak pembangkang.

Gambar dari history.com

Tak dinafikan Ataturk dah banyak bawak kemodenan terhadap negara Turki, malah ramai yang menganggap Ataturk sebagai hero negara.

Malah, walaupun Ataturk dah meninggal dunia pada 10 November 1938, falsafah yang dia bawak masih terngiang-ngiang di kalangan rakyat Turki. Ironinya, Ataturk telah menggunakan identiti bangsa Turki sebagai alasan untuk menghapuskan budaya dan agama yang telah lama diamalkan rakyat Turki sendiri.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend