Aziz Sattar, seniman ke-2 era filem Melayu klasik yang menerima tawaran Hollywood

Kalau siapa pernah tengok filem Seniman Bujang Lapok atau Pendekar Bujang Lapok mesti korang akan teringat dengan seorang pelakon ni — Allahyarham Datuk Abdul Aziz Sattar.

Mesti korang ingat siri filem Bujang Lapok tu filem pertama beliau. Haa…sebenarnya beliau mula berlakon pada 1953 dalam filem Putus Harapan dan Arjuna (1954). Mana yang tak tahu or tak tengok lagi filem Putus Harapan ni, ni ha kami letak kat sini, nanti boleh la tengok di sini.

Walaupun zaman sudah berlalu, watak dan dialog dalam filem-filem yang pernah dilakonkan oleh Datuk Aziz Sattar masih segar dalam ingatan masyarakat kita. Contohnya, dialog dalam “Seniman Bujang Lapok” — “walaupun rupamu tidak ku kenal, tetapi lubang hidungmu tetap menjadi pujaan hatiku” ini masih ramai orang ingat.

Kehebatan beliau dalam bidang seni lakonan ni sebenarnya diketahui oleh negara luar. Nak tahu kenapa? Haa…pada tahun 2009, beliau pernah…

Ditawarkan menjadi pelakon untuk sebuah filem Hollywood

Masa tu Datuk Aziz Sattar pening kepala lepas dapat tawaran tu. Imej dari CARI Infonet.

Baiklah kita sambung cerita balik ye. Kisahnya bermula semasa Datuk Aziz Sattar pernah menerima satu panggilan dari sebuah agensi bakat di Singapura. Agensi yang call Datuk Aziz Sattar ni sebenarnya tengah mencari seorang bakat di seluruh Asia untuk satu filem terbitan antarabangsa. Kiranya, beliau ni menjadi salah satu pilihan mereka.

Datuk Aziz Sattar telah berjumpa dengan agensi bakat bagi membincangkan tawaran tersebut. Antara perkara yang dibincangkan ialah watak, skrip, jadual, penggambaran, pembayaran dan sebagainya. Lepastu, beliau telah diberikan masa untuk membuat keputusan sama ada mahu menerima tawaran tersebut atau tidak.

Korang pun mesti excited en kalau dapat tawaran berlakon filem Hollywood. Imej dari giphy.

Sebenarnya beliau hanya diberikan watak untuk satu babak sahaja. Penggambaran filem scene tu di Bali tapi ia mengambil masa dua minggu walaupun satu scene je. Beliau juga dibenarkan untuk membawa seorang pembantu, tapi pihak produksi tidak menaja perbelanjaan untuk pergi ke sana.

Kalau korang nak tahu, Bali merupakan kepulauan yang mempunyai gunung-gunung berapi yang masih aktif. Disebabkan faktor tempat tersebut, Aziz berasa agak ragu-ragu dengan keselamatan dirinya, kalau lama berada di sana. Satu lagi, disebabkan faktor umurnya masa tu 84 tahun, agak sukar untuk beliau berseorangan di sana, mestilah kena ada pembantu.

Selain tu, makanan yang halal juga menjadi faktor disebabkan di sana agak payah mencari makanan halal. Oleh kerana, faktor-faktor ini, beliau membuat keputusan untuk menolak tawaran tersebut.

Oh ye, filem yang dimaksudkan itu ialah “Eat Pray Love“. Masa tu beliau diberikan watak sebagai seorang pakar perubatan tradisional Bali. Filem ni diterbitkan pada 2010 dan watak yang sepatutnya dibintangi Datuk Aziz Sattar telah digantikan oleh seorang penduduk Bali bernama Ketut Liyer.

Inilah filemnya, korang pernah tengok? Imej dari Amazon.

Kiranya Datuk Aziz Sattar merupakan seniman kedua era filem Melayu hitam putih selepas Ibrahim Pendek yang berpeluang berlakon dalam filem Hollywood.

Sebenarnya, banyak perkara lagi yang korang tak tahu mengenai Datuk Aziz Sattar. Satu perkara lagi yang mungkin korang tak tahu ialah…

Datuk Aziz Sattar pernah menyertai sebuah kumpulan muzik bernama Panca Sitara

Ramai seniman yang pernah sertai kumpulan ini. Imej dari Sengal Paranormal Team.

Selain bidang lakonan, Datuk Aziz Sattar juga pernah aktif dalam bidang seni muzik dan nyanyian. Nak tahu kenapa? Beliau pernah menyertai sebuah kumpulan muzik bernama Panca Sitara.

Panca Sitara ni pada awalnya dianggotai oleh P.Ramlee, Kassim Masdor, Ahmad C, Aziz Jaafar dan Normadiah. Lepas tu, tiga daripada ahlinya – Aziz Jaafar dan Normadiah telah digantikan dengan Saloma dan Ahmad Daud.

Sebenarnya kemunculan Datuk Aziz Sattar dalam kumpulan ni bukanlah masa mereka tengah naik. Akan tetapi, selepas pemergian P. Ramlee, Panca Sitara digantikan dengan wajah-wajah baru seperti:

  • Ahmad Fauzee.
  • Dian P. Ramlee.
  • Anuar Rizman.
  • Zainal Merican.
  • Nias Ahmad.

Untuk menghidupkan lagi perjuangan Panca Sitara ni, ia telah diserikan dengan artis-artis veteran seperti Datuk Aziz Sattar, Nasir P. Ramlee, Normadiah, Aziz Jaafar dan Ahmad Daud.

Korang boleh dengar sebuah lagu dari Panca Sitara di bawah:

Hari tu, kami ada tulis artikel mengenai Panca Sitara ni. Kalau nak tahu lebih lanjut boleh baca di sini.

Permata seni dan seniman berbakat ini menghembuskan nafas terakhirnya pada 6 Mei 2014. Segala jasa dan tapak seninya tetap dikenang sehingga ke hari ini sebagai khazanah unggul dalam dunia perfileman Melayu.

Jadi, korang pun sudah nampak, betapa hebatnya Datuk Aziz Sattar ni dalam menjadi seorang seniman. Tapi nak buat macam mana, masa dah berlalu, yang hanya tinggal ialah kenangan. Hanya kita saja yang bertangungjawab untuk menjaga seni warisan dari orang seperti Datuk Aziz Sattar.