P.Ramlee pernah benci pop yeh-yeh kerana menganggapnya sebagai muzik tidak berkualiti

Pop yeh-yeh merupakan sebuah genre yang pernah popular masa zaman mak bapak kita dulu (ermmm….zaman atuk nenek kita?). Mana yang tak tahu lagi, genre ini mula popular pada era 60-an di seluruh Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia. Ia juga dipengaruhi oleh sebuah kumpulan British popular, The Beatles dan lagunya She Loves You.

Selalunya lagu-lagu yang dihasilkan akan mempunyai elemen gitar rancak dan vokal melankolik. Masa ni jugalah konsep kumpulan gitar rancak atau nama pendeknya kugiran tercipta.

Antara artis atau kumpulan pop yeh-yeh yang popular ialah:

  1. Datuk A Rahman Hassan.
  2. Datuk Jeffrydin.
  3. Datuk L Ramli.
  4. The Swallows.
  5. The Rythm Boys.

Haa…korang boleh la dengar lagu She Loves You ni sambil baca artikel ni:

Walaupun kemeriahan genre pop yeh-yeh ni disambut meriah oleh ramai pemuda pada era 60-an, tapi ia menjadi satu kebencian kepada lagenda seniman kita, P. Ramlee. Sebab tu la, beliau menubuhkan…

Kumpulan Panca Sitara yang mementingkan muzik tulen Melayu

Kumpulan Panca Sitara di sebuah majlis. Imej daripada jefferniagaz.

Korang pun tahu en, P.Ramlee sangat terkenal dengan lagu-lagunya yang mempunyai irama muzik Melayu. Beliau juga pernah menubuhkan sebuah kumpulan suara harmoni bernama Panca Sitara. Ia merupakan sebuah gelombang baharu bagi seni hiburan Melayu kerana kumpulan ini sangat mementingkan irama muzik Melayu.

Sebenarnya tujuan kumpulan ini ditubuhkan bagi membendung pengaruh muzik pop barat dan pop yeh-yeh. P.Ramlee berkata muzik sebegini hanya mementingkan bunyi yang kuat berbanding kualiti lagu itu sendiri.

Pada masa dulu, pengaruh kumpulan The Platters dan The Beatles telah tersebar luas di negara kita. Anak muda Malaysia dan Singapura telah taksub dengan mereka sehingga penyanyi dan kumpulan muzik pun cuba menambahkan elemen pop barat dalam lagu.

P.Ramlee sangat bimbang dengan pengaruh The Platters dan The Beatles yang semakin meluas kerana beliau berpendapat kumpulan seperti itu boleh menghanyutkan anak-anak muda ke dalam pengaruh barat yang tidak sihat.

Memang sukar bagi P.Ramlee untuk membendung pengaruh mereka tetapi kalau dapat sikit pun jadi la. Sebab tu la kumpulan Panca Sitara ni ditubuhkan.

Mana tak marah P.Ramlee kalau pengaruh barat semakin meliar. Imej daripada Ariff Ishak.

Nama kumpulan Panca Sitara diinspirasikan oleh jumlah ahli kumpulan iaitu lima orang. “Panca” bermaksud lima dalam bahasa sanskrit manakala “sitaramembawa maksud penyanyi. Jadi, kalau digabungkan menjadi “lima penyanyi, kreatifkan P.Ramlee?

Antara anggota awal dalam kumpulan ini:

  1. P.Ramlee.
  2. Mohamad Abdul Hamid (Ahmad C).
  3. Kassim Masdor.
  4. Aziz Jaafar.
  5. Normadiah.

Fakta menarik mengenai Panca Sitara ni, semua ahlinya akan memakai cermin mata hitam dan ada kisah menarik disebaliknya. Menurut Kassim Masdor, Ahmad C sangat gemar menggunakan cermin mata hitam jadi, P.Ramlee menyuruh semua ahlinya memakai cermin mata hitam sebagai identiti kumpulan.

Panca Sitara juga mempunyai quartet (empat orang bermain alat muzik atau menyanyi) iaitu:

  1. Ahmad Kassim (piano).
  2. Yusof B (teno-sexaphone).
  3. Osman Ahmad (double bass).
  4. A Rahim (dram).

P.Ramlee sangat serius dalam penglibatan kumpulan ini. Beliau telah menghabiskan masa lapang beliau dengan mencipta dan menggubah lagu serta melatih ahlinya bernyanyi.

Antara kejayaan terbesar Panca Sitara ialah HM Rohaizad (pembantu pengarah) pernah memberi peluang kepada mereka untuk muncul dalam filem Labu dan Labi. Mereka muncul dalam babak di mana Labu dan Labi menyaksikan persembahan mereka dan Saloma dengan nyanyian lagu “Bila Larut Malam”.

Sebenarnya ada filem khas yang ingin menampilkan Panca Sitara sebagai bintang utama, tapi filem ni gagal dilaksanakan kerana pemergian HM Rohaizad.

Nah, korang boleh tengok babak tu di bawah:

P. Ramlee juga membuat satu peraturan untuk kumpulan Panca Sitara di mana ahli kumpulan tidak boleh bercinta antara satu sama lain. Ia merupakan antara salah satu sebab mengapa kumpulan Panca Sitara ni selalu bertukar ahli kumpulan.

Tapi macam biasa la, naluri manusia ni tiada siapa ada boleh menghalangnya kerana diri kita ni memerlukan perasaan bercinta. Akhirnya, Aziz Jaafar dan Normadiah telah jatuh cinta dan terpaksa meninggalkan kumpulan Panca Sitara.

Selepas mereka berdua berlalu pergi meninggalkan mereka kerana cinta (sedih pulak ayat ni), Ahmad Daud dan Saloma telah menggantikan tempat mereka.

Namun, P.Ramlee sendiri yang melanggar peraturan itu kerana beliau telah jatuh cinta dengan saloma semasa menyertai Panca Sitara. Menurut Kassim Masdor, P.Ramlee dan Saloma tidak dibuang dari kumpulan serta tiada apa yang berlaku, walaupun beliau sendiri yang menciptakan peraturan tidak boleh bercinta tu.

Selepas pemergian P.Ramlee…

Kumpulan Panca Sitara semakin lama semakin terkubur

Selepas pemergian P.Ramlee pada 29 Mei 1973, Panca Sitara semakin lama semakin terkubur. Akan tetapi, atas usaha Ahmad Fauzee (seorang pelakon dan penyanyi), kumpulan Panca Sitara berjaya dihidupkan semula pada 1980-an.

Antara ahli kumpulan baru Panca Sitara ialah:

  1. Ahmad Fauzee.
  2. Anuar Rizman.
  3. Zainal Merican.
  4. Nias Ahmad.
  5. Dian P.Ramlee.

Hmmm…boleh dikatakan kumpulan Panca Sitara yang baharu ni berjaya la kerana mereka sempat merakamkan dua album di bawah naungan Warnada Records. Tapi tu la, ia kembali terkubur kerana masing-masing mempunyai komitmen sendiri.

Akan tetapi, kumpulan Panca Sitara berjaya dihidupkan kembali pada 1990-an. Ahlinya dibarisi oleh Aziz Jaafar, Normadiah, Ahmad Daud, Nasir P.Ramlee dan Aziz Sattar. Mereka juga sempat merakamkan dua album bersama Life Records.

Ahli kumpulan Panca Sitara pada era 1990-an. Imej daripada Life Records.

Kalau ending kitaorang nak explain “tiada siapa yang boleh mengekalkan irama muzik Melayu” ni agak cliche la, korang kalau baca artikel lain pun mesti macam ni en.

Haaa…sebenarnya ada sebuah kumpulan yang boleh dikatakan mengekalkan irama muzik Melayu iaitu New Village Music Lab. Kalau nak tahu lebih lanjut boleh tengok mereka cover lagu “Sejak Ku Bertemu Padamu”:

P. Ramlee juga pernah tulis lagu raya semasa mogok dengan syarikat perfileman

Awak semua tahu tak yang dulu P. Ramlee dibenci?

*Artikel ini pernah diterbitkan pada 8 Julai 2021*