Prof Korea ini sanggup pindah ke Malaysia untuk belajar Jawi

Sekarang ni memang susah kita nak cari mana-mana bahan bacaan dalam tulisan Jawi. Utusan Melayu adalah antara satu-satunya penerbitan yang ditulis dalam Jawi, tapi dah lama dihentikan pada tahun 2006, cuba dihidupkan balik, kemudian dihentikan sekali lagi pada tahun 2013.

Raja Muda Perlis pernah menyuarakan kebimbangan baginda pasal perkara ni:

“Apabila tulisan Jawi ini direntap dari sejarah kita, menggantikannya dengan tulisan rumi atas alasan perpaduan, kita juga merentap roh jati diri kita sebenarnya.” – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Dipetik oleh Berita Harian.

Sentap hati bila baca, tapi memang ada betulnya juga. Kalau tanya budak-budak sekarang, berapa ramai yang boleh baca jawi? Dan berapa ramai pulak yang boleh tulis dalam jawi?

Tapi sewaktu minat terhadap seni ini makin kurang kat negara kita… kami dapat tahu yang tulisan jawi sedang cuba dihidupkan kat negara lain, iaitu Jepun dan Korea Selatan! Malah, ada seorang profesor dari Korea Selatan yang punyalah jatuh cinta dengan tulisan jawi, dia berkali-kali cuba hubungi kerajaan Malaysia untuk belajar…. siapa profesor ni?

Mula mendalami bahasa Melayu sejak zaman universiti lagi

Prof Kang merupakan diiktiraf sebagai pakar Jawi oleh DBP.

Prof Dr Kang Kyoung Seok ambil ijazah dalam bidang bahasa Melayu dan Indonesia di Universiti Hankook, Korea Selatan pada tahun 1974. Kat sana, pensyarah dia banyak bercerita tentang keunikan tulisan Jawi, dan dari situlah minat Kyoung Seok mula berputik. Malangnya, pensyarah dia tak dapat terangkan secara lebih mendalam, tapi Kyoung Seok tak putus asa.

Pada tahun 1982, Kyoung Seok berjumpa dengan seorang pendakwah dari Thailand yang membantu dia mengenal huruf-huruf Jawi. Jadi pada tahun 1984, dia buat keputusan untuk datang ke Malaysia, sebab dia tahu yang Jawi ini sebenarnya berasal daripada Malaysia

Profesor Kang bersama Utusan Melayu versi Jawi. Imej dari Utusan.

Lepas dia dah belajar dan dapat baca tulisan Jawi, Prof Kang pun terus tulis surat kepada kerajaan Malaysia bagi menyatakan hasratnya untuk sambung pengajian. Tapi suratnya tak dapat respon pun walaupun dia dah bagi dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan juga bahasa Mandarin. Oleh kerana dia tak nak mengalah, akhirnya dia pun hantar sekali lagi dengan menulis dalam tulisan Jawi.

“Bukan mudah untuk saya masuk ke sini (Malaysia) kerana saya telah memohon beberapa kali untuk melanjutkan pengajian sehinggalah suatu hari saya menggunakan tulisan jawi untuk membuat permohonan itu.” – Prof. Dr Kang Kyoung Seok, dipetik dari Kosmo.

Lepas je dia hantar surat tu, tak sampai beberapa hari kerajaan Malaysia dah bagi jawapan untuk surat permohonan dia. Tanpa berfikir panjang, Prof Kang pun terus ambil keputusan untuk menyambung pengajian kat Universiti Malaya dan mendapat Ijazah Sarjana dari Akademi Pengajian Melayu pada tahun 1987. Tak lama lepas tu, dia dapat gelaran Doktor Falsafah pulak dari universiti yang sama.

Sangat risau risau tulisan Jawi akan pupus ditelan zaman

Sejak dari zaman universiti sampailah sekarang, dah lebih 40 tahun Prof Kang mengkaji tulisan Jawi. Jadi tak peliklah tengok betapa sayangnya dia dengan seni ini.

Imej dari ismaweb.net

Dia menyatakan kebimbangannya tentang tulisan Jawi ni sebab takde generasi muda yang pakar dalam bidang ini.

“Malaysia perlu mendidik generasi muda dalam tulisan Jawi. Sekarang terlalu ramai pakar saya kenali sudah bersara tanpa ada pengganti. Bila pakar sudah tiada, siapa akan menerajui usaha pemeliharaan tulisan Jawi nanti?” – Dipetik dari SINAR

“Tulisan Jawi milik setiap rakyat Malaysia, mereka paling layak mempertahankan tulisan ini.” – Dipetik dari harakahdaily.net

Tambah Prof Kang lagi, media-media sepatutnya menggunakan tulisan Jawi ini dengan lebih banyak dan meluas. Dia jugak berharap yang akhbar tulisan Jawi macam Utusan Melayu diterbitkan semula supaya lebih ramai orang dapat membacanya.

Artikel akhbar tentang Prof Kang dalam tulisan Jawi. Imej dari jalanialbarawiy.blogspot.my

Untuk pengetahuan korang, ramai je orang dari luar negara berminat nak mengkaji tulisan Jawi. Jadi, dia ada cadangkan untuk mempopularkan kembali tulisan Jawi dengan memasarkannya secara luar biasa sepertimana lagu Gangnam Style telah berjaya membawa arus Korea di peringkat dunia.

Prof Kang jugak berpendapat tulisan Jawi ni bukan hanya untuk diwarisi oleh orang Melayu je, tapi ia sepatutnya dijadikan tulisan yang universal untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Utusan Melayu lama. Imej dari wikiwand.com

Lagipun kalau nak diikutkan, sebelum tahun 1960-an semua rakyat Malaysia (Tanah Melayu pada masa tu) boleh terima sistem tulisan Jawi ni tak kira apa bangsa sekalipun.

Prof Kang turut bagi cadangan supaya sistem ejaan Jawi sekarang dikembalikan semula ke sistem ejaan Jawi Za’ba yang mana lebih ringkas dan senang untuk dipelajari. Jadi rakyat Malaysia lebih tertarik untuk menggunakan sistem tulisan Jawi.

“Ini kerana asas ejaan Jawi Za’ba menggunakan asas yang sama dengan tulisan Jawi kuno yang berasal daripada tulisan al-Quran. Tulisan Jawi sekarang asasnya daripada tulisan rumi yang ‘lari’ daripada asas tulisan Jawi kuno.” – Prof. Dr Kang Kyoung Seok. Dipetik dari SINAR

Arwahyarham Zainal Abidin Ahmad ataupun Za’ba. Imej dari Perpustakaan Negara Malaysia.

Ada universiti kat Korea Selatan yang menawarkan jurusan Jawi!

Universiti yang kami sebutkan ini adalah Daegu University of Foreign Studies (DUFS), dan nama jurusan ini adalah…. Jawiology! Fuh, nama canggih sungguh.

Jawiology terletak di bawah bimbingan Fakulti Asia Tenggara dekat DUFS. Prof Kang merupakan Dekan fakulti tersebut, dan dia kata yang mereka akan fokuskan pengajian dalam bahasa Melayu dan Indonesia.

“Kuliah Jawiology mendapat sambutan baik, ramai minat belajar. Tetapi penting bagi saya ialah membuat lebih banyak kajian mengenai ilmu Jawi supaya kita semua dapat tahu lebih dalam mengenai Jawi” – Dipetik dari Astro Awani.

Prof Kang bersama pelajarnya di Korea Selatan. Imej dari Malay Mail Online

Sekarang ni pulak, DUFS dah ada buat program pengajian kerjasama dalam pengajian Jawiology dengan universiti kat Malaysia dan mereka jugak akan terima pelajar dari negara-negara lain untuk belajar dalam kursus ni.

Punyalah nak mendalami Jawi, sampai pergi ke negara Jepun?

Prof Kang juga ada hantar dua pelajar dia ke luar untuk belajar lebih mendalam tentang tulisan Jawi niSeorang dihantar ke universiti Tokyo di Jepun, seorang lagi ke Universit Putra Malaysia.

Macam pelik je nak belajar Jawi tapi dihantar ke negara…. Jepun? Tapi sebenarnya kat Jepun memang ada banyak bahan tulisan yang berasaskan Jawi dari tahun 1940-an. Bahan-bahan ini digunakan untuk mengajar tentera Jepun yang akan ke Malaysia dan Indonesia.

Malah bukan kat Jepun je yang ada bahan tulisan dalam Jawi. Dianggarkan lebih dari 20,000 manuskrip Jawi ada di serata dunia ni dan hanya 4,884 manuskrip je yang berada di Perpustakaan Negara Malaysia. Jadi ni bermakna, ada lebih kurang 15,000 manuskrip Jawi  berada kat luar negara?!

Gambar contoh manuskrip Jawi Melayu lama. Imej dari twtbuku.com

Pelajar yang dihantar ke Jepun tu adalah Lee Jun Hyeong untuk mengkaji dan mempelajari pelbagai bahan tulisan Jawi yang berada di sana.

Pelajar yang dihantar ke Malaysia pula adalah Lee Han untuk melakukan kajian dan pembelajaran dalam bahasa Melayu. Dia jugak akan melanjutkan pelajaran di United Kingdom dalam bidang Sarjana dan PhD sambil menterjemah bahan-bahan Jawi yang ada kat British Library dan Bodleian Library di University Oxford.

“Saya mahu hantar anak Korea ini ke banyak pelusuk dunia untuk meraih kesempurnaan (mempelajari dan menjadi pakar) sistem tulisan Jawi setanding dengan generasi muda Malaysia supaya nanti orang Korea, Malaysia juga negara lain berganding bahu mempertahankan Jawi.

Ini tugas saya sebagai pencinta Jawi dan misi saya untuk masyarakat Malaysia yang mengajar saya tulisan Jawi yang amat saya sayangi. Saya percaya semua termasuk orang Korea dan Malaysia mampu pertahan Jawi” – Profesor Kang Kyoung Seok Dipetik dari Berita Harian

Batu bersurat yang bertulisan Jawi di Terengganu. Imej dari visit-terengganu.net

Dalam usaha untuk mencipta keyboard jawi

Kini Prof Kang tengah berusaha untuk membangunkan keyboard yang menggunakan sistem tulisan Jawi. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) jugak dah bersedia nak tolong dia dalam usaha ni.

“Ketika ini projek tersebut berada pada fasa terakhir dan saya yakin dapat dikeluarkan selewat-lewatnya pada tahun 2019 sekaligus memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Dengan adanya papan kekunci itu, tulisan Jawi akan terus dimartabatkan serta dikembangkan ke serata pelusuk dunia.” – Profesor Kang Kyoung Seok. Dipetik dari Utusan

Lepas ni mungkin pelajar Prof Kang kena menaip jawi sepenuh masa. Imej dari Utusan.

Selain dari itu, dia jugak nak cipta mesin pengimbas yang boleh terjemahkan tulisan-tulisan Jawi kepada lain-lain bahasa. Dia rasa teknologi macam ni boleh tolong peminat-peminat tulisan Jawi macam dia. Kalau lah kita melihat usaha-usaha Profesor Kang ni, nampaknya dia ni memang betul seorang yang cintakan tulisan Jawi!

Siapa yang sepatutnya bertanggungjawab mengangkat semula tulisan Jawi?

Signboard bertulisan Jawi di Kelantan adalah perkara normal. Imej dari kanggatheren-manogaran.blogspot.my

Sebenarnya ada je usaha-usaha untuk memartabatkan kembali tulisan Jawi di khalayak ramai. Salah satu daripadanya adalah portal Utusan Melayu yang dibangunkan hasil keprihatinan JCorp, sebuah syarikat di Johor. Tak lupa juga usaha-usaha di negeri lain seperti di Kedah dan Perlis, yang kebanyakannya melibatkan budak-budak sekolah.

Dan selain daripada Profesor Kang, ramai rakyat Malaysia sendiri yang berjuang demi tulisan Jawi contohnya Dr Farouk Yahaya yang mengkaji manuskrip Melayu lama, dan juga Dr Ding Choo Ming, pengkaji sastera Melayu terkenal di negara kita.

Macam mana pulak dengan korang? Adakah korang berminat untuk mengembalikan semula Jawi dalam bahan bacaan harian? Bagitau kami dalam ruangan komen?