Anak pasangan M’sia penat berpuasa dikira dera di Norway? Ini sebabnya…

*Artikel ini pada asalnya ditulis pada 1 November 2019*

Hubungan ibu bapa dan anak semestinyalah umpama air dicincang takkan putus. Tak lupa juga dalam budaya masyarakat kita wujud kata-kata pujangga, ‘sayangkan anak tangan-tangankan’. Ini bermaksud ketegasan ibu bapa dalam mendidik anak-anak yang kadang kala melibatkan peringatan melalui fizikal seperti merotan.

Namun, apabila berada di negara skandinavia macam Sweden, memukul dan menampar anak-anak boleh menjadi sesuatu yang sangat serius. Itulah yang berlaku kepada pasangan Malaysia, Azizul dan Shalawati yang dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah daerah Sweden. Mereka didakwa kerana memukul salah seorang anak mereka yang meninggalkan solat.

Maksud negara skandinavia. Imej dari Tripsavvy

Kes pasangan Malaysia dihadapkan ke mahkamah sebab dilaporkan mendera anak tak terhenti di situ sahaja. Pada Mei 2019, sewaktu bulan puasa, sepasangan Malaysia di Norway, Hairi dan Norliha telah dipisahkan dari lima orang anak mereka kerana didakwa mendera salah seorangnya.

Ceritanya macam ni. Norway ni masa berpuasanya lama dan pernah capai 20 jam. Cuma suatu hari tu, anak kepada Hairi dan Norliha nampak penat sebab berpuasa di sekolah. Dia kemudian ditegur gurunya dan mengadu tertekan kerana berpuasa 12 jam. Guru tersebut terus membuat laporan kepada Pihak Berkuasa Perlindungan Kanak-Kanak. Terus pihak berkuasa angkut semua anak mereka ke pusat jagaan.

Dah ada fatwa kata orang Norway tak payah puasa sampai berpuluh jam

Kalau di Malaysia ni, waktu berpuasa selalunya selama lebih kurang 13 ke 14 jam sehari. Begitu jugalah dengan negara-negara jiran kita seperti – Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei dan sebagainya.

Tapi keadaan macam ni tak sama dengan negara-negara Nordik macam Norway. Contohnya pada Ramadhan lalu, umat Islam di Norway kena berpuasa selama lebih 19 jam – bila diorang kena bersahur dalam jam 2.37 pagi dan berbuka pada jam 9.46 malam.

Keadaan bertambah rumit lagi bila – ada sesetengah tempat di negara tu seperti di Svalbard yang memang 24 jam ada matahari dari bulan April sampai Ogos. Fenomena ini dinamakan sebagai “midnight sun”. Jadi, macam mana diorang nak berpuasa bila berdepan dengan keadaan macam ni?

Keadaan midnight sun, korang pun tak tahu yang ni malam ke siang. Imej dari Visit Norway.

Sebenarnya, hal ini dah pun diselesaikan apabila fatwa ulama mengatakan – negara-negara Nordik dan yang terlalu panjang siangnya boleh mengikuti masa berpuasa di Mekah atau mana-mana negara Islam lain yang terdekat. Ini bermakna, kalau ikut Saudi mereka cuma kena berpuasa lebih kurang 14 jam beberapa minit sehari.

“Majlis Ulama Kanan Arab Saudi juga memutuskan bahawa orang Islam ‘di dalam mana-mana tempat yang matahari tidak tenggelam pada musim panas dan tidak naik pada musim sejuk’ harus menetapkan masa berpuasa berdasarkan ‘fajar dan matahari terbenam setiap hari di negara terdekat du mana malam boleh dibezakan dari hari ke hari.” – Dipetik dari Mental Floss.

Sebuah masjid di Norway. Imej dari About Islam.

Buat masa sekarang, dari populasi 5.2 juta orang di Norway, 2.7% darinya adalah Muslim dan jumlah ini dijangka semakin bertambah dari masa ke semasa. Kebanyakan mereka ini berasal dari dari Pakistan, Turki, Iraq, Maghribi, Syria dan Balkan.

Disebabkan ramainya imigran ni juga, maka berlaku pertembungan dalam budaya berkeluarga di negara tersebut hingga melibatkan masuk campur Perkhidmatan Kebajikan Kanak-Kanak Norway yang penuh kontroversi.

Perkhidmatan Kebajikan Kanak-Kanak Norway ni melindungi atau menculik anak orang?

Pandangan media Norway terhadapa Barnevernet. Imej dari Norwaynews

Di Norway, ada Norwegian Child Welfare Service atau Barnevernet yang merupakan agensi awam bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan kanak-kanak. Setiap perbandaran akan ada Barnevernet. Ia juga ada kuasa untuk bertindak kalau ada laporan dan suspek ke atas penderaan kanak-kanak. Bertindak ni bermaksud angkut anak-anak suspek dari rumah mereka ke pusat jagaan. Mereka hanya boleh cabar keputusan ni di mahkamah sahaja untuk dapat hak jagaan semula.

Ia mula jadi isu bila mereka menjadi lebih tegas pada tahun 2008 dan nampak macam kerja nak angkut anak orang je. Kalau tengok statistik hingga 2014, di negara yang ada 5 juta penduduk, sejumlah 1,664 kanak-kanak telah diangkut dan ditempatkan dalam jagaan keluarga angkat. Dari jumlah tu, 424 orang kanak-kanak lahir dari ibu yang bukan orang Norway.

Kes-kes ni biasanya akan dakwa bahawa ibu bapa tersebut atas beberapa sebab sama ada,

  1. Kurang kemahiran untuk menjadi ibu bapa
  2. Masalah mental ibu bapa
  3. Konflik dalaman yang tinggi
  4. Penyalahgunaan dadah oleh kedua ibu bapa
Protes kepada Barnevernet ni memang dah banyak. Imej dari Bodnariufamily

Namun, Barnevernet ni dapat kritikan dan protes daripada ramai pihak sama ada di Norway sendiri dan peringkat global dari segi tindakan mereka. Ini termasuk 170 golongan profesional Norway menghantar satu surat terbuka kepada Kementerian Kanak-Kanak di sana. Antara puncanya, semakin ramai imigran menetap di sana, kadang kala ada pertembungan antara budaya negara asal mereka dan undang-undang di Norway.

Contohnya, ada dua pasangan India yang mendakwa anak mereka diangkut oleh Barnevernet kerana mereka makan dengan tangan dan ahli keluarga tidur di katil yang sama.

Ada juga kerisauan tentang apakah kayu ukur digunakan oleh Barnevernet untuk menentukan ibu bapa tu kalau ada masalah mental. Ini kerana ada kes warga Norway yang dipisahkan dari anaknya kerana mempunyai masalah mental minor sekalipun keputusan diagnosis tu disangkal oleh dua pakar kesihatan.

Buat masa sekarang ni, ada 8 kes berasingan yang dibawa oleh pihak ibu bapa melawan Barnevernet di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR). Semunya terjadi dalam masa hanya 15 bulan je (setahun 3 bulan). Kes-kes yang melibatkan Barnevernet ni juga dah beberapa kali menimbulkan campur tangan dan konflik dengan negara tertentu.

Program “Anak-anak untuk Hitler”. Imej dari Historyextra

Hinggakan pada tahun 2013, Presiden Czech, Miloslav Hamrik menyamakan Barnevernet dengan sistem anak angkat yang diperkenalkan Nazi Jerman (sistem Labensborn). Sistem Labensborn ni bertujuan nak tingkatkan kadar kelahiran bangsa Aryan. Caranya, seorang wanita yang tak berkahwin tapi anak jati buat hubungan seks dengan pegawai tentera Nazi dan hasilkan anak. Anak tu akan dijaga oleh keluarga yang sihat dan bangsa jati.

Dalam kes pasangan Malaysia tu, nampaknya Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm sedang memantau perkembangan kes serta memberi bantuan khidmat konsular kepada pasangan tersebut. Kita tunggu je lah, apa keputusan untuk mereka nanti.

Apa yang pasti, ini bukan kes pertama yang rakyat Malaysia hadapi

Kalau korang masih ingat, sekitar 5 tahun lalu – kita pernah dikejutkan dengan tindakan mahkamah Sweden menghukum penjara sepasang suami isteri warga Malaysia – Azizul Raheem Awaluddin dan isterinya, Shalwati Norshal atas tuduhan mengasari dan mencabuli integriti anak-anak mereka.

Pasangan itu sebenarnya menetap di Sweden apabila Azizul betugas sebagai Pengarah Tourism Malaysia di Sweden. Bagaimanapun, pasangan itu kemudiannya dah disiasat kerana  didakwa memukul anak mereka yang tidak bersolat.

Azizul dan Shalwati bersama anak-anak. Imej dari The Star.

Disebabkan hal itu, empat orang anak mereka diletakkan di bawah jagaan sementara keluarga angkat di Sweden, sebelum dibawa pulang ke Malaysia. Kedua-dua mereka selepas itu pulang ke Malaysia selepas tamat menjalani hukuman penjara berkenaan.

Maka di sini, tahulah kita bahawa kes sebegini bukanlah kali pertama berlaku melibatkan rakyat Malaysia. Tapi jika difikirkan dalam-dalam, kita juga boleh nampak yang kes-kes sebegini timbul kerana berlakunya pertembungan budaya dan cara hidup. Mungkin ia kelihatan biasa bagi kita semua (berpuasa dan rotan anak), tapi hal seperti itu tak boleh diterima di sesetengah negara seperti Norway dan Sweden.