Hishamuddin panggil China ‘Abang Besar’? Kenapa ia disamakan dengan novel kontroversi ni?

Rasanya korang dah tahu isu tentang Menteri Luar Negeri Malaysia, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menggunakan gelaran “elder brother” pada Wang Yi dari China. Apa yang dikatakan tu membuatkan rakyat Malaysia marah dan bertindak untuk mengecam perbuatannya di media sosial. Malah, ketua pembangkang juga tak melepaskan peluang untuk memberi pandangan mengenai isu ni.

Ucapan You will always be my elder brother” bagaikan bom Hiroshima dan Nagasaki yang jatuh pada Malaysia minggu lalu. Wang Yi juga membalas dengan mengatakan “we are brothers”.

(Wah lepas ni boleh cari lagi sorang untuk jadikan band Jonas Brothers 2.0)

Imej dari imgflip dan theborneopost

Namun, Dato’ Seri Hishammuddin menjelaskan gelaran “abang besar” hanya untuk menunjukkan rasa hormat kepada yang lebih tua.

“Ungkapan yang saya gunakan tidak merujuk kepada hubungan dua hala kita kerana hubungan Malaysia dan China yang kuat didasarkan pada kepercayaan dan kesamaan.

Menghormati Wang Yi lebih tua, dan Menteri Luar Negeri yang lebih senior; oleh itu ‘abang’ kepada saya secara peribadi. Bersikap hormat tidak menandakan kelemahan.” – Datuk Hishammudin Tun Hussein,  Menteri Luar Negeri. Dipetik dari ciapan Twitter.

Ungkapan “Elder Brother” dari Hishammudin ni mengingatkan kami pada novel Nineteen Eighty Four (1984) yang mengisahkan tentang kerajaan “Big Brother”. Sebenarnya, novel ni dikatakan berkait rapat dengan dunia sekarang?

Novel 1984: Mengisahkan kerajaan yang mempunyai seluruh kawalan terhadap rakyat

Kalau korang nak tahu, novel 1984 oleh George Orwell pernah menjadi antara novel terpengaruh. Walaupun tajuk novel nampak simple, tetapi ia mempunyai isi kandungan yang mengundang kontroversi. Selain menjadi penulis novel, George Orwell juga seorang pengkritik, wartawan dan pengulas politik dan budaya dari England.

Imej dari BL.UK

1984 ialah novel dystopian yang berdasarkan sistem pemerintahan totaliter —  sistem politik berkuasa mempunyai seluruh kawalan dan rakyat tak diberi kebebasan untuk menentang mereka. Dalam novel ni, Oceania ialah negara yang dilihatkan sebagai pengawasan kerajaan yang ketat dan membentuk masyarakat dengan mengawal minda mereka. Paling kesian, kepentingan masyarakat diketepikan macam tu je dengan alasan kepentingan negara dan sebab cara ni pemerintah dapat memanipulasi serta mengawal masyarakat.

Semua buku harus patuh kepada revisionisme mengikut prinsip-prinsip Newspeak iaitu bahasa Oceania yang memenuhi segala keperluan ideologi Sosialisme Inggeris. Ia wujud untuk menyekat kebebasan pemikiran rakyat dan mengubah semula sejarah lalu. Parti ni berhidupkan slogan, Perang adalah keamanan. Kebebasan adalah perhambaan. Kejahilan adalah kekuatan

Imej dari Giphy

Kerajaan Big Brother yang menggunakan konsep 2+2=5?

Kenapa kitorang cakap kenyataan Hishammuddin tadi dah macam berkaitan dengan novel ni?  Sebabnya, Hishammuddin panggil China ‘Elder Brother’ dan dalam novel ni pula, diktator yang mentadbir negara dan dipanggil sebagai ‘Big Brother.” Maksud tersirat ‘Big Brother” ni abang yang mementingkan masyarakat tapi sebenarnya dia ialah diktator yang mengawal rakyat.

Tak ada siapa yang pernah melihat ‘Big Brother’. Dia ni ibarat mata yang mengintip setiap langkah serta perbuatan rakyat di Oceania yang membuatkan Polis Pemikiran (Thought Police) tahu siapa yang berkompromi dengan keselamatan. Namun, ada juga pendapat lain yang mengatakan Big Brother seorang lelaki yang mempunyai misai kumis.

Imej dari apilgriminnarnia.com

‘Big Brother’ yang berkuasa membuat peraturan dan rakyat harus patuh kepada mereka. Salah satu peraturan yang perlu diikuti ialah “cinta dilarang” kerana motifnya hanya untuk pembiakan. Maksudnya, mereka tak boleh berkahwin atau bercinta, tapi mereka dipaksa melakukan hubungan seks hanya untuk menambahkan populasi rakyat.

‘Big Brother’ juga mengawal semuanya dan sentiasa memerhati dengan meletakkan teleskrin di setiap rumah. Bukan tu je, mereka juga mengawasi rakyat di merata tempat termasuk dalam rumah rakyat. Dalam keluarga pula, anak-anak diajar untuk memerhatikan ibu bapa mereka dan mengecam jika mereka membuat kesilapan.

Mungkin macam ni lah teleskrin disetiap rumah. Imej dari stop.zona-m.net

“Big Brother” mengamalkan konsep 2+2=5.  Bukan lah dia tak reti mengira tetapi maksudnya, apa yang dia kata, semua kena ikut walaupun salah. Semua ni dibuat untuk manipulasi maklumat.

Walaupun begitu, dalam banyak-banyak rakyat yang kena brainwash ni cuba melawan dalam diam…

Winston Smith, pembelot yang cuba menegakkan keadilan & mempunyai ‘cinta dilarang’

Dilantik sebagai Kementerian Kebenaran (Ministry of Truth), Winston Smith ni lah yang bertanggungjawab untuk menyebarkan propaganda dengan cara mengubah rekod sejarah. Tugas Winston cuma mencipta kebenaran yang palsu dan tujuan cuma satu —  untuk menampakkan pemerintah nampak sempurna dengan menghapus semua ideologi yang bertentangan.

Tapi, cuma satu kebenaran yang patut didengar iaitu dari ‘Big Brother’

Dalam Oceania, pemerintah boleh menulis atau menukar semula isu masa lalu untuk menjaga kestabilan pemerintahan. Novel 1984 ni menceritakan yang Kementerian Kebenaran diberikan tugas untuk mengubah semua surat khabar, jurnal dan buku supaya rakyat terus memilih ‘Big Brother’ serta menampakkan sejarah kerajaannya sentiasa betul.

Winston bersungguh-sungguh menunjukkan yang dia ni ahli anggota Big Brother yang setia hujung nyawa tapi disebalik kesetiaan, sebenarnya dia benci dengan Big Brother ni. Winston mula menulis jurnal peribadi untuk mengkritik kerajaan tersebut.

Imej dari Giphy

Winston akhirnya melakukan jenayah ‘cinta dilarang’ dengan seorang wanita bernama Julia. Julia seorang gadis yang dalam diam menolak ideologi kerajaan. Mereka cuba memperjuangkan kebebasan dan keadilan di Oceania. Sepanjang hubungan, mereka menyewa bilik tanpa teleskrin yang terletak di kawasan pendalaman di London. Mereka telah merancang perjumpaan dengan seorang ahli Parti Inner yang dipercayai adalah ejen persaudaraan dan telah bersumpah setia terhadap persaudaraan.

Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Winston dan Julia ditangkap oleh Polis Pemikiran, iaitu Charrington dan O’Brien.

Mereka ditahan dan dibawa ke… Kementerian Cinta?

Rupa-rupanya, pekerja yang menyewakan bilik pada mereka, iaitu Charrington sebenarnya adalah seorang pegawai polis. Manakala O’Brien pula berlakon menjadi ahli Parti Inner yang kononnya berhasrat memusnahkan Parti ‘Big Brother.’

Winston diseksa secara mental dan fizikal oleh O’ Brien. Tujuan utama penyeksaan dilakukan adalah untuk mencuci otak (brainwash) dan memberitahu yang dia boleh ‘mengubati’ Winston dari membenci Big Brother. Tapi, Winston tetap bersumpah takkan mengkhianati kekasih awal dan akhirnya. (dah macam tajuk lagu Dato’ Jamal Abdillah kan).

Dah diseksa bermacam-macam cara pun, Winston ni tetap berdegil. Akhirnya, O’Brien menghantar Winston ke Bilik 101 — dikelilingi tikus-tikus besar. Tercapai juga hasrat O’brien untuk membuatkan Winston mengkhianati Julia dan patuh kepada ‘Big Brother’.

Winston dilepaskan ke dalam masyarakat Oceania. Dia berjumpa dengan Julia dan menjelaskan yang dia mengkhianati kekasihnya. Adakah Julia meraung selepas mendengar penjelasan Winston? Tak pun, sebab Julia pun dah mengkhianati Winston. Tak ada lagi rasa cinta mati di dalam hati mereka, yang ada cuma lah kenangan lalu.

Imej dari imgflip

Akhirnya, Winston Smith mengalah, dan akhirnya taat kepada ‘Big Brother’.

Tapi, itu cumalah cerita dari novel kontroversi tersebut. Korang pernah terfikir tak…

Apa akan jadi pada dunia jika ‘Big Brother’ menguasai dunia?

Cuba korang bayangkan kalau kerajaan Big Brother ni betul-betul ada di dunia ni? Kemungkinan akan ada perang dunia ke-3, ke-4 dan seterusnya. Lepastu, kita macam masyarakat Oceania yang hidup dengan kebenaran palsu. Berada di ‘neraka dunia’, gerakgeri kita diperhati sepanjang masa, sentiasa rasa takut, tak rasa bebas untuk melakukan sesuatu dan senang ditindas oleh mana-mana pihak.

Bukan itu je, kita boleh dikenakan hukuman tembak sampai mati jika ada fikiran “doublethink” dan cuba melawan pemerintah. Malah, jasad dan sejarah tentang kita akan dilenyapkan. Seperti contoh, sijil-sijil yang kita pernah dapat dan bukti yang kita pernah pergi ke suatu tempat. Manakala, keluarga dan kawan-kawan anggap yang kita tak pernah wujud (macam time kita nak minta hutang, time tu lah buat buat tak ingat).

Imej dari Giphy

Berdasarkan pemikiran kritikal korang, adakah kerajaan Big Brother ni akan muncul pada suatu hari nanti… atau sebenarnya memang dah ada?