Alam Sekitar

Sebelum Indonesia, Presiden Filipina dah tanam pokok durian gondol pada 1964

Malaysia ni memang terkenal dengan pelbagai buah-buahan. Macam tu juga negara-negara jiran kita yang mempunyai pelbagai jenis buah-buahan. Antara buah yang tak ada kat negara orang putih yang terkenal di dunia adalah buah durian.

Bagi orang putih, buah durian ni busuk dan tak menyelerakan. Tapi, ia tak bagi kita. Inilah raja bagi segala buah. Dengan duri pada kulit serta isinya yang kuning menambah lagi selera. Orang kita juga memanfaatkan durian hingga adanya resepi macam tempoyak dan cendol durian.

Dalam keunikan durian tu tersendiri, rupa-rupanya negara jiran kita, Indonesia dah 12 tahun buat eksperimen untuk hasilkan buah durian yang berlainan sikit.

Eksperimen bermula tahun 2007, akhirnya durian gundul dihasilkan

Ke mana durinya? Imej dari Tribunnews

Pada tahun 2007, seorang warga di Dusun Trenggaluh, berdekatan Gunung Rinjani menemui sesuatu yang pelik pada pohon duriannya. Pada awalnya, dia ingatkan sukun, tapi takkan sukun tumbuh di pohon durian? Apabila buah itu dibuka, ia ternyata mempunyai isi buah durian.

“Keluarga yang memiliki pokok itu pada mulanya takut nak memakan buah yang luar biasa itu, menganggap ia mungkin beracun.

Tetapi ketika pokok itu menghasilkan durian berkulit halus pada musim berikutnya, anak pemiliknya memutuskan untuk mencubanya dan mendapati rasanya seperti durian biasa.” – Petikan dari Format Asia

Selepas mendapat maklumat mengenai buah ni, maka pihak pertanian Indonesia dah datang ke lokasi tersebut. Beberapa potongan pokok telah diambil dan dicantumkan dengan pokok-pokok di laman belakang kompleks pertanian. Namun, ia rupanya tak semudah itu.

“Menurut Maisin (pegawai pertanian Nusa Tenggara), hanya dua peratus biji yang tumbuh dan mereka diberi nama Durian Gundul. Berdasarkan pemerhatian, varian unik ini dipercayai hasil dari gen resesif dari bunga betina dan jantan yang cenderung tumbuh ketika mereka berdekatan satu sama lain.

Oleh itu, dari 40 cantuman, pasukan pertanian Indonesia berjaya mengusahakan 23,000 anak benih. Anak benih ini dihantar ke pusat pertanian lain untuk ditanam.” – Petikan dari Mashable SEA

Pak Maisin menunjukkan buah durian gundul pada pokok. Imej dari Format Asia

Kejayaan ini akan menjadi perubahan baru buat industri durian ini kerana buah yang dihasilkan lebih manis dan mudah dibuka.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Ini bukan pertama kali dijumpai, sebelum ni pernah ditanam Presiden Filipina pada tahun 1964

Diosdado Macapagal (Presiden Filipina dulu) bersama anaknya, Gloria Macapagal (juga pernah jadi Presiden Filipina)

Jauh sebelum warga Indonesia menemui durian gundul, sebenarnya negara jiran kita satu lagi, Filipina dah dilaporkan menemui durian tanpa duri di Lembah Compostela di Timur Bandar Davao pada tahun 1950-an.

“Ia ditemui di Lembah Compostela pada tahun 1950 oleh Mr. Dominador Pascual, Penguasa Stesen Eksperimen Davao ketika itu (BPI-DES). Beberapa pokok ditanam di Llaneza Farm, di Mulig, Torril, dekat Calinan.” – Petikan dari Year Of The Durian

Pada 27 Jun 1964, Presiden Filipina, Diosdado P. Macapagal pernah menanam sendiri pokok durian tak berduri di Stesen Eksperimen Davao. Jadi masih ada ke durian ni di Filipina? Jawapannya, ya. Ia boleh ditemui dijual di beberapa tempat di sana dan dalam festival tertentu.

Kalau korang nanti ada rezeki pergi Filipina, ia dijual di SM Lanang Mall dan juga waktu berlakunya Kadayawan Durian Festival. Namun, dah diakui bahawa sebahagian durian tak berduri di Filipina tak berapa sedap rasanya.

Durian tak berduri yang dibeli di Filipina. Imej dari Year Of The Durian

“Kecuali mereka rasa ia sedap, saya tidak faham maksudnya. Maksud saya, saya rasa orang akan membeli untuk merasai pengalaman baru, ” – Lindsay Gasik, pemilik laman web Year Of The Durian

Walaupun macam tu, dia mengatakan bahawa durian tak berduri ni boleh bantu industri kerana ia mudah dibuka dan para pekerja bole menjauhi kecederaan.

Malaysia adalah pengeluar utama durian bersama Thailand serta perlu diteruskan hal ini

Apa pun jenis durian yang dihasilkan, buah ni tetap menjadi tarikan utama keunikan negara-negara ASEAN. Ini kerana ia kebanyakannya ditemui dan tumbuh di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina. Kita kena ingat juga Malaysia dan Thailand adalah pengeluar utama durian dengan masing-masing menghasilkan 600,000 dan 300,000 tan metrik setiap tahun.

“Setiap tahun, 90-95 peratus durian yang diimport ke China berasal dari Thailand. Tahun lalu (2018), Malaysia hanya mengeksport 5.8 peratus atau 17.000 tan durian ke China.” -Petikan dari The ASEAN Post

Untuk yang senang faham dari lukisan. Imej dari The ASEAN Post

Bila dengar cerita perkembangan dan kajian durian jenis baru dari Indonesia, harapnya Malaysia tak ketinggalan untuk melakukan usaha yang sama. Kerana durian ni adalah Raja Buah di negara kita serta perlu juga kita menjadi peneraju utama dalam penghasilan apa jua jenis durian yang dihasilkan.

 

 

 

 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend