Amerika dah sahkan rampasan 1MDB. Apa kesannya pada kerajaan Malaysia?

Baru-baru ni, ada lagi cerita panas pasal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). Kali ni, ia datang dari Jeff Sessions, Peguam Negara Amerika Syarikat (AS). Dalam satu forum, Sessions ada kata yang skandal 1MDB ni sebagai kleptokrasi paling teruk.

Tak tahu apa tu kleptokrasi? Klepto tu maksudnya mencuri dan krasi bermaksud pemerintahan. Istilah negara kleptokrasi pulak bermaksud negara yang dikuasai oleh pencuri harta rakyat. Harta kita semualah kalau nak lebih senang faham.

Salah seorang peserta perhimpunan anti-kleptokrasi baru-baru ni. Imej dari The Malaysian Insight.

Dalam ucapan Sessions, dia ada kata yang hampir separuh daripada hasil kutipan rasuah bernilai AS$3.5 bilion dah dirampas oleh kerajaan Amerika Syarikat melalui saman sivil berkaitan 1MDB.

Dalam waktu sama, dia juga kata yang dana 1MDB dah digunakan untuk perbelanjaan mewah macam: AS$200 juta untuk hartanah kat Southern California dan New York, AS$130 juta untuk karya seni, AS$100 juta untuk syarikat rakaman muzik dan AS$265 juta untuk kapal layar.

“Secara keseluruhan, pegawai 1MDB didakwa mengubah secara haram lebih AS$4.5 bilion dalam bentuk dana melalui jaringan transaksi tidak telus yang kompleks dan syarikat kosong yang menipu dengan akaun bank di pelbagai negara dari Switzerland dan Singapura ke Luxembourg dan Amerika Syarikat. Ini adalah kleptokrasi pada tahap paling parah.” – Jeff Sessions, Peguam Negara AS.

Imej dari imgflip.com

Tapi apa yang menarik perhatian adalah, Sessions ada kata yang Jabatan Kehakiman AS (DOJ) tengah berusaha bagi keadilan kepada mangsa-mangsa skim ni (rakyat negara ni lah). Tambah Sessions lagi, Amerika Syarikat selama ni dah berjaya pulangkan sekurang-kurangnya AS$255 juta hasil rasuah kepada rakyat Itali, Kazakhstan dan Peru. Selain berjuta-juta dolar lagi kepada rakyat Nicaragua, Korea Selatan and Taiwan.

Bila dengar apa yang dia kata ni, kita mungkin terfikir ada kemungkinan dana 1MDB yang dirampas tu akan dipulangkan balik kepada rakyat negara ini. Tapi boleh ke?

Nak dapatkan balik duit hasil rasuah ni bukan senang, ada yang ambil masa bertahun-tahun!

Macam yang diceritakan tadi, dana 1MDB yang dikesan ni bukan ada kat satu negara je tapi kat banyak negara. Macam Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Luxembourg dan sebagainya. Jadinya, DOJ kena dapat kerjasama dari setiap negara-negara asing yang terlibat untuk selesaikan kes ni.

Tapi malangnya, Malaysia sebelum ni tolak untuk berkerjasama dalam siasatan ni. Termasuklah menolak permohonan Switzerland untuk dapatkan bantuan perundangan bersama. Tapi Sessions ada kata bukti terbaik dalam kes rasuah adalah rekod bank, rekod penerbangan dan rekod telefon.

Inilah dia Jeff Sessions. Imej dari imgflip.com

Seperti yang dikatakan tadi, ada dana hasil seleweng ni yang berjaya dipulangkan balik. Sebagai contoh dalam kes kat Nigeria. Bekas pemimpin negara tu, Jeneral Sani Abacha dah memerintah Nigeria dari 1993 sampai 1998. Dalam masa 5 tahun memerintah je, dia dah kaut harga negara sampai berbilion.

Tapi Abacha meninggal pada 1998. Lepas kematiannya, pihak penyiasat mula siasat dan dapat tahu yang Abacha ni dapat ambil duit secara terang-terang dari bank pusat, rasuah, peras ugut dan sebagainya.

“Dana itu telah ‘dibersihkan’ melalui jaringan bank yang kompleks dan syarikat kosong di beberapa negara, terutama di Nigeria, UK, Switzerland, Luxembourg, Liechtenstein, Jersey dan Bahamas.” – Dipetik dari artikel tulisan Jean B. Weld.

Sani Abacha, bekas Presiden de facto Nigeria. Imej dari

Hasilnya, lebih dari $800 juta ditemui di Nigeria dari keluarga dan sekutu Abacha. Dalam waktu yang sama, kerajaan upah satu firma undang-undang Switzerland untuk trace lagi dana-dana yang diselewengkan kat luar negara. Lepas banyak proses yang memakan masa dan atas bantuan Switzerland dan Bank Dunia, akhirnya pada tahun 2006, $505 juta berjaya dipulangkan balik kepada Nigeria.

Itu apa yang jadi pada Nigeria, hasil dari bantuan Switzerland dan Bank Dunia. Macam mana pula dengan DOJ dari Amerika Syarikat? Mungkin kita boleh tengok apa yang jadi pada Taiwan pulak.

Pada tahun 2004, satu kes rasuah dikenal pasti melibatkan keluarga bekas Presiden Taiwan. Kes mula bila ada satu syarikat bagi rasuah $6 juta kepada Wu Shu-chen (isteri bekas Presiden Taiwan). Dengan bagi rasuah tu, presiden akan gunakan kuasanya untuk pastikan pihak berkuasa tak kacau syarikat tu.

Wu Shu-chen ditahan di Taiwan atas tuduhan rasuah. Imej dari asianews.it

Dengan simpan duit rasuah kat akaun bank di Hong Kong & Switzerland, syarikat kosong (shell company) dan sebagainya, diorang beli hartanah kat Keswick, Virginia, and New York. Tapi akhirnya pihak berkuasa AS dapat tahu dan kes tu dibawa ke muka pengadilan.

Kerajaan AS kemudiannya jual dua hartanah yang ada kat Virginia dan New York tu dengan harga lebih kurang $1.5 juta. Dana $1.5 juta tu kemudiannya dipulangkan balik ke Taiwan pada tahun lepas.

Dari apa yang kita dapat tahu ni, sebenarnya bukan mudah nak dapatkan balik duit hasil dari penyelewengan ni. Contohnya macam Nigeria yang ambil masa 8 tahun sebelum dana tu berjaya dipulangkan dan Taiwan ambil masa 12 tahun untuk diselesaikan.

Setahun, 2 tahun, 3 tahun, 4 tahun, 5 tahun! Imej dari Giphy.

Tapi persoalan pun mula muncul, tentang macam mana dana-dana tu dipulangkan. Diorang bagi direct terus ke?

Tak semua dana dipulangkan terus pada negara asalnya, sebab masih ada lagi prosedur yang kena diikut

Mungkin ada yang tertanya-tanya pasal hak sesuatu negara untuk tahan atau bekukan mana-mana harta asing. Sebenarnya bukan Amerika dan Switzerland je yang boleh buat macam tu, tapi semua negara boleh.

“Kalau sekiranya terdapat tuduhan bahawa harta tersebut dibeli menerusi wang haram melalui money laundering atau wujud rasuah harta tersebut boleh ditahan/freeze… Mana-mana negara ada undang-undang sedemikian.” – Dr Hazmi Rusli, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Bukan ni yang dimaksudkan dengan bekukan duit. Imej dari bostoncatholicinsider.wordpress

Selain tu, kita juga boleh tengok macam mana negara-negara berkerjasama di bawah satu inisiatif yang dikenali sebagai Stolen Assets Recovery Initiative (StAR). Ahli organisasi ni adalah Bank Dunia, PBB dan beberapa badan penguatkuasa antarabangsa. Buat masa sekarang – AS, UK dan Switzerland nampaknya akan pulangkan balik hasil dari penyelewengan dan rasuah. 

Berbalik kepada persoalan tadi, kita pun nak tahu macam mana duit ni dipulangkan balik. Sebenarnya, tak semua duit tu dipulangkan terus kepada negara asalnya. Sebabnya, apa yang selalu jadi adalah bila seseorang pemimpin korup tu dijatuhkan, dia akan diganti dengan pemimpin korup yang lain.

Dalam kes lain pulak, kerajaan sesebuah negara tu masih lagi dikuasai pegawai-pegawai yang korup. Jadi tak ada maknanya kalau pulangkan balik kat negara tu!

Jadinya, pada tahun 2005 – Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Melawan Rasuah (UNCAC) ditubuhkan. Sebelum ada UNCAC, dunia masa tu tak ada polisi yang boleh memantau dana-dana aset yang dipulangkan ni. Tapi lepas UNCAC dilaksanakan, ia masih lagi tak jelas macam mana sesuatu dana itu dipantau atau diuruskan. Tapi masih ada pihak yang tunjukkan cara macam mana dana-dana ini diuruskan.

Kita boleh ambil contoh apa yang jadi kepada Nigeria. Walaupun ada dana yang dipulangkan ke negara itu (seperti yang diceritakan tadi), tapi Nigeria masih lagi tak ada kuasa penuh ke atas dana yang dipulangkan tu. Sebaliknya, dana tu dipantau oleh Bank Dunia. Bank Dunia akan pastikan yang dana tu digunakan untuk kebajikan awam macam tingkatkan infrasturuktur luar bandar, kesihatan dan pendidikan.

Bank Dunia hanya memerhatikan, takde agenda iluminati. Imej dari wikimedia & AliExpress.com

Selain tu, ada juga dana-dana yang dipulangkan tu disalurkan kepada badan amal, macam apa yang jadi kepada Kazakhstan. Pada tahun 2007, Switzerland, AS, Kazakhstan dan Bank Dunia dah sain perjanjian dengan serahkan $AS84 juta hasil dari dana seleweng kepada BOTA Kazakh Child and Youth Development Foundation (BOTA).

“Lembaga pemegang amanah BOTA terdiri daripada lima warga Kazakh dan seorang wakil dari kerajaan AS dan Switzerland; tanggungjawabnya adalah untuk memantau perbelanjaan wang itu. Yayasan ini ditadbir oleh NGO antarabangsa…dan beroperasi secara bebas dari pihak berkuasa Kazakhstan.” – Dipetik dari Basel Institute on Governance.

Jadinya, jelas kat sini yang duit tu bukannya senang-senang dipulangkan kepada negara asalnya. Banyak proses undang-undang dan pemantauan yang kena dilalui. Maka, takdelah sejarah berulang balik. Tapi, ada juga persoalan…

Perlu ke orang terlibat dalam penyelewengan ni mengaku salah, sebelum duit tu dipulangkan balik?

Dekat Malaysia ni, boleh kata hari-hari kita dengar pasal 1MDB, dari Sabah sampailah ke Perlis. Pihak berkuasa negara ni pun dah buat siasatan pasal 1MDB. Tapi nampaknya, pihak Peguam Negara kata takde bukti adanya salah guna duit dalam 1MDB. Tapi pada akhir Oktober lepas, Peguam Negara ada arahkan supaya siasatan lanjut dibuat terhadap 1MDB.

“Apabila kertas siasatan dirujuk kepada kami, kami akan menelitinya. Kami dapati wujud kekurangan bukti. Jadi, kami arahkan supaya siasatan dilakukan dalam beberapa perkara tertentu. Saya tidak dapat mendedahkan perkara itu.

Siasatan masih dijalankan. Antara 20 hingga 25 peratus daripada kertas siasatan perlu dikaji semula.” –  Tan Sri Apandi Ali, Peguam Negara. Dipetik dari Sinar Harian.

Sebelum ni, 1MDB dilporkan lewat banyar hutang. Imej dari umno-online.my

Sementara pihak berkuasa Malaysia siasat, pihak DOJ pun tengah siasat. Malah diorang ada rampas beberapa dana yang dikaitkan dengan 1MDB.

Tapi persoalan mula muncul, perlu ke nanti orang terlibat mengaku salah, sebelum duit 1MDB dipulangkan balik?  Sebenarnya, tak lah macam tu. Sebab, kita boleh kaitkan kes ni dengan apa yang jadi kepada Angola. Pada tahun 2002, satu siasatan dapati adanya penyelewengan dana yang membabitkan Angola kat Switzerland.

Menteri Luar Angola dan John Kerry (bekas Setiausaha Negara AS). Imej asal dari qz.com

Tapi dalam satu prosiding kat Angola pada 2004, siasatan dapati tak ada penyelewengan yang berlaku. Bagaimanapun, pihak Switzerland masa tu tetap bekukan dana sebanyak $AS21 juta yang berada di bawah empat nama pegawai tinggi Angola. Sebabnya, empat pegawai ni tak nafikan yang duit tu milik negara Angola.

Hasilnya, duit ni masih lagi dipulangkan kepada Angola dengan cara digunakan untuk tujuan sosial dan kemanusiaan. Swiss Agency for Development Cooperation (SDC) bertanggungjawab menguruskan dana ni dan dana tu disimpan kat Swiss National Bank. Angola pula dinamakan sebagai pemilik, tapi hanya SDC je yang boleh keluarkan duit.

Jangan salah ATM. Imej dari Giphy.

Jadi, bila rasanya duit 1MDB ni akan dipulangkan?

Lepas je laporan ucapan Peguam Negara AS tu, maka banyaklah komen-komen yang dilemparkan oleh pelbagai pihak. Antaranya adalah Datuk Seri Najib Razak kena ambil tindakan terhadap kenyataan Peguam Negara AS tu. Sebabnya, ia boleh dianggap sebagai satu penghinaan kepada negara.

Selain tu, ada juga yang minta Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali, buat aduan rasmi kepada Peguam Negara AS dan tuntut supaya dia minta maaf.

“Pada masa sama, Apandi juga patut melantik peguam di AS untuk mencelah dalam proses perundangan dalam perampasan aset di sana jika dakwaan Sessions tidak benar, dan menunjukkan bukti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat dalam skandal itu.

“Jika Apandi gagal berbuat demikian, beliau akan dilihat sebagai ‘jaguh kampung’ dan “pengecut antarabangsa.” – Haniff Khatri Abdulla, peguam. Dipetik dari Malaysiakini.

Imej dari imoney.my

Kesimpulannya, dengan perkembangan terbaru ni, maka akan bersemaraklah lagi isu 1MDB. Seperti yang kita baca tadi, adalah tak mustahil untuk sesuatu hasil penyelewengan itu dikembalikan kepada rakyat dan negara asalnya. Tapi macam mana dengan 1MDB?

Jawapannya dah tentu takde sekarang, sebab siasatan masih lagi dijalankan. Kalau kita ditakdirkan dapat balik dana tu – kita juga masih tak tahu sama ada ia nanti akan dipantau Bank Dunia atau diserahkan kepada mana-mana badan amal. Kita masih lagi menunggu dan memerhati~~~

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.