Ekonomi

1MDB tak boleh bincang kat Parlimen, tapi kenapa presidennya jumpa PAS?

Pada 7 Ogos lepas, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dah adakan pertemuan meja bulat dengan pengurusan tertinggi 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). PAS diketuai oleh Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, manakala 1MDB pulak diketuai oleh Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy.

Pertemuan tu jugak dihadiri bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, beberapa orang pensyarah ekonomi dan penganalisis pasaran. Hasil dari pertemuan tu, PAS nampaknya berpuas hati dengan pelan rasionalisasi yang dicadangkan Arul Kanda untuk mengatasi kemelut 1MDB.

“Berdasarkan penjelasan Arul Kanda, Pas yakin usaha untuk memulihkan 1MDB bo­leh dijayakan de­ngan mengikut segala pelan rasionalisasi yang te­lah disusun…Kami juga percaya syarikat pelaburan itu mampu dipulihkan sekiranya tiada campur tangan pihak yang cuba mengganggu pelan pemulihan yang sedang dijalankan.” – Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Imej dari Free Malaysia Today.

Tapi, PAS juga nampaknya masih lagi tegas dengan pendiriannya supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB. PAS juga minta kerajaan supaya ambil tindakan pada mereka yang bertanggungjawab dalam masalah 1MDB ni.

Selain tu, kesediaan pengurusan tertinggi 1MDB berjumpa dan bagi penjelasan pada parti pembangkang (PAS), juga nampaknya satu tindakan yang positif. Jadinya, apa perkembangan 1MDB buat setakat ni? Oleh tu, kitorang cubalah cari sedikit sebanyak maklumat.

1MDB lewat bayar hutang dari tarikh yang ditetapkan

Antara isu hangat yang diperkatakan baru-baru ni adalah bila pihak 1MDB dilaporkan lewat membayar hutangnya kepada sebuah syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corporation (IPIC). Mengikut perjanjian, 1MDB sepatutnya kena bayar RM2.58 bilion kepada IPIC pada 31 Julai 2017 yang lalu.

Tapi nampaknya bayaran tu tak kunjung tiba. Tindakan 1MDB ni dah undang banyak kritikan, seperti dari Tony Pua yang menyifatkannya sebagai memalukan dan menjadi bukti berlakunya penyelewengan. 1MDB juga bagi alasan duit yang nak bayar balik hutang tu masih dikumpul melalui proses rasionalisasi dan mintak IPIC bagi sikit masa.

Tak lama lepas berita ni, Ketua Setiausaha Perbendaharan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar keluarkan kenyataan yang 1MDB dibagi tempoh lanjutan untuk membayar hutang tersebut. Menurut laporan Reuters, 1MDB dibagi tempoh sampai 31 Ogos 2017 ni untuk bayar hutang. Harap-harapnya, 1MDB dapatlah bayar hutang tu.

President & Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda. Imej dari umno-online.my

Tapi korang perasan tak dari tadi kita dengar istilah rasionalisasi. Apa dia rasionalisasi ni sebenarnya? Rasionalisasi ni boleh dimaksudkan sebagai penyusunan semula sebuah syarikat untuk meningkatkan kecekapan. Penyusunan ni boleh jadi dengan cara mengembangkan atau mengecilkan saiz syarikat, perubahan dasar atau strategi.

Menurut Tuan Ibrahim, apa yang berlaku pada hari ini adalah aset 1MDB dah diberikan kepada syarikat-syarikat milik Kementerian Kewangan yang diperbadankan (MOF Inc).

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

“Jadi hasil dari perbincangan tersebut didapati, bila aset diserah kepada MOF Incorporated, maka kita perlu untuk monitoring terhadap isu-isu yang melibatkan aset tersebut. Sebab bila aset diambil oleh pihak kementerian, kita bimbang ia akan mencetuskan masalah baru jika tidak dikawal, dan kita harapkan bahawa isu-isu ini mesti dipantau direct di bawah parlimen.” – Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Timbalan Presiden PAS. Dipetik dari FB rasmi beliau.

Bagaimanapun, perkara ini dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli. Menurutnya, proses rasionalisasi 1MDB yang diperkatakan oleh Arul Kanda adalah proses memindahkan hutang-hutang 1MDB kepada syarikat-syarikat milik penuh kerajaan melalui MOF Inc.

1MDB ada hutang lebih RM50 bilion sejak awal tahun 2016

Sebelum ni, Perdana Menteri dalam jawapan bertulisnya kat parlimen ada kata yang 1MDB dah takde hutang dengan bank dan hutang jangka pendek. Antara bayaran hutang tu adalah:

  1. Membayar penuh kemudahaan kredit RM229.5 juta kepada Affin Bank pada 23 November 2015.
  2. Menjelaskan sepenuhnya kredit siap sedia bernilai RM950 juta kepada kerajaan pada 31 Mac 2016.
  3. Membayar balik kemudahan pinjaman berjangka RM2 bilion kepada Marstan Investment NV pada 8 April 2016.
  4. Menjelaskan kemudahan pembiayaan berjangka AS$150 juta dengan EXIM Bank pada 15 April 2016.

Bagaimanapun, menurut Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen (PAC), hutang 1MDB dah naik lebih dari RM50 bilion pada awal tahun 2016. Maka dengan itu, timbul persoalan sama ada 1MDB mampu bayar atau tak hutang-hutang tersebut. Kerana itulah, kata Dr Mahathir ada kemungkinan 1MDB bayar hutang-hutang berkenaan dengan gunakan dana bernilai RM10.97 bilion yang dikumpul dari penjualan pelbagai aset.

Duit mana duit? Imej dari Giphy.

Antaranya termasuklah penjualan Edra Global Energy Berhad kepada syarikat dari China dan penjualan 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia.

“Kita pun sudah dengar macam mana 1MDB telah jual atau gadai harta yang didapatinya dengan harga murah daripada kerajaan macam tanah Tun Razak Exchange (TRX) di Jalan Tun Razak dan bekas Pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) di Sungai Besi. Tapi duit yang ia dapat tak cukup juga untuk bayar balik hutang hingga kerajaan, melalui Kementerian Kewangan, terpaksa ambil alih atau bagi jaminan.” – Datuk A Kadir Jasin, Tokoh Wartawan Negara. Dipetik dari Sinar Harian.

Oleh itu, bagi mereka ni proses rasionalisasi yang dilakukan 1MDB nampaknya masih tak boleh menyakinkan mereka ni. Seperti mana yang dikatakan oleh Kadir Jasin, kita sekarang ni tak tahu dari mana sebenarnya 1MDB dapat duit untuk bayar balik hutang-hutangnya. Ini kerana, perkara berkaitan 1MDB adalah rahsia sehingga kat Parlimen pun tak boleh dibahaskan.

Klik imej untuk tahu lebih lanjut.

Maka dengan itu, tindakan pengurusan 1MDB yang bersedia jumpa PAS nampaknya mengundang rasa tak senang dari pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain. Sampaikan ada yang tanya…

PAS faham ke apa Arul Kanda cakap? – Lim Guan Eng

Itulah apa yang ditanya oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Selain tu, Tony Pua pun kata bukan je PAS yang nak tahu pasal 1MDB, tapi pihak Pakatan Harapan pun sepatutnya dibagi peluang yang sama seperti mana yang PAS dapat.

“Saya bagi pihak Pakatan Harapan minta sekali lagi, satu sesi di mana Arul, beri taklimat dan jawab semua persoalan pemimpin kami…Kita harap kita dapat jawapan daripada beliau…Kita harap beliau bukan sahaja beri peluang kepada Pas tetapi untuk jua Pakatan Harapan.” – Tony Pua, Setiausaha Publisiti DAP. Dipetik dari Sinar Harian.

Bekas pemimpin PAS, Husam Musa pun bagi persoalan yang sama. Husam dalam satu kenyataan kata yang dia sebenarnya terkejut dengan kenyataan Tuan Ibrahim. Dia juga mempersoalkan bahagian mana yang PAS puas hati.

“Dari mana 1MDB akan memperolehi RM2.5 bilion untuk bayaran kepada IPIC yang termungkir pada 31 Julai lalu kalau bukan dibayar oleh Kerajaan Malaysia menerusi pengeluaran bon… Pelan rasionalisasi mana pula yang menghasilkan RM2.5 billion untuk bayaran itu jika benar 1MDB sendiri membayarnya?…Secara khusus apa yang dikatakan oleh Timbalan Presiden Pas sebagai ‘Pas berpuas hati’ dengan pelan rasionalisasi itu?” – Datuk Husam Musa, Naib Presiden AMANAH. Dipetik dari AMANAH Daily.

– Tanya Husam Musa. Imej dari Malay Mail Online.

Jadinya, kemungkinan besar kenapa pihak 1MDB sanggup buat pertemuan meja bulat dengan pihak PAS adalah kerana pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang digagaskan oleh parti itu. Walaupun PAS mengamalkan budaya politik matang, tapi Tuan Ibrahim masih lagi jelas dengan pendiriannya yang menyifatkan skandal 1MDB sebagai ‘nasi yang sudah menjadi bubur’.

PAS harap 1MDB diberi peluang untuk selesaikan segala hutangnya

Itulah apa yang sebenarnya diharapkan oleh PAS sekarang. Malah menurut Tuan Ibrahim, satu fakta yang tak dapat dinafikan bahawa 1MDB adalah bala kepada negara. Ini kerana kalau pelan rasionalisasi tu gagal, tak lain dan tak bukan kerajaan dan rakyatlah yang akan menanggung akibatnya. 

“Disebabkan itu, PAS mengharapkan supaya 1MDB perlu diberi peluang untuk menyelesaikan segala hutang yang ditanggung oleh 1MDB dan pada masa yang sama kita berusaha menumbangkan BN agar mereka yang meninggalkan hutang 1MDB untuk ditanggung rakyat dan kerajaan dapat dibawa ke muka pengadilan.” – Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Timbalan Presiden PAS. Dipetik dari FB rasmi beliau.

PAS FOR ALL. Imej dari mynewshub.cc

Bagaimanapun, masih ada agak sinis dengan kenyataan ini. Hal ini kerana, sementara 1MDB disiasat di Singapura, Switzerland, Luxembourg dan Amerika. Seluruh dunia bagi pandangan negatif kepada PM Najib dan seorang ahli perniagaan dari Pulau Pinang, Low Taek Jho ataupun Jho Low. Selain dari 30 soalan berkaitan 1MDB yang nak diajukan dalam sidang parlimen tidak dibenarkan oleh Speaker Dewan Rakyat.

Tapi, tiba-tiba boleh pulak PAS buat pertemuan dengan Arul Kanda. Dah tentulah perkara ni bangkitkan rasa tak puas hati dari pemimpin yang selama ni menghentam dan menuntut penjelasan 1MDB.

“Barangkali Pas kini sudah boleh diangkat sebagai jaguh 1MDB. Mereka kini sudah puas hati dan menerima segala jawapan yang diberikan Arul Kanda…Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan sukar hendak buat temu janji dan berbincang dengan Arul Kanda, tetapi Pas sudah buktikan mereka boleh lakukan dengan senang.” – Ong Boon Teck, Sinar Harian.

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend