- 361Share sekarang!
- Email18
- Facebook343
- Share
Tahun ni sahaja, dah banyak kali berita pasal gajah mati dalam keadaan tragik. Terbaru, seekor lagi gajah Pygmy ditemui mati di Sabah. Ni menjadikan sebanyak 23 ekor gajah dilaporkan mati di sana dah berlaku tahun ni.
Pelbagai punca gajah ni mati. Mungkin sebab pemburu haram atau pun sebab semulajadi yang lain seperti sakit. Tapi, alangkah sedihnya bila kita baca berita apabila ada gajah yang mati dalam keadaan gadingnya sudah dipotong. Sedar tak sedar, gajah yang diburu ni bukan takat nak gading, ada juga yang ambil air mani gajah.
Ini terbukti apabila Jabatan Perhilitan dah menangkap 47 individu di Gua Musang serta merampas beberapa item termasuk kuku, kantung dan taring harimau, kulit kijang hidupan liar dan AIR MANI GAJAH! Nak buat apa?
Kenapa ada orang dapatkan air mani gajah?
Kalau kita buat carian pasal air mani gajah, mesti akan terjumpa jualan Batu Mani Gajah atau pun Cincin Mani Gajah Asli. Dilaporkan oleh seorang pembuat cincin ni di Kelantan bahawa batu permata dari air mani gajah adalah yang paling laris sejak 1990 hingga sekarang. Ini semua berlaku kerana mani gajah dipercayai menjadi alat ‘penunduk’ dalam ilmu pengasih.
Susah nak cari kajian saintifik pasal hal mistik berkaitan air mani gajah ni. Namun, ada perkongsian dari seorang penjual air mani gajah di Indonesia yang menerangkan kebaikan benda tu. Menurutnya, kalau benda tu dicalit pada seseorang yang kita rasa berkenan, orang tadi tu akan jatuh hati dan rasa nak menikah dengan kita. Benda ni juga dikaitkan dengan melariskan jualan dan menundukkan orang yang kita tak suka.
Ini hanya pendapatnya sahaja, tiada bukti pasal kebenaran benda ni. Namun, disebabkan kepercayaan macam ni lah ia diletak dalam cincin. Mufti Kelantan, Datuk Muhammad Shukri Mohamad ada menerangkan pasal hukum berkaitan hal ni. Dia berpendapat bahawa mempercayai sesuatu batu seperti air mani gajah ni mampu membuatkan orang jatuh cinta atau perniagaan menjadi laris akan menganggu akidah seseorang.
Bagaimana cara diorang dapatkan air mani gajah ni?
Agak sukar untuk kita mengetahui macam mana para pencari air mani gajah ni mengumpulkan air mani gajah. Tapi, apa yang pasti ialah gajah yang dah habis mengawan akan tertinggal kesan air maninya di tanah atau daun-daun pokok di hutan. Air mani yang tertinggal ni akan jadi mengeras setelah beberapa lama.
Kalau di negara Eropah, ada jugalah aktiviti ambil air mani gajah ni. Tapi bukannya untuk buat cincin ke apa, tapi lebih kepada untuk kajian. Cara nak keluarkan air mani ni pun bukan mudah-mudah. Kena ada peralatan tertentu yang berteknologi tinggi.
Melalui kaedah sains, satu alat yang dipanggil electro-ejaculation akan digunakan. Alat ni tadi akan dimasukkan sedalam tiga atau empat cm ke dalam bahagian usus (lower intestine). Alat ni kemudian akan merangsang bahagian saluran pembiakan dengan cas elektrik antara 5 hingga 15 Volt. Melalui proses ni, ia akan memaksa sperma keluar.
Tujuan sperma gajah ni dikeluarkan adalah untuk mendapatkan sperma yang baik kemudian dibekukan. Ia kemudian akan diproses dan ditelurkan dengan mana-mana gajah sama ada di zoo atau pusat pemuliharaan bagi tujuan memelihara genetik gajah. Ini lebih baik dari terpaksa angkut gajah liar yang ada sperma yang baik bawa ke zoo atau pusat tertentu.
Gajah masih ada beribu, tapi ia dikira terancam kerana…
Bila difikirkan balik, nampaknya ada dua tujuan sperma gajah ni diambil. Satu untuk perniagaan dan satu lagi untuk projek pemuliharaan. Untuk perniagaan, sebenarnya bukanlah sekadar air mani gajah yang diiginkan oleh pemburu daripada gajah ni. Kebanyakan kes, gajah di Malaysia ni diburu kerana gadingnya.
Pihak bertanggungjawab dah sedaya upaya menyusun strategi pengiklanan dan program kesedaran, namun isu pemburuan haram dan penjualan hidupan liar dah menjadi masalah utama. Menurut laporan terbaru, bilangan gajah yang tinggal di Semenanjung Malaysia hanya sejumlah 1,100 ekor. Manakala gajah Borneo di Sabah hanya tinggal dari 1,000 hingga 2,000 ekor.
Tak dinafikan, ada beberapa sebab lain gajah kita mati saban tahun. Contohnya, banyak yang mati dilanggar kenderaan ketika melintas lebuhraya, Ada juga dijumpai mati kerana kekurangan nutrisi serta terkena ulser.
Sekalipun nampak macam nasib gajah di Malaysia tak selamat, sebenarnya di negara kita ada pusat yang bertanggungjawab menjaga gajah-gajah ni. Satu-satunya pusat konservasi gajah yang ada di Malaysia adalah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah di Pahang. Tempat perlindungan ni akan membantu mengesan, memindahkan dan menjaga gajah yang dipindahkan atau terperangkap di Asia Tenggara.
Ramai lagi yang masih sayangkan gajah ni rupanya sekalipun aktiviti memburu banyak. Buktinya, tahun lepas sahaja, PKGK Kuala Gandah menerima 220,000 pengunjung dari dalam dan luar negara. Ramai juga yang suka mandi dengan gajah ye kat sana!
Cuba elakkan daripada menggunakan servis oleh gajah waktu melancong
Gajah ini secara faktanya adalah haiwan darat paling besar di dunia. Gajah Afrika jantan semestinya yang paling besar dengan berat melebihi 6 tan dan paling kecil pun gajah Asia dengan berat 5 tan. Sekali pun besar gagah perkasa, kekurangan bilangannya tak dapat dibendung lagi. Bayangkan, menurut WWF, habitat gajah Afrika dah berkurang 50 peratus atau separuh sejak tahun 1979. Gajah Asia pula hanya tinggal 15 peratus dari jumlah asalnya.
Ketika ni, seluruh dunia sedaya upaya nak memelihara dan tidak mahu menganggu gajah mengikut kapasiti masing-masing. Hinggakan adanya galakan supaya orang ramai yang datang ke Thailand untuk menolak perkhidmatan ‘urutan gajah’. Iaitu gajah urut belakang badan kita guna belalai atau kakinya dan kita bayar upah pada tuan gajah. Ini kerana menyedari yang gajah itu diseksa oleh tuannya untuk bekerja sebegitu. Begitu juga, perkhidmatan menunggang gajah yang ramai teringin nak merasa. Elok sama-sama kita lupakan.
Dalam keadaan gajah semakin terancam dari segenap sudut, terdapat cadangan supaya pihak bertanggungjawab memikirkan cara bagaimana kita boleh hidup dengan gajah. Galakan ni perlu ditekankan kepada sektor pertanian dan komuniti pedalaman. Sementara pihak tertentu mengekang pemburu haram. Kita dan pihak berkuasa di bandar pula perlu pastikan yang gajah ini boleh berjalan, makan dan melintas dengan selamat dengan infrastruktur yang mesra kepada kita dan gajah serta hidupan liar!
- 361Share sekarang!
- Email18
- Facebook343
- Share