Alam Sekitar

Tak nampak jalan nak jadi PM Malaysia, dia pilih jadi renjer hutan

Dari kecik lagi kita biasa dengar perkataan ranger sebagai pelindung bumi contohnya cerita Go Go Power Rangers. Sampaikan perkataan ni sendiri diterjemah terus kepada bahaya Melayu menjadi renjer. Renjer yang dimaksudkan di negara kita ni ada makna yang berbeza.

Sikit lagi Power Rangers nak mati. Iklan budak ni mesti muncul.

Sedar tak sedar, dalam kenangan kita waktu sekolah dulu pergi kem motivasi kat Taman Negara atau hutan simpan, kita hanya seronok je sebab tengok kawan kena rasuk. Tapi, tahu tak kita sebenarnya taman negara dan hutan simpan ni ada sekumpulan kecil orang yang jaga tiap hari siang dan malam hingga berisiko terkorban nyawa. Diorang ni manusia biasa je, bukanlah macam Tombiruo Si Penunggu Rimba yang sado dan ada superpower. Kumpulan ni dikenali sebagai renjer hutan (park ranger) yang jarang kita dengar kisah pengorbanan diorang.

Masih ada orang Malaysia yang berminat menjadikan hutan sebagai pejabat mereka

“Saya mula berniat nak jadi park ranger (renjer hutan) lepas saya nampak jalan untuk saya jadi Perdana Menteri, tidak ada jalan lagi dah.”- Asrul Abdullah, Renjer Taman Negara Pahang. Petikan dari WWFMy.

Macam nak tergelak dengar jawapan tu. Bagi Asrul, hutan dan dia memang dah rapat dari dulu lagi. Waktu kecil, dia biasa ikut datuk dia masuk hutan untuk cari rotan dan herba ubat-ubatan. Datuk dia juga memang bekerja di taman negara sejak bawah pemerintahan British lagi. Macam tu juga buat Hardy Mangkawasa (kaum Murut) yang menjadi renjer di Maliau Basin, Sabah. Dia memang diajar macam-macam mengenai hutan oleh mak ayahnya. Ya lah, mak ayah dia pun tak berpeluang untuk ke sekolah, jadi, diorang lagi banyak faham pasal ilmu hutan.

Orang Murut pandai pasal hutan, muka pun cantik. Imej dari Urang Sabah.

Zaman sekarang, mendaki bukit dan gunung ni memang dah jadi trend aktiviti belia dan remaja negara kita. Walau sebanyak mana pendakian yang korang pergi, belum tentu berminat nak jadi renjer hutan macam Noh Ismail ni. Waktu dia sekolah, setiap hari dia akan tengok je Gunung Panti yang menghadap sekolah dia. Apabila tiba cuti sekolah, dia bertekad untuk daki gunung tu dan tidur atas sana 3 hari 2 malam.

“Semenjak hari tu saya jatuh cintalah dengan kegiatan hutan ni. Kita buat khemah tu betul-betul tepi gaung dan ada pemandangan kampunglah. Kita boleh nampak cahaya lampu dari kampung tu seolah-olah macam pesta ke apa. Jadi, kita duduk tak jemulah. Kita happy je berbual-bual. Main-main lampu picit suluh kampung macam tu.”- Noh Ismail, Renjer Endau- Rompin Johor, petikan dari WWFMy

Macam ni kita tak nak ye. Imej dari World of Buzz.

Macam Safri Muhiyuddin (renjer hutan Royal Belum, Perak), dia tak minat sangat kerja macam ni. Sampailah satu hari, dia ada bawak satu group ni masuk hutan dan dapat tengok harimau depan-depan. Memang berbeza dengan yang dekat zoo. Sejak hari tu, dia nak tengok lagi binatang liar, lagi dan lagi. Apa yang pasti, renjer hutan ni bukanlah satu jawatan yang sekadar untuk diisi. Diorang tak kisah masuk hutan seminggu dua mahupun sebulan. Itu belum lagi kena hati kering untuk tinggalkan keluarga dan anak-anak buat seketika.

Duduk hutan sampai sebulan, anak-anak pun dah tak berapa kenal

Renjer hutan ni ada macam-macam kerja selain meronda dan buat pemantauan di kawasan hutan. Ada yang kena ambil data pasal tingkah laku dan pemakanan orang Utan. Ada yang kena pasang kolar gajah untuk kesan pergerakannya dan ada juga yang kena pasang camera trap untuk perhatikan badak. Kerja-kerja macam ni lah yang menyebabkan diorang terpaksa habiskan masa berhari-hari dalam hutan belantara sampai loss contact dengan dunia luar.

Kolar satelit dipasang pada gajah. Imej dari Sayang Sabah.

Menurut Asrul Abdullah yang dah berkeluarga dan punyai anak, memang dia tak dapat contact langsung keluarganya. Kadang-kadang tu, nasiblah kalau ada tempat yang ada line untuk dia contact keluarganya. Bila dapat dengar suara anak sendiri, itulah satu rahmat untuknya. Ada juga pengalaman bila dia balik rumah, anak-anak tak berapa pandang sebab dah lama dia tak balik. Dah lama sikit duduk kat rumah baru anak dia main dengan dia. Ujian ni semua tetap buat dia rasa bahagia sebab inilah kerja dan benda yang dia nak.

No! No! Awak bukan ayah saya! Jangan dekat. Wachaaa!!

Kerja diorang ni memang tak kira masa sama ada hari Sabtu, Ahad mahupun hari raya. Selain jaga pokok dan haiwan liar dalam hutan ni, diorang juga akan korbankan masa siang dan malam untuk tunggu dan tangkap pemburu haram yang menceroboh kawasan taman negara dan hutan simpan. Bila berdepan dengan pemburu haram ni lah ada yang hampir terkorban nyawa.


Nak halau pemburu haram bersenjata lengkap, tapi kena ugut untuk ditembak

Ingat ceroboh hutan takde orang tangkap ke? Imej dari My Newspaper.

Kalau nak tahu, renjer hutan ni tak disediakan senjata api, diorang hanya dibenarkan membawa parang sahaja waktu meronda. Bila berdepan dengan pemburu haram yang lengkap bersenjata menceroboh hutan, macam-macam pengalaman menakutkan yang diorang lalui. Azizul Aslie bagitahu yang dia dan renjer lain pernah berhadapan dengan lima orang pemburu yang lengkap bersenjata dan tiada lesen permit. Pemburu tu pulak warga asing dan tak nak bagi kerjasama. Waktu cuba menghalang ni, pemburu ni tadi ugut akan menembak diorang.

Ada juga kawasan hutan simpan ni dekat dengan lebuh raya yang menyebabkan ada penceroboh warga asing masuk dan curi kayu. Diorang bukan curi kayu balak, tapi kayu gaharu yang berharga RM20, 000 ke atas kalau sekilo mengikut pendapat Samsul Kamal, Renjer Daerah Pulau Pinang.

Dengar tu abang-abang yang single lagi. Imej dari imnairwan.

Berdasarkan cerita Khairul Azmi (renjer hutan Royal Belum), dia pernah buat operasi kat lebuhraya berdekatan hutan simpan. Dia bertembung dengan orang Siam yang nak curi gaharu tapi lengkap bersenjata. Apa lagi, dia pun tengking dan terus lari. Ye lah, dia takde apa-apa senjata.

Eloklah lari kan. Video dari Youtube Deathangle57.

Di Pulau Pinang, ada seorang renjer hutan sikit lagi nak dicederakan oleh seorang lelaki warga Vietnam. Ada beberapa pegawai dan anggota ni menyamar selama empat hari untuk kesan kawasan sindiket yang menebang pokok gaharu di Hutan Simpan Kekal Bukit Mertajam. Bila diorang serbu, ada salah seorang dari enam orang lelaki Vietnam yang berumur 36 tahun bertindak agresif untuk cederakan seorang renjer hutan ni tadi.

Selain tu, cabaran renjer hutan ni juga boleh berisiko bila berdepan binatang liar yang tiba-tiba mengganas.

Hampir dipijak gajah betina, tapi akar pokok menyelamatkannya

Tugas meronda hutan, bukanlah semua tempat yang dironda tu rata macam kat highway. Kho Ju Ming, renjer hutan Sabah pernah mendaki cerun curam Gunung Lotung setinggi 1,700 meter. Curam tak curam, kawasan yang dia daki tu berbentuk piring di kawasan tengah. Rondaan di kawasan hutan yang nampak tenang jugak boleh mendedahkan diorang kepada ranting-ranting kayu yang jatuh dari atas bila hujan. Itu belum lagi terserempak dengan binatang-binatang yang buas dan berbahaya.

Disebabkan penceroboh yang curi kayu gaharu ni ramai, Kho Ju Ming dan rakan lain pun tak terlepas ditugaskan untuk menyiasat laluan yang pencuri ni guna. Tengah naik bot ni, tiba-tiba langgar ketulan batu besar yang menyebabkan kawan dia tercampak ke dalam arus deras sungai. Nasib baiklah dapat tarik balik. Risiko meronda di sungai memang banyak lagi-lagi bila terdedah dengan banjir kilat sampai boleh hilang semua sumber makanan. Renjer-renjer ni terpaksa tunggu bantuan luar dari dua sampai tiga hari untuk helikopter hantar makanan.

Menurut Nor Diana (renjer wanita Taman Negara Terengganu), diorang pernah terserempak dengan harimau yang 50 meter sahaja dari tempat dia berdiri. Diorang terkejut dan terus berlari tapi nasiblah harimau tu tak kejar diorang. Macam tu juga yang berlaku kepada Kho Ju Ming yang bertembung dengan ular tedung selar.

Siapa nak jadi ular? Angkat tangan. Imej dari Platinum Media X.

Tapi bukan semua binatang ni tak kejar bila terserempak, ada je yang mengejar dan hampir mengorbankan nyawa renjer hutan ni. Mengikut cerita Azizul Aslie, ada sekali tu dia renjer lain kena keluarkan camera trap yang ada dalam hutan. Waktu tu diorang dah pun berjalan 5 km termasuk naik turun bukit. Tiba-tiba, ada seekor gajah betina yang besar berlari menuju ke arah diorang. Waktu tu memang tengah penat, Azizul pun berlari ke arah semak yang ada banyak pokok rotan. Tapi, beg yang dia bawa tersangkut di akar dan dia terjatuh.

“…saya nampak gajah betina tu memijak ke arah saya. Saya merangkak untuk menyelamatkan diri bersama dengan beg besar. Tiba-tiba saya terjumpa sebuah pokok yang besar. Saya berlindung dikawasan tu. Nasiblah waktu itu, gajah pun tersangkut pada akar.”- Azizul Aslie, petikan dari WWFMy.

Diorang terus berjalan ke arah sungai dan salah seorang renjer lain berkata kepada Azizul yang waktu dikejar tu, dia memang terfikir pasal keluarga dirumah yang mungkin dia akan tinggalkan. Kawan dia tu fikir yang dirinya akan mati dipijak gajah. Memang menakutkan kisah ni.

Bertabahlah bang motor ni. Imej dari Daily Mail.

Nor Diana juga pernah menceritakan bagaiamana dia terpaksa masuk ke lombong penuh selut. Waktu tu negara kita dilanda virus Influenza A (H1N1). Dia diarahkan untuk mencari itik spesis Belibis dan Cotton Pygmy Goose. Tapi agak sukar nak jumpa, itu yang masuk lombong berselut. Risiko dalam lombong tu adalah diserang haiwan berbisa.

Orang yang amalkan ilmu hitam akan ceroboh gua di hutan simpan

Amalan bertapa dalam gua. Imej dari Onnjadi.

Selain ancaman dari pemburu haram yang curi kayu dan haiwan yang menyerang, diorang juga ada pengalaman berdepan situasi dengan orang yang amalkan ilmu misitik. Khairul Fazree (renjer Gunung Ledang, Johor) menceritakan dia akan pantau tiga minggu sekali kat gua yang ada dalam kawasan hutan yang dia ronda. Gua ni memang selalu diceroboh dan banyak betul sampah-sarap dibuang. Tapi, siapa? Gua ni jadi tumpuan orang-orang mistik yang amalkan ilmu hitam dan mengubat penyakit misteri.

“Pada mulanya agak menakutkanlah bila nak menangkap orang-orang misitik ni. Tapi bila dah biasa, ketakutan tu dah kuranglah. Sebab niat untuk menjaga khazanah yang ada dalam kawasan ni.”- Khairul Fazree, petikan dari WWFMy

Kalau jumpa ni kat gua. Kitorang pun lari. Imej dari Infolaju.

Kalau dah hutan, kita memang biasa dengar ianya tempat keras. Kho Ju Ming pernah lalu satu kawasan gaung sewaktu hujan renyai-renyai. Apa yang mengejutkan, dia ternampak manusia berpakaian putih terapung yang menyebabkan dia terdiam seketika merenung objek tu sebelum ia hilang. Seminggu lepas tu, ada berita pasal tiga wanita kena rasuk di tempat yang sama dia jumpa orang terapung tu.

“Perkara pelik ialah, seorang daripada wanita itu mendapati dia melakukan satu aksi yang sukar dipercayai iaitu dengan mengangkat tunggul kayu besar manakala dua lagi berasa terganggu dan gelisah apabila mendengar bunyi riang-riang,”- Kho Ju Ming, petikan dari Sinar Harian.

I miss you renjer hutan.

Pada tahun 2003, Kho Ju Ming sekali lagi berdepan kejadian pelik bersama penyelidik Denmark. Pada waktu malam, berlaku angin kuat sampaikan satu atau dua batang pokok tercabut dan hampir menghempap khemah diorang. Rupanya, sehari sebelum kejadian, seorang dari kakitangan Kho Ju Ming dah dapat amaran dari mimpi dia supaya tak pasang khemah berdekatan dua pokok tadi.

Mereka berkorban masa dan nyawa, tapi orang tak bertanggungjwab rosakkan alam sekitar

Macam tu lah kisah jerih payah renjer hutan, dari risiko ditembak penceroboh bersenjata, diserang binatang buas, dihempap pokok hingga benda-benda mistik dalam hutan yang terpaksa diorang lalui. Dalam usaha diorang menjaga kawasan hutan simpan dan taman negara ni, nampaknya masih wujud lagi pihak tak bertanggungjawab yang terus ambil peluang menggondol hutan. Sebelum ni ada kes macam mana hutan Merapoh, Pahang yang punyai gua pra-sejarah yang hampir-hampir diletupkan kerana nak bina kilang simen.

Renjer Hutan, wira rimba sebenar. Imej dari KPHMSM Perak.

Begitu juga, kes surat terbuka dari satu kaum Sarawak ni kepada PM Jepun, Shinzo Abe memohon supaya syarikat mereka menghentikan pembalakan di hutan yang dah merosakkan perkampungan mereka. Nampak macam berlaku perlawanan antara mereka yang cuba merobek alam sekitar dan mempertahankannya di negara ni. Apa yang penting, alam bukan semestinya dilihat sebagai satu ‘benda’ untuk kegunaan manusia je kerana alam juga punyai hak dan peranannya tersendiri.

Popular

To Top

Send this to a friend