Mangsa tebusan ditangkap pengganas kat Airport Langkawi?! Ni apa terjadi…

Beberapa bulan lepas, pada hujung November, suatu kejadian mengejutkan telah berlaku apabila beberapa orang tebusan telah ditangkap oleh satu kumpulan pengganas sebelum mereka berjaya diselamatkan oleh pasukan khas PDRM.

Kalau nak tengok video penuh kita pasal cerita ni, tekan sini.

Hek eleh, gurau jer ?… Sebenarnya, ni cuma suatu latih amal yang diadakan oleh pengendali Lapangan Antarabangsa Langkawi, Malaysia Airports Holdings Berhad, dengan beberapa pihak agensi kerajaan termasuk Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan lain-lain lagi!

Semasa kitorang mengikuti latihan ni sepanjang ia berlangsung, kitorang dapat mempelajari lebih tentang prosedur keselamatan di lapangan-lapangan terbang di Malaysia dan tujuan latihan seperti ni diadakan. Namun, benda yang paling mengejutkan kitorang waktu kita berada di situ adalah…

Latihan ni telah melibatkan kerjasama antara 32 AGENSI kerajaan DAN swasta!

Diadakan setiap dua tahun, tujuan Latih Amal Ex-Rampas ini adalah untuk menguji kesiapsiagaan dan keupayaan lebih TIGA PULUH DUA agensi-agensi kerajaan dan swasta dalam menghadapi sesuatu krisis. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Airports pada waktu itu, Raja Azmi:

“Seminar dan latihamal ini akan memperlihatkan kemampuan agensi-agensi yang terlibat dari pelbagai sudut. Adalah menjadi harapan pihak penganjur agar semua agensi akan memanfaatkan peluang yang ada untuk penambahbaikan kepada kelemahan yang mungkin dikenalpasti untuk tindakan yang lebih baik dan berkesan dalam menghadapi krisis keganasan.”

Program yang berlangsung lima hari ni telah bermula dengan seminar keselamatan pada hari pertama dan kedua, diikuti dengan latihan Table Top pada hari ketiga, sebelum latihan penuh secara langsung diadakan pada hari keempat dan penutupnya pada hari kelima.

Masa kitorang berada kat situ, rasa macam dapat tahu segala rahsia keselamatan negara pulak!

Jadi kalau korang nak tau apa senario-senario yang telah dilakonkan dalam latihan ni…

Terdapat rusuhan antara orang ramai dengan FRU, serangan bom, dan juga tangkapan tebusan oleh pengganas!

Sampai membaling sampah, bertolak-tolak, dan menjerit-jerit dekat abam polis.

Pada pagi hari keempat tu, latihan penuh secara langsung ni bermula dengan senario rusuhan antara beberapa pelakon watak pekerja lapangan terbang itu dengan pihak PDRM. Menurut senario itu, pekerja-pekerja ni telah membantah suatu keputusan yang diambil oleh majikan mereka. Namun, ketika berprotes di depan lapangan terbang tersebut, konfrontasi tu akhirnya menjadi ganas apabila pekerja-pekerja itu mula menyerang pihak polis.

Akibatnya, pihak polis telah memanggil bantuan Pasukan Simpanan Persekutuan (Federal Reserve Unit atau FRU) untuk menyuraikan pekerja-pekerja tu dan menangkap ahli-ahli kumpulan itu yang dianggap sebagai penyebab rusuhan tersebut.

Laju betul polis bekerja kalau kita tengok nih.

Tapi korang jangan lah risau ye – last-last pun, pelakon-pelakon pekerja-pekerja tu pun bersalam-salam jugak dengan pihak PDRM dan FRU yang berada di situ. ?

Selepas senario pertama tu, latihan-latihan untuk serangan bom dan serangan gas racun pula diadakan. Dalam insiden ni, pasukan anggota Bomba dan Penyelamat telah menggunakan alat pelupusan bom untuk meletupkan pakej yang disyaki memperbahayakan tanpa membawa risiko kepada anggotanya yang mengendalikan mesin tu daripada jarak yang selamat.

Walaupun kitorang tau benda tu bukannya bom betul pun, rasa cuak pulak masa diorang nak letupkannya ?

Last-last sekali pula, latihan Ex-Rampas kali ni telah melibatkan penangkapan beberapa orang tebusan oleh sekumpulan pelakon pengganas, serta tindakan balas pasukan khas tentera dan PDRM kepada situasi itu. Senario ni bermula dari jam 6 petang dan hanya tamat pada pukul 1 pagi beberapa jam kemudian, dengan pasukan khas tersebut berjaya menyelamatkan pelakon-pelakon tebusan tu.

Trauma sampai terpaksa dibawa keluar oleh ambulan tuh.

Rasanya pelakon tu pun lega, sebab masa lakonan tu, ada pula sorang yang terpaksa menarik diri keluar kerana betul-betul merasa trauma!

Latih amal ni hanya sebahagian daripada prosedur keselamatan agensi-agensi lapangan terbang Malaysia

Kitorang pulak terlepas peluang nak bergambar dengan abam bomba, polis dan tentera tiga-tiga sekali aduhhhh…

Disebabkan latihan ni terpaksa mendapat penglibatan agensi-agensi kerajaan seperti polis, bomba, dan tentera serta juga agensi-agensi lapangan-lapangan terbang yang terbabit, ia hanya dapat dilakukan sekali setiap dua tahun. Namun, latihan ini merupakan peluang berharga untuk agensi-agensi berkenaan menambahbaik dan mengenalpasti tindakan yang berkesan dalam apa-apa situasi keganasan.

Kata lagi Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Airports masa tu, Raja Azmi:

“Situasi kecemasan dan krisis yang tidak dijangka boleh berlaku di mana-mana organisasi termasuk di lapangan terbang. Sebagai persediaan, Malaysia Airports mengambil inisiatif dengan mengadakan latih amal penuh di LGK pada tahun ini berikutan beberapa siri latih amal penuh yang telah dijalankan di lapangan-lapangan terbang lain seperti Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Kota Kinabalu, dan Kuching pada tahun-tahun sebelum ini.”

Sampai menari-nari orang Langkawi latihan ni diadakan kat lapangan terbang diorang kali ni.

Bagi Malaysia Airports juga, latihan ni hanya merupakan sebahagian daripada langkah-langkah yang diorang ambil untuk memastikan keselamatan para penumpang di setiap lapangan terbang mereka di Malaysia. Ini termasuk juga pengambilan 200 rekrut baru Anggota Keselamatan Penerbangan untuk perkasakan tahap keselamatan di lapangan terbang serta juga melibatkan mereka dalam latihan intensif bersama dengan PDRM dalam tempoh enam bulan!

Jadi kalau korang pun nak tengok sendiri macam mana latihan ni diadakan dan dapat menyediakan agensi-agensi keselamatan untuk apa-apa krisis yang boleh jadi dekat lapangan-lapangan terbang Malaysia, tekan sini atau tengok la video korang kat bawah ni!

About Iqbal Fatkhi 10 Articles
Pandai buat meme je. Tulis artikel beshe-beshe je.