Kisah 2 pegawai Cawangan Khas di sebalik Rundingan Damai kerajaan Malaysia & PKM

Bila berbicara soal sejarah, tak terlepas kita dari membaca dan mendengar tentang perjuangan awal sebelum kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Ia termasuklah dalam memperkatakan parti-parti tertentu seperti UMNO, PKMM, PAS dan sebagainya. Tapi, dari sekian banyak parti ni, ada satu parti yang sehingga kini menimbukan perdebatan dan kontroversi – tak kisahlah di kalangan mereka yang membencinya atau menyokongnya. Ia adalah Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan pada tahun 1930.

Parti ini hanya terbubar pada 2 Disember 1989 apabila termetrainya Perjanjian Damai Hatyai pada tarikh sama. Ia sekaligus menjadi titik penting tamatnya perjuangan bersenjata PKM di bumi Malaysia. Bagaimanapun, perjanjian damai tu bukanlah mudah dan ia melalui proses panjang sebelum dapat direalisasikan.

Malah, kita sendiri tahu tentang pernah berlakunya Rundingan Baling pada 1955 di antara Parti Perikatan (diketuai Tunku Abdul Rahman) dan PKM (oleh Chin Peng). Rundingan ni kemudiannya menemui kegagalan apabila kedua-dua pihak gagal mendapat kata sepakat. Setelah lebih 30 tahun, nampaknya usaha ke arah itu diteruskan lagi apabila ia dijalankan oleh…

Rahim Nor dan Yau Kong Yew: Wira tak didendang di sebalik Rundingan Damai Malaysia – PKM

Rahim Noor (kiri) dan Kong Yew (kanan) membawa cadangan rundingan itu kepada Dr Mahathir. Imej dari Wira tak Didendang.

Menjelang akhir tahun 1980-an, blok komunis mula menampak tanda-tanda kejatuhan yang serius. Perang dingin juga semakin memperlihatkan keadaan yang tidak lagi memihak kepada blok komunis. Hal ini membuatkan, gerakan komunisme di serata dunia mula melemah. Ia bertambah lagi apabila runtuhnya Tembok Berlin yang memisahkan Jerman Barat dan Jerman Timur pada November 1989.

Tempias perasaan itu juga sampai ke Malaysia yang ketika itu masih berdepan dengan ancaman PKM. Jadinya pada sekitar tahun 1986 lagi – dua orang pegawai dari Polis Cawangan Khas, Tan Sri Rahim Noor (Pengarah) dan SAC Yau Kong Yew (Timbalan) dah mula memikirkan jalan untuk menamatkan perjuangan PKM. Perkara itu membawa kepada usaha supaya diadakan rundingan damai antara kerajaan Malaysia dan PKM.

Namun, ia bukanlah mudah sebab ada pihak yang pada mulanya tak bersetuju dengan rundingan damai – khususnya dari pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Bagaimanapun, mereka mengambil jalan ni atas beberapa faktor.

Antaranya adalah disebabkan pertimbangan keselamatan (usaha membanteras komunis), pembangunan negara tak dapat dijalankan dengan baik walaupun setelah berpuluh tahun negara merdeka. Disebutkan juga tentang kos memerangai PKM yang masih lagi tinggi dan kadangkala mencecah jutaan ringgit.

“Menurut perkiraan terperinci PCK (Polis Cawangan Khas), untuk menghapuskan seseorang anggota komunis memerlukan tidak kurang dari 1 juta ringgit yang meliputi perbelanjaan perisikan dan operasi pemburuan.” – Dipetik dari buku: Wira tak Didendang.

Rahim & Kong Yew berbincang dengan Chang Lin Yun (orang kanan Chin Peng). Imej dari Wira Tak Didendang.

Oleh itu, Rahim dan Kong Yew pun mula merangka ‘projek khas’, berdasarkan pengalaman mereka dalam urusan perisikan dan soal siasat dengan komunis selama ini. Bila rangka kerja dah siap, mereka pun bertemu dengan Tunku Abdul Rahman dan Dr Mahathir bagi menyampaikan hasrat mereka tu. Dikatakan, Tunku pada mulanya tak berapa yakin, manakala Dr Mahathir pula bagi kelulusan. Maka bermulalah proses ke arah rundingan damai.

Melakukan risikan dan peranan Robert Kuok untuk berhubung dengan pemimpin tertinggi China

Robert Kuok diserbu media pada 2018. Imej dari Malay Mail.

Disebabkan rundingan ni melibatkan pihak PKM secara langsung, makanya pihak Cawangan Khas memang kena berhubung dengan kepimpinan PKM, khusus Setiausaha Agungnya, Chin Peng. Hasil risikan dan bantuan risikan Thailand – Kong Yew akhirnya dapat berhubung dengan Chang Lin Yun iaitu orang kepercayaan Chin Peng. Lin Yun kemudiannya terbang ke Macau untuk bertemu dengan Chin Peng bagi menyampaikan hal rundingan itu. Dikatakan, ketika mahu menemui Lin Yun di Macau – Chin Peng menggunakan pasport Filipina atas nama palsu.

Rahim dan Kong Yew juga cuba dapatkan hubungan dengan pemimpin tertinggi China yang dirasakan patut tahu tentang hasrat Malaysia ni. Menariknya, untuk ke arah itu – hartawan Malaysia, Robert Kuok juga memainkan peranan:

“Dengan bantuan Ketua Polis Negara – Hanif Omar, Rahim dan Yau (Kong Yew) telah menemui Robert Kuok, seorang hartawan Malaysia terkemuka, yang beroperasi di Hong Kong dan mempunyai hubungan dengan pemimpin besar di China. Rahim menganggap Robert Kuok sebagai orang yang boleh membisikkan hasrat beliau itu kepada pemimpin tertinggi di China untuk mengetahui pandangan mereka.” – Dipetik dari buku: Wira tak Didendang.

Hasilnya, Kong Yew dah bertemu dengan seorang bekas Operator Komunis di Indonesia masa zaman Soekarno – di Hong Kong pada 1988. Dia ni juga sebenarnya adalah antara orang penting dalam kerajaan China, iaitu boleh sampai ke peringkat pembuat dasar. Ketika pertemuan tu, Kong Yew diberitahu yang pihak China tak nak dilibatkan dalam rundingan tersebut. Dan rundingan tu patut dijalankan di Thailand sebab ramai anggota PKM tinggal di sana – mereka itu termasuklah Abdullah CD dan Rashid Maidin.

Rahim Noor dan Chin Peng dalam satu pertemuan. Imej dari alditta.blogspot

Selepas berlakunya banyak pertemuan sulit antara Cawangan Khas dan PKM, nampaknya jalan ke arah perjanjian damai semakin lancar. Bagaimanapun, muncul juga hal-hal yang diperdebatkan seperti:

  1. PKM minta supaya mereka tak ditahan bila balik ke Malaysia nanti.
  2. Tugu Negara dimusnahkan.
  3. Bagi tanah kepada bekas-bekas anggota PKM.
  4. PKM mahu mereka diiktiraf memberikan sumbangan dalam kemerdekaan tanah air.

Namun, Rahim menolak semua permintaan PKM tu, kecuali permintaan untuk bekas anggota PKM tak ditahan bila balik ke Malaysia. Ia turut membawa kepada persetujuan supaya PKM akan tetap diharamkan dan bekas-bekas anggotanya kena dapatkan kebenaran polis dulu sebelum boleh masuk politik. Dengan keputusan itu, pihak kerajaan dah membatalkan beratus waran tangkap terhadap anggota PKM.

“Ketua Polis Negara, Hanif Omar terpaksa menandatangani beratus-ratus waran tangkap yang telah pun dikeluarkan terhadap mereka… Dengan kerjasama kerajaan Thai, bekas anggota PKM diberi peluang untuk memilih sama ada terus tinggal di kawasan Thailand ataupun kembali ke Malaysia.” – Dipetik dari buku: Wira tak Didendang.

Akhirnya menjelang 2 Disember 1989…

Termetrainya Perjanjian Damai di dalam suasana kucar-kacir dan riuh-rendah

Suasana di majlis menandatangani perjanjian damai. Imej dari sosialis.net

Setelah segala perkara berjaya dirundingkan dan kedua-dua pihak bersetuju, maka berlangsunglah majlis Perjanjian Damai antara kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Disember 1989 di Hotel Lee Gardens Hatyai. Hasilnya, PKM meletakkan senjata dan berikrar bertaat setia dengan YDP Agong.

Bagaimanapun, majlis itu berlangsung bukanlah dalam keadaan gah, sebaliknya berjalan dalam keadaan kucar-kacir, riuh-rendah dan tanpa kewalan yang ketat. Tan Sri Zainuddin Maidin (Ketua Pengarang Utusan) menceritakan – ketika itu ada beberapa jurugambar yang mahukan sudut baik, sehingga mereka memanjat pasu bunga yang menyebabkan pasu itu pecah dan mereka terjatuh. Keadaan itu kemudiannya disambut dengan suasana kecoh dan ketawa.

Tetamu-tetamu penting yang datang pun kebanyakannya tak dapat tengok upacara dengan jelas sebab pandangan mereka dihalang dengan begitu ramai jurugambar akhbar dan TV.

“Barangkali kerajaan Malaysia dan Thailand tidak mahu memberikan perngertian yang besar kepada pengakhiran sesuatu perjuangan panjang PKM yang gagal.” – Zainuddin Maidin, dipetik dari buku: Wira tak Didendang.

Ada bekas anggota PKM yang pulang ke Malaysia dan ada juga yang terus menetap di Thailand

Dari kiri: Abdullah CD, Chin Peng & Rashid Maidin. Imej dari Rashid Maidin: Daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perdamaian.

Selepas perjanjian, Chin Peng beritahu bahawa tak ada pihak yang menang dari perjanjian itu. Akan tetapi, Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar dan Panglima ATM, Tan Sri Hashim Md Ali mengatakan kemenangan di pihak Malaysia.

“Kita sudah menang, moral tentera tidak terjejas kerana perjanjian itu. Ia tidak akan merendahkan moral tentera tetapi meningkatkan moral kerana kita sudah menang. Kita mahu perdamaian dan kita dapat perdamaian.” – Tun Hanif Omar, Ketua Polis Negara. Laporan Berita Harian 3 Disember 1989.

Dalam masa sama, selepas perjanjian juga menyaksikan ada di kalangan bekas-bekas anggota PKM yang kembali ke Malaysia, sehingga menghembuskan nafas terakhir di sini. Mereka itu termasuklah, Ratu Rimba Malaya – Shamsiah Fakeh yang pulang ke negara ini pada tahun 1994. Manakala, ada juga yang buat keputusan untuk terus menetap di Thailand seperti Rashid Maidin dan Abdullah CD.

Apa yang pasti, tarikh 2 Disember tetap mencatatkan sejarahnya yang tersendiri sebagai tanda tamatnya riwayat PKM yang selama ini menjadi duri dalam daging negara. Dan usaha ke arah itu juga tak akan berkesampaian tanpa adanya peranan besar daripada dua orang pegawai tinggi Cawangan Khas, Rahim Noor dan Yau Kong Yew.

[Artikel ini banyak merujuk buku: ‘Wira Tak Didendang’ karya Tan Sri Zainuddin Maidin (Tokoh Wartawan Negara)]

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.