- 195Share sekarang!
- Email8
- Facebook187
- Share
*Artikel ini asalnya diterbitkan pada 10 Julai 2020*
Beberapa hari yang lepas, Bekas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) merancang untuk menghidupkan kembali “Umno asal“—yang sebelum ni pernah diharamkan oleh Tun M.
Ramai antara kita masih tak tahu lagi apa sebenarnya yang berlaku pada UMNO pada 1988. Tahukah korang yang UMNO pernah diharamkan atas sebab-sebab tertentu.
Segalanya bermula apabila…
UMNO diharamkan masa di bawah pimpinan Dr Mahathir
Pada tahun 1987, dah jadi satu krisis dalam UMNO bila buat kali pertamanya jawatan Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO dicabar. Orang yang cukup berani tu adalah Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li). Disebabkan perebutan jawatan ni, muncullah Team A (sokong Dr Mahathir) dan Team B (sokong Ku Li).
“Team A dipimpin oleh Dr. Mahathir yang mencerminkan kumpulan yang mendukung nasionalisme Melayu liberal manakala team B pula dipimpin oleh Tengku Razaleigh yang mendukong nasionalisme Melayu konservatif.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.
Tapi sebelum tu, Timbalan Perdana Menteri – Musa Hitam dah letak jawatan dan kedudukannya tu diganti oleh Ghafar Baba. Kemudiannya, Musa bekerjasama dengan Ku Li untuk menentang pimpinan Dr Mahathir. Ku Li mencabar Dr Mahathir untuk jawatan presiden parti dan Musa mencabar Ghafar untuk jawatan timbalan presiden.
Tapi nasib menyebelahi Dr Mahathir dan Ghafar bila diorang menang dalam pemilihan ni dengan majoriti tipis. Dr Mahathir menang dengan kelebihan 43 undi manakala Ghafar dengan 40 undi. Tapi kemenangan tu dah buatkan orang-orang Ku Li rasa tak puas hati.
Kesannya, 11 orang penyokong Ku Li dah bawa kes ni ke mahkamah. Alasannya, diorang kata ada perwakilan UMNO yang tak sah ikut sama dalam pemilihan parti. Jadinya, diorang nak mahkamah isytiharkan keputusan pemilihan UMNO tu sebagai tak sah.
Tapi malangnya, usaha diorang tu tersasar bila Mahkamah Tinggi putuskan bukan je keputusan tak sah, tapi dengan UMNO sekali tak sah. Oleh itu, terbatallah status UMNO sebagai sebuah parti politik.
Maka, Dr Mahathir pun lepas tu asaskan sebuah parti politik baru dikenali sebagai UMNO (Baru), dalam masa sama Ku Li pun asaskan sebuah parti dikenali sebagai – Parti Melayu Semangat 46 (S46 atau Semangat 46).
“Parti Semangat 46 telah ditubuhkan pada 31 Ogos 1988 oleh sepuluh orang ahli perniagaan Melayu. Parti ini asalnya didaftarkan atas nama UMNO 46 pada 30 September 1988 tetapi ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan kerana menggunakan nama yang sama dengan UMNO (Baru) yang telah berdaftar.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.
Walaupun macam tu, ada juga yang kata…
Dr Mahathir sebenarnya memang nak UMNO diharamkan?
Disebabkan UMNO dah diharamkan, kedudukan Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO masa tu pun terbatal. Hal ni dah buatkan kedudukan Dr Mahathir sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga terbatal. Jawatan Pengerusi BN tu kemudiannya dipegang sementara oleh Tun Ling Liong Sik (Presiden MCA).
Dalam waktu sama, ada juga pihak yang kata Dr Mahathir sebenarnya memang nak UMNO ni diharamkan (dah pulak?). Antara yang kata macam tu adalah Ku Li sendiri, katanya – Dr Mahathir tak buat apa-apa usaha untuk halang UMNO dari diharamkan, sedangkan masa tu dia jadi Menteri Dalam Negeri.
Sebenarnya, dakwaan ni nampak macam betul jugak, sebab menurut Tan Sri Zainuddin Maidin atau Zam (bekas Ketua Pengarang Utusan), Dr Mahathir dah nampak laluan luas untuknya bila UMNO diharamkan.
“Dr Mahathir…serta merta menubuhkan UMNO Baru yang pendaftarannya diluluskan pada 17 Februari 1988 iaitu kira-kira dua minggu selepas UMNO diharamkan dan dengan sendirinya Tengku Razaleigh dan penyokong-penyokongnya tersingkir seperti ahli-ahli UMNO yang lain kecuali mereka yang memohon untuk menjadi ahli UMNO Baru.” – Dipetik dari buku: Surat daripada Dr Mahathir.
Tambah Zam lagi, hal ni dah buatkan Ku Li tersekat dari buat kacau dalam UMNO Baru yang dipimpin oleh Dr Mahathir. Tindakan Ku Li yang tubuhkan S46 juga nampaknya tak dapat lawan UMNO Baru, sebabnya Ku Li cuma ada duit, tapi Dr Mahathir ada duit dan kuasa.
“Sejak itu Dr Mahathir tidak lagi dianggap sebagai seorang ahli politik yang lurus. Beliau dilihat bersikap accommodative, mengamalkan political expediency dan menerima doktrin matlamat menghalalkan cara, malah ada sesetengan pihak menganggapnya beliau sebagai Machiavellian.” – Dipetik dari buku: Surat daripada Dr Mahathir.
Pembentukan pemikiran Tun Mahathir yang sukar diramal
Falsafah politik dan pemerintahan Mahathir dengan acuannya tersendiri dah menyebabkan pengkaji memanggilnya sebagai Mahathirisme. Sekalipun dia tidak berada di kerusi Perdana Menteri, pengaruh Mahathirisme tetap boleh wujud misalnya dalam pemerintahan Najib Razak seperti disebut dalam satu kajian.
“Mahathirisme sebagai ideologi politik dan sudut pandang pemikiran Dr. Mahathir yang mengandungi lima komponen, iaitu nasionalisme, kapitalisme, Islam, populisme, dan autoritarinisme.” – Petikan dari jurnal bertajuk Pengaruh Mahathirisme Di Zaman Pemerintahan Najib: Satu Analisis
Selain itu perlu diingatkan bahawa ilmu kedoktoran Tun Mahathir juga telah banyak mempengaruhi caranya berpolitik. Baginya, peranan doktor sama macam ahli politik yang mana perlu memerhati setiap masalah termasuklah mengenalpasti dimensi sejarahnya, menganalisis tanda-tanda dan punca-punca permasalahan tersebut, dan akhir sekali mencari jalan penyelesaian yang terus membawa kepada proses tindakan.
“Pemikiran Dr. Mahathir boleh diumpamakan dengan penyakit barah di kaki. Sebelum barah di kaki itu merebak ke anggota badan lainnya, maka haruslah dipotong kaki tersebut.” – Petikan dari jurnal bertajuk Falsafah Pemikiran Politik Dr. Mahathir Mohamad
Setelah melihat gaya politik Mahathir sama ada sewaktu Barisan Nasional atau pun Pakatan Harapan, korang rasa betul tak gaya politik Tun Mahathir ni amat sukar diramal?
- 195Share sekarang!
- Email8
- Facebook187
- Share