Anugerah Maryam Muzamir dituduh sebagai penipuan?

Negara kita dikejutkan dengan kejayaan seorang anak muda berumur 11 tahun yang telah memenangi anugerah antarabangsa selepas berjaya mencipta satu produk yang tak pernah difikirkan oleh orang lain. Individu tersebut adalah Maryam Muzamir, dia telah mencipta inovasi makanan haiwan yang menggunakan kulit udang dan cengkerang siput sedut.

Ia dinamakan sebagai YAM 2.0, mungkin nama produk tu diinspirasikan dari namanya sendiri iaitu Maryam. Kejayaannya itu seakan-akan membuka mata orang ramai terhadap bakat-bakat muda yang kita ada. Namun, kegembiraan itu ibarat terhenti buat seketika apabila ada ‘suara’ yang mengatakan kejayaan Maryam hanyalah scam. Betul ke? Ini apa yang kitorang tahu…

Anugerah iCAN 2021 adalah sebuah penipuan?

Betul ke tipu ni? Imej dari TISIAS.ORG

Menurut segala laporan berita, Maryam Muzamir telah memenangi 3 emas dalam International Invention Innovation Competition (iCAN) 2021 di Toronto, Kanada. Dikatakan juga dia adalah pemenang termuda dalam iCAN 2021 tu juga tau.

Tapi apa yang membuatkan kita semua lagi bangga adalah apabila kejayaannya itu telah disebut dalam rancangan bual bicara terkemuka Amerika Syarikat iaitu The Late Late Show with James Corden! Kira cerita berkenaan adik Maryam kita ni memang boleh kata dah jadi agak besar.

Cuma jadi agak tak best bila ada seorang pengguna Twitter menyatakan yang anugerah yang disertai Maryam sebagai sebuah anugerah scam, itu merupakan tuduhan yang agak besar tetapi apa yang diterangkan oleh individu tersebut boleh dikatakan sebagai munasabah juga.

Korang rasa macam mana? Imej dari Twitter

Oh ye, individu di Twitter itu juga dikatakan duduk di Toronto dan katanya dia tak tahu pun ada anugerah seperti itu ada di Toronto. Jadi mungkin kita semua boleh teliti juga apa yang cuba nak disampaikan olehnya. Okay, kita sambung balik kenapa dia ada rasa pelik sikit pasal iCAN 2021 tu.

Dikatakan organisasi yang menjadi hos kepada anugerah tu iaitu Toronto International Society of Innovation & Advanced Skills (TISIAS) agak mencurigakan. Ini kerana berdasarkan alamat organisasi itu, tak ada satu pun bangunan yang berpotensi didiami oleh satu organisasi ‘inovasi’ yang besar. Ini disebabkan ia hanyalah kawasan perumahan.

Yang jadikannya lebih mencurigakan, organisasi itu tidak dijumpai langsung dalam yellow pages Kanada. Untuk pengetahuan korang, yellow pages merupakan sebuah laman yang mempunyai segala direktori seperti alamat dan nombor telefon bagi semua organisasi mahupun syarikat di sesuatu negara itu. Tu yang agak mengejutkan bila TISIAS tidak tersenarai.

Mungkin ni yang netizen tengah fikir. Imej dari imgflip

Individu tersebut menambah lagi yang website organisasi tu pun sangat mencurigakan, dikatakan design laman mereka itu seperti sebuah laman web konspirasi zaman dulu-dulu. Mungkin korang boleh seacrh sendiri laman web TISIAS dan bagitahu pendapat korang dekat komen.

Dipendekkan cerita, apa yang hendak disampaikan oleh individu tersebut adalah segala kejayaan antarabangsa yang dikecapi oleh adik Maryam hanyalah palsu semata-mata. Benar atau pun tidak, kita semua akan tahu dalam masa yang terdekat. Namun, kita tak boleh deny yang ciptaan adik Maryam kita ni betul-betul sebuah inovasi yang sangat bagus!

Produk yang boleh selesaikan masalah harga ayam?!

Ayam mahal oii! Imej dari Harian Metro

Produk yang dicipta oleh Maryam Muzamir adalah sebuah makanan haiwan yang dibuat daripada bahan buangan seperti kulit udang dan juga siput sedut, apa yang bagusnya mencipta makanan haiwan ni? Better cipta makanan manusia kan? Sebenarnya, negara kita sekarang ni pun dilanda masalah besar yang melibatkan makanan haiwan ni.

Masalah itu kita boleh lihat menerusi kes kenaikan harga ayam, pada awal bulan September, kita dikejutkan laporan yang mengatakan harga ayam telah naik sebanyak lima kali dalam tempoh seminggu! Mana taknya, harga cecah RM11 sekilo kot. Orang yang paling terkesan dengan perkara itu sudah semestinya rakyat yang kurang berkemampuan.

Bila difikirkan, macam mana harga ayam boleh naik sampai macam tu sekali? Dikatakan, penjual ayam terpaksa menaikkan harga selepas pembekal ayam juga telah menaikkan harga ayam. Salah satu punca kenapa pembekal naikkan harga adalah, dedak (makanan) ayam semakin mahal!

Ni kot dialog biasa kat pasar sekarang. Imej dari imgflip

Sekarang macam mana pula dedak ayam makin mahal tu? Ini kerana bahan untuk membuat dedak tu pun makin susah nak dapat atau erti kata lain dah jadi mahal juga. Dari sini lah produk adik Maryam ni boleh dikatakan sebagai penyelamat, sebab produk dia hanya menggunakan bahan buangan je tau.

Perkara ni berpotensi untuk mempengaruhi harga pengeluaran ayam secara positif, bukan setakat ayam je lah, lembu, kambing dan segala binatang ternakan yang sesuai menggunakan produk tu boleh turun harga juga! Dalam masa yang sama, ia akan jadikan kerja ‘orang atas’ lebih senang sebab orang ramai pasti akan puji dorang lepas harga dah turun.

Berita macam ni baru orang suka. Imej dari RTM

Mungkin langkah pertama dah pun dilakukan oleh mereka iaitu Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sendiri memberitahu yang mereka akan menolong untuk mempatenkan inovasi adik Maryam ni. Lepas ni maybe boleh juga fikirkan untuk komersialkan produknya itu dalam pasaran supaya pembekal (penternak) boleh cepat memanfaatkan produk tu.

Benda baik kita manfaatkan, yang buruk kita tolak

Mari kita sokong! Imej dari Sinar Harian

Walaupun terdapat cuplikan negatif terhadap anugerah Maryam ni, kita tak boleh tolak yang produknya merupakan inovasi yang sangat bagus dan juga berpotensi untuk memberi impak positif terhadap industri penternakan negara. Jadi tak kisah lah legit atau pun tidak pertandingan inovasi yang Maryam join tu, yang penting kita kena support Maryam.

Lebih-lebih lagi tentang usaha untuk mempatenkan produk tu sendiri, sebab bila-bila masa je orang boleh ‘curi’ idea inovasi anak muda tempatan kita ni. Siapa lagi yang nak support kalau bukan kita kan. Mari sokong produk tempatan!