Sebab pelik kenapa syarikat-syarikat v a p e nak kerajaan kawal industri ni

*This article was translated from our sister site, CILISOS*

Sejak beberapa tahun lepas, vape dan e-rokok semakin popular di Malaysia, terutamanya vape yang menggunakan pod pakai buang. Ada yang menganggap ia sebagai pengganti rokok yang lebih baik kerana kurang berbau dan lebih mudah digunakan. Malah, penggunaan vape juga disyorkan di U.K. dan Australia bagi mereka yang tengah cuba berhenti merokok.

Eh chop, kitorang bukan nak ajak korang hisap vape tau! Jauh sekali. Sebabnya, kesan jangka panjang hisap vape ni belum lagi diketahui sebab produk ni masih baru di pasaran. Jadi, risikonya belum betul-betul difahami, lainlah macam bahaya rokok yang dah dikaji sejak 1930-an lagi.

Kalau yang tak pernah merokok tu jangan cuba-cuba ye? Imej dari Vapemagz

Lagipun, terdapat isu tersirat di sebalik industri ni yang bukan saja mengancam kesihatan para penggunanya, tapi seluruh industri itu sendiri – produk “compatible” atau “third party”, dan juga pod cetak rompak yang dijual dengan harga lebih murah berbanding yang asli.

Lebih merunsingkan lagi, langsung tiada undang-undang yang mengawal kualiti atau etika pembuatan produk vape di Malaysia. Yang peliknya, para pembuat vape di Malaysia sendiri yang beria-ria mahukan kerajaan mengawal dan mengenakan cukai kepada industri ini, seperti Persatuan Pengguna Vape Malaysia (VCAM) dan Malaysian Vape Chamber of Commerce (MVCC). Walaupun pelik, mereka ada alasan yang amat munasabah. Salah satunya ialah…

“Kilang” vape palsu muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan

Korang pasti ke ni bukan makmal dadah Walter White dari Breaking Bad? Imej dari Vaporvanity

Kebanyakan vape sekarang ni menggunakan sistem pod, yang dilengkapi dengan e-cecair yang biasanya mengandungi propilena glikol (PG), gliserin sayuran (VG), perasa, dan nikotin; tak kisahlah dalam pod yang asli mahupun cetak rompak. Tapi, proses pembuatan kedua-dua produk ni jauh bezanya. Pengilang vape yang sah akan mengikut standard pengilangan untuk memastikan peranti, pod dan bahan-bahan dalam e-cecair vape tu sendiri selamat untuk pengguna, manakala pembuat vape palsu sering mengambil jalan pintas.

“Kebanyakan pod “compatible” ni dihasilkan di premis sementara tanpa standard kawalan kualiti, dan sering menggunakan bahan kitar semula seperti bekas pod terpakai atau bahan buangan. – Tengku Aslahuddin, Presiden Persatuan Pengguna Vape Malaysia (VCAM)

Menurut Tengku Aslahuddin, kilang-kilang yang menghasilkan produk vape palsu juga selalunya tak bersih dan tak diuruskan dengan baik. Ini membolehkan syarikat vape yang tak bertanggungjawab menghasilkan produk secara murah untuk menarik minat pengguna pod ciplak. Sebilangan besar produk sebegini juga tak dilabel dengan betul, dan membawa kita ke…

Pod vape cetak rompak yang menggunakan racun perosak

Paru-paru popcorn (ni memang penyakit sebenar) yang dikaitkan dengan vaping atau menghisap vape. Imej dari Vapingvibe

Kalau korang biasa vape guna pod cetak rompak ni, kitorang ada berita buruk. Kebanyakan e-cecair ni menggunakan bahan yang belum diuji keselamatannya, malah ada juga yang menggunakan bahan yang ternyata berbahaya seperti racun perosak yang tak dinyatakan pada label.

Malah kandungan nikotin yang ada dalam e-cecair ni biasanya tak sama seperti yang dinyatakan pada label. Sebuah hasil penyelidikan di Malaysia pada 2018 mendapati bahawa 87% sampel yang diuji tak mengandungi tahap nikotin yang dinyatakan pada label, malah majoritinya lebih rendah daripada yang diiklankan, dan ada juga yang lebih tinggi.

Mendapat produk yang tak berkualiti tu satu hal, tapi tu merupakan hal kecil je berbanding risiko mendapat penyakit yang lebih serius. Korang pernah dengar tak ‘paru-paru popcorn’? Penyakit yang menyebabkan masalah pernafasan ni pernah menyebabkan lebih 2,000 mangsa masuk hospital di A.S. pada tahun 2019; dan seterusnya, menimbulkan kegusaran di media tempatan kita.

Pada mulanya, penggunaan vape berjenama JUUL yang popular di A.S. tu dipersalahkan. Tapi beberapa siasatan lanjut kemudian mendapati yang penyakit tu sebenarnya disebabkan oleh penggunaan JUUL cetak rompak. Setakat ni belum ada lagi la kes paru-paru popcorn disebabkan vape yang dilaporkan di Malaysia, tapi ada satu kes dimana seorang lelaki ni ditumbuhi kulat dalam paru-parunya.

Sekarang bayangkan fungus… dalam paru-paru korang. Imej dari livescience.com

Yang lebih teruk lagi, bukan sahaja vapers yang berisiko, malah sesiapa yang menghidu wap sahaja pun dah boleh terkesan sebenarnya:

“Risikonya tak sama macam dakwat printer third party, sebab dakwat printer cuma kena atas kertas, manakala e-cecair vape ni akan masuk ke dalam badan kita. Ini boleh mendedahkan kita kepada bahan bertoksik yang kesan jangka panjangnya masih belum diketahui” – Tengku Aslahuddin

Korang pun mungkin tertanya, “Wah, kalau macam tu, kenapa kerajaan tak haramkan je semua produk vape ni?”. Tak semudah tu sebenarnya, sebab larangan penuh terhadap produk vape boleh menimbulkan masalah yang jauh lebih besar.

Sejarah mengajar kita yang pengharaman penuh bukannya idea yang bernas

Tapi tak semua kata-kata motivasi boleh diambil serius. Imej dari FB

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan… Kalau takde jalan pun, pintu belakang ada. Satu contoh yang baik ialah masa Amerika Syarikat melarang pembuatan, penjualan dan penggunaan alkohol dari tahun 1920 hingga 1930-an, di mana negara tersebut mempunyai satu undang-undang yang dikenali sebagai Prohibition (Larangan).

Ia dilakukan dengan niat membendung jenayah, mengurangkan rasuah dan menyelesaikan masalah sosial. Walaubagaimanapun, ramai individu serta kartel jenayah muncul untuk menghasilkan alkohol secara sembunyi. Ini menyebabkan peningkatan dalam pengambilan alkohol secara haram, keganasan geng dan jenayah lain pada masa pengharaman tersebut. Malah, minuman keras dengan kadar alkohol yang jauh lebih tinggi tercipta supaya mereka boleh menyeludup lebih banyak minuman keras dengan lebih efisien.

Tengku Aslahuddin juga memberi contoh yang berkait rapat dengan vaping. Pada tahun 2018, syarikat pelopor e-rokok Amerika, JUUL, terpaksa berhenti menjual beberapa produk mereka, iaitu e-cecair berperisa buah-buahan disebabkan tekanan dari Food & Drug Administration (FDA). Jadi, terdapat ‘kekosongan’ di pasaran yang seakan meminta untuk diisi. Dan begitulah munculnya jenama ‘third party’ untuk peranti JUUL. Syarikat vape pihak ketiga ni juga mengeluarkan produk dalam jumlah yang tak diketahui, dan dengan standard rendah, yang membawa pelbagai masalah baru kepada kerajaan Amerika Syarikat.

“Berdasarkan kajian tersebut, terbukti yang kalau kita letakkan larangan sepenuhnya terhadap produk tertentu, kita akan membuka pintu untuk pasaran haram berkembang maju kerana mereka bertindak balas berdasarkan permintaan pengguna” – Tengku Aslahuddin

Imej tak diedit dari imgflip

Sebilangan kilang pod palsu ni berjaya diserbu, dan penyiasat mendapati mereka menggunakan bekas sos tomato yang kotor untuk memasukkan e-cecair ke dalam pod. Kesemua pod ini kemudiannya dijual dengan harga yang lebih tinggi daripada harga asal kerana pod cetak rompak berperisa buah ini dianggap “rare”.

Jadi, apa yang boleh kita lakukan untuk mengawal masalah produk vape palsu dan compatible di Malaysia? Nampaknya…

Kerajaan kita sedang mengusahakan undang-undang baru untuk mengawal industri vape, tapi…

Sesetengah produk vape mempunyai kod QR yang boleh digunakan untuk memeriksa sama ada produk tu asli atau tak.

…Undang-undang yang dicadangkan ni hanya merangkumi penggunaan, penjualan, promosi dan pelabelan bagi e-cecair tanpa nikotin. Malah, pengumuman Belanjawan 2021 juga mencadangkan cukai sebanyak RM0.40 setiap ml untuk e-cecair vape ni.

Tapi garis panduan yang dikeluarkan oleh Kastam Diraja Malaysia secara khusus menyebutkan yang ia hanyalah tertakluk kepada e-cecair vape yang tak mengandung nikotin. Agak pelik sebenarnya, sebab MVCC mengatakan lebih daripada 97% e-cecair vape yang dijual di negara kita mengandungi nikotin. Ini bermakna, apa sahaja undang-undang yang dikeluarkan kerajaan hanyalah bagaikan…

Salah satu isu lain ialah Malaysia memang mempunyai undang-undang yang menyekat penjualan produk vape berasaskan nikotin: Akta Racun 1952… sebab itulah kita cuma akan jumpa pod dengan 0% nikotin di saluran penjualan rasmi untuk kebanyakan jenama terkenal.

“Kerajaan dah umumkan dalam Bajet 2021 bahawa mulai 1 Januari 2021, cukai eksais dikenakan pada produk vape. Walaupun MVCC melihat perkara ni sebagai langkah pertama yang baik, tapi apa yang lebih penting ialah cukai perlu diperluas dengan turut merangkumi e-cecair yang mengandung nikotin, dan dilengkapkan dengan peraturan untuk mengawal penggunaan nikotin dalam e-cecair ”- dipetik dari Kajian Industri Vaping Malaysia, oleh Dewan Perniagaan Vape Malaysia (MVCC)

Jadi… sehinggalah undang-undang yang lebih berkesan dilaksanakan, kitorang nak nasihatkan para vapers untuk dapatkan bekalan dari vendor yang sah, dan selalu periksa kesahihan barang tersebut.

Untuk korang yang tak pernah cuba nikotin pula, jangan cuba-cuba nak mula pula ye.