- 1.3KShare sekarang!
- Email11
- Facebook1.3K
- Share
Mungkin ramai yang tahu, isu kerajaan Kelantan mengambil keputusan untuk beli 14 kereta Mercedes sebagai kereta rasmi kerajaan. Tindakan ini sangat mengejutkan bagi pihak tertentu kerana Kelantan sebelum ni tak mampu bayar gaji penjawat awam mereka.
Namun, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Nik Amar menegaskan ‘takkan nak pakai Viva?’ kerana kereta rasmi sedia ada (Proton Perdana) telah 10 tahun digunakan. Dia juga mengatakan kos maintenance Mercedes ni lebih murah berbanding kereta Perdana dahulu.
Dari isu ni, kami nak main kira-kira serta perbandingan di antara keputusan kerajaan Kelantan beli Merc dengan kerajaan persekutuan meneruskan penggunaan Perdana. Kita mulakan dengan…
Kos pembelian; 14 kereta Perdana vs 14 kereta Mercedes
*Penafian: Ini hanyalah kiraan kasar tanpa mengambil kira keistimewaan atau terma khas kalau sesebuah kerajaan nak beli kereta. Serta hanya menggunakan satu jenis model yang spesifik.
Sebelum pergi ke pengiraan lebih mendalam, eloklah kami mulakan dengan kiraan kasar pembelian 14 kereta Mercedes-Benz S450 L AMG Line. Sebagai perbandingan, kiraan pembelian kereta Perdana akan ditulis dahulu.
Berdasarkan gambar-gambar dari media, Proton Perdana yang akan digunakan oleh kerajaan adalah Perdana 2.4 AT Metallic. Disebabkan pejabat kerajaan berada di Semenanjung, maka harga kereta ni akan mengikut standard kereta di sini.
Jadinya, harga kereta Perdana tu atas jalan tanpa insurans adalah berharga RM127, 247.74. Maka, kalau 14 kereta sama, harganya seperti di bawah:
14 unit x RM 127,247.74 = RM 1,781,468.36
Kalau dibundarkan, maka kerajaan hanya memerlukan RM 1.8 juta untuk memiliki 14 Proton Perdana 2.4 AT Metallic. Untuk kereta Mercedes-Benz S450 L AMG Line, ia diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2018.
Berdasarkan maklumat dari Autobuzz di atas, harga sebuah kereta Merc yang kerajaan Kelantan nak beli ni adalah RM699,888.000 atas jalan tanpa insurans. Tapi, ada fakta tambahan apabila pemimpin kerajaan Kelantan mengatakan bahawa pembelian ini menerima 50% diskaun atau separuh. Maka, kiraannya seperti kat bawah:
14 unit x RM699,888.00 x 50% diskaun = RM4,899,216.00
Jadinya, kerajaan Kelantan memerlukan RM4.9 juta untuk dapatkan hanya 14 kereta ni. Memang jauh sangat bezanya dengan Proton Perdana sekalipun dah ada diskaun.
RM4.9 juta – RM1.8 juta = RM3.1 juta
Katakan kerajaan Kelantan gunakan RM4.9 juta tu untuk beli Perdana, mungkin boleh dapat dalam lebih 28 unit Perdana tahu tak!
Kos maintenance; 14 kereta Perdana vs 14 kereta Mercedes
Bila guna kereta, bukanlah kita bayar dan tak keluar duit lagi lepas tu. Mestilah kena ada maintenance yang perlu dibuat mengikut kilometer yang ditetapkan.
Kalau dah setahun digunakan, Proton letakkan harga maintenance secara kasar untuk sebuah kereta adalah RM177.44. Maka, untuk 14 unit pula,
14 unit x RM177.44 = RM2,484.16
Untuk kos maintenance bagi Mercedes-Benz S450 L AMG Line, kami cuba bertanya dan mencari harga purata. Apabila menghubungi website Mercedes Malaysia, harga maintenance adalah mengikut car dealer yang kita beli.
Jadi, untuk memudahkan pengiraan, kami ambil harga purata antarabangsa seperti di bawah:
Dari fakta di atas, harga puratanya USD287 atau dalam RM1,167 untuk sekali maintenance. Manakala untuk 14 unit pula,
14 x RM1,167 = RM16,338.00
Jelas memang ada perbezaan ketara lebih kurang RM13 ribu untuk kos maintenance 14 kereta berlainan jenama ni.
Kerajaan negeri berhak untuk membeli kereta, namun rakyat yang akan melihat tindak-tanduk kerajaan
Jika dilihat daripada perbandingan pengiraan di atas, memang agak mahal jika menggunakan Mercedes untuk kereta rasmi kerajaan negeri. Tapi itu adalah hak kerajaan negeri tersebut menggunakan peruntukan negeri sendiri. Namun, jika tindakan ini tidak betul, rakyat yang akan sengsara.
Sebelum ni, kerajaan Kelantan menerima ‘one off’ sebanyak RM400 juta dari Kerajaan Pusat melalui Tun Mahathir. Pemberian itu adalah untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Kelantan. Namun, Kelantan antara negeri yang sering membuat pinjaman kerajaan pusat untuk bayar gaji penjawat awam mereka. Dan ia semakin bertambah dari RM91.5 juta (2018) kepada RM100 juta (2019).
Mungkin dengan pengurusan ekonomi yang kurang efektif ni, maka langkah membeli kereta yang agak mahal ini akan terus menjadi tanda tanya kepada rakyat.
- 1.3KShare sekarang!
- Email11
- Facebook1.3K
- Share