Jenayah & Undang-undang

10 tahun diikat dan dikurung oleh ayah sendiri, gadis ni tak pernah belajar bercakap

Mungkin menyedihkan untuk kita akui, tapi penderaan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat kita.

Sering saja kita dengar berita tentangnya, dan baru beberapa hari lepas naik berita tentang budak berumur dua tahun yang dipukul sampai koma oleh ibunya sendiri dan teman lelaki ibunya, akhirnya budak itu meninggal.

Untuk kes yang macam ni, tak payah jadi peguam pun boleh nampak yang ini memang kes dera. Tapi macam mana dengan kes-kes macam:

  1. Mak pukul anak sampai lebam sebab tak nak sembahyang?
  2. Ibu bapa tak bagi anak ambil vaksin sebab tak percaya perubatan moden?
  3. Ayah kurung anak perempuan sebab tak nak dia liar sangat?

Kalau merujuk pada World Health Organization (WHO), semua ni boleh dikelaskan sebagai kes dera, tapi jika berlaku pada anak jiran kita atau ahli keluarga sendiri, apa yang akan kita buat? Tolong atau biarkan je? Perlu ke tolong?

Tolong nanti lain pulak jadinya. Imej dari Says.

Kadang-kadang susah untuk kita bezakan antara mendera, mendidik atau melindungi, jadi hari ni kami akan mengetengahkan satu kes penderaan yang dikatakan antara kes paling serius pernah dibuat dek orang.

Kes ini heboh di US sekitar tahun 1960-an, dan ia berlaku pada seorang kanak-kanak perempuan yang digelar Genie Wiley.

Kanak kanak ini dikurung dalam bilik gelap selama 13 tahun

Gambar Genie, tak lama selepas diselamatkan. Imej dari Wikipedia.

Genie diselamatkan ketika berumur 13 tahun setengah, hampir secara tidak sengaja. Ibu Genie, Irene Wiley, mempunyai masalah mata yang teruk, jadi dia membawa Genie pergi ke pejabat kerajaan untuk menerima bantuan. Kerana masalah matanya, dia tersilap masuk ke pejabat khidmat sosial.

Pekerja khidmat sosial di sana merasakan ada sesuatu yang tak kena dengan Genie. Setelah diselidik, mereka mendapati budak yang mereka sangka berumur 7 tahun sebenarnya berumur 13 tahun, menunjukkan betapa terbantutnya tumbesaran Genie ketika itu.

Genie terus diletakkan di bawah jagaan polis, dan ibu bapanya didakwa kerana menderanya. Genie dimasukkan ke hospital atas sebab kekurangan zat yang serius. Hasil siasatan menunjukkan yang Genie telah didera sejak bayi lagi.

Kerusi dan katil yang ditemukan dalam bilik tempat Genie dikurung. Imej dari LivChasesBlog.

Atas arahan ayah Genie, Clark Wiley, Genie dikurung di dalam bilik kecil sejak berumur 20 bulan, dan pegawai polis yang berkunjung ke bilik tersebut menjumpai dua benda: sebuah kerusi berlubang yang juga digunakan sebagai tandas, dan sebuah katil bayi yang dipasangkan jaring besi, menjadikan ia sangkar.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Dikatakan bahawa Genie akan diikat di kerusi tersebut sepanjang hari, dan jika ayah atau ibunya tidak terlupa tentang Genie, dia akan dipindahkan ke sangkar di malam hari untuk tidur. Clark menjahit sendiri abah-abah yang digunakan untuk mengikat Genie ke kerusi tersebut, serta beg tidur khas yang menghalang Genie dari bergerak semasa tidur.

Hasil dari abah-abah dan beg tidur tersebut, Genie tidak boleh berdiri tegak, dan kerana terlalu kurang bergerak selama 13 tahun, Genie tidak mampu untuk melompat, berlari atau bergerak secara normal. Ketika diselamatkan, Genie tidak mampu berjalan dengan cara yang biasa..

Dipaksa bisu, Genie tidak pernah belajar bercakap

Genie, beberapa minggu selepas diselamatkan, berjalan dengan cara yang kekok. Imej dari Wikipedia.

Ayah Genie sangat bencikan sebarang jenis bunyi, jadi walaupun ibu dan abang Genie, John Wiley, juga tinggal di rumah tersebut, mereka tidak pernah bercakap dengan kuat, jadi Genie tidak pernah mendengar perkataan-perkataan sebenar dalam kehidupan seharian.

Jika Genie menangis kerana lapar atau kesunyian, ayah Genie akan memukulnya dengan sebatang kayu yang tersimpan dalam biliknya. Lama kelamaan, Genie belajar untuk tidak bersuara, namun kadangkala perasaan lapar memaksa dia membuat bunyi dengan cara lain, seperti menyeret kerusi tempat dia diikat atau menjatuhkan barang-barang ke lantai. Perbuatan ini juga dihukum ayahnya.

Untuk sebab yang tak dapat dipastikan, Clark hanya akan menyalak dan mengeram menyerupai anjing terhadap Genie, dan menyimpan kuku panjang yang digunakan untuk mencakar dia. Abang Genie, yang perlu mengambil tugas menjaga Genie setelah masalah mata Irene semakin teruk, juga diarah untuk menyalak dan mengeram dalam berkomunikasi dengan Genie.

Kadang-kadang, untuk membuatkan Genie senyap, ayahnya akan berdiri di luar pintu dan membuat bunyi-bunyi anjing untuk menakutkannya. Mengikut laporan penyelidik, Genie mengalami ketakutan yang serius terhadap anjing hasil dari penderaan ini.

Ada yang tak didera pun takutkan anjing, apatah lagi Genie. Imej dari Imgur.

Disebabkan dia akan dipukul jika menangis atau membuat bunyi, Genie kekal senyap walaupun selepas beberapa bulan diselamatkan. Walaupun ketika menangis, Genie tidak mampu mengeluarkan bunyi, dan ketika terlalu takut atau terlalu tertekan, Genie akan membaling barang, mencakar muka sendiri, menggelupur di atas lantai – semuanya tanpa bunyi dari mulutnya sendiri.

Keadaan Genie yang tidak pernah diajar untuk bercakap menjadi tumpuan bagi pengkaji-pengkaji bahasa dan perkembangan kanak kanak. Mereka ada berusaha untuk mengajar Genie untuk bertutur. Setelah diajar, Genie mampu bercakap dengan kosa kata yang besar, tapi bukan dalam ayat yang penuh.

“Ayah pukul tangan. Kayu besar. Genie menangis… tak ludah. Ayah. Pukul muka – ludah… Ayah pukul kayu besar. Ayah marah. Ayah pukul Genie kayu besar. Ayah ambil kayu pukul. Menangis. Saya menangis. Ayah dah mati.” – terjemahan salah satu transkrip pertuturan Genie, mengenai masa bersama ayahnya.

Sebenarnya ada lagi butiran mengenai penderaan yang dialami Genie, dan kalau nak tahu, korang bolehlah ikut pautan ini untuk baca. Tapi mungkin sekarang korang dah tertanya tanya, kenapa ayah dia buat macam ni? Tak sayang anak ke?

Sebenarnya…

Ayah Genie dikatakan sudah lama tidak stabil

Ayah Genie (bertopi), Clark Wiley, dan abangnya John (belakang) diserbu wartawan. Imej dari the Guardian.

Sebenarnya bukan Genie seorang yang merana dalam keluarganya. Abang Genie, John turut didera oleh ayahnya, dan ibu Genie, Irene, juga sering dipukul dan diugut bunuh jika dia cuba untuk mendapatkan bantuan dari orang luar.

Dikatakan bahawa ayah Genie seorang yang paranoid. John adalah satu satunya ahli keluarga yang selalu dibenarkan keluar dari rumah untuk pergi ke sekolah, dan apabila dia pulang, ayahnya selalu menyuruh dia membuktikan identitinya sebelum dibenarkan masuk.

Jiran tetangga mereka tidak pernah tahu tentang apa yang terjadi dalam rumah mereka, dan menurut John, yang sering disuruh merahsiakan kejadian dalam rumah mereka dari orang luar, ayahnya sering duduk di ruang tamu dengan senapang di atas ribanya. Ini dipercayai untuk memastikan Irene dan John patuh dengan arahannya.

Rumah tempat Genie dikurung selama 10 tahun lebih. Imej dari AllThat’sInteresting.

Ayah Genie dikatakan tidak stabil sudah lama sebelum kelahiran John dan Genie lagi. Dikatakan bahawa ayah Genie sering dibuli kerana diberi nama feminin (Pearl) oleh ibunya, dan dia telah menukar namanya kepada Clark yang lebih maskulin. Walaupun Clark ada ibu, ibunya bekerja sebagai ibu ayam dan jarang bertemu dengan Clark, jadi Clark dibesarkan di beberapa rumah anak yatim sehingga dewasa.

Setelah berkahwin dengan Irene, mereka dikurniakan dua orang anak sebelum John dan Genie, namun kedua-duanya mati ketika masih bayi. Anak pertama dilaporkan mati kesejukan kerana Clark tidak tahan dengan bunyi tangisan bayi, lalu dia membalut bayi tersebut dalam selimut dan meninggalkannya dalam garaj. Anak kedua pula dilaporkan mati akibat tercekik hingus sendiri.

Setakat ni dah nampak yang zaman kanak-kanak Clark sendiri tak normal, dan Clark ada menyatakan dan menunjukkan yang dia tak mahu ada anak. Tapi ada insiden lain yang menolak dia ke arah yang lebih ekstrem…

Kerana tak percayakan dunia, Genie dikurung untuk perlindungan

John yang masih bayi, Clark, dan Irene. Imej dari Alexis Phaneuf.

Anak mereka yang ketiga, John, juga tak dijaga dengan baik, jadi neneknya (ibu Clark) mengambil John dan menjaganya sehingga dia berusia enam tahun. Namun malang menimpa. Ketika John dan neneknya keluar untuk membeli aiskrim suatu hari, neneknya dilanggar lori dan digilis hingga mati.

John kembali di bawah jagaan Clark, dan pemandu yang melanggar ibu Clark dibebaskan dari semua kesalahan. Walaupun ibu Clark sudah pun berusia 70 tahun pada masa itu, dan walapun hunbungan Clark dan ibunya tidaklah serapat mana, Clark menjadi marah dan merasa ketidakadilan telah berlaku.

Hasil daripada kejadian itu, Clark membawa keluarganya untuk tinggal di rumah arwah ibunya dan mula mengasingkan mereka dari dunia luar. Clark tidak lagi percaya kepada masyarakat sekeliling, dan Genie, yang berumur 20 bulan ketika semua ini berlaku, dikatakan mula dikurung pada masa ini.

Genie lambat berjalan, dan kerana demam semasa berusia 14 bulan, doktor yang merawatnya berkata yang ada kemungkinan Genie akan mengalami sedikit masalah perkembangan. Perkara-perkara ini meyakinkan ayah Genie bahawa Genie sebenarnya terencat.

Lambat sikit je sebenarnya… Imej dari A Child With Needs.

Mengikut logiknya yang aneh, dia harus melindungi keluarganya dengan mengasingkan mereka dari dunia luar, dan kerana Genie terencat, Genie harus dilindungi dengan lebih teperinci, dengan menyorokkannya dari pandangan dunia. Namun Clark gagal untuk melihat kesan ‘perlindungan’-nya terhadap keluarga sendiri.

Clark menjangkakan yang Genie tidak akan hidup melepasi usia 12 tahun, jadi dia berjanji kepada Irene bahawa jika Genie mampu hidup selama itu, Irene boleh membawa Genie keluar. Namun Clark mungkir janji, dan setelah setahun setengah kemudian, Irene dan Clark bergaduh, dan Irene membawa Genie keluar dari rumah tersebut.

Irene dan Genie tinggal bersama ibu Irene buat seketika, dan beberapa minggu selepas itulah terjadinya insiden di mana dia tersilap masuk bangunan dan membawa Genie ke Pusat Khidmat Masyarakat, di mana Genie diselamatkan.

Mayat Clark diusung keluar dari rumah mereka. Imej dari dokumentari TLC.

Kisah Genie menjadi sensasi media selepas itu, dan rumah Clark sering dikunjungi wartawan. Mungkin kerana tidak tahan dengan wartawan, atau mungkin kerana dia rasa dirinya terperangkap, pada hari perbicaraan Clark menggunakan senapangnya untuk menembak kepalanya sendiri.

Dia meninggalkan dua nota bunuh diri. Satu daripadanya dikepilkan bersama $400 dan ditujukan kepada anaknya John, dengan mesej “Jadi budak baik, ayah sayang kau.”. Nota yang lagi satu hanya tertulis Dunia tak akan faham.”

Apa yang jadi dekat Genie sekarang?

Genie dalam proses pembelajaran. Imej dari Factinate.

Selepas diselamatkan, Genie dipindahkan dari satu keluarga angkat ke satu keluarga angkat yang lain, dan kerapkali dijadikan bahan ujikaji oleh saintis-saintis yang berminat dengan perkembangannya. Irene yang kini boleh melihat kembali setelah rawatan sering mengunjungi Genie, dan ketika Genie berumur 18, Genie dibenarkan untuk tinggal bersama ibunya.

Namun Irene tidak mampu untuk menjaga Genie disebabkan tindakan-tindakan Genie yang di luar kawalan, dan Genie kembali diletakkan di bawah program keluarga angkat. Malangnya, sesetengah keluarga angkat yang menjaganya turut menderanya, dan dalam satu kes Genie dipukul dengan teruk kerana muntah dan diberi amaran jika dia muntah lagi, dia akan dilarang dari berjumpa ibunya.

Insiden tersebut membuatkan Genie takut untuk membuka mulut untuk bercakap mahupun makan, dan perkembangan Genie setelah diselamatkan perlahan-lahan kembali kepada keadaan dahulu. Genie terus dipindahkan dari satu keluarga ke satu keluarga yang lain, dan menurut laporan laporan yang ada, sehingga 1990-an Genie dikatakan mengalami kemurungan dan kerap menyendiri.

Mungkin gambar Genie dan ibunya yang terakhir yang disebarkan, dari tahun 1989. Imej dari Bizarrepedia.

Dalam tahun 1993, dikatakan Genie tinggal di sebuah institusi swasta di mana dia kerap menerima kunjungan dari ibunya, dan menurut seorang penyiasat persendirian pada tahun 2000, Genie masih tinggal di sebuah institusi, masih tidak bercakap dan lebih kerap menggunakan bahasa isyarat, tetapi Genie kelihatan gembira.

Ibu Genie meninggal dunia pada tahun 2003, dan abangnya, yang sudah lama meninggalkan keluarganya, meninggal pada tahun 2011. Setakat 2016, Genie yang sudah berumur 59 dikatakan masih hidup di bawah jagaan California, namun tidak didedahkan di mana.

Sungguhpun penderaan terhadap Genie berlaku lebih setengah abad yang lalu…

Mangsa dera, walau apa sebab di sebaliknya, akan terkesan seumur hidup

Bagi media dan masyarakat, kes Genie memang dikategorikan sebagai dera. Tapi dari kaca mata Clark Wiley, mungkin dia tidak sedar yang dia sedang mendera anaknya, ataupun dia sedar tapi dia benar-benar percaya yang dia menyelamatkan keluarganya daripada masyarakat.

Apa pun niat Clark, keluarganya sudah pun terkesan. Pepatah ada mengatakan yang melentur buluh biarlah dari rebungnya. Bagi Genie yang dilenturkan dengan tidak sepatutnya, walaupun sudah tua dia masih tidak mampu bercakap atau hidup seperti orang lain.

Abang Genie juga, walaupun dia lari dari keluarga, tidak terlepas dari kesan penderaan yang dialami: terjerat dengan penggunaan alkohol, perkahwinan yang tidak stabil dan tidak tahu cara menjadi seorang ayah kepada anak perempuannya.

John Wiley, walaupun berjaya hidup secara normal, masih terkesan hasil penderaan zaman kanak-kanaknya. Imej dari Archive.is.

Mungkin bagi Malaysia, tidak ada kes penderaan ekstrem sebegini yang dilaporkan setakat ini. Sungguh pun begitu, secara purata 14 kes penderaan dilaporkan setiap hari, dan dijangka banyak lagi kes-kes dera yang tidak dilaporkan, sama ada kerana menjaga muka atau sikap tidak ambil peduli.

Jadi kalau korang syak ada kanak-kanak yang sedang didera, korang boleh

  • telefon Teledera di 1 800 88 3040 atau
  • laporkan saja dekat pusat khidmat masyarakat, balai polis atau hospital yang terdekat.

Dan kalau korang tak tidak pasti sama ada jiran/ahli keluarga korang sebenarnya didera ataupun tak, boleh baca artikel tentang cara-cara mengesan mangsa dera ni.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend