Muslim di Kenya lindungi Kristian daripada serangan pengganas di dalam bas

UPDATE (8/11/2017: Baru-baru ni tular berita pasal seorang bilal, Sapno Tukijo yang membenarkan mangsa banjir di Pulau Pinang berlindung kat surau, tak mengira agama dan bangsa. Malah menurut seorang penduduk di situ, Lee Swee Cheng, berkata bilal tersebut merupakan orang yang paling berani kerana telah menyelamat beberapa penduduk ketika kejadian.

Diambil daripada FB Syahril A. Kadir.

Kejadian-kejadian macam ni la yang buat kita sejuk hati bila mendengar. Tak kiralah apa perbalahan dan perbezaan antara satu-satu kumpulan manusia, mereka boleh bersatu dan saling membantu bila tragedi berlaku.

Di bawah ini kami senaraikan beberapa lagi kejadian di seluruh dunia yang sama, bermula dengan…

1. Muslim di Kenya lindungi Kristian daripada serangan pengganas di dalam bas

Apabila sekumpulan pengganas menyerbu masuk ke dalam sebuah bas berhampiran sempadan Somalia-Kenya, penumpang Muslim dilaporkan enggan dipisahkan dengan rakan senegara mereka yang Kristian. Mereka memberitahu pengganas tersebut untuk “bunuh kami sekali atau biarkan mereka pergi.”

Kumpulan al-Shabaab dari Somalia adalah dikelaskan sebagai militan pengganas oleh pelbagai negara termasuklah US dan Arab Saudi. Motif mereka adalah untuk menggulingkan kerajaan Somalia untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Namun kes seperti ini menunjukkan kumpulan al-Shabab tidak diterima oleh rakyat Somalia sendiri termasuklah yang Muslim. Malah sebelum kumpulan tersebut cuba memisahkan penumpang bas, beberapa Muslim memberi tudung kepada jiran Kristian mereka bagi tujuan perlindungan.

“Kami semua rakyat Kenya, tidak dipisahkan oleh agama. Kami semua bersatu sebagai sebuah negara, dan inilah mesej yang disampaikan oleh saudara kami dari komuniti Muslim.” – Joseph Nkaissery, Setiausaha Kabinet Dalaman Kenya, dipetik oleh The Christian Post.

2. Organisasi Muslim derma 30 ribu air minuman ke bandar jiran ketika krisis air

Flint merupakan sebuah bandar di Michigan yang kini dikenali kerana krisis air yang berlaku. Apabila sumber air mereka ditukar ke Sungai Flint (untuk menjimatkan wang), air mula dicemari dengan plumbum. Keracunan plumbum ini dikatakan tidak boleh diubati, dan kanak-kanak di Flint dikhuatiri akan menderita dengan kesannya sepanjang hidup mereka.

Sewaktu bergelut dengan krisis ini, ramai yang datang menghulurkan bantuan kepada penduduk Flint, termasuklah kumpulan gereja dari Wisconsin yang menderma sebanyak 72 ribu tong air, dan juga komuniti Muslim dari Detroit dan Dearborn yang menderma 30 ribu air minuman.

“Rasulullah mengajar kami, ‘Saudara kamu lebih penting daripada rumah sendiri.” Sebagai penduduk Detroit, (krisis air) ini bukan sahaja masalah Flint, tapi juga masalah seluruh Michigan dan saya rasa bertanggungjawab untuk menghulurkan bantuan sejauh yang saya mampu.” –  Mohammed Almawla, sukarelawan, dipetik oleh Al-Jazeera.

3. Menteri Israel wajibkan pelajari subjek Bahasa Arab di sekolah

Sebuah akta di Israel mewajibkan kesemua pelajar tak kira latarbelakang untuk mempelajari bahasa Arab, bermula dengan tahap tadika.

Mungkin korang tak tau yang selain daripada bahasa Hebrew, bahasa Arab juga merupakan bahasa rasmi di Israel. Namun menurut The Christian Science Monitor, sebelum ini ianya banyak diajar dalam konteks tentera dengan tujuan memahami musuh, bukannya saudara. Sebab itulah dengan akta yang baru diluluskan ini, diharap perkara itu akan dapat diubah.

“Saya tidak ragu-ragu yang bile populasi Yahudi mula memahami bahasa Arab, seperti mana rakyat Arab memahami Hebew, kita akan mula melihat hari-hari yang lebih baik.” – MK Oren Hazan, ahli politik Israel, dipetik oleh The Jerusalem Post.

4. Kumpulan Muslim di India bersatu menentang ISIS

Bersempena dengan tahun baru 2016, sekumpulan Muslim di bandar Mumbai melancarkan kempen “Muslim against ISIS” untuk menyatakan bantahan mereka terhadap kumpulan pengganas tersebut yang telah melakukan pelbagai pembunuhan terhadap Muslim dan non-Muslim.

Tahun lepas, seramai 70 ribu pemimpin Muslim di India juga telah bersama mengisukan fatwa untuk mengutuk keganasan yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan seperti Daesh, Taliban, dan juga Al-Qaeda. Dokumen itu telah ditandatangani oleh 1.5 juta rakyat dalam sebuah upacara keagamaan di India.

Kat Malaysia sendiri, tindakan ISIS telah dikutuk oleh ramai pemimpin termasuklah Tun M, Najib Razak, dan juga Anwar Ibrahim. Malah walaupun pengaruh Daesh dilihat mula meresap masuk, kerajaan kita sangat proaktif dalam menangani masalah ini.

5. Komuniti Internet kutip USD2 juta untuk menghentikan buruh terikat di Pakistan

Siapa yang tak pernah dengar pasal FB page Humans of New York (HONY), kan? Kalau korang tak tau, pergilah Like page tu, konfem hari-hari tersedu-sedan mengalir air mata baca cerita yang photographer Brandon Stanton bawak.

Dalam satu lawatan Brandon ke Pakistan, dia berjumpa dengan Syeda Ghulam Fatima, seorang aktivis yang memerangi amalan buruh terikat, di mana buruh-buruh yang kurang berperlajaran di Pakistan perlu buat pinjaman kecil sebelum mereka boleh bekerja di tanur batu-bata.

“(Dengan tipu helah majikan), pinjaman mereka makin lama makin besar sampailah mereka terpaksa bekerja sepanjang hayat tanpa pampasan yang sepatutnya. Bila mereka mati, hutang ini diwariskan kepada kanak-kanak mereka.” – Humans of New York

Brandon mulanya ingin mengumpul USD10 ribu untuk organisasi Fatima, namun setelah 4 hari kempen tersebut dilancarkan, HONY telah mengutip sebanyak USD1.2 juta daripada individidu pelbagai agama dan bangsa.

Sebelum ini, HONY juga telah banyak membuat kutipan derma untuk pelbagai isu termasuklah kisah-kisah pelarian dengan kerjasama dengan UNHCR, di samping menyebarkan kesedaran.

6. Komuniti Muslim memaafkan individu yang telah menembak masjid mereka ketika mabuk

Juga disebabkan oleh serangan di Paris, seorang bekas askar yang sedang dalam keadaan mabuk telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah masjid di Amerika. Lelaki ini, Ted Hakey Jr, kemudiannya ditahan polis dengan serta-merta. Hakey dilaporkan telah lama menyimpan kebencian terhadap Muslim. Dia pernah memuatkan status, “Musim (memburu) Muslim dah sampai ke belum? Aku dalam kawasan penuh dengan sasaran.”

Namun 5 bulan selepas serangan tersebut, presiden masjid Baitul Aman menjemput Hakey ke masjid dan komuniti Muslim tersebut mengalu-alukan kedatangannya dengan penuh kemafaan. Hakey mengatakan yang dia sangat terharu dengan betapa baiknya layanan yang diterima walaupun setelah jenayah yang dia lakukan.

“Sebagai seorang jiran, saya ada rasa takut, tapi perasaan takut selalnya datang bila kamu tidak mengetahui sesuatu. Perkara yang tidak diketahui itulah yang paling menakutkan.” – Hakey, dipetik oleh The Washington Post.

(Nota: Masjid Baitul-Aman adalah mengamalkan ajaran Ahmadiyya yang menolak keganasan dalam Islam. Namun Majlis Fatwa Selangor telah mengisytiharkan pengikut Ahmadiyya sebagi kafir.)

7. Kuil Yahudi di Kanada tawarkan ruang ibadat setelah masjid dibakar

Sehari selepas serangan pengganas ISIL di Paris yang mengorbankan 128 nyawa, sebuah masjid di Kanada telah dibakar dengan bom sebagai sebuah jenayah anti-Muslim. Menurut Buzzfeed, sebaik sahaja serangan berlaku, ramai rakyat Kanada menyatakan simpati mereka terhadap komuniti Muslim ini, termasuklah melancarkan kutipan derma yang telah mengumpul sehingga $110 ribu!

Tapi apa yang paling menyentuh hati adalah apabila sebuah kuil Yahudi di Kanada menawarkan untuk berkongsi bangunan mereka supaya komuniti Muslim tersebut boleh melakukan ibadat.

“Sebagai rakyat Kanada, kita perlu bersatu. Ini bukannya tentang agama, ini bukannya tentang kaum. Rakyat Kanada memang bersatu.” – Larry Gillman, presiden kuil Beth Israel Synagogue, dipetik oleh CBC Canada.

Bagi setiap kebencian yang dilemparkan, masih ada tangan yang menghulurkan kasih sayang

Pada 12 Jun 2016, dunia digemparkan dengan penembakan beramai-ramai yang dilakukan oleh Omar Mateen di dalam sebuah kelab LGBT di Amerika. Serangan ini telah dikutuk ramai termasuklah Presiden Obama dan Majlis Perhubungan Islam-Amerika.

Namun apa yang menyedihkan adalah sebilangan rakyat Malaysia yang mengucapkan tahniah atas pembunuhan tersebut. Sikap ini tak tumpah seperti pandangan media Barat yang melabelkan Islam sebagai pengganas, meskipun ia tidak semestinya benar.

Seperti yang telah diceritakan dalam beberapa kes di atas, serangan seperti inilah yang menyebabkan berlakunya jenayah balas di tempat-tempat lain terhadap orang yang tak bersalah. Namun seperti yang diceritakan dalam kes-kes kat atas jugaklah, adanya juga pihak-pihak yang menghulurkan tangan untuk menyemai rasa kasih sayang, untuk menunjukkan kita mampu hidup dalam keadaan harmoni.

Dan kalau kita nak berdakwah, perlukah dilakukan dengan kebencian atau kasih sayang?

About MK Zainal 36 Articles
Editor di SOSCILI, hari-hari tengok movie.