- 311Share sekarang!
- Email14
- Facebook297
- Share
(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitaorang, SALAM SEJARAH-TERA)
Sepanjang kita hidup sebagai orang Melayu ni, macam-macam karakter perempuan yang kita jumpa. Dan kita biasanya kenal diaorang menerusi filem ataupun hikayat dulu kala yang masih kekal sampai sekarang. Contohnya macam, watak Puteri Gunung Ledang, Tun Teja, Puteri Hang Li Po dan macam-macam contoh lain.
Dalam sejarah, kita semua tahu pasal kewujudan peneman raja yang dipanggil gundik. Dan ia memang sangat popular dekat seluruh dunia terutamanya dan ada sesetengah negara yang masih mengamalkan sistem peneman raja ni.
Gundik Raja Thailand nak sama taraf dengan Permaisuri
Sebenarnya, peranan gundik ni memang selalu digunakan waktu zaman purba dulu, dan bukan saja tertumpu kat negara-negara Asia. Malah, satu dunia gunakan khidmat yang sama. Tapi, baru-baru ni, satu dunia gempar dengan berita tentang Raja Thailand melucutkan gelaran gundik diraja rasmi istana sebab dikatakan dia tak setia kat raja tu dan tak patuhi undang-undang diraja.
Dan gundik rasmi diraja tu jugak merupakan bekas kekasih Raja Thailand, Sineenat Wongvajirapakdi yang dilantik secara rasmi dan dia diberikan gelaran “Royal Noble Consort” (Chao Khun Phra).
Pelantikan tu jugak merupakan pelantikan pertama lepas negara tu takde gundik rasmi diraja selama lebih kurang satu abad. Sebelum ni peranan gundik rasmi dah tak diiktiraf dalam kerajaan Thailand dan kali terakhir pelantikan secara rasmi dibuat pada tahun 1921. Pelantikan tu dibuat pada 26 Julai 2019 dan dia jugak merupakan gundik paling muda dalam sejarah Thailand.
“Royal Noble Consort Sineenat tidak bersyukur dan berkelakuan tidak sesuai dengan gelarannya. Dia juga tidak bertindak selari dengan gelaran diberikan kepadanya, bertindak seolah-olah ratu,” kata kenyataan itu.
“Dia tidak faham tradisi kerabat diraja. Dia menunjukkan ketidaktaatan terhadap raja dan ratu.” – Kenyataan media Thailand, sumber dari FMT.
Jawatan tu dilucutkan lepas beberapa bulan dia jadi gundik rasmi raja. Tapi, sebelum tu, waktu dia dilantik jadi gundik rasmi Raja Thailand tu, raja baru je berkahwin dengan isteri keempat dia lebih kurang dalam tiga bulan macam tu. Dia secara rasminya dilantik waktu ulang tahun yang ke-67 Raja Thailand dan dianugerahkan pingat iaitu Most Illustrious Order of Chula Chom Klao, 1st Class dan the Most Exalted Order of the White Elephant.
Dalam tempoh tak sampai dua bulan jadi gundik rasmi (peneman raja), dia dipecat dan jawatan tu ditarik balik sebab Sineenat Wongvajirapakdi ni sebenarnya cuba nak bersaing dengan permaisuri Thailand. Dia jugak dilaporkan berniat jahat untuk buat raja dan permaisuri bercerai dengan berniat untuk jadikannya sebagai permaisuri lepas tu.
BREAKING: Thai King Maha Vajiralongkorn removes Noble Consort Sineenat Wongvajirapakdi from royal and military titles pic.twitter.com/wf6PBP7SxE
— Pichayada P. (@PichayadaCNA) October 21, 2019
Walaupun latar belakang Sineenat ni sebenarnya boleh tahan jugak, tapi disebabkan perangai dia yang dah langgar hak kerajaan, dan sesuka hati je bagi arahan berkaitan hal-hal diraja menyebabkan dia jugak kehilangan pingat yang dah dianugerahkan tu. Dia buat macam-macam untuk labelkan diri dan pangkat dia sama macam permaisuri dan tak hormat langsung kat permaisuri tu.
“Raja sudah mengarahkan pemecatan mereka daripada perkhidmatan diraja, akibat salah laku disiplin yang amat serius dan perbuatan yang dianggap melampau,” – pengumuman rasmi diraja Thailand, sumber dari Berita Harian.
Macam yang kitaorang ada sebut kat atas tu, permaisuri yang sekarang ni merupakan isteri keempat Raja Maha Vajiralongkorn yang berdasarkan sejarahnya merupakan raja ke-10 Thailand mengikut susur galur Dinasti Chakri. Raja Maha Vajiralongkorn ni bukanlah berpoligami, tapi dia bercerai dengan isteri dia sebelum ni sampai ada yang dia tak mengaku anak-anak dia sendiri dan diaorang semua dibuang dari istana. Ia dikatakan diaorang dihukum di bawah undang-undang lese-majeste.
Kodmai Laksana Pua Mia benarkan orang Thai berpoligami tapi dimansuhkan pada 1935
Bila sebut beristeri ramai ni, betul ke kat Thailand tak kisah pasal tu? Tapi apa yang kitaorang tahu memang ramailah orang yang jadikan Thailand ni sebagai ‘port’ diaorang untuk berpoligami sebab takut isteri tahu kan? (Hehe). Tapi dalam kes Raja Thailand ni, dia bukanlah berpoligami tapi sebaliknya mengahwini ramai perempuan bukan dalam satu masa yang sama.
Pada asalnya, sejak dari zaman kegemilangan pemerintahan Thai lagi undang-undang perkahwinan ni dah digubal dan dilaksanakan. Ia dah bertahan sejak 400 tahun lamanya sewaktu pemerintahan kerajaan Ayutthaya. Dan akhirnya undang-undang tu disusun dan digubal secara sistematik pada tahun 1804 oleh Raja Rama I. Dalam undang-undang perkahwinan lama waktu zaman Ayutthaya tu, undang-undang ni dikenali sebagai Kodmai Laksana Pua Mia, dan dalam undang-undang tu, status poligami adalah sah dan tak dilarang.
Walaupun poligami ni dah dimansuhkan kat Thailand lepas 1 Oktober 1935, sekarang ni ia masih dilakukan kat Thailand, dan ada sesetengah tempat yang terima poligami ni secara meluas. Walaupun kebanyakan golongan diraja Thailand yang masih mengamalkan proses peneman raja ataupun gundik yang statusnya lebih kurang dengan permaisuri, ia sebenarnya tak diiktiraf dalam undang-undang Thailand. Ia jugak menyatakan yang …
“Seorang lelaki ataupun seorang perempuan tidak boleh berkahwin antara satu sama lain sementara salah seorang daripadanya mempunyai pasangan.” – Undang-undang Thailand, sumber dari Samuiforsale.
Yang menariknya, dalam adat Thailand ni, diaorang akan pilih pasangan diaorang sendiri. Takde perkahwinan yang diatur keluarga macam dalam drama petang-petang TV3 tu. Dan diaorang jugak tak tunjukkan dan ekspresikan kasih sayang diaorang kat pasangan masing-masing secara terang-terangan. Itu adalah dilarang kat sana.
Pada asalnya, undang-undang keluarga mengkategorikan isteri kepada tiga kategori:
- Isteri utama – mia klang muang / mia luang : Perempuan yang jadi mia luang ni dah berkahwin dengan kebenaran ibu bapa diaorang dan sah menjadi isteri utama.
- Isteri muda – mia klang nok / mia noi : Pasangan berkahwin dengan sah dan perempuan tu tahu yang dia jadi isteri muda. Segala hak, keutamaan dan keitimewaan diberikan kat mia luang dan bukannya dia. Jadi diaorang kena akur.
- Isteri hamba – mia klang thasi / thasa phalay : Perempuan dalam kategori ni merupakan seorang hamba yang diambil oleh seorang lelaki (perhambaan tu sah dalam adat dan masyarakat Thailand). Sekiranya dia dapat berikan anak kat lelaki tu, status perhambaannya dihapuskan; dan kalau suaminya mati pun, status perhambaan tu terbatal.
Tujuan adanya kategori isteri ni adalah untuk menentukan pembahagian harta lepas kematian suami dan untuk menentukan bayaran kesalahan berzina. Kesalahan berzina tu contohnya kalau ada lelaki yang ditangkap tidur dengan seseorang yang dah berpasangan, lelaki tu kena bayar duit pampasan kat suami mengikut kategori isteri perempuan tu.
Walaubagaimanapun, poligami dah dimansuhkan di bawah Buku V Kanun dan Kod Komersial. Ia disebabkan banyak perbahasan yang nak menggantikan poligami dengan monogami berikutan kekeliruan status anak daripada isteri yang berlainan. Dan perkahwinan takkan diiktiraf kalau ianya tak didaftarkan.
Sebelum ni, pasangan yang menyertai upacara Buddha je dah boleh diiktiraf sebagai suami isteri. Tapi lepas tahun 1935, hanya perkahwinan berdaftar je yang diiktiraf. Upacara keagamaan bukanlah penentu kepada pengesahan sesebuah perkahwinan. Walaupun undang-undang dah ternyata poligami tak dibenarkan, tapi ia tetap wujud sampai sekarang. Dan sekarang ni dianggarkan lebih kurang ada 20% perempuan kat Thailand jadi mia noi.
Dan, kategori isteri tu dah berubah kepada:
- Isteri rasmi – Dah daftar perkahwinan tu dan terima harta pusaka suami dan mempunyai anak yang diakui secara sah.
- Mia Noi – Diaorang dianggap mempunyai hubungan emosi dalam tempoh yang panjang dengan lelaki yang sudah berkahwin. Dan sebenarnya diaorang tak mempunyai hubungan suami isteri yang sah. Mia Noi ni diberikan segala kemewahan dan kalau diaorang ada anak, anak tu diiktiraf sah walaupun diaorang tak kahwin. Tapi, mia noi ni bukan dikategorikan sebagai gundik atau pelacur. Diaorang ada status yang jelas dalam masyarakat Thailand dan ada komitmen diaorang tersendiri.
- Gik / kekasih – Kategori perempuan yang macam ni hanya untuk hubungan seksual je. Takde ikatan perkahwinan yang sah dan hanya untuk suka-suka. Dan kat sana, ia tak dilarang.
Bila sebut pasal sistem kekasih gelap yang tak dilarang dalam masyarakat Thailand ni, jadi ia sama lah jugak dengan sistem gundik raja kan. Gundik kat Thailand bukan biasa-biasa …
Gundik Thailand pengasas lagenda Perayaan Loy Krathong
Bila sebut pasal gundik ni, dalam sejarah Melayu sendiri menceritakan watak perempuan dulu sebagai alat, hamba, gundik atau perempuan simpanan kat pembesar-pembesar Melayu walaupun kaum perempuan dulu ada kehandalan diaorang tersendiri.
Dalam kepulauan Nusantara ni, kaum perempuan digambarkan sebagai aspek yang berperanan untuk mengeratkan hubungan diplomatik antara negara dan untuk menstabilkan politik. Bukan tu je, golongan perempuan jugak disimbolkan sebagai hadiah untuk mengenang jasa seseorang dan selalunya dijadikan isteri tak rasmi. Malah kat seluruh dunia, watak gundik ni dalam peranan yang sama.
Tapi, bagi masyarakat Thailand, lambang gundik ni sinonim dengan kesusasteraan diaorang dan ia jugak dijadikan perayaan utama budaya Thailand. Ia dinamakan sebagai Pesta Loy Krathong. Loy Krathong bermaksud ‘menghanyutkan bunga teratai’ yang bertujuan untuk berterima kasih kat Dewi Air (Mae Khongkha) pada malam bulan purnama yang dipercayai merupakan nadi dan tulang belakang masyarakat.
Ia merupakan perayaan bagi golongan Buddha yang berasaskan pada kepercayaan golongan Brahmin dalam agama Hindu purba. Perayaan ni dianggap merupakan lambang kekayaan warisan budaya masyarakat Thailand. Dan disambut setahun sekali pada hari ke-15 bulan 12 dalam kalendar Lunar Thai, iaitu sekitar awal bulan November yang dikatakan tarikh berakhirnya musim hujan.
Ia juga dikenali sebagai pesta cahaya yang dah wujud sejak 700 tahun dahulu dan merupakan kebudayaan bagi masyarakat Thai, Laos, Myanmar, Kemboja dan Vietnam. Berdasarkan lagenda dan kesusasteraan Thailand, asalnya perayaan ni berasal dari gundik Raja Lhe Thai, Nang Noppamas yang merupakan orang pertama menghanyutkan teratai yang diperbuat daripada daun pisang pada hari tersebut.
Ia dipercayai dapat membuang segala benda buruk yang dihanyutkan sekali kat sungai bersama teratai tu. Dan waktu perarakan untuk hanyutkan teratai tu, mantera dibacakan oleh sami Buddha supaya perayaan tu dapat dimuliakan. Selain tu, waktu perayaan tu jugak ada banyak persembahan kebudayaan dijalankan dan antara yang paling utama waktu tu adalah pertandingan ratu cantik.
Pertandingan ratu cantik tu dinamakan sebagai Noppamas Queen Contest yang diambik sempena nama gundik yang merupakan lagenda pada perayaan ni. Pesta ni jugak merupakan salah satu tarikan pelancong utama kat negara tu.
Banyak budaya yang mampu berikan pendedahan kat orang ramai
Bila kita perhatikan, sebenarnya banyak je penerimaan budaya dan asimilasi budaya dalam kalangan rakyat Malaysia dan masyarakat Malaysia sendiri. Contohnya macam perayaan dan pesta Loy Krathong tu, kat Malaysia pun ada sambut jugak yang diadakan kat Pulau Pinang dan ia merupakan tarikan pelancong untuk melawat ke negara kita. Selain tu, kita pun dapat tahu banyak benda tentang undang-undang diaorang.
Perpaduan yang terjalin antara Malaysia dan Thailand menerusi penerapan dan penerimaan keunikan budaya menjadi aspek utama dalam kelestarian masyarakat Malaysia dan menjadi unsur utama dari segi pelancongan. Banyak kebudayaan dan tradisi Thailand yang dah diserap masuk kat Malaysia sebab taburan penduduk Thailand yang banyak tertumpu kat negeri Pantai Timur terutamanya. Ia sekali gus dapat bagi pendedahan yang meluas kat masyarakat Malaysia sendiri.
“Kebudayaan yang dipertontonkan kepada kita amat menarik dan saya akan memastikan supaya seni dan budaya masyarakat Siam seperti persembahan dan tarian etnik dipertahankan demi kelangsungan identiti masyarakat keturunan Siam di Malaysia,” – Datuk Mohammaddin Ketapi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, sumber dari Bernama.
- 311Share sekarang!
- Email14
- Facebook297
- Share