Jadi bodoh untuk jodoh? Ini kisah ratu lanun bijak yang dilamar Sultan Maghribi!

Artikel ini pernah diterbitkan pada 10 Jun 2021*

Pernah viral video penjelasan Prof Muhaya pasal wanita yang lambat mendapat jodoh disebabkan terlalu berdikari dan mengejar kerjaya. Kata-kata yang dikeluarkan “lelaki suka perempuan lembut, bodoh-bodoh sikit” membuatkan ramai orang tak berpuas hati lalu mengecam pendapat Prof Muhaya.

Prof. Muhaya Dikecam Netizen Kerana Nasihatkan Kaum Wanita Supaya Jadi Bodoh? - Oi Jom
Isu panas sekarang. Screenshot dari twitter emptyshadoww

Sebenarnya pada zaman dulu, wanita juga pernah menjadi seorang pemimpin dan pahlawan di medan perang. Kalau korang nak tahu, pada tahun 1515, wujud seorang permaisuri dan ratu lanun wanita yang bijak dan berpengaruh!

Nama tersebut membawa gelaran yang bermaksud “Penghulu Wanita” atau “wanita mulia yang bebas dan berdikari”. Siapakah wanita yang hebat ni?

Sayyida al-Hurra, pemimpin dan ratu lanun wanita yang digeruni musuh

Kebanyakan sejarah atau maklumat pasal Sayyida al-Hurra datang dari sumber Kristian secara khususnya dari Sepanyol dan Portugal. Akan tetapi, tak banyak pula cerita yang dituliskan dari catatan Arab, namun terdapat dakwaan yang nama Sayyida al-Hurra ialah Aisha atau Lalla Aicha. Sayyida al-Hurra dilahirkan dalam keluarga bangsawan pada tahun 1485 di Granada, Sepanyol yang merupakan kota Muslim terakhir.

Sayyida al-Hurra
Ni lah gambaran pahlawan wanita Islam yang hebat, Sayyida al-Hurra. Imej dari insidearabia.com

Dia dilahirkan semasa saat akhir kejatuhan Granada dan pada tahun 1492, negara tersebut jatuh ke tangan Raja Ferdinand dan Ratu Isabella. Sayyida al-Hurra dan keluarganya dihalau keluar secara paksa daripada rumah diorang sebab gerakan ‘Spanish Reconquista’. Warga Sepanyol telah menghalau Muslim (Moors) keluar daripada Sepanyol.

Gerakan ‘Spanish Reconquista’ — proses yang digunakan kerajaan-kerajaan Kristian Sepanyol utara untuk menakluki negeri-negeri Islam selatan di Semenanjung Iberia. Pada awalnya, bandar pertama yang jatuh ke dalam kekuasaan Kristian adalah Toledo. Akan tetapi, pada tahun 1492, apabila Granada jatuh ke kerajaan Kristian di bawah Ratu Isabella dan suaminya, Raja Ferdinand, barulah ia berakhir.

Gerakan ‘Spanish Reconquista’ atau ‘Penaklukan kembali’ antara tentera Islam dan tentera Kristian untuk mendapatkan Granada. Imej dari www.history.com

Selepas itu, keluarga Sayyida al-Hurra terpaksa melarikan diri ke Morocco kerana risau dengan nasib Muslim di sana. Walaupun Sayyida al-Hurra masih kecil tapi dia menyimpan dendam untuk menuntut bela akan kejatuhan Granada satu hari nanti.

Keluarga Sayyida al-Hurra memulakan hidup baru di Kota Tétouan, Morocco. Kota Tétouan merupakan kota indah sebelum dimusnahkan oleh Raja Castille, Henry III pada tahun 1400 dan akhirnya, Kota Tétouan dibina semula oleh pelarian Andalusia.

Tétouan - headstuff.org
Gambaran Kota Tétouan pada masa dahulu. Imej dari www.headstuff

Kalau korang nak tahu, keluarga Sayyida al-Hurra masih dihormati walaupun hidup sebagai pelarian. Moulay Ali Ibn Rashid, bapa kepada Sayyida al-Hurra seorang yang sangat berpengaruh dan menjadi orang besar Tétouan. Menjadi anak kepada seorang pembesar, Sayyida al-Hurra diberi pendidikan berkualiti dalam pelbagai bidang penting — matematik, teologi dan bahasa.

Hari demi hari, Sayyida al-Hurra menjadi seorang remaja yang bijak. Moulay Ali Ibn Rashid membuat keputusan yang besar dalam hidup Sayyida al-Hurra iaitu…

Dikahwinkan dengan Gabenor Kota Tétouan ketika berumur 16 tahun

Bapa Sayyida al-Hurra membuat keputusan untuk menikahkan dia dengan Abu Hassan al-Mandiri yang berusia 30 tahun lebih tua. Sebenarnya, Abu Hassan al-Mandiri juga seorang pelarian daripada Sepanyol dan merupakan seorang pembesar kepada salah sebuah kabilah. Dalam pada yang sama, Abu Hassan al-Mandiri menetap di Kota Tétouan dan menjadi gabenor kota tersebut.

Walaupun masih muda, Sayyida al-Hurra mampu menunaikan tanggungjawab dengan baik. Imej dari thefemalesoldier.com

Selepas berkahwin, Sayyida al-Hurra banyak membantu suaminya dalam mentadbir Kota Tétouan. Pendapat Sayyida al-Hurra selalu dirujuk dan didengari, malah dia juga menjadi pemangku kerajaan serta menguruskan pemerintahan semasa suaminya sedang keluar berperang.

Kalau korang nak tahu, tempat yang diorang duduk ni sebenarnya berdekatan dengan laut Mediterranean yang selalu menjadi sasaran tentera laut Sepanyol dan Portugal. Silap besar lah tentera laut Sepanyol dan Portugal nak serang Kota Tétouan sebab Sayyida al-Hurra bijak mengatur strategi untuk menyekat serangan yang dilakukan oleh musuh ketatnya.

Ilustrasi permaisuri Sayyida al-Hurra mempertahankan Kota Tétouan. Imej dari weaponsandwarfare.com

Selepas kematian Abu Hassan al-Mandiri sekitar tahun 1515, Sayyida al-Hurra mengambil alih tugas suaminya sebagai Gabenor Kota Tétouan. Seterusnya, dia diberi kepercayaan untuk memerintah sebuah kota secara sendiri dan merupakan permaisuri terakhir dalam sejarah Islam.

Kota Tétouan pada zaman sekarang. Imej dari medium.com

Walaupun Sayyida al-Hurra dapat memerintah Kota Tétouan, dia takkan lupa dan takkan memaafkan kerajaan Kristian Sepanyol yang menjajah tempat kelahirannya, Granada. Dia membuatkan keputusan untuk…

Membentuk pakatan dengan seorang lanun hebat, Barbarossa

Sayyida al-Hurra pernah bersumpah untuk membalas dendam ke atas kejatuhan Granada. Dia menjalinkan kerjasama erat dengan lanun terkenal, Hayreddin Barbarossa yang menetap di Kota Algiers. Walaupun dia tak berhadapan dengan Sepanyol dan Portugal secara langsung, tapi Sayyida al-Hurra berjaya membuat huru-hara di perairan menerusi kegiatan melanun.

Hayreddin Barbarossa - Wikipedia
Lanun hebat, Barbarossa yang menolong Sayyida al-Hurra. Imej dari en.wikipedia.org

Sayyida al-Hurra mengawal kawasan di bahagian barat laut manakala Barbarossa mengawal bahagian timur Mediterranean untuk menyasarkan kapal-kapal dagang Sepanyol dan Portugal. Hasil kerjasama diorang membuatkan sebilangan besar kapal-kapal Sepanyol dan Portugal musnah serta anak-anak kapal diambil sebagai tawanan. Keadaan tegang ni memaksa pihak musuh melakukan rundingan dengan Sayyida al-Hurra dan mengeluarkan belanja yang besar untuk menebus tawanan.

“A Sea Fight with Barbary Corsairs” by Laureys a Castro - headstuff.org
Perang antara Sayyida al-Hurra & Barbarossa dan pihak Sepanyol & Portugal. Imej dari www.headstuff.org

Kekayaan dan kekuasaan Sayyida al-Hurra menarik perhatian Sultan Maghribi, Ahmed al-Wattasi dan mengusulkan lamaran kepada Sayyida al-Hurra sebagai suatu bentuk persekutuan. Sayyida al-Hurra menerima lamaran tersebut, namun dia mengenakan syarat:

  1. Ahmed al-Wattasi sendiri yang kena datang ke Kota Tétouan untuk berkahwin dengannya.
  2. Membenarkan dia mentadbir Kota Tétouan.
  3. Meneruskan perjuangan melawan tentera Sepanyol dan Portugis.

Ahmed al-Wattasi ikut syarat tersebut walaupun syarat yang dikenakan melanggar tradisi pihak wanita yang perlu berjalan jauh ke kota yang diduduki oleh pihak lelaki. Selepas melangsungkan perkahwinan pada tahun 1541, Ahmed al-Wattasi dan Sayyida al-Hurra kembali hidup di kota masing-masing dan membuktikan yang perkahwinan diorang ni hanya dilakukan atas tujuan politik semata-mata.

Sultan Maghribi, Ahmed al-Wattasi. Imej dari www.wikiwand.com

Perkahwinan Sayyida al-Hurra dan Sultan Maghribi mendapat liputan yang meluas dan mengundang rasa tak puas hati Raja Phillip yang sedang berkuasa di Sepanyol. Perkahwinan tersebut telah mengukuhkan lagi hubungan diplomatik antara Tetouan, Chefchaouen dengan Maghribi. Namun begitu, tuah Sayyida al-Hurra tak berpanjangan sebab dia…

‘Ditikam’ dari belakang oleh menantunya sendiri

Setahun selepas perkahwinan keduanya, Maghribi terlibat dalam peperangan melawan Portugal. Selain itu, keadaan menjadi lagi teruk bila kerajaan Sayyida al-Hurra dilanda masalah yang besar.

Perang Maghribi-Portugal menggambarkan tentera Portugal yang dikepung di sebelah kiri. Imej ms.wikipedia.org

Ahmed al-Hassan al-Mandari iaitu menantu Sayyida al-Hurra (merangkap kerabat suami pertamanya) mengambil kesempatan ke atas negara yang sedang huru-hara dengan membentuk pakatan dengan musuh Ahmed al-Wattasi. Akibat harta dan kuasa, Ahmed al-Hassan al-Mandari sanggup membelot ibu mertuanya sendiri yang hampir 30 tahun memerintah.

Selepas itu, Sayyida al-Hurra berjaya digulingkan oleh menantunya sendiri serta harta dan kuasanya dirampas begitu saja. Nasibnya bertambah malang bila dia dibuang ke Chefchaouen, Morocco dan meninggal di sana pada tahun 1561.

Disebabkan kuasa dan harta, Sayyida al-Hurra dibelot oleh menantunya. Imej dari imgflip.com

Kehebatan Sayyida Al Hurra tak dapat dipertikaikan lagi bahkan pihak musuh juga mengakui kehebatannya sebagai seorang pemimpin. Sehingga ke hari ini, nama Sayyida al-Hurra masih dikenang di Maghribi dan kisah mengenainya ada ditulis dalam karya berbahasa Sepanyol.

Mungkin ada lagi pejuang wanita dalam sejarah yang kita tak tahu

Seperti yang kita tahu, ramai pemerintah paling berkuasa dalam sejarah adalah kaum lelaki. Pada zaman dulu, wanita juga pernah memainkan peranan penting dalam sejarah dunia. Ada di antara diorang terkenal dengan sikap keberanian, kebijaksanaan, keadilan dan banyak lagi.

Wanita memainkan peranan penting dalam dunia pra-moden Islam. Imej dari tebuireng.online

Sejarah dunia menyaksikan beberapa orang wanita menjadi pemerintah dan menjadi seorang pahlawan dalam masa yang sama. Selain mempunyai kedudukan tinggi dan kuasa, diorang juga mahir dalam medan perang. Tak kira beragama Islam atau bukan Islam, diorang pernah mempengaruhi sejarah dunia dengan menunjukkan kuasa sebenar golongan wanita. Selain itu, menjadi ikon, lagenda dan pemimpin yang dihormati sepanjang zaman.

Akan tetapi, sejarah dapat diubah dan diselindung oleh pihak yang tak bertanggungjawab. Mungkin ada lagi sejarah pejuang wanita yang lain tak didedahkan kepada umum?