Kami tanya 5 orang Malaysia kenapa berkahwin dengan wanita warga asing

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong lebih 50,000 rakyat Malaysia yang bukan Islam telah berkahwin dengan warga asing dalam tempoh 2007 hingga 2012. Daripada jumlah tu, 45,691 orang adalah lelaki yang memilih wanita warga asing sebagai pilihan pasangan hidup. Wanita negara asing yang menjadi pilihan lelaki Malaysia bukan Islam adalah Indonesia diikuti China, Vietnam dan juga Thailand.

Statistik perkahwinan rakyat Malaysia bukan Islam dengan warga asing. Sumber dari jurnal tulisan Chee Heng Leng.

Lelaki Malaysia paling berminat nak kahwin dengan wanita Indonesia. Hampir setiap hari lelaki Melayu telah mendaftarkan perkahwinan dengan wanita dari Sumatera sepanjang tempoh 5 bulan dari akhir 2009 hingga awal 2010. Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Indonesia melaporkan setiap bulan seramai 30 orang lelaki berkahwin dengan wanita Sumatera Indonesia.

Statistik yang boleh menyebabkan para isteri sakit jantung adalah daripada jumlah pendaftaran perkahwinan tu, 80% mengambil warga asing sebagai isteri kedua. Melalui statistik perkahwinan berpoligami ni, sejumlah besar tak mendaftarkan perkahwinan disebabkan gagal mendapat izin berpoligami serta keizinan berkahwin di luar negara oleh mahkamah syariah.


Takut kena bedal je. Imej dari Time Out.

 

Untuk ketahui apa punca orang Malaysia berkahwin dengan wanita warga asing, kami tanya 5 orang lelaki yang mempunyai pengalaman berkaitan.

1) Mak tak restu, tapi tetap teruskan niat untuk berkahwin di Lampung

Tempak cetek macam ni tak perlu pakai pelampung. Imej dari Youtube Backpacker Tampan.

Zulhemi berkenalan dengan isteri selama 1 tahun sebelum berkahwin pada tahun 2016 dan sekarang lebih kurang 1 tahun lebih mereka berumah tangga. Isterinya berasal dari Lampung, Sumatera dan bekerja di tempat yang sama dia bekerja iaitu di IOI Mall Putrajaya. Manakala dia bekerja sebagai polis bantuan di sini hampir 3 tahun.

“Sebelum ini saya ada juga teman wanita orang Malaysia sendiri tapi putus di pertengahan jalan. Tahun 2015 saya mula berkenalan dengan isteri dan daripada situ mula rasa jatuh hati dengan perwatakan dia yang bersikap sopan santun dan menjaga adab pergaulan.” – Zulhelmi ketika dihubungi Soscili.

Tak lama selepas berkenalan saya luahkan hasrat untuk berkahwin dan hasrat itu diterima baik oleh isteri dan keluarga. Tapi, niat dia untuk berkahwin dengan isteri ini tak direstui mak dan keluarga, memandangkan bakal isteri bukan orang Malaysia. Tapi dia tetap meneruskan hasrat tersebut dengan pergi ke Sumatera dan melangsungkan majlis perkahwinan kat sana.

Majlis perkahwinan di Lampung, Sumatera. Imej dari Jejak Nusantaraku.

Apa yang boleh dikatakan, niat saya untuk berkahwin diterima baik oleh keluarga isteri yang turut membantu dalam urusan perkahwinan. Kos untuk melangsungkan perkahwinan kat sana tak lah terlampau mahal yang mana saya habiskan sebanyak RM 8,000 termasuk tiket kapal terbang pergi dan balik.

Adat dan budaya yang tak jauh beza dengan orang Melayu kat sini juga antara daya penarik untuk saya berkahwin dengan isteri dan sebelum itu saya juga ada meminta nasihat daripada kawan yang turut berkahwin dengan wanita daripada Sumatera. Kesemuanya bagi respon positif dan dorang rasakan wanita Sumatera ni ada daya tarikan sendiri.

2) Pujuk mak ayah untuk benarkan kahwin, nak kahwin lari tak berani

Abdul Rahman berkahwin dengan isteri hampir 6 tahun dan isteri berasal daripada Jakarta. Dia berkenalan dengan isteri pada mulanya atas sebab urusan kerja memandangkan dia dihantar bertugas ke Jakarta oleh syarikat selama 2 tahun. Isteri dia juga merupakan kakitangan syarikat yang sama di cawangan Jakarta. Pada mulanya, tak terbit rasa cinta memandangkan dia cuma ke sana atas urusan kerja walaupun boleh dikatakan personaliti isteri sangat menarik.

Mula-mula angkat tangan dulu. Lama sikit angkat jadi bini.

Tapi 4 bulan terakhir masa bertugas kat sana, buatkan dia berubah pandangan kepada isteri semasa melawat keluarga isteri sempena sambutan Hari Raya Puasa. Apa yang boleh dikatakan, layanan keluarga dia kepada Abdul Rahman sangat mesra walaupun dia sendiri orang luar. Kalau nak cakap jatuh hati dengan isteri sebab rupa mungkin 30%, 70% lagi sebab budi bahasa dan budaya dorang.

Dalam tempoh 4 bulan terakhir tu diorang mula berkawan lebih rapat sebelum buat keputusan untuk berkahwin. Tapi yang jadi isunya mak ayah Abdul Rahman tak bersetuju kahwin dengan orang sana. Majoriti orang Malaysia ni  ada perspektif negatif kat orang Indonesia dan beranggapan dorang ‘low class’.

“Lama juga saya pujuk mak ayah untuk benarkan kahwin, nak kahwin lari tak berani pulak nak belakangkan mak ayah sendiri.” – Abdul Rahman ketika dihubungi Soscili.

Majlis perkahwinan suku Batak, Indonesia. Imej dari IDN Times.

Mak ayah dia cuma setuju bila dia bawa isteri berjumpa dengan mereka, mungkin mereka pun suka dengan budi bahasa isteri. Dia belanjakan hampir RM 16 ribu untuk kenduri kahwin yang mana kos paling tinggi tiket kapal terbang sebab bawa ahli keluarga ke Jakarta untuk majlis kahwin.  Majlis kahwin kat sana mereka masih amalkan ‘rewang’ dengan orang kampung. Kat sini pun ada juga orang kita masih amalkan ‘rewang’ tapi majoriti dah guna servis katering.

3) Kenduri kahwin hanya RM3,000 dan kenduri belah perempuan ditanggung keluarga isteri

Zulkifli berkahwin dengan isteri 4 tahun yang lepas dan berkahwin semasa masih menuntut di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kedah. Isteri dia berasal daripada Satun, Thailand dan kacukan Melayu-Siam. Dekat KUIN, memang ramai pelajar dari Thailand dan salah satu sebab dia kahwin dengan isteri kerana suka wanita kacukan. Zulkifli pun sebenarnya kacukan Melayu-Cina. Jadi, mereka buat keputusan untuk berkahwin masa masih belajar dan kedua-dua keluarga tak ada masalah.

Belanja kenduri kahwin mereka lebih kurang RM3,000 sebab keluarga perempuan hanya minta mas kahwin dan kenduri sebelah perempuan ditanggung keluarga isteri. Dia cuma keluarkan belanja untuk kenduri di sebelah keluarganya dan buat secara kecil-kecilan. Saya sangat bersyukur sebab masa kami nak kahwin, kedua-dua keluarga tak ada halangan bahkan galakan untuk elakkan perkara yang tak elok berlaku.

“Saya mungkin sedikit bertuah sebab isteri berasal dari Satun yang bersempadan terus dengan Malaysia tambahan pulak tempat tu tak bergolak macam wilayah selatan Thailand yang lain.”- Zulkifli ketika dihubungi Soscili.

Daripada segi bahasa tak ada halangan untuk mereka sebab isteri fasih bercakap loghat utara kecuali budayanya lebih kepada Thai. Kehidupan selepas kahwin tak banyak beza sangat sebelum kahwin cuma dia dapat kenali budaya baru selain budaya Melayu dan Cina. Ada ramai juga kawan-kawan yang bertanya kelebihan berkahwin dengan orang Thai, jawapan yang dia boleh bagi adalah tingkah laku, budi bahasa dan layanan 5 bintang kat suami.

4) Keluarga lebih suka memudahkan perkahwinan walaupun kena interview dengan mak ayah

Isteri Zaidi adalah Melayu berasal daripada Narathiwat, Thailand dan mereka pernah menuntut di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) bersama. Mereka berkahwin selepas tamat belajar di KUIN pada 2013 dan itu pun mereka tak pernah lalui zaman bercinta. Habis belajar Zaidi luahkan rasa suka kepada isteri dan kedua-dua keluarga terus buat keputusan untuk kahwinkan mereka.

Sebenarnya, dia ada rasa was-was untuk berkahwin dengan wanita Thailand. Lagi-lagi bila fikir macam mana nak balik ke rumah keluarga dia memandangkan situasi kat sana tak stabil. Lama juga dia fikir sebelum luahkan rasa suka kat isteri dan ada berbincang dengan kawannya sendiri memandangkan kawan dia terlebih dulu kahwin dengan wanita sana.

Boleh dikatakan kawannya yang yakinkan Zaidi untuk teruskan niat berkahwin sebab kumpulan penentang kerajaan hanya sasarkan orang tempatan yang ada hubung kait dengan kerajaan Thai.

Wilayah yang bergolak di Thailand. Imej dari Sukasamasuka.net.

“Lepas kedua-dua keluarga tetapkan tarikh perkahwinan, saya cuma keluarkan duit belanja RM3,700 untuk buat kenduri di sebelah lelaki sahaja itu pun hanya jemput saudara terdekat.”- Zaidi ketika dihubungi Soscili.

Kalau nak cakap pasal tarikan orang Thai, rupa dorang tak banyak beza pun dengan Melayu kat sini kecuali yang ada kacukan. Cuma yang lebih menjadi tarikan sebab perangai dorang yang masih jaga pergaulan dengan pertuturan.

Lagi pun mereka lebih suka memudahkan urusan perkahwinan, walaupun ada lah sesi interview dengan mak ayah dia tanya rancangan masa depan lepas kahwin dan tanggungjawab dengan agama. Boleh dikatakan senang lah nak kahwin dengan orang sana berbanding pengalaman kawan-kawan lain yang kahwin dengan orang tempatan.

5) Bercerai dengan isteri pertama dari Malaysia disebabkan pinjam Ah Long

Osman Sedeli merupakan seorang guru yang kini bertugas di Ranau, Sabah hampir 5 tahun sejak dari 2012 lagi. Sebelum ni, dia pernah berkahwin dengan wanita Melayu selama 2 tahun tapi tiada rezeki untuk dikurniakan anak sebelum ambik keputusan untuk bercerai. Ada sebab juga dia bercerai kerana bekas isteri gunakan nama dia untuk buat pinjaman kepada Ah Long dan dipaksa untuk membayar walaupun tak buat pinjaman.

Buntu dengan isu pinjaman tu, akhirnya dia pergi ke Biro Pengaduan MCA bagi dapatkan pertolongan dorang. Pegawai yang terbabit bawa dia berbincang dengan Ah Long tersebut untuk bayar hanya berdasarkan jumlah pinjaman yang dibuat isteri. Dia terpaksa keluarkan kesemua duit simpanan dia dan ayah dia juga hulurkan duit kepadanya bagi cukupkan jumlah bayaran tu.

Ingat orang nak pinjam, sekali polis dah! Imej dari Jamal Rafaei.

Selesai je proses bayaran tu dia terus failkan penceraian dan minta dihantar bertugas di Sabah. Terasa remuk hati bila dibuat macam tu sekali oleh isteri sendiri. Sebelum ni pun tanpa pengetahuannya, bekas isteri dia tu pernah keluarkan duit gaji Osman semata-mata nak langsaikan hutang bisnes tudung yang dia buat kepada pembekal.

“Bertugas di Sabah buatkan fikiran saya tenang daripada fikirkan pasal bekas isteri yang mana kemudian saya bertemu jodoh dengan gadis Filipina yang bekerja di syarikat ladang kelapa sawit. Saya pilih dia sebab cara hidup dia sederhana yang bukan siang malam asyik fikirkan duit banding dengan bekas isteri sebelum ni.” – Osman Sedeli ketika dihubungi Soscili.

Ambil masa juga nak buat keputusan nak berkahwin dengan dia tambahan dia penganut agama Kristian dan perlu dapat persetujuan kedua-dua keluarga. Kemudian Osman langsungkan perkahwinan di Merlimau, Melaka dan bawa juga ahli keluarga isteri dari Cebu, Filipina ke sini. Tiga tahun berkahwin, mereka dikurniakan seorang anak dan Osman cukup bahagia dengan isteri ditambah suasana di Ranau yang cukup nyaman jauh dari bandar.

Suasana nyaman di Kundasang-Ranau. Imej dari Amazing Borneo.

Layanan, kecantikan dan kos perkahwinan menjadi pilihan lelaki Malaysia

Berdasarkan temu ramah yang dibuat, majoritinya merasakan cara layanan wanita warga asing ni menjadi faktor utama untuk dijadikan isteri. Kenyataan itu ada kebenarannya bila Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia, Khairudin Harahap menyatakan  wanita Indonesia mampu memberi layanan yang lebih baik kepada lelaki Malaysia berbanding wanita Malaysia sendiri.

Satu kenyataan yang cukup pedas untuk didengar oleh wanita Malaysia yang boleh sebabkan meletusnya perang dingin dengan lelaki. Khairudin juga menambah bahawa wanita Indonesia tak akan meninggalkan suami makan di meja untuk makan seorang diri, perkara itu akan berterusan walaupun telah lama berkahwin. Ini merupakan adat budaya wanita Indonesia dari dulu lagi.

Mungkin salah seorang daripada cewek Sumatera ni bakal jodoh korang. Imej dari Lucia Nancy.

Harian Metro melaporkan, bahawa layanan mesra, kelembutan dan kecantikan wanita Thailand juga menjadi daya penarik untuk lelaki Malaysia berkahwin dengan wanita di sana. Menerusi laporan The Malay Mail Online, lelaki Malaysia yang berumur 40 tahun ke atas mempunyai ‘saham’ yang tinggi dalam kalangan wanita selatan Thailand. Ini disebabkan lelaki yang lebih berumur telah mempunyai kewangan yang stabil, rumah dan kereta.


Duit banyak, cinta datang melambai-lambai.

Kos perkahwinan yang rendah juga menjadi faktor utama lelaki Malaysia berkahwin dengan wanita warga asing dan ini diakui oleh semua responden yang ditemubual. Menerusi laporan Malay Mail Online, pada tahun 80-an, kadar duit hantaran majoritinya sekitar RM1,700 dan meningkat kepada RM3,000 hingga RM5,000 pada tahun 90-an. Jumlah tu terus meningkat menjadi RM10,000 pada 2010 seiring dengan perubahan ekonomi semasa.

Yang nak berkahwin tu boleh menabung daripada sekarang. Imej dari Made In UITM.

Selain tu, terpaksa membayar wang hantaran yang tinggi menjadi punca lelaki Malaysia memilih wanita warga asing sebagai teman hidup. Bahkan menerusi kajian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2010, 44.7% lelaki memlih untuk membujang disebabkan masalah kewangan menunjukkan seriusnya isu ni.

Antara kes pengantin yang terdesak untuk cukupkan duit hantaran. Imej dari FB Wanita Hari Ini TV3.

Isu kos perkahwinan yang tinggi bukan setakat dihadapi lelaki Melayu tetapi lelaki Cina dan India memaksa diorang memilih wanita dari India dan China lantaran kos perkahwinan yang jauh lebih rendah.

“Saya cuba mencari pasangan hidup selama 12 tahun di sini, tetapi ditolak disebabkan hanya seorang pemandu lori. Di Chennai India,  saya bertemu jodoh hanya dalam tempoh seminggu.”- Arumugam Sinnasamy, dipetik dari South China Morning Post.

Perkahwinan campur rakyat Malaysia dengan warga asing boleh jadi nilai positif atau negatif

Isu perkahwinan campur antara rakyat Malaysia terutamanya lelaki dengan warga asing bukan isu baru dan banyak faktor penyumbang kepada perkahwinan tersebut. Mungkin dalam masa 10 tahun mendatang angka ni akan terus bertambah hingga boleh membentuk nilai positif dan negatif.

Mat Dan dan isteri. Imej dari Baitulmuslim.

Ramai juga janda di Malaysia yang boleh dijadikan calon isteri sekiranya risau perbelanjaan perkahwinan terlampau tinggi atau anak dara terlampau memilih. Hampir setiap hari seramai 156 orang wanita menjadi janda, dan ini boleh dijadikan alternatif oleh lelaki bujang luar sana untuk mencari pasangan hidup.