Takut kuburkan identiti SRJK(C). Ini antara sebab Dong Zong bantah Sekolah Wawasan

Kalau tak lama dulu hal pendidikan kita kecoh dengan kontroversi mahu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), kali ni kita bertekak lagi dengan isu Jawi dan khat. Seperti mana isu UEC, antara watak utama dalam kontroversi ni masih sama iaitu Kementerian Pendidikan dan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Tapi dalam suasana yang semakin panas ni, tiba-tiba Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluarkan kenyataan kata – Dong Zong sebagai rasis dan tak suka Melayu. Kenyataan Dr Mahathir sekali lagi menaikkan suhu Malaysia yang dah sedia buat kita berpeluh ni.

Dong Zong juga lancarkan petisyen bantah jawi di Sekolah Vernakular. Imej dari The Malaysian Reserve.

Dalam kenyataannya tu, Dr Mahathir ada sentuh tentang Sekolah Wawasan yang pernah dirancang masa dia jadi PM kali pertama dulu. Katanya, Sekolah Wawasan ni gagal sebab ia dibantah oleh Dong Zong. Sebelum kita bercerita lebih lanjut lagi, mungkin kita boleh mula dulu dengan konsep sekolah ni…

Sekolah Wawasan – tiga sekolah lain aliran dalam kawasan yang sama

Kompleks Sekolah Wawasan USJ15, Selangor. Imej dari The Malaysian Insight.

Malaysia ni unik, sebab kita ada dua jenis sekolah – Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan atau Sekolah Vernakular (SRJK Cina dan Tamil). Sementara Sekolah Kebangsaan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, SRJK menggunakan bahasa ibunda masing-masing iaitu Mandarin dan Tamil.

Bagi sesetengah pengkaji, perkara ni buatkan usaha integrasi terbantut dan perpaduan antara kaum semakin merenggang. Jadinya, kerajaan pun perkenalkan Konsep Sekolah Wawasan pada tahun 1995.

“Sekolah Wawasan ni adalah sekolah rendah yang berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama.

Di bawah konsep ini, dua atau tiga buah sekolah rendah berlainan aliran akan ditempatkan dalam kawasan yang sama.

Setiap sekolah akan mempunyai bangunan sendiri yang boleh disambung antara satu sama lain dengan menggunakan jambatan penghubung (link-way).” – Dipetik dari Library OUM.

Senang cerita, tiga sekolah – SK, SRJK(C) dan SRJK(T) ni akan ditempatkan dalam satu kawasan. Jadinya, para pelajar akan berkongsi dewan, kantin, pusat sumber, makmal komputer, tempat perhimpunan, gelanggang permainan, dan padang bersama-sama. Pelajar-pelajar juga boleh berinteraksi antara satu sama lain.

Pelan Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15. Imej dari Hau Chai Yan (slideshare.net)

Kalau ikut Buku Panduan Sekolah Wawasan 1995, dinyatakan dengan jelas bahawa matlamat sekolah ni berpaksikan Laporan Razak 1956. Laporan ni menyatakan – sekolah sebagai alat perpaduan negara dan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) dijadikan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah.

Tapi, rancangan kerajaan ni nampaknya tak diterima baik semua pihak, termasuklah Dong Zong. Sebab…

Dong Zong bimbang Sekolah Wawasan akan kuburkan identiti SRJK(C)

Bangunan Dong Jiao Zong di Kajang, Selangor. Imej dari FMT.

Inilah antara sebab utama kenapa Dong Zong menentang kuat pelaksanaan Sekolah Wawasan. Dalam masa sama, kerajaan masa tu beberapa kali bagi jaminan yang Sekolah Wawasan tak akan menghapuskan identiti SRJK(C) dan SRJK(T).

Tapi Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) tetap menentang pembentukan sekolah ini. Malah, Dong Jiao Zong kata – mereka tak akan berkompromi dan membantah sehabis-habisnya kalau matlamat akhir Sekolah Wawasan menjadikan Laporan Razak sebagai asas penubuhannya.

Perdana Menteri masa tu, Dr Mahathir tetap tegas nak laksanakan Sekolah Wawasan dan bawa perkara ni ke mesyuarat tertinggi Barisan Nasional (BN). Lepas tu, Kabinet arahkan Dr Ling Liong Sik (bekas Presiden MCA), Dr Lim Keng Yaik (bekas Presiden GERAKAN), Law Hieng Ding (bekas Menteri Sains, Teknologi & Alam Sekitar) dan Musa Mohamad (bekas Menteri Pendidikan) adakan pertemuan dengan Dong Jiao Zong.

“… Kementerian Pendidikan telah mengatur pertemuan dengan Dong Jiao Zong pada 22 September 2000 untuk membincangkan tentang garis panduan Sekolah Wawasan tetapi ia berakhir dengan kegagalan.” – UM Repository (PDF).

Dari kiri: Ling Liong Sik, Lim Keng Yaik, Law Hieng Ding & Musa Mohamad. Imej dari The Edge Markets, The Star, IISD & UCSI.

Penentangan Dong Jiao Zong kemudiannya berterusan dan bertambah panas lagi bila 5 buah SRJK(C) telah menolak hasrat kerajaan untuk menukarkannya sebagai Sekolah Wawasan. Selain tu, Dong Jiao Zong juga anggap pelaksanaan Sekolah Wawasan akan menggugat kedudukan Guru Besar dan Lembaga Pengelola SRJK(C).

“Penubuhan Jawatankuasa Penyelaras (Sekolah Wawasan) akan mengakibatkan pengelola SRJK(C) kehilangan kedudukan dan kuasanya. Bagi masyarakat Cina, Lembaga Pengelola adalah penjaga dan pelindung SRJK(C).” – UM Repository (PDF).

Dong Jiao Zong juga mendakwa bahasa pengantar kurikulum SRJK(C) akan ditukarkan kepada Bahasa Kebangsaan secara beransur-ansur bila mana semakin ramai guru bukan berkelayakan Cina mengajar di Sekolah Wawasan. Akibatnya nanti, subjek Pendidikan Seni, Pendidikan Jasmani dan Muzik akan diajar dalam Bahasa Kebangsaan.

Murid-murid di sekolah SRJK(C). Imej dari MCA.

Bagi Presiden Guru-Guru Besar Malaysia masa tu, Kang Siew Khoon – Dong Jiao Zong tak yakin dengan kerajaan sebab mereka dulu pernah diperdaya Kementerian Pendidikan pada 1962. Sebabnya, masa tu kerajaan janji 1/3 dari mata pelajaran yang diajar di Sekolah Menengah Persendirian yang ditukar kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan akan tetap diajar dalam Bahasa Cina.

“Namun, kesemua sekolah tersebut hanya menjadikan Bahasa Cina sebagai bahasa mata pelajaran sahaja.” – UM Repository (PDF).

Jenis-jenis sekolah Cina di Malaysia. Imej dari Ismaweb.

Tapi di sebalik bantahan Dong Zong ni, mereka sebenarnya tak keseorangan sebab…

Parti-parti politik juga bantah Sekolah Wawasan

Barisan Alternatif, hasil gabungan – PAS, PKR, DAP & PRM. Imej dari UM Students’ Repository.

Berdasarkan Bab VIII SRJK(C) dan Polemik Sekolah Wawasan terbitan Universiti Malaya (UM), dinyatakan yang bantahan Dong Jiao Zong turut dapat sokongan daripada beberapa parti politik. Antaranya adalah GERAKAN dan Barisan Alternatif (gabungan – DAP, PAS, PKR dan PRM).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Koh Tsu Koon dari GERAKAN masa tu kata – sikap tak percaya Dong Jiao Zong terhadap Kementerian Pendidikan disebabkan layanan kementerian itu (seperti yang dicerita di atas tadi).

“Ada sejarah di sebalik semua ini. Mereka tidak diberikan layanan yang adil dan dengan itu berasa banyak kebimbangan.” – Katanya dipetik dari The Sun (10 November 2000).

Dalam masa sama, Barisan Alternatif sepakat tak menyokong Sekolah Wawasan kerana ia dianggap boleh menghalang perkembangan bahasa ibunda kaum Cina. DAP lepas tu sokong cadangan Dong Jiao Zong supaya Sekolah Wawasan digantikan dengan “Rancangan Integrasi Murid-Murid untuk Perpaduan 1986” yang dianggap lebih terperinci.

Presiden PKR, Dr Wan Azizah masa tu kata – rancangan tu hasil rundingan Kementerian Pendidikan dan beberapa kumpulan termasuk Dong Jiao Zong, dan tak lah macam Sekolah Wawasan yang dianggap sebagai paksaan tanpa rundingan.

Imej dari imgflip.com

Namun begitu, bantahan terhadap Sekolah Wawasan juga dibidas oleh Tokoh Pendidikan, Tan Sri Ainuddin Wahid (allahyarham) yang kata – bantahan terhadap rancangan ini boleh menimbulkan ‘syak’ tentang soal taat setia mereka sebagai warganegara Malaysia.

Dr Mahathir pun membidas Dong Jiao Zong dengan kata – pertubuhan tu sebagai puak ekstremis pendidikan Cina yang menentang penyatupaduan rakyat berbilang kaum di negara ni.

“Mereka mahu semuanya dipisahkan… Sekolah Cina dipisahkan dari sekolah lain… menjadikan sekolah Cina seolah-olah sekolah asing dan bukan sekolah di Malaysia” – Kata Dr Mahathir, dipetik dari UM Repository (PDF).

Akhirnya… rancangan Sekolah Wawasan gagal

Imej dari imgflip.com

Menurut jurnal terbitan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bantahan Dong Jiao Zong itu juga berkait rapat dengan sifat tak mahu berkongsi kemudahan seperti – dewan, padang dan gelanggang yang dikatakan akan menimbulkan masalah jika berlakunya pertembungan bagi menganjurkan sebarang aktiviti yang menggunakan kemudahan sama.

“Kekhuatiran lain ialah mereka bimbang jika anak-anak mereka bergaul dengan kanak-kanak lain ketika kecil, mereka akan terpengaruh dengan bahasa lain.

Jika ketika kecil mereka sudah biasa berbahasa Melayu, kanak-kanak ini tidak lagi mempunyai kecenderungan untuk berbahasa Cina. Lama kelamaan bahasa itu akan pupus.” – Dipetik dari jurnal terbitan UTM (PDF).

Oleh kerana bantahan yang berpanjangan ini, akhirnya rancangan Sekolah Wawasan gagal dilaksanakan. Walaupun begitu, 5 buah Kompleks Sekolah Wawasan berjaya dilaksanakan iaitu:

  1. Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya.
  2. Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak.
  3. Sekolah Wawasan Taman Aman, Alor Setar, Kedah.
  4. Sekolah Wawasan Tasik Permai, Pulau Pinang.
  5. Sekolah Wawasan Pundut, Seri Manjung, Perak.
Sekolah Wawasan Pekan Baru, Parit Buntar, Perak. Imej dari skwawasanpb.blogspot

Tapi, pada Jun tahun lepas – Dr Mahathir ada sekali lagi bagi gambaran kemungkinan kerajaan akan perkenalkan konsep pendidikan yang seakan sama dengan Sekolah Wawasan. Tambahnya, sistem pada hari masih lama dan harus diubah.

Tak lama lepas kenyataan Dr Mahathir tu, Pengerusi Jiao Zong, Datuk Ong Chiow Chuen membantah dengan kata –  sekolah pelbagai aliran bukan punca masalah perkauman di negara ini.

“Adalah mengecewakan apabila Dr. Mahathir mengungkitkan semula sekolah wawasan, ia menyebabkan kami berasa kerajaan baharu tidak berbeza dengan kerajaan terdahulu.

Mereka mahu melaksanakan sekolah satu aliran dan memencilkan sekolah Cina dan Tamil, sesuatu yang tidak boleh kami terima,” katanya kepada Sinchew Daily, dipetik dari Malaysia Gazette.

Jadinya di sini, ada dua pandangan berbeza dalam soal kewujudan sekolah vernakular. Satu pihak menganggapnya sebagai penghalang perpaduan kaum dan satu pihak lagi anggapnya penting untuk mengekalkan tradisi budaya dan bahasa ibunda masing-masing. Apa pula pandangan korang?

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.