Sebelum MUDA, terdapat ‘kenyataan media’ lain yang mempunyai banyak kesalahan!

Semua guru Bahasa Melayu di seluruh Malaysia menjadi tak senang duduk selepas membaca kenyataan media dari Parti Muda Perak:

Imej dari Tentera Troll Kebangsaan Malaysia & Parti Muda Perak.
GIF dari Tenor.

Akan tetapi, kesalahan tatabahasa dalam kenyataan media sudah banyak kali berlaku sebelum ini, malah ada kenyataan media yang kata hubungnya tunggang-terbalik, nak baca pun boleh buat kepala pening.

Perlu diingatkan bahawa, kenyataan media ini mestilah ditulis dalam bentuk formal dan tidak boleh ditulis seperti format karangan ‘aku sebuah pen‘. Maka, kami kongsikan beberapa kenyataan media yang mempunyai kesalahan (dalam pelbagai aspek seperti tatabahasa, struktur ayat dan info), antaranya:

1. Kenyataan media Syed Saddiq: Mendapat markah 29/100 sahaja!

Kita kembali ke 2018, iaitu semasa Syed Saddiq memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan. Ramai netizen memberikan sindiran kepada Syed Saddiq selepas dia mengeluarkan kenyataan media bertajuk “Berhubung isu pelepasan pemain skuad bola sepak Bawah 23 negara bagi temasya Sukan Asia 2018“. Hal ini kerana kenyataan media ini mempunyai banyak kesalahan tatabahasa.

Macam biasa, Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM) menjadikan kenyataan media ini sebagai bahan jenaka di Facebook dengan memberikan markah 39/100 untuk tatabahasa dan struktur ayat. Kata TTKM lagi, kenyataan media ini sepatutnya boleh dipendekkan daripada tujuh perenggan kepada tiga perenggan sahaja.

Imej dari Harimau Malaya.

Bukan itu sahaja, halaman Facebook Harimau Malaya juga tidak terlepas dalam memberikan pendapat. Mereka menegur Syed Saddiq supaya menukar pegawai media yang menulis ayat tunggang-langgang. Markah yang diberikan oleh mereka untuk kenyataan media ini ialah 30/100 kerana mempunyai fakta yang salah.

Sebelum ini, kenyataan media ini pernah tular di Twitter

2. Kenyataan media Azmin Ali: Kedah sudah bertukar darul?

Pada 28 Mei 2020 yang lalu, semasa Azmin Ali memegang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dia ingin mengadakan lawatan kerja dengan Menteri Besar Kedah yang baharu, Muhammad Sanusi Md Nor. Beliau telah mengeluarkan kenyataan media bagi menguar-uarkan lawatan itu.

Walau bagaimanapun, kenyataan media dari Azmin Ali ini bukannya mempunyai kesalahan tatabahasa tetapi banyak kesalahan info dalam aspek negeri. Terdapat tiga kesalahan yang ramai netizen jumpa.

Imej dari PKR Terengganu.

Kesalahan pertama: Pada perenggan pertama, terdapat kesalahan darul di situ, sepatutnya ‘Kedah Darul Aman‘ tetapi ditulis ‘Kedah Darul Makmur‘ (kesian Pahang, tahu-tahu kena tukar darul dengan Kedah).

Kesalahan kedua: Cuba lihat pada perenggan kedua, jawatan menteri besar ditulis ‘Menteri Kedah‘, sepatutnya ‘Menteri Besar Kedah‘. Tidak salah sebenarnya penggunaan ‘Menteri Kedah’, tetapi ia hanya sesuai untuk digunakan dalam perbualan di kedai mamak.

Kesalahan ketiga: Terdapat kesilapan panggilan kepada pejabat negeri Kedah iaitu ‘Wisma Darul Aman‘  yang ditulis dalam kenyataan itu sebagai ‘Wisma Darul Iman’ (panggilan kepada pejabat negeri Terengganu).

Namun, selepas menerima kecaman dan pembetulan di media sosial, Azmin Ali telah menarik balik kenyataan media ini.

Imej dari Pakatan Bebas Najib.

3. Kenyataan media dari Dong Zong & Jiao Zong: Mempunyai banyak kesalahan kata hubung

Kita kembali ke era sebelum pandemik iaitu pada tahun 2019, tular satu kenyataan media dari Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) kerana mempunyai banyak kesalahan kata hubung dan pengulangan perkataan dalam satu perenggan.

Imej dari Hazwan Zulkifli.

Kenyataan media ini telah menular di Twitter serta mendapat perhatian dari netizen. Terdapat satu ciapan mengatakan, walaupun Malaysia sudah merdeka selama 62 tahun, tetapi Bahasa Melayu Dong Zong masih teruk. Boleh lihat ciapan itu di bawah:

Fakta tambahan: Dong Zong dan Jiao Zong sebelum ini pernah membantah pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

BONUS: Kami menyemak beberapa kenyataan media dari ahli politik

Tiga kenyataan media di atas ini, kita semua sudah tahu dan telah menular di media sosial, tetapi kali ini, kami ingin cuba menyelidik atau menyemak beberapa kenyataan media dari ahli politik.

Pertama, kita lihat kenyataan media dari Ketua ARMADA Nasional, Wan Ahmad Fayhsal bertajuk ‘Negara Perlukan Sifat Negarawan, Tolak Politik Pentingkan Diri‘. Sebelum ini, kami ada melihat ada netizen yang menyemak kesalahan dalam kenyataan media ini, tetapi kami tak dapat jumpa. Oleh itu, kami buat keputusan untuk menyemak sendiri.

Berikut merupakan hasil semakan dari kami:

Imej dari Wan Ahmad Fayhsal (Twitter).

Kedua, kami juga menyemak satu kenyataan media dari ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong:

Buat masa sekarang, ini sahaja beberapa kenyataan media yang kami semak, kalau ada lagi, nanti kami akan kemaskini dalam artikel ini.