Kisah novel Pak Sako yang membingitkan telinga penjajah

Seperti yang dikhabarkan kepada kita, kerajaan baru-baru ni bersetuju nak bagi elaun penghargaan bulanan RM5,000 kepada 7 orang Sasterawan Negara (SN).

“Elaun ini diharap dapat membantu menjamin kebajikan, kesejahteraan dan memberi keselesaan kepada Sasterawan Negara supaya dapat terus menyumbang idea pemikiran, keilmuan dan sumbangan karya bermutu tinggi untuk tatapan masyarakat.” – Lim Guan Eng, Menteri Kewangan. Katanya dipetik Berita Harian.

Buat masa ni, antara SN yang akan dapat elaun tu adalah – Dr A Samad Said; Dr Muhammad Hj Salleh; Dr Noordin Hassan; Dr Mohd Anuar Ridhwan; Dr Ahmad Khamal Abdullah (Kemala); Dr Baharuddin Zainal (Baha Zain) dan Dr Zurinah Hassan.

Tujuh orang Sasterawan Negara. Imej dari Malaysiakini.

Tapi di sebalik penghargaan yang diberikan ni, boleh dikatakan yang masyarakat sekarang dah tak pandang sangat dengan kepentingan sastera dan apatah lagi peranan seorang Sasterawan. Jadinya, SOSCILI kali ni nak kongsi sedikit pasal peranan Sasterawan suatu masa dulu, dan yang mungkin kita tak sangka.

Dulu, Sasterawan tu ibarat selebriti yang jadi pujaan ramai

Pada hari ni, antara Sasterawan Negara (SN) yang paling terkenal dan dikenali ramai mungkin cuma A. Samad Said je. Tu pun mungkin sebab orang perasan dengan gayanya yang unik. Walaupun kita ada enam lagi SN yang masih hidup, tapi nama mereka ni boleh dikatakan tenggelam dan kurang dikenali, terutamanya oleh mereka yang tak minat sastera atau membaca.

Hal ni sebenarnya membuatkan kita tertanya-tanya tentang macam mana penerimaan masyarakat terhadap Sasterawan suatu masa dulu. Tapi sebelum tu, Anugerah Sasterawan Negara sebenarnya dah diperkenalkan oleh Tun Hussein Onn pada tahun 1981. Dan orang pertama yang dapat anugerah sastera tertinggi negara ni adalah Kamaludin Mohamad atau Keris Mas.

Keris Mas, cukup hensem dan bergaya kan? Imej dari Chinese book reviews.

Sehingga ke hari ni, Malaysia dah ada 13 orang SN dan 7 orang darinya masih lagi aktif berkarya. Sesuai dengan kedudukannya sebagai anugerah tertinggi untuk penulis di Malaysia, zaman dulu mereka ni dipandang tinggi dan boleh dikatakan popular macam selebriti.

SN ke- 11, Kemala cerita – pada tahun 1960-an dulu, Sasterawan boleh dianggap sebagai selebriti. Nama-nama macam – Keris Mas, Usman Awang, A. Samad Said banyak keluar dekat surat khabar dan majalah. Malah, mereka ni juga dapat sanjungan tinggi dari masyarakat.

“Jadi masing-masing nak jadi sasterawan. Novel-novelnya dihebohkan walaupun tidak dibaca. Saya semasa belajar di Sultan Idris Training Center (SITC) Tanjung Malim, mula membaca Salina karya A. Samad Said.

Wow! Salina telah sampai ke peringkat antarabangsa kata Sarjana Sastera, Profesor Dr. A. Teeuw. Samad Said masa itu usianya 20-an, baru kerja di Utusan Melayu.” – Kemala, katanya kepada Utusan Malaysia.

Usman Awang atau nama penanya – Tongkat Warrant (1929 – 2001). Imej dari FMT.

Tambah Kemala lagi, masa tu populariti penyanyi pun mula tenggelam sebab populariti Sasterawan menguasai akhbar. Boleh dikatakan, masa tu semua orang nak jadi macam Keris Mas, Usman Awang, A Samad Said dan sebagainya.

“Saya pun nak jadi sasterawan masa itu. Bila keluar sajak saya yang pertama di Utusan Zaman, bertajuk Pertimbangan tahun 1961, saya pun jadi popular. Guru saya di SITC Tanjung Malim, Shaari Isa juga tahu saya penulis sajak. Waktu itu penulis jadi idola.” – Kemala, katanya kepada Utusan Malaysia.

Tapi di sebalik populariti sebagai seorang Sasterawan, kita juga tak boleh menafikan peranan para Sasterawan dan penulis dalam menentang penjajahan. Kritikan mereka yang tajam, dapat membuatkan kuasa penjajah British rasa tergugat.

Satira politik tajam yang membingitkan telinga penjajah

Walaupun pada hari ni sastera selalu je dipandang remeh dan rendah, tapi nampaknya ramai yang lupa atau tak tahu yang sastera dah memainkan peranan cukup besar dalam menentang penjajah. Sebagai contoh, nasionalis Ishak Hj Muhammad (Pak Sako) berjuang menggunakan sastera, selain pentas potitik dalam menyampaikan idea kemerdekaan.

Pada tahun 1937, novelnya yang bertajukPutera Gunung Tahan dah diterbitkan dan Pak Sako sendiri mengatakan yang ia…

“Khusus sebagai alat perjuangan menuntut kemerdekaan, keadilan dan menghalau penjajah” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.

Pak Sako & Dr Burhanuddin pada tahun 1955. Imej dari FB Ishak Haji Muhammad.

Novel yang penuh dengan amatan rapi terhadap niat British dan sindiran ni dah membuatkan penjajah betul-betul marah, sehingga akhirnya novel tu diharamkan. Selain tu, Pak Sako juga menghasilkan novel bertajuk – ‘Anak Mat Lela Gila‘ yang sekali lagi menyalurkan cita-cita perjuangan kebangsaannya dan mengkritik keras segala macam kejelikan sikap orang Melayu.

“Sebagai hasil sastera, ke­dua-dua buku ini merupakan ‘satire’ politik yang tajam dan sumbangan permulaan yang sangat penting dalam sejarah perkembangan novel serta sastera Melayu mo­den” – Dr Syed Husin Ali, dipetik dari Utusan.

British bila baca buku Pak Sako. Imej dari gifimgs.com

Malah pada tahun 1967, ketika mana kerajaan bercadang nak menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan mengekalkan bahasa tu dalam bidang perundangan (mahkamah), golongan penulis dan pejuang bahasa turut bangkit membantah.

Maka, terusunglah Keranda 152 di Dewan Bahasa Pustaka (DBP) menuju ke Parlimen. Antara penggerak utamanya adalah SN Usman Awang, SN Abdullah Hussain dan Syed Nasir (Pengarah DBP). 152 ni sebenarnya merujuk Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Usman Awang dalam sajaknya masa tu berkata:

Anak Melayu,
panas dadamu membakar baju,
kita arak keranda 152,
ke tanah perkuburannya Parlimen,

[BACA LEBIH LENGKAP: Kerana Puisi Usman Awang, Keranda 152 diusung ke Parlimen]

Klik imej atau klik sini kalau nak baca peristiwa Keranda 152.

Tapi, hal ni juga membuatkan kita tertanya-tanya tentang punca sebenar kenapa sastera semakin dipinggir. Dan Kemala menjawab…

Kerana pengaruh politik bahasa kita

Bagi Kemala, inilah antara punca utama kenapa sastera dan Bahasa Melayu semakin layu. Katanya, pengaruh politik bahasa kita sekarang ni yang cukup lemah. Lebih-lebih lagi bila bahasa kita tak ada kuasa ekonomi.

“Apa lagi bila diremehkan, dimomokkan dan bahasa Inggeris menyaingi, bahasa Mandarin juga menyaingi…

Apa sebab, kalau kuasa ekonomi tidak diberikan kepada bahasa kita, akan jatuhlah. Karya-karya kita dalam televisyen akan merosot begitu juga. Asyik-asyik cinta saja.” – Katanya dipetik dari Utusan.

Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kemala. Imej dari Berita Harian.

Pagi penulis Muhammad Lutfi Ishak pula, sastera semakin dipinggirkan sebab sistem pendidikan kita yang terpisah. Sekolah menengah sendiri dibahagikan kepada aliran sains dan sastera.

“Sistem ini dengan sendirinya memberikan imej negatif kepada pelajar sastera sebagai pelajar corot. Strategi ini melorongkan hampir semua pelajar cemerlang ke aliran sains dan sedikit ke aliran sastera tanpa mata pelajaran sastera.” – Tulisnya di Berita Harian.

Malah, Kemala menceritakan, royalti para Sasterawan sekarang ni pun dah tak seberapa. Kalau pada tahun 1970-an dan 1980-an, para Sasterawan boleh hidup dengan royalti karya je. Tapi sekarang ni nak terbitkan karya pun payah.

“Kalau dulu 1970-an, 1980-an kita boleh dapat royalti dalam satu tahun RM15,000 atau RM20,000 senaskah buku. Kalau buku dijadikan teks untuk sekolah dapat RM10,000 hingga 15,000 juga. Tapi sekarang dalam satu tahun tak dapat dalam RM2,000 atau RM3,000.” – Kemala, katanya kepada Utusan Malaysia.

Rasanya penulis-penulis kena selesaikan isu ni dulu. Imej dari Utusan.

Kalau Sasterawan sendiri tak dipandang, siapa lagi yang kita harapkan?

Untuk maklumat, Anugerah Sasterawan Negara ni dikendalikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat di bawah seliaan Kementerian Pendidikan. Penerima Anugerah Sasterawan Negara akan menerima wang tunai RM60,000 dan kemudahan terbit karya sampai RM500,000.

Hari Mengenang SN Usman Awang tahun lepas. Imej dari The Star.

Sebab itulah ada orang kata yang Raja Lawak sebenarnya lebih dihargai sebab dapat hadiah sampai beratus ribu. Tapi dengan pengumumuman kerajaan ni, nampaknya ada lah keprihatinan terhadap Sasterawan Negara. Cumanya, adakah penghargaan setakat tu je?

Ini kerana, kedudukan Sasterawan Negara juga sepatutnya dihormati dan ditempatkan di kedudukan yang sesuai. Sebabnya, mereka inilah aset negara yang menyimpan khazanah ilmu dan idea.

“Kalau seorang Sasterawan Negara sendiri tidak dihormati oleh orang yang dianggap berilmu atau berintelektual, siapa lagi yang dapat kita harapkan. Bagaimanakah kita akan mengatasi kelesuan dan kejumudan budaya kita.

Apakah kita berghairah dalam soal-soal seperti Akademi Fantasia dan politik seperti pilihan raya sahaja, sementara hal-hal yang berkaitan ilmu dipandang sepi.” – Raja Ahmad Aminullah, budayawan. Dipetik dari Utusan Malaysia.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.