Tak nak laksanakan CUTI PATERNITI sebab syarikat akan RUGI RM150 JUTA setahun?

Baru-baru ni Datuk Mahfuz Omar, Timbalan Menteri Sumber Manusia ada bagitahu yang draf pindaan Akta Kerja 1955 yang baru akan dibentangkan tak lama lagi. Akta Kerja 1955 baru tu dikatakan mengusulkan pindaan berkenaan cuti paterniti untuk para suami yang bekerja dalam sektor swasta.

Sebelum ni, semua sedia maklum yang cuti paterniti bagi pekerja dalam sektor awam adalah sebanyak 7 hari. Jadi, draf pindaan Akta Kerja yang baru ni adalah untuk berikan cuti paterniti kepada pekerja sektor swasta untuk tiga hari. Sebelum ni, kakitangan sektor swasta takde peruntukan mahupun subsidi untuk cuti paterniti, ia semua berdasarkan majikan masing-masing. Dan tak mewajibkan cuti paterniti untuk pekerja swasta, cuti tersebut hanyalah digelar sebagai ‘cuti ihsan’.

Pekerja sektor swasta sebenarnya tak perlukan cuti paterniti?

Haa nak jawab apa gais? Imej dari kotakmedia

Melalui draf pindaan Akta Kerja 1955 tu yang dibuat tu, ada pihak dari sektor swasta tak bersetuju dengan cadangan dan pindaan yang dibuat. Ia dikatakan akan merugikan sesebuah syarikat tu. Hmm pulak dah. Tapi sebelum tu, cuti paterniti ni sebenarnya cuti khas untuk isteri yang baru bersalin yang diberikan pada golongan bapa.

Sebelum ni, cuti paterniti memang tak diberikan kepada golongan bapa yang bekerja dalam sektor swasta sebab tak layak dari segi perundangan. Malah, cuti paterniti bagi ayah-ayah yang bekerja di sektor awam hanya dapat menikmati cuti paterniti bergaji sebanyak 7 hari. Jadi, bila ketidakseimbangan ni terjadi, ramai pihak yang suarakan ketidakpuasan hati mengenai hal ni. Antaranya…

“Kementerian Sumber Manusia harus memperkenalkan sekurang-kurangnya tujuh hari cuti paterniti dalam sektor swasta, sama seperti cuti paterniti sekarang dalam sektor awam,” – Sumitra Vivanathan, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), sumber dari Sinar Harian. 

So, kitaorang nak semua sektor sama lah kelebihannya. GIF dari Giphy

Tapi yang jadi isu sekarang ni, Datuk Shamsuddin Bardan yang juga merupakan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) tak setuju dengan cadangan dan pindaan yang akan dibuat tu. Dia bagitahu yang cuti paterniti yang dikira sebagai cuti wajib tu akan merugikan syarikat. Perlaksanaan cuti tersebut akan bagi kesan kat sesebuah syarikat dan akan bebankan majikan.

Dengan adanya peruntukan cuti paterniti tu, majikan dikatakan rugi lebih dari RM150 juta setahun dan cuti tersebut sebenarnya boleh digantikan dengan aspek yang lain. Kebanyakan majikan jugak mengatakan yang cuti paterniti ni secara tak langsung akan meningkatkan kos operasi dengan ketidakhadiran pekerja yang mahir dalam sesuatu bidang. Jadi, secara tak langsung kemajuan dan operasi dalam sesebuah syarikat tu akan tergendala sebab tak ada pakar yang akan mengendalikan aspek tersebut.

“Alasan cuti selama tempoh itu boleh membina ikatan kekeluargaan utuh antara suami, isteri dan anak yang baru dilahirkan, perlu diubah dengan cara lain tanpa membabitkan sebarang kos di pihak majikan,” – Datuk Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), sumber dari BH Online. 

Keratan akhbar mengenai cuti paterniti. Imej dari BH Online

Diaorang jugak ada bagitahu pelaksanaan cuti paterniti yang diusulkan ni lebih kepada nak dapatkan populariti masyarakat. Sebabnya, ia akan bagi kesan yang menyeluruh kepada kos dan kompetitif bagi syarikat-syarikat swasta.

Diaorang jugak dah suarakan bantahan ketidakpuasan hati diaorang mengenai hal ni ke peringkat kementerian. Tapi pihak kementerian masih jugak nak kekalkan cadangan pindaan tu. Dan mesti ada sebab yang kukuh nak laksanakan pindaan tu… (Okay, we’ll see how).

Banyak negara yang wajibkan cuti paterniti untuk pekerja diaorang

Imej dari blog.seedly.sg

Baru-baru ni ada sebuah syarikat swasta dah memperkenalkan dasar baru dengan memberikan inisiatif cuti paterniti bergaji selama 30 hari. Wow sebulan cuti tu! Tujuan dasar tersebut diperkenalkan adalah untuk berikan penghargaan pada warga kerja kat situ untuk teruskan produktiviti kerja diaorang. Selain tu, ia secara tak langsung dapat berikan sokongan dalam keseimbangan menerusi aspek kehidupan dan kerjaya diaorang.

Dasar yang diperkenalkan oleh syarikat tersebut merupakan salah satu insentif dalam Program Peremajaan Kakitangan di mana ia memberikan insentif cuti tambahan untuk pekerja diaorang. Contohnya, pekerja kat situ boleh ambik cuti sampai 6 bulan tanpa gaji sama ada atas sebab peribadi, nak panjangkan cuti bersalin dan cuti paterniti. Tapi jawatan diorang dalam syarikat tu tetap dikekalkan walaupun diorang dah ‘berhuha-huha’ waktu cuti panjang tu (haha).

“Ini adalah satu lagi inisiatif dalam menunjukkan penghargaan CIMB kepada warga kerjanya dengan memastikan mereka mendapat sokongan untuk mencapai keseimbangan kerjaya-kehidupan, sekali gus mempamerkan usaha keseluruhan kami bagi mengamalkan amalan terbaik global dalam pengurusan sumber manusia,” – Datuk Hamidah Naziadin, Ketua Pegawai Kakitangan CIMB Group, sumber dari The Reporter.

Cuti paterniti kat negara-negara Asia Tenggara. Imej dari Malay Mail

Kalau diikutkan menerusi Laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa 2014 yang ditubuhkan khas untuk menangani isu-isu buruh di sekitar negara-negara PBB, 79 buah negara daripada 167 buah negara di seluruh dunia dah memperuntukkan cuti paterniti khas bagi pekerja diorang. Pertubuhan ni jugak berfungsi untuk menggalakkan peluang pekerjaan yang memuaskan bagi semua masyarakat.

Sebenarnya, banyak negara yang dah memperuntukkan cuti khas paterniti ni antaranya negara jiran kita sendiri, Singapura. Singapura menganggap cuti paterniti sebagai salah satu hak asasi manusia yang ditetapkan dalam undang-undangnya dengan menyediakan pelan khas untuk cuti paterniti tu. Diaorang percaya dengan adanya cuti paterniti ni, ibu bapa yang baru dapat anak dapat luangkan masa bersama dan boleh beri keseimbangan pada emosi dan gaya hidup pekerja diorang.

Pelan tersebut dikenali sebagai Government-Paid Paternity Leave (GPPL) yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2017. Dalam GPPL, semua pekerja bergelar bapa layak untuk enjoy cuti paterniti selama 2 minggu, termasuk diorang yang bekerja sendiri dan selama diorang bercuti, gaji tak akan dipotong. Cuti paterniti berbayar selama 2 minggu tu dibiayai oleh kerajaan Singapura sendiri. Cuti tersebut boleh dinikmati semua pekerja yang bergelar bapa sekurang-kurangnya kalau dah bekerja selama 3 bulan sebelum kelahiran anak diaorang. Dan… orang yang ambik anak angkat pun layak ambik cuti paterniti ni!

Untung jadi ayah kat SIngapura. Imej dari berita.mediacorp

Kalau di negara Sweden pulak, subsidi cuti paterniti untuk setiap pekerja kat sana diberikan sehingga 480 hari untuk setiap satu anak yang lahir. Dan cuti tersebut boleh dikongsi dengan isteri diorang sehingga anak tersebut berumur 8 tahun. Kiranya subsidi 480 hari cuti bukan cuti sekali gus ye. Maksudnya diberikan subsidi cuti 480 hari dari anak tu lahir sehingga umur 8 tahun.

Dalam tempoh tersebut, diaorang boleh bercuti khas untuk anak diaorang. Kalau dapat anak kembar, akan dapat lagi cuti bonus! Selain tu, diaorang jugak dapat elaun dari cuti tersebut. Kerajaan Sweden buat dasar tersebut untuk meningkatkan kesetaraan jantina dalam hak penjagaan anak.

Bila bercakap mengenai cuti paterniti ni, kalau ikut rekod, Norway merupakan negara yang memperuntukkan cuti paterniti yang paling lama pada pekerja diaorang iaitu selama 1112 hari dengan bergaji penuh. Memandangkan Malaysia tak ada lagi subsidi cuti paterniti ni, ramai pihak bersuara untuk pelihara hak asasi dan keperluan asas pekerja dalam pelbagai sektor untuk pastikan kebajikan pekerja.

Budak tu pun sampai tak kenal ayah dia. Imej dari The Japan News

Cuti paterniti bukan sebab utama yang boleh sokong emosi isteri?

Disebabkan cadangan untuk berikan cuti paterniti kat pekerja sektor swasta tu tak disokong oleh pihak MEF, banyak pihak bersuara yang menyatakan pihak MEF tak consider kebajikan pekerja. Tapi pihak MEF bagitahu yang tak semestinya kena ada cuti untuk sokong emosi para isteri yang baru kelahiran anak. Banyak lagi cara lain contohnya tolong isteri uruskan rumah, ambik waktu hujung minggu dan cuti umum luangkan masa bersama. Apa yang paling penting cara tersebut tak ganggu dan rugikan kos operasi majikan.

Sebab taknak syarikat bankrupt laaa. GIF dari Giphy

Tapi, bila dikaji semula tak ada buruknya cuti paterniti ni dan pihak kementerian nampak macam kecewa dengan sokongan negatif yang diberikan. Tapi ada dalam satu kajian ni, dia bagitahu yang ramai golongan bapa tak ambik pun cuti paterniti ni sebabnya diorang percaya hal penjagaan bayi ni semua tugas hakiki perempuan. Haih.

Dalam kajian, The State of the World’s Fathers bagitahu yang lebih kurang 40% golongan bapa kat Kanada dan 35% kat Jepun tak ambik pun cuti paterniti ni sebab diorang lebih pentingkan soal kerja serta kewangan. Wah! Boleh pulak macam tu. Dan perkara yang sama jadi jugak kat Brazil, Argentina, Belanda dan Britain walaupun isteri diorang bagitahu yang dia lebih selesa kehadiran suami waktu tu.

Apa lelaki boleh buat waktu cuti paterniti tu. Imej dari You The Daddy

Dalam aspek psikologi pulak, sebenarnya cuti paterniti ni memang sangat membantu produktiviti kerja seseorang. Contohnya, syarikat IKEA yang bagi cuti selama 30 hari kat kakitangannya, diaorang didapati dapat buat kerja dengan lebih bersemangat dan efektif lepas bercuti tu.

Dan diaorang percaya tempoh masa yang diberikan sewaktu bercuti tu dapat sokong emosi dan mental isteri yang baru mengalami fasa baru. Kita sendiri tahu orang yang baru bersalin ni emosi diorang mudah terganggu ataupun menghidap Pospartum Psikosis (meroyan) yang cenderung untuk cederakan diri diorang sendiri. Dan pihak majikan jugak janganlah terlalu pentingkan keuntungan tanpa memikirkan emosi dan kesihatan pekerja diaorang dan faktor yang macam tu.

“Cuti paterniti bukan soal kesihatan dalam tempoh terdekat, sebaliknya membabitkan kesihatan untuk jangka panjang.

“Justeru, saya minta dipertimbangkan sewajarnya kerana dalam aset sumber manusia, majikan perlu mementingkan kesihatan pekerja agar mereka sentiasa produktif bukan sahaja fizikal tetapi juga dari segi emosi.” – Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, sumber dari BH Online. 

Sebenarnya cuti tersebut dikira sebagai satu penghargaan untuk menggalakkan pekerja buat kerja yang lebih baik bila majikan diaorang ambik berat pasal kebajikan diaorang. Dan dapat membuatkan pekerja lebih bersemangat dengan kerja dan kehidupan diaorang.

Kebaikan cuti paterniti. Imej dari kotakmedia

Cuti paterniti boleh menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara sebenarnya

Sebenarnya, cuti paterniti ni sangat penting bagi kaum lelaki yang dah pun berkahwin. Banyak kelebihan bila pekerja dapat menikmati cuti paterniti diaorang sebabnya diaorang dapat stabilkan emosi diorang dan tak lah terlalu fikirkan soal kerja. Yelah, moment bahagiakan?

Pindaan akta yang meletakkan cuti paterniti sebagai salah satu cuti mandatori bagi pekerja sektor swasta dapat memberikan impak positif. Ia menerusi produktiviti kerja dan keseimbangan gaya hidup pekerja tu jugak. Bila pekerja happy dan puas hati dengan suasana kerja diorang, secara tak langsung boleh bagi sumbangan kepada kemajuan sesebuah industri tu.

 

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)