Uncategorized

Kenapa sasterawan negara ni anggap Si Tanggang sebagai seorang wira?

Masa zaman kita membesar tahun 80-an, 90-an dulu, kita banyak dengar cerita-cerita dongeng dan hikayat. Contohnya macam Pak Pandir, Batu Belah Batu Bertangkup, Si Luncai, Lebai Malang, dan macam-macam lagi.

Kisah Pak Pandir yang bodoh-bodoh alang, memandikan anaknya yang baru lahir dalam air panas yang menggelegak. Imej dari Gwangju Foreign Language Network

Antara kisah dongeng yang paling popular ialah Si Tanggang. Si Tanggang menderhaka kepada ibunya, dan akhirnya kena sumpah jadi batu. Zaman dulu punyalah takut nak menderhaka sebab takut jadi batu. Tapi zaman ni selamba je eh ajak mak bergusti.

Tapi, tahu tak korang yang kisah Si Tanggang ni ada pelbagai versi dan bukan hanya di Malaysia je?

Kisah Si Tanggang dari Malaysia, Malin Kundang dari Indonesia dan Nakhoda Manis dari Brunei yang mempunyai persamaan

Korang mungkin biasa dengar pasal cerita Si Tanggang dan mungkin juga Malin Kundang. Tapi, pernah tak dengar pasal Nakhoda Manis dari Brunei? Sebenarnya, ketiga-tiga kisah ni tak banyak beza pun. Jalan cerita lebih kurang sama je, cuma nama watak dan tempat je yang berlainan. Malah, ada pelbagai versi yang kita boleh jumpa.

Berdasarkan cerita yang dipetik daripada “Himpunan 366 cerita rakyat Malaysia”, “Indonesian Folktales” dan “Bunga rampai sastera Asean: A. Brunei folk literature”, ketiga-tiga cerita dongeng ni lebih kurang sama. Kisahnya begini…

Tanggang ni memang nakal sejak kecik lagi, main lari-lari sampai jatuh dan cedera teruk. Luka dia punyalah besar sampai tinggal parut.

Mungkinkah Harry Potter tiru cerita Tanggang. Imej dari selectspecs.com

Nakal-nakal pun, dia membesar menjadi seorang anak muda yang gagah perkasa. Disebabkan ayah dia kamceng dengan sorang nakhoda kapal ni, dia bagitau nakhoda tu yang kalau dia perlukan anak kapal, dia hantar Tanggang untuk berguru. Mana la tahu, satu hari nanti Tanggang pun jadi seorang nakhoda boleh ubah nasib keluarga.

Dan Nakhoda pun bersetuju nak tolong, gembira sungguh Tanggang…

Yay lepas ni aku tak kenang budi! Imej dari giphy

Tapi mak bapak mana yang sedih bila anak tunggal tinggalkan rumah kan. Waktu nak hantar Tanggang, dorang tak berganjak dari pelabuhan tu sampailah kapal hilang daripada pandangan diorang. Mak bapak dia cuma mampu berdoa yang satu hari nanti, Tanggang akan kembali ke pangkuan diorang.

Selama bertahun-tahun, Tanggang bekerja keras sampailah dia jadi OKB (Orang Kaya Baru). Pastu, ada kapal sendiri dan kahwin pulak dengan anak orang kaya lagi tu. Tapi bila dia dah kaya, mulalah lupa asal-usul. Lama jugak la dia tak balik kampung sampaikan ayah dia meninggal tak lama lepas tu, jadi tinggallah mak dia sorang-sorang.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Tanggang, mana kau nak?

Tapi satu hari, Tanggang teringat kat kampung dia dan bercadang untuk balik. Nak tengok ada ke tak transformasi ala-ala TN50 yang PM kita kempen sekarang ni. Sampai je kat sana, orang kampung semua kerumun sebab jarang nampak kapal mewah berlabuh kat kampung diorang.

Dalam ramai-ramai orang kampung tu, ada sorang pak cik ni perasan yang kapten kapal tu adalah Si Tanggang sebab parut kat dahi dia. Dia pun balik dan bagitahu mak Tanggang yang dah lama sangat tunggu anak dia tu.

Bila mak Tanggang dapat tahu pasal anak dia dah balik, dia punyalah happy, kemain lagi. Dia terus masak makanan kegemaran Tanggang dan berlari ke kapal Tanggang, sambil tunjukkan bungkusan makanan kat tangan dia.

“Tanggang…Tanggang… ini ibumu, nak”- jerit mak Tanggang dengan perasaan yang gembira dan sayu

Imej dari filemkita

Masa Tanggang terdengar suara tu, dia nampak ada sorang perempuan tua dengan pakaian compang-camping datang kat kapal dia. Dia pun gelabah la kejap sebab tak pernah bagitau isteri pasal asal-usul sebenar dia. Mana la tau isteri dia tak boleh terima, ke apa.

Bila mak dia terjerit-jerit lagi, dia mula rasa malu sampai dia jerit balik,

“Perempuan tua tak tahu malu! Aku takde mak yang miskin dan kotor macam kau. Mak aku dah mati! Jangan nak mengaku aku ni anak kau!”

Kisah Nakhoda Manis, dengan tajuk bukunya ‘Jong Batu’ yang diilustrasikan oleh penulis buku lama, 1958. Imej dari datomohdnaim.librarika.com

Lepas tu, dia arahkan anak kapal untuk halau ibu dia dari situ. Frust gila dengan apa yang anak dia buat, dia pun menangis,

“Tanggang, kau anak tak mengenang budi. Kau abaikan ibu dan tak nak mengaku aku yang besarkan kau sejak kecil,” kata ibu Tanggang sambil berjalan balik ke rumahnya dengan perasaan yang sangat sedih

Keesokan harinya, Tanggang arahkan anak-anak kapal dia untuk mula berlayar keluar daripada kampung tu. Tapi bila sampai di tengah laut, kapal Tanggang dipukul ombak, dengan kilat sabung-menyabung dan langit pun makin gelap.

Masa ni baru la Tanggang gelabah dan tersedar daripada kesilapan dia. Jadi dia pun terus bersujud dan minta ampun. Tapi, semuanya dah terlewat sebab ombak yang mengganas tu akhirnya menenggelamkan kapal Tanggang bersama isi-isinya.

Walaupun ketiga-tiga kisah ni seakan-akan sama, tapi, mesti korang terfikir, kisah mana yang betul, kan? Atau mungkin Tanggang, Nakhoda Manis dan Malin Kundang merupakan orang yang sama disebabkan jalan cerita yang tak jauh berbeza?

Patung sumpahan Malin Kundang wujud di Indonesia

Kisah Malin Kundang ni pun tak jauh bezanya dengan cerita Si Tanggang di Malaysia. Cumanya, dia berasal daripada Sumatera Barat, manakala Si Tanggang pula dikatakan berasal daripada anak Orang Asli. Sebenarnya, nama dia ni cumalah ‘Malin’, manakala ‘Kundang’ pula bermaksud manja.

Ura-ura mengatakan tinggalan kapal Malin Kundang yang dah pecah ni dipercayai terdampar di persisir pantai Air Manis berdekatan dengan bandar Padang, Indonesia. Bukan tinggalan kapal tu je yang berubah menjadi batu, kalau korang perhatikan betul-betul pun, korang boleh nampak batu yang terbentuk tu nampak macam seorang lelaki yang sedang bersujud.

Nampak tak bentuk orang bersujud? Kalau tak nampak, maksudnya… Imej dari kosmo

Bagaimanapun, ada juga ura-ura mengatakan ada pihak yang mengukir patung tersebut supaya nampak macam sebuah patung yang menyembah bumi. Tak tahu la mana satu yang betul. Kena check dengan pakar batuan ni.

Selain kisah Si Tanggang, kisah dongeng ni juga pernah diadaptasi menjadi sebuah cerita bersiri dengan tajuk yang sama, iaitu Malin Kundang yang pernah disiarkan di Indonesia, dan turut ditayangkan di Malaysia sekitar tahun 2005-2006 dulu.

Tapi tak nampak macam mak dan anak pun. Imej dari wikipedia

Jalan cerita Malin Kundang yang dijadikan drama bersiri ni hampir sama dengan cerita yang asal, cuma dimodenkan je. Macam biasa la, mana-mana sinetron Indonesia pun, mesti lebih daripada 100 episod.

Kapal Nakhoda Manis yang timbul di Brunei

Nakhoda Manis, kisah daripada Brunei. Imej ohenglishblog.wordpess

Di Brunei pula, ada ‘bukti’ peninggalan yang terletak di tepi laut Jong Batu, iaitu kawasan batu karang yang terletak di Sungai Brunei.

Dalam kisah dongeng ni, Nakhoda Manis cumalah seorang anak lelaki kampung yang diberi nama Manis oleh ibunya, seorang balu. Berlainan sikit je dengan kisah Tanggang dan Malin Kundang, ibu Nakhoda Manis iaitu Dang Ambon merupakan seorang balu yang kaya, puncanya daripada harta peninggalan suaminya yang sudah meninggal dunia. Mereka juga dikatakan tinggal di Kampong Ayer. Walaupun kaya-raya, Manis ingin mencuba nasib mencari rezeki di Sulu.

Sepanjang peninggalan Nakhoda Manis, ibunya Dang Ambon dikatakan jatuh miskin kerana selalu memberi hartanya kepada orang lain. Manakala sambungan ceritanya adalah sama dengan Malin Kundang dan Si Tanggang.

Sebuah pulau kecil yang nampak macam sebuah tinggalan kapal. Imej dari mediapermata.com

Jadi bila Nakhoda Manis ni disumpah macam Malin dan Tanggang, semuanya jadi batu. Tapi dekat Jong Batu, bukti cerita ni cumalah sebuah batuan besar yang nampak macam sebuah kapal yang tersadai.

Kisah Nakhoda Manis pula nampaknya tak pernah difilemkan atau dijadikan drama bersiri oleh Brunei. Tapi, ada sebuah lagu dinukilkan khas oleh Raymond Crooke yang pernah menetap di Brunei, bertajuk ‘The Ballad of Nakhoda Manis’.

Darah Si Tanggang yang masih mengalir di Malaysia

Berdasarkan cerita orang kita pulak, “bukti kewujudan” Si Tanggang boleh ditemui di Gua Gelap yang terletak di Batu Caves, Selangor.

Gua Gelap di Batu Caves, tempat Si Tanggang dan kapalnya disumpah menjadi batu. Imej dari kosmo

Selain daripada batuan yang nampak macam bentuk manusia tengah sembah bumi, ada air yang mengalir di celah-celah batu dan lantai gua tersebut. Nampak macam darah beku manusia, dan dikatakan darah Si Tanggang. Tapi, betul ke?

“Kesan ini wujud sejak gua ini ditemui pada tahun 1889,” kata Hadrian Sanie, warden Gua Gelap di Batu Caves- dipetik dari Kosmo

Menurut Profesor Mohd. Shafeea Leman, iaitu Ketua Kumpulan Teras Warisan Geologi Malaysia (KWGM) pula,

“Proses semula jadi di gua itu sendiri mengakibatkan fenomena itu berlaku. Aliran air yang mengandungi besi oksida menyebabkan batu itu berwarna oren.

“Kemudian oksigen menukarkan pula batu itu kepada warna merah. Ia bukan darah tetapi kesan perubahan kimia batu itu,” dipetik dari Kosmo.

Batuan merah yang dikatakan darah beku Si Tanggang yang disumpah, satu ketika dulu.

Menurut pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, kisah Si Tanggang ni memang dekat dengan budaya masyarakat Melayu di Malaysia. Menurutnya, kisah Si Tanggang mungkin benar disebabkan penemuan batu berbentuk manusia dan kapal di tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei.

“Malangnya, tiada dokumen rasmi yang mengesahkan kejadian itu walaupun pada masa itu tamadun manusia sudah berkembang.

“Dengan adanya cerita mengenai kapal dan perdagangan yang melibatkan Si Tanggang menunjukkan ketamadunan manusia telah berkembang di nusantara ketika itu,” – dipetik dari Kosmo.

Kisah Si Tanggang merupakan sebuah kisah dongeng lama, dan pernah difilemkan masa zaman filem hitam putih lagi, iaitu pada tahun 1961 oleh pengarah Jamil Sulong.

Filem Si Tanggang pada tahun 1961. Imej dari retroevergreen.com

Mengapa Sasterawan Negara anggap Si Tanggang itu wira?

Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh merupakan salah seorang penulis Malaysia yang telah dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara 1991. Beliau juga telah memenangi Anugerah Penulis S.E.A. pada tahun 1997. Pada 2008, beliau dinobat sebagai Tokoh Akademik Negara

Walaupun Si Tanggang terkenal dengan sifatnya yang dikatakan lupa diri dan menderhaka kepada ibunya, ada satu versi menarik yang dibawakan oleh seorang Sasterawan Negara yang berasal dari Perak, iaitu Muhammad Haji Salleh.

Kalau korang ingat buku English Literature yang kita belajar dulu, ada satu sajak Inggeris yang ditulis dengan tajuk “Si Tenggang Homecoming”. Sajak ni mempunyai 6 stanza, dan 73 baris, dan korang boleh baca di sini.

Salah satu buku nukilan Muhammad Haji Salleh, ‘Pulang Si Tenggang’ atau “Si Tenggang Homecoming”. Imej dari muhammadhajisalleh.com

Dalam sajak tulisannya, Muhammad Haji Salleh membuatkan kita terfikir tentang keberanian seorang pemuda kampung yang berani keluar dari zon selesanya di kampung, dengan membuat sebuah keputusan yang besar iaitu dengan mengembara ke tempat lain.

Menurut Muhammad Haji Salleh selaku ‘Tanggang’, dia ada sebut yang perjalanannya bukan hanya perjalanan fizikal, tapi juga perjalanan untuk mencari diri sendiri. Dia juga ceritakan pasal kekecewaan bila keluarga dia tak gembira dengan pengetahuan baru dan perubahan pasal diri dia. Perkara ni la yang membuatkan dia rasa terasing di tanah air sendiri. Walaubagaimanapun, dia meyakinkan keluarga dan orang kampung yang dia masih orang Melayu yang sama macam diorang, cuma lebih berkeyakinan selepas mengembara.

Selain tu juga, ‘Tanggang’ Muhammad Haji Salleh ada sebut yang dia tak boleh berkompromi tentang kepercayaan dan tradisi. Jadi, dia merasionalkan setiap perkara dengan menggunakan fakta. Walaupun tegas dalam berhujah, dia kata yang dia masih hormat pandangan orang lain.

Kesimpulannya, Muhammad Haji Salleh mengaku yang dia masih Tanggang yang sama, dan tak berbeza dengan orang kampung yang lain. Dia cuma seorang yang berjaya menemui diri sendiri, tapi di salah erti sebagai menderhaka dan lupa daratan.

Menurut Wahyudi Yunus,

“Sajak “Si Tenggang Homecoming” merakam sisi berbeza anak perantau. Si Tenggang ditampilkan sebagai pemuda bijaksana yang degil dengan prinsipnya. Kembaranya telah memberi kesedaran kepada Si Tenggang untuk melihat kehidupan dari sisi berbeza. Dia telah belajar untuk mempersoal kepercayaan yang disuap kepadanya.

Ia bukan lagi cuma kisah tentang seorang pemuda yang hilang jati dirinya kerana mengembara. Ia adalah seorang pemuda yang ranum dengan pengalaman hidup dan kini bersedia untuk berdiri atas apa yang dia percaya. Dia peka dengan realiti di hadapannya yang kini telah berubah. Dan dia sedia berkongsi apa yang dipelajarinya”-dipetik dari jalantelawi.com,

Hellen Keller quote. Imej dari sayquotable

Tak kisahlah cerita dongeng Si Tanggang ni berasal dari kisah benar atau tak, apa yang pasti, kita boleh ambik pedoman daripada kisah-kisah dongeng pada zaman dulu yang banyak membawa nilai-nilai murni dalam kehidupan kita seharian.

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend